Sunday, September 23, 2012

patriotisme ilmu

PEMERIBUMIAN DAN PATRIOTISME ILMU SEBAGAI

PENJANA ILMU BARU*



Shaharir bin Mohamad Zain



*Terbit ddlm. Azizan (Pnyut.). Wacana Sejarah dan Falsafah Sainsa: Pemantapan Pengjian Sjarah, Falsafah dan Dasar Sains. DBP, 2009: 1-37


BILAKAH LAGI PEMERIBUMIAN ILMU?


Pemeribumian (di alam Melayu; pe-Melayu-an khu-susnya di Malaysia) ilmu di Malaysia sebagai juzuk alam Melayu bermula sejak era Hindu-Buddhanya lagi, iaitu sejak abad ke-4M. Kebenaran ini berdasarkan prasasti tertua dalam bahasa Melayu yang dijumpai di Vietnam dan setampang batu bersurat 6 ayat bahasa Melayu zaman kerajaan Melayu Campa. Dalam ayat itu sudah ada perkataan ni (ini), punya, sa (se), rivu (ribu), thun (tahun) dan tujuh. Kerajaann Hindu-Buddha Melayu yang terkenal ialah kerajaan Funan (2 M - 6 M) yang berpusat di Kemboja, kerajaan Campa (2 M - 15 M) yang berpusat di Vietnam dan kerajaan Sriwijaya (6 M - 13 M) yang berpusat di Sumatera. Pemelayuan ilmu pada zaman itu ialah pemindahan ilmu daripada tamadun Hindia (Hindu dan Buddha). Oleh itu pemeri-bumian ilmu pada zaman tersebut ialah pemindahan ilmu Hindu-Buddha dalam bahasa Sanskrit kepada ba-hasa Melayu yang dikenali oleh orang Cina sebagai ba-hasa Kunlun (sebutan Cina untuk “gunung” atau versi purbanya, “pnom”; sesuai dengan perkataan “Melayu” yang berasal daripada Sanskrit “Malaya” yang ber-makna “Gunung” itu).

Muhammad Alinor ( 2004; 2005) banyak mengkaji status ilmu pada zaman tamadun Melayu purba ini. Umpamanya, beliau mencatatkan adanya 240 buah kitab ilmu keagamaan Buddha daripada kerajaan Melayu Funan yang dihantar ke China melalui sarja-na Funan yang bernama Paramartha atau Gunaratna pada 546 M (sarjana Melayu Funan lain yang terke-nalnya ialah Mandra/Mandrasena yang tiba di China pada tahun 503 M, dan Sanghapala/Sanghavarman/Kang Seng-k’ai yang berada di China pada tahun 506 M – 522 M). Beliau juga mencatatkan adanya sejumlah 1350 kitab keagamaan Buddha yang dirampas oleh panglima China, Liu Fang, yang mengalahkan keraja-an Campa 603 M (walaupun tiada nama sarjana Campa yang diketahui setakat ini). Yang lebih terkenal lagi ialah adanya beribu-ribu kitab keagamaan Buddha pada masa kerajaan Melayu Sriwijaya yang dicatatkan oleh sarjana China terkenal, I-Tsing. Beliau berada di Sumatera 670-an Masihi (lihat Takakusu, 1963). Apabila kembali ke negara China beliau membawa kitab tersebut untuk diperibumikan (diterjemahkan daripada Melayu kepada China). Antara sarjana Melayu Sriwijaya yang terkenal ialah Sakyakirti, Dharmakirti, dan Atisa. Kehebatan ilmu dalam bahasa Melayu terbukti lagi dengan adanya kegiatan pemeribumian (pen-Tibet-an) ilmu Melayu di Tibet yang dilakukan oleh oleh seorang sarjana besar Kerajaan Melayu Sriwijaya yang bernama Atisa itu yang berasal dari Hindia sekitar 1010 M.

Walaupun demikian, sehingga kini belum diketahui sama ada terdapat terjemahan buku-buku sains khusus seperti “Sains Matematik” Hindu karya Aryabhata pada abad ke-5 M dan Bhaskara-Acharya pada abad ke-12 M. Karya-karya agung dari China dalam bidang sains sebelum Tamadun Islam seperti karya sains matematik Chow Kung pada tahun 1110 SM, Chang Tsung pada abad ke-2 M, Liu Hui pada abad ke-3 M, Hisa Hou pada abad ke-6 M, Wang Hs’iao T’ung pada abad ke-7 M dan lain-lain lagi (lihat Madonick, 1965) juga nampaknya tidak mendapat perhatian sarjana Melayu. Ketiadaan pemeribumian ilmu China kepada kebudayaan Melayu mungkin jelas apabila mempertimbangkan sedikitnya perkataan China dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Mengikut hipotesis kami, karya-karya agung ini memang tidak diperibumikan di alam Melayu, dan inilah satu daripada punca kelemahan sains Melayu purba. Keadaan ini berterusan pada zaman Melayu Islam hingga kini seperti yg dihuraikan di bawah ini.

Pada zaman Melayu Islam, pemeribumian ilmu ke-pada ilmu Melayu daripada sumber Islam atau Timur Tengah (dalam bahasa Arab) bermula di Aceh (keraja-an Pasai) pada abad ke-13 M dan kemuncaknya pada abad ke-16 M hingga ke-17 M dengan tokoh agung-nya Hamzah Fansuri, Nur al-Din al-Raniri, Abdul Rauf Singkel dan Bukhari al-Jauhari. Pada abad ke-18 hing-ga awal ke-19 pemeribumian ilmu dari sumber Arab berlaku di segenap pelosok alam Melayu walaupun yang terkenalnya ialah yang berpusat di Patani, Riau, dan Kalimantan. Namun berasaskan dokumentasi manuskrip Melayu Islam oleh Mohd Saghir terbitan ta- 1991 hingga kini, terutamanya tahun 2000 dan ta-hun 2002 serta pungutan manuskrip Melayu Islam oleh Shaharir (2003a), ternyata tiada terjemahan atau adaptasi yang dilakukan terhadap buku-buku sains khusus daripada tamadun Islam. Buku-buku yang dimaksudkan seperti karya al-Khwarizmi (terkenal di Barat sebagai Algorism), al-Batani (terkenal di Barat sebagai Albategneus), al-Bitruji (terkenal di Barat sebagai Alpetragius), al-Faraghani (terkenal di Barat sebagai Alfaraganus), al-Haitham (terkenal di barat sebagai Alhazen), Ibn Sina (terkenal di Barat sebagai Avicenna), al-Biruni, al-Tusi dan Ulugh Beg. Contoh ini sekadar menamakan ahli sains besar Tamadun Islam yang mempunyai karya agungnya masing-masing yang semuanya diterjemah kepada bahasa-bahasa di Eropah. Ini tidak bermakna sains Melayu Islam tidak banyak, cuma tidak setinggi yang sepatutnya jika pemeribumian ilmu sains Islam dilakukan sehebat seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa di Eropah itu. Satu daripada puncanya ialah kerana sarjana Melayu Islam nampaknya hanya berminat kepada hal-hal keagamaan sebagaimana tabiatnya pada zaman Hindu-Buddhanya dahulu dan nampaknya berinteraksi hanya di Makkah yang bukannya pusat keilmuan Tamadun Islam, tetapi hanya pusat beribadat khusus sahaja.

Namun, ilmu daripada tamadun Melayu yang ada itu pun (etnosains Melayu) tidak diketahui umum oleh orang Melayu kini kerana disisih dengan halusnya oleh penjajah-penjajah Inggeris dan Belanda. Sejak kurun ke-20, oran Melayu merasakan semua ilmu adalah daripada penjajahnya sahaja. Walaupun sebenarnya ilmu penjajah itu merupakan hasil pemeribumian bangsa penjajah daripada sumber Islam/Arab. Apabila Indonesia muncul pada 1945 dengan sumpah pemudahnya yang bermaksud “bahasa Indonesia ialah bahsa Melayu”, barulah negara itu beriltizam menjadikan bahasa Melayu (kini dikenali sebagai bahasa Indonesia sahaja) sebagai bahasa ilmu. Namun begitu, pembinaan semula tamadun Melayu itu tidak berasaskan pada tamadun Melayu terdahulu, tetapi dimulai semula daripada sifar dengan pemeribumian ilmu dari penjajahnya, Belanda. Begitu juga yang berlaku dengan Melayu di Malaysia kira-kira 10 tahun kemudiannya (sekolah Menengah) atau 20 tahun kemudiannya (jika berasaskan pada penubuhan universiti) dimulai dengan sifar dengan pemeribumian ilmu Inggeris.

Dengan segala kelemahan itu, pemeribumian ini berlaku di Malaysia agak baik dengan pertolongan daripada Indonesia sehingga 1980-an. Walaupun demikian, pemeribumian ilmu ini tidaklah berlaku dengan penuh keiltizaman daripada pemerintah kerana tiada gerakan besar-besaran dalam penterjemahan. Akan tetapi kemajuannya agak pesat juga, iaitu sejak tahun 1990-an Malaysia nampaknya dapat mengatasi Indonesia yang bermula jauh lebih awal dari Malaysia. Buktiny, universiti pertama di Indonesia yang menggunakan bahasa pengantar dalam Melayu Melayu, iaitu Universiti Gajah Mada ditubuhkan pada tahun 1949, sedangkan Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1970. Hal ini berpunca daripada perancangan sumber daya manusia yang jauh lebih baik daripada Indonesia. Akan tetapi ternyata disebabkan ketiadaan kegiatan pemeribumian yang diikut-sertakan dengan penterjemahan yang hebat seperti yang berlaku pada penjajah besar Alam Melayu ini (Belanda dan Inggeris), maka inilah yang menyebabkan (pemeribumian ilmu itu mudah patah di tengah jalan. Ia dipatahkan oleh orang yang memang tidak pernah percaya kepada pemeribumian ilmu sebagai jalan tabii pembangunan tamadun atau kemajuan bangsa.

Pemeribumian ilmu menerima usikan yang agak kuat dengan penubuhan Uniersiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1983 yang berstatus universiti swasta mengabaikan langsung bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, walau pada tahun itulah juga semua universiti awam di Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya. Namun, usikan ini cuma seketika tetapi tidaklah menggugahkan perjalanan pemeribumian ilmu kerana kestabilan yang telah dicapainya. Pemeribumian ilmu ini ditimbal pula dengan kemunculan gagasan besar pada sekitar tahun itu juga, “penerapan Islam” dan “pengIslaman Ilmu”. Gagasan ini mudah ditanggapi sebagai satu pengukuhan pemeribumian ilmu kerana sebahagian besarnya disebabkan status bahasa Melayu sebagai bahasa agama Islam terbesar kedua selepas Arab di dunia ini. Perlembagaan Malaysia juga menegaskan bahawa Melayu semestinya Islam. Oleh itu sebelum tahun 1995 istilah “pemeribumian ilmu” di Malaysia, khususnya dalam bidang sains, tidak pernah ditimbulkan oleh sesiapa sebagai suatu istilah kerana prosesnya sedang berlaku dengan mantap walaupun tidak pantas pada kadar yang sepatutnya. Lagipun gagasan “Penerapan Ilmu” dan “pengislaman Ilmu” pada 1987-1997 begitu gah dalam tempoh itu dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Kurikulum ini mengutarakan “penerapan nilai merentas kurikulum” dan “penerapan Islam” serta penubuhan institusi Islam bagi mewujudkan sebuah tamadun Melayu yang hebat dalam acuan sendiri. Namun, tiada siapa pun menduga rupanya “panas tidak sampai ke petang”.

Sebelum KBSM, para guru sains sekolah umpamanya sudah menganggap tugas mereka menyampaikan ilmu dalam bahasa rasmi negaranya, bahasa Melayu sebagai kegiatan tabiinya sahaja, kerana kegiatan sebegitu sudah berusia 37 tahun pada tahun 1995 itu. Para ahli akademik pun hampir sedemikian juga kerana pada tahun itu sudah sesuku abad lamanya siswazah aliran Melayu dilahirkan bagi UKM, dan 12 tahun bagi universiti-universiti yang lain. Sehingga tahun 1995 “universiti” hanya bermakna universiti awam sahaja kerana universiti swasta tidak diizinkan kewujudannya. Hal ini kerana dalam perbicaraan “Universiti Merdeka” pihak swasta melawan kerajaan pada 1978, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penubuhan universiti (tau insitusi pendidikan secara swasta dan berbahasa pengantar bukan bahasa rasmi negara adalah bertentangan dengan perlembagaan negara. Datangnya tahun 1990-an, sudah puluhan ribuan siswazah sains aliran Melayu terhasil, malah ribuan pula peringkat Sarjana dan ratusan peringkat Doktor Falsafah yang tesis-tesisnya semuanya dalam bahasa Melayu. Kelemahan besarnya yang diwarisi sejak zaman sebelum Islamnya lagi, ialah suatu penyakit barah ketiadaan kegiatan penterjemahan ilmu yang bersungguh-sungguh sehingga buku-buku sains dari tamadun besar di Eropah (Inggeris) tidak cukup diterjemah dengan kadar yang sepatutnya. Sehingga pada tahun 1990-an itu buku-buku sains dalam bahasa Melayu (terjemahan dan adaptasi) hanya berjumlah tidak sampai seribu judul sahaja, dan itu pun banyak yang berulang isi dan tahap pengajiannya. Ssedangkan keperluan buku teks asasi di peringkat prasiswazah sahaja memerlukan sebanyak sekitar 2000 buah di samping keperluan sekitar 1700 buah buku baru setiap tahun bagi menggantikan buku-buku teks usang, buku rujukan dan buku popular peningkat pemikiran (lihat Shaharir 2005a). Inilah yang menjadi satu daripada punca berlakunya tragedi besar umat Melayu Malaysia abad ke-20 dalam sejarah pembangunan modennya; iaitu tragedi matinya pemeribumian sains di Malaysia. Hal ini berlaku khususnya dalam komponen terpentingnya, pendidikan sains aliran Melayu, setelah 45 tahun nampaknya berjalan lancar mulai 1958 (sehingga 2003).

Pada akhir 1994, istilah “pemeribumian sains” (walau pun belum diuar-uarkan oleh sesiapa lagi) secara tersiratnya tercabar kerana Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia masa itu, seolah-olah menegaskan pembangunan sains di Malaysia tidak lagi perlu dilakukan dalam bahasa kebangsaan Malaysia, tetapi patutlah dilakukan dalam bahasa Inggeris. Alasannya ialah demi mengejar sasaran “Wawasan 2020” dan “globalisme”. Sebagai reaksi daripada tanda-tanda perubahan dasar pembangunan sains Malaysia inilah maka pada 1995 istilah “pemeribumian ilmu” dikemukakan oleh penulis ini (Shaharir 1996, 1995/1997) bagi menggantikan “pengIslaman ilmu” yang ditafsirkan sebagai “bebas bahasa” itu. Pada tahun 1997 penulis mengemukakan konsep “sains Melayu” pula sebagai pengisian tabii “pemeribumian ilmu” di Malaysia. Sebahagian pandangan itu malah disiarkan dalam akhbar perdana (Berita Harian:18 Jun 1997). Walaupun makalah sepenuhnya baru diterbitkan (sayangnya tanpa senarai rujukannya) oleh Mohamed Anwar (2004) yang juga mengubah secara tidak tekalnya istilah “pemeribumian” dalam makalah asal itu kepada “pewatanan”. Sungguhpun gelombang baru Inggeris dalam pendidikan dan pembangunan sains di Malaysia sudah mulai dirasai, tetapi Penerbit UKM pada 2003 menggagahi kewujudan dan aspirasi asalnya dengan menerbitkan perincian penulis terhadap konsep dan kaedah pelaksanaan pemeribumian sains.

Suara kontra keunggulan “pemeribumian sains” mulai didengari dengan lantangnya sana-sini pada 2003 apabila kerajaan mula menjadikan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pengantar mata pelajaran sains dan matematik sekolah. Sejak itu, satu daripada unsur utama pemeribumian sains tertanam hidup-hidup. Kini para pendokong “pemeribumian sains” dikatakan sedang berhempas pulas, kata orang, semata-mata “hidup segan” sahaja. Makalah ini boleh dianggap manifestasi keadaan ini, walaupun penulis tidak sekali-kali berasa segan atau silu. Penulisan sebelum ini tentang kewajaran pemeribumian ilmu telah dilakukan oleh penulis dengan panjang lebarnya (Shaharir, 2005c).



PEMERIBUMIAN BUKAN DALAM BAHASA SENDIRI ?



Dalam pewajaran sesetengah pihak terhadap dasar bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sains dan matematik kerajaan sejak 2003, ada yang mengetengahkan pandangannya bahawa “pemeribumian ilmu” di Malaysia boleh sahaja dilakukan dalam bahasa Inggeris. Pemeribumian ilmu yang dilakukan bukan dalam bahasa sendiri tidak mungkin berjaya seperti yang dibuktikan di negara-negara di Eropah, Jepun dan Korea. Perbandingan kejayaan pemeribumian ilmu juga boleh dilihat yang dibuat di China dalam bahasa sendiri dan India bukan dalam bahasa sendiri. Selain itu, persoalan ini boleh dilihat pada karya dalam pelbagai bidang lain lagi termasuk yang pernah berlaku dalam tamadun Melayu sendiri

Pertamanya, seluruh dunia mengiktiraf bahawa tamadun Melayu amat kaya dengan manuskrip lamanya, terutamanya manuskrip Melayu Jawi. Setengahnya mengatakan yang terbanyak di dunia kerana kini dianggarkan sebanyak kira-kira 6 ribu seperti yang dikumpulkan oleh Shaharir 2003a. Mereka ini juga bersetuju dengan takrif ‘manuskrip Melayu’ bagi karya sebelum abad ke-19M. Hal ini kerana kerana tulisan pada kertas, daun tar (lontar), kulit pokok atau haiwan, dan pada batu yang biasa disebut batu bersurat atau prasasti dalam bahasa Melayu sahaja. Ini sesuai pula dengan persetujuan mereka terhadap makna karya Inggeris, Perancis, Jerman dan sebagainya. Dalam tahun 1960-an dahulu para budayawan dan sasterawan di negara kita pernah berpolemik di kalangannya untuk mentakrif “sastera nasional” atau “sastera Malaysia” untuk tujuan pengiktirafan. Ada pihak yang mahu memasukkan sastera dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa suku kaum di Malaysia, yang ditulis oleh seseorang rakyat Malaysia juga dianggap “sastera nasional”. Ternyata kehendak kumpulan minoriti ini tidak mendapat tempat yang diingininya seperti yang disaksikan dalam penapisan hadiah-hadiah sastera itu.

Sewajarnyalah penulisan dalam bahasa Inggeris dalam sastera atau sains diiktiraf sebagai sastera atau sains Inggeris. Umpamanya, karya yang memenangi Hadiah Nobel Fizik dari India, Chandrasekhar 1983 dan Raman 1930 memang dianggap sains Inggeris. Hal ini kerana semua karya mereka yang mendapat perhatian dunia itu ialah pengukuhan/pembaikan/perluasan ilmu warisan dalam bahasa Inggeris dan karyanya pun memang dalam bahasa tersebut. Pemenang Hadiah Nobel Persuratan 2001, Naipaul yang lahir di Trinidad berketurunan India tetapi kemudiannya menetap di England, sewajarnya dianggap persuratan Inggeris kerana bahasa tulisannya dalam bahasa Inggeris. Walaupun perkara yang ditulisnya dan melonjakkan nama beliau adalah berkenaan kehidupan orang Islam di Indonesia dan Malaysia dalam bukunya, Among the Believers (1981) dan Beyond Belief (1998). Tiada orang Melayu di alam Melayu ini yang mahu mengiktiraf karya Naipaul itu ialah karya persuratan Melayu atau ilmu Melayu. Begitu juga sasterawan terkenal berketurunan Ireland tetapi berkerakyatan United Kingdom, Somersat Maugham, pernah menghasilkan novel, cerpen dan sandiwaraan terkenal yang berlatarbelakangkan masyarakat di Asia.Karyanya seperti On a Chinese Screen (1923), The Gentleman in the Parlour (1930), The Letter (1927), dan The Painted Veil (1925). Beliau berada lama di rantau Asia bagi menyiapkan tulisan-tulisannya itu, tetapi karyanya itu tetap dianggap sastera Inggeris kerana bahasanya memang bahasa Inggeris. Karyanya juga tidak dianggap sastera (bangsa) Ireland, walaupun bangsa Ireland sudah pun meninggalkan bahasanya yang asal, Seltik, kerana mendokong bahasa Inggeris sejak abad ke-19 lagi. Sesungguhnya perebutan milik sains dan ‘jenama’ ahli sains Ireland dan United Kingdom dalam sumbangan seseorang berketurunan Ireland sering berlaku kerana masalah bahasa (bangsa lain tetapi mendokong bahasa pembangunan yang sama). Wallace, seorang ahli biologi United Kingdom terkenal abad ke-19. Beliau berada selama lapan tahun di alam Melayu bersama pembantu penyelidiknya seorang Melayu bernama Ahmad. Beliau merakamkan begitu banyak spesies haiwan di alam Melayu (sekitar 35 ribu spesies) pada akhir abad ke-19 dan menjadi rujukan besar Darwin bagi menerbitkan hipotesisnya (kini dikenali sebagai teori), iaitu Teori Evolusi. Namun karyanya itu tidak pernah dianggap sebagai sains (alam) Melayu kerana rakaman penyelidikan itu dalam bahasa Inggeris (Lihat A. Wallace , dalam bukunya, “The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise”, yang diterbitkan oleh MacMillan pada tahun 1869).

Sebaliknya, karya Nur al-Din al-Raniri dalam abad ke-17M di Aceh, seorang sarjana dari India dan memang bangsa India, setiap satu yang ditulis dalam bahasa Melayu itu kecuali judulnya, biasanya dalam bahasa Arab dianggap dunia sebagai karya Melayu atau manuskrip Melayu. Karya berjudul Bahr al-Lahut dianggap manuskrip Melayu abad ke-12 kerana dalam bahasa Melayu walaupun bersifat terjemahan sehingga ada salinannya yang berjudul Bahr al-Dahut daripada karya asalnya dalam bahasa Arab itu. Begitu juga dengan karya terjemahan daripada bahasa Arab, ‘Aqa‘id al-Nasafi pada tahun 1590 dianggap manuskrip Melayu yang tertua kerana bahasanya. Kedua-dua manuskrip ini ialah berkenaan dengan fizik dan falsafah sains warisan tamadun Islam yang mendahului Barat itu, dan malah layak dianggap fizik Melayu atau kosmologi Melayu (tetapi tidak berlaku demikian kerana orang Melayu sendiri kini tidak pernah mengiktirafnya sebagai sains dalam tamadunnya akibat sistem pendidikan yang dilaluinya memang berpusatkan tamadun Eropah.

Pemenang Hadiah Nobel kimia 1999, Zewail berbangsa dan berkerakyatan Arab-Mesir tetapi menetap di Amerika Syarikat, sewajarnya dianggap penyumbang kimia Inggeris. Hal ini kerana karya Zewail yang mendapat pengiktirafan itu semuanya dalam bahasa Inggeris yang berupa perluasan sains warisan Inggeris. Fizik karya Abdus Salam yang berkerakyatan Pakistan dan mendapat Hadiah Nobel 1979 tidak diiktiraf sebagai fizik Pakistan. Bukan kerana beliau tidak berkarya di Pakistan tetapi kerana bahasa fizik beliau itu semuanya dalam bahasa Inggeris, sungguhpun Pakistan sendiri pun menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pembangunannya. Kedua-dua sains sumbangan Zewail dan Abdus Salam ini juga sukar diterima sebagai sains Islam kerana sains mereka itu tidak bertitik-tolak pada tasawur Islam. Keislaman Abdus Salam dipertikaikan kerana dukungan Bahaismenya. Oleh itu, untuk mengatakan sains Muslim daripada sains Abdus Salam itu pun hampir mustahil diterima oleh komuniti Muslim dunia. Lagi pun Abdus Salam terkenal dengan pendiriannya bahawa “tiadanya sains Islam”, walaupun nampaknya tidak demikian pendirian Zewail. Ferid Murad, yang memperoleh Hadiah Nobel Perubatan 1998 memang penyumbang perubatan Amerika-Inggeris bukan sahaja kerana berkerakyatan Amerika Syarikat, tetapi kerana karyanya semua karyanya dalam bahasa Inggeris. Walaupun beliau berasal daripada bangsa Albania Muslim (sebelah bapanya yang berhijrah ke Amerika Syarikat) dan emaknya seorang Kristian Baptis, manakala beliau sendiri beragama Kristian mazhab Protetan jenis Episcopalian dan beristerikan seorang Presbiterian.

Sebaliknya, ilmu karya sarjana Jepun, China, Perancis dan Jerman umpamanya memang tanpa ragu-ragu lagi diiktiraf sebagai ilmu bangsa-bangsa berkenaan (di samping menjadi ilmu dunia) kerana banyak karya mereka itu ditulis dalam bahasa bangsanya sendiri. Yang lebih menarik lagi, buku-buku sains dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan peringkat prasiswazah kini dianggap sains Inggeris, walaupun hampir semuanya berasal daripada karya dalam bahasa lain, terutamanya oleh mereka yang tidak kesah kepada sejarah sains. Karya ilmuwan bangsa Inggeris yang terkenal, Newton, yang asalnya dalam bahasa Latin itu, tidak dianggap karya Inggeris sehinggalah karya itu diterjemah kepada Inggeris dalam abad ke-18 ini. Begitulah besarnya peranan bahasa dalam penentuan pemilik sains itu.

Jelaslah pemeribumian ilmu dalam sesuatu bangsa semestinyalah dalam bahasa bangsa tersebut. Khususnya, pemeribumian sains di Malaysia supaya menjadi sains Malaysia semestinyalah dalam bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Melayu. Oleh itu dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik sekolah dan kini mulai di universiti suatu dasar pengInggerisan sains di alam Melayu sahaja. Dasar ini perlu ditentang mengikut keupayaan masing-masing sebagaimana yang diperjuangkan oleh generasi sebelum 1970 dahulu. Suatu yang menarik dikaji sekarang ialah berapa banyakkah sumbangan sains Melayu/Malaysia daripada sekitar 4 ribu orang yang bertaraf ahli akademik di kalangan ahli sains Malaysia sekarang. Sumbangan itu mestilah dalam bahasa Melayu/bahasa negara Malaysia tanpa perkiraan asal-usul suku kaumnya.





PATRIOTISME ILMU



Satu daripada ciri penting pemeribumian sains sesuatu bangsa ialah penyesuaian sains itu dengan kebudayaan bangsa tersebut. Seterusnya memperbaiki sains itu berasaskan kebudayaan bangsa itu sehingga menjadi sains dalam acuan bangsa itu. Bagaimana penterjemahan sentiasa memberi kefahaman dan kadang-kadang mencetus idea baru hanya dapat dirasai oleh mereka yang memang melakukan penterjemahan bukan mekanis. Inilah yang berlaku dalam penterjemahan lisan atau pencatatan kuliah dalam bahasa Melayu selama ini di institusi pengajian tinggi awam selama ini. Oleh itu memanglah sukar meyakinkan kebaikan penterjemahan kepada orang yang “cerdik” sekali pun tetapi tidak pernah berpengalaman menterjemah. Aspek lain dalam penterjemahan yang penulis mengistilahkannya di sini sebagai “patriotisme ilmu” mungkin lebih mudah difahami atau diyakini kepentingannya.

Jika bahasa sesuatu bangsa disisihkan dalam sistem pendidikan sainsnya, maka amatlah sukar kesedaran perlunya kebudayaan bangsa tersebut dipersuakan dengan ilmu yang dipelajarinya, dan seterusnya dilakukan penyesuaian, dan pembaikan dalam acuannya sendiri. Lulusan daripada sistem pendidikan itu hanya menjadi pengagum kebudayaan bangsa yang bahasanya menjadi bahasa pengantar ilmu itu. Sementara kehalusan dan kemampuannya mencerap sebagai ahli sains atau sasterawan paling baik sekalipun sama dengan pencerap bangsa natif berkenaan sahaja. Contohnya orang Malaysia yang berpendidikan Inggeris dan berjaya sehingga berfikir dengan bersahajanya dalam bahasa itu hanya mampu mencerap atau bekepekaan seperti orang Inggeris sahaja. Ini sungguh bersahaja sahaja berlaku demikian. Inilah isu patriotisme ilmu. Seseorang patriot ilmu pastinya berminat dengan hubungan ilmu dengan kebudayaan bangsanya dan menganggap kebudayaannya perlu bersimbiosis dan bersinergi dengan ilmu yang diperolehnya.

Inilah yang berlaku dalam zaman Universiti Malaya termasyhur dan megah bergaya dalam bahasa Inggerisnya dahulu, sebelum 1983. Dalam masa 5 tahun pertama selepas kewujudannya selama 10 tahun, iaitu dalam tahun 1966-1971 hanya sebuah buku (itupun antologi makalah sains hayat) dalam bahasa Inggeris dan ratusan makalah SAKTI (=sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi) dalam bahasa Inggeris sahaja yang dihasilkan oleh para ahli sains tempatan di Universiti Malaya. Sedangkan dalam tempoh masa yang serupa, iaitu 1980-1985, Universiti Kebangsaan Malaysia menghasilkan ratusan makalah dan puluhan buku dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Sekitar 30% makalah dalam bahasa Melayu dan hampir 100% buku dalam bahasa Melayu. (lihat Jadual 1). Kenapa berlakunya perbezaan demikian? Satu daripadanya kerana perbezaan psikologi jiwa ahli sains di UM dan di UKM itu. Satunya pengagum Inggeris dan satu lagi pencabar Inggeris kerana jiwa kemerdekaannya yang bertekad mahu memeribumikan ilmu dan akhirnya mencipta ilmu dalam acuan sendiri. Inilah ciri sarjana patriot. Jika UM dianggap wujud semenjak UM wujud di Singapura (universiti induknya) maka data ini lebih negatif lagi kepada prestasi UM dalam konteks patriotisme ilmu itu.




CONTOH KONKRIT PEMERIBUMIAN SAINS

KONTEMPORER MENERUSI PETRIOTISME ILMU


Pemeribumian sains bukan semata-mata pemindahan sains yang sedia ada dalam kebudayaan atau bahasa lain ke dalam bahasa kebangsaan sesebuah negara-bangsa, tetapi juga ijtihad sains mengikut sistem nilai bangsa berkenaan itu. Inilah yang menjadikan sesuatu bangsa itu

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

BIDANG                     UM 1966-1971              UKM 1980-1985

                             Bil. penerbitan Bil. sarjana  Bil. penerbitan Bil. sarjana

Kejuruteraan            (44M, 0B)       16                 (60M, 5B)      25


                           (2.6 M/S,0B/S)                       (2.6M/S,0.2B/S)


Perubatan                 (195M,0B)     57                  (313M, 2B)    142


                            (3.4M/S, 0B/S)                       (2.2 M/S,0.01B/S)

 
Sains jasmani           (108M, 0B)   38                    (188M, 17B)    88
(fizik, geologi,
kimia, matematik
dsbnya)                (2.8 M/S,0B/S)                        (2.2 M/S,0.2B/S)



Sains hayat                (63 M, 1B)    19                     (274M, 3B)    68
(biologi, zoologi,
botani, dsbnya)     (3.4 M/S,0.05 B/S)                   (4.0 M/S,0.04B/S)


Catatan: (m M, b B) = m buah makalah dan b buah buku dlm tempoh 5 tahun itu

(m M/S, b B/S) = m buah makalah per sarjana dan b buah buku per

sarjana dlm tempoh 5 tahun itu.

Bilangan sarjana diambil pada 1970 untuk UM dan 1984 untuk UKM,

dan kedua-duanya untuk sarjana tempatan sahaja.



Sumber: Annual Report/Laporan Tahunan UM

Penerbitan UKM 1980-1988 oleh Muhammad Haji Salleh



Jadual 1: Karya sarjana UM dan UKM dalam masa 5 tahun masing-masing

(Jadual ini dipetik dalam teks Syarahan Raja Ali Haji 1996, anjuran Persatuan Linguistik Malaysia)

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“maju dalam acuannya sendiri”. Ini telah disebut beberapa kali oleh penulis ini dahulu. (Contohnya lihat Shaharir 2005a,b,c). Akan tetapi penerimaan konsep pemeribumian ini sukar berlaku selagi belum dilihat contoh-contohnya. Di sini penulis ingin menunjukkan karya pemeribumian sains semasa ini dalam matematik pengoptimuman dan dalam matematik kepemimpinan.

Dalam hal ini diperlihatkan bagaimana sejarah tamadun sendiri perlu dikaitkan atau ditandingi dengan ilmu semasa. Bahasa cukup intim dengan kebudayaan khususnya bahasa Melayu dengan kebudayaan Melayu dan tamadun Melayu. Maka kesedaran kewujudan dan kepentingan kebudayaan dan tamadun Melayu sukar termanifestasi menerusi pemeribumian ini jika pendidikan tidak dilakukan dalam bahasa Melayu seperti yang sedang dilalui oleh umat Melayu sekarang.


Matematik Kepemimpinan: Penerapan Kaedah Aksiom

Kaedah aksiom dikatakan dimulai oleh sarjana Yunani, Euklid (peng-Arab-annya: ‘Uqlides) menerusi formulasi geometrinya dalam abad ke-3 SM dahulu di Iskandariah, Mesir. Kemungkinan besar kaedah ini juga serentak dimulai di Hindia apabila mendapati sarjana Tamadun Melayu purba sudah pun menerapkan kaedah ini dalam pembinaan ilmu sains kepengurusan, kepemimpinan dan politiknya menerusi konsep pemimpin sejagatnya atau istilahnya, Cakravantin. Kesah yang lebih terperinci tentang Cakravantin ini telah dibicarakan oleh penulis ini dahulu (Shaharir 2005d,e), tetapi diulangi di sini dengan pengemasan sintesisnya lagi. Kandungan Cakravantin yang menyenaraikan 32 sifat pemimpin sejagat itu boleh disimpulkan kepada 5 aksiom kepemimpinan yang berikut (selepas ini dirujuk sebagai aksiom Cakravantin sahaja):

CV(i). Beraga yang unggul

Aksiom ini terbit daripada Cakravantin yang menyenaraikan 3 sifat ini:

(CV1) ridhwan/berseri; (CV2) tampan/cantik; dan (CV3) muda.

Sifat ini boleh diringkaskan sebagai “tokoh yang beraura dan berkarisma”.


CV(ii). Ulama

Aksiom ini terbit daripada Cakravantin yang menyenaraikan sifat “ulama” Buddhaisme (tokca/sami/biku) yang memenuhi sifat-sifat yang berikut:

(CV21) mengetahui 6 pandangan yang baik; (CV22) mengetahui 18 cara manusia; (CV23) kalyuga yang berupa mahapurusa yang menikmati kuasa diraja dengan guna yang bitara; (CV24) kali yang mengamal yoga (riadhah rohani); (CV25) kali yang mengamalkan dhyana (pertapaan/meditasi); (CV26) kali yang mengamalkan samadhi (semacam istisyam/takrim/ta‘zim dalam amalan sufi); (CV29) memperoleh semua sokongan/kekuatan daripada tenaga, yoga, dhyana dan samadhi; dan (CV30) memiliki segala mutu pengamal yoga, dhyana dan samadhi ; dan (CV31) menikmati kuasa (a)diraja sepenuhnya

Bagi Islam, ulama di sini ialah yang sesuai dengan Ayaht al-Quran Suraht al-Fatdir (35): 27-28, iaitu seorang ilmuwan yang yaghsyallah (bimbang akan Allah) bukannya “yang takut kpd Allah tetapi tidak berilmu”


CV(iii). Berilmu dan berhikmah termasuk dalam ketahanan negara.

Aksiom ini terbit daripada Cakravantin yang menyenarai-kan 5 sifat ilmuwan ini:

(CV4) berkebolehan; (CV5) cerdik; *(CV8) pandai bermain semua jenis senjata; (CV11) mengetahui aturan dan kenyataan mutlak; dan (CV17) tinggi darjah bestari.

[* Senjata dalam zaman moden ialah selok-belok ilmu terutamanya komunikasi, diplomasi, dsbnya.]

Bagi pemimpin Islam, “berhikmah” di sini bukan sekadar “berilmu dan bijaksana” tetapi yang faham ilmu kepada ilmu, iaitu falsafah ilmu (epistemologi) dan falsafah sesuatu tindakan yang dikaitkan dengan tauhid.


CV(iv): Bernilai/Bersila adi

Aksiom ini terbit daripada Cakravantin yang menyenarai-kan 13 sifat ini yang semuanya masih relevan kini dengan tafsiran masa kini:

(CV6) bermutu baik sepenuhnya; (CV7) azali berani; (CV9) amat gagah-berani; (CV12) tanpa egoisme; (CV13) memiliki ketenangan jiwa;
(CV14) belas kasihan semua makhluk; (CV15) murah hati yang hebat; (CV16) keteguhan hati; (CV18) saksama dalam aspek kebergunaan, kebaikan, dan keseronokan;
(CV20) menentang habis-habisan kepada 6 kumpulan musuh: nafsu syahwat, marah, hasad dengki, dosa, angkuh, dan dendam kesumat; (CV27) membina kesilaannya di dunia dan akhirat; (CV28) menyedari bahawa jasad dan segala keseronokan ini bersifat sementara;, dan (CV32) mengamalkan sila selengkapnya.


CV(v). Memikirkan strategi

Aksiom ini terbit daripada Cakravantin yang menyenaraikan 2 sifat pemikiran ini tetapi satu daripadanya jelas bertentangan dengan nilai Islam:

(CV10) selalu mengucar-ngacir musuh; dan *(CV19) menggunakan 4 cara bertindak terhadap kawan, lawan dan orang yang tidak peduli apa pun mengikut kesesuaiannya: negosiasi, serangan, perselisihan, dan rasuah.

[* Ini perlu diubahsuaikan/digantikan dengan sistem nilai Melayu Islam.]


Penambah-baikan tafsiran aksiom

Dalam Shaharir (2005d,e) juga dijelaskan asal-usul perkataan “pimpin” dalam bahasa Melayu sekarang, iaitu susungguhnya perkataan rumpun Melayu asli (bahasa Iban) yang tidak dapat dirangkumi secukupnya dalam 32 sifat dalam Cakravantin asal itu, sekaligus menunjukkan pemeribumian ilmu ini daripada Hindia (Cakravartt/ Chakravartin) belum cukup terperibumi. Akan tetapi makna asli “pimpin” itu masih boleh dimasukkan di bawah makna baru aksiom Cakravantin ke-5 itu dengan mengiktiraf berpemikiran strategi itu termasuklah juga “berwawasan, berpendekatan litir dan peka kepada alam sekeliling” (kerana itulah intipati makna “pimpin” dalam bahasa Iban itu; litir = holistik). Oleh itu aksiom kepemimpinan Melayu yang diperoleh daripada Cakravantin pada zaman tamadun Melayu Campa abad ke-11 M itu masih relevan dan boleh menjadi titik-tolak pembinaan aksiom kepemimpinan Melayu yang hebat. Aksiom ini boleh menyaingi aksiom kepemimpinan Barat yang baru diutarakan oleh Kirkeby (2000) berasaskan sistem nilai tamadun Yunani dan Katholik itu yang berkemungkinan besar telah pun didokongi oleh sarjana-sarjana Melayu Islam kini yang berkiblatkan Barat. Aksiom Kepemimpinan Kirkeby:

(APK1) Euboulia yang bermaksud kebolehan berfikir dengan totalnya dan memerinci dengan menyeluruhnya.

(APK2) Euforia dan keghairahan.

(APK3) Hipomon yang bermaksud kemampuan bersabar

(APK4) Prolepsis yang bermaksud mengantisipasi, mencermin kemampuan memperkayakan pengetahuan lazim dengan kuasa-kuasa pengalaman peribadi.

(APK5) Epibol yang hampir setara dengan intuisi.

(APK6) Maieutik yang bermaksud keseniaan kebidanan dan kebolehan merangsang orang lain supaya mencari kebenaran, merasakan keinginaan mencari watak adabnya sendiri, malah “nafs” (atau ‘self”) dirinya


Perbandingan aksiom ini dengan aksiom Cakravantin itu telah dilakukan dalam Shaharir (2005d,e) dan oleh itu tidak diulangai di sini. Lagi pun lebih baik dipersuakan dengan aksiom-aksiom yang lebih dekat dengan kebudayaan kita dahulu, iaitu aksiom kepemimpinan Islam daripada tamadun Islam. Ini pun ciri pemeribumian ilmu. Walaupun, ini juga sudah dilakukan di dalam makalah Shaharir (2005 d,e), iaitu dengan mempersuakan aksiom Cakravantin itu dengan “syarat khalifah” yang disintesiskan oleh Andek Masnah (1999/2001), tetapi kerana kepentingannya maka diulangi di sini dengan penambahan perbincangannya sana-sini.

Aksiom yang dicungkil daripada Cakravantin itu memang boleh diperbaiki atau diperhalusi tafsiran semantiknya dengan membandingkan dengan senarai aksiom kepemimpinan daripada sarjana zaman Tamadun Islam yang sampai ke alam Melayu ini sejak abad ke-13M (menerusi “Hikayat Raja-Raja Pasai” itu, atau selewat-lewatnya 1603M menerusi karya Bukhari al-Jauhari, “Taj al-Salatin” itu yang boleh dicungkil aksiom kepemimpinan yang ada di dalamnya itu seperti yang ditunjukkan dalam Shaharir 2005 d,e). Akan tetapi di sini kami ingin menyuakan aksiom Cakravantin itu dengan set aksiom yang diutarakan oleh Andek Masnah (1999/2001) yang mensintesiskan 4 buah karya kepemimpinan Zaman Tamadun Islam, iaitu karya al-Mawardi, Ibn Khaldun, al-Baqillani dan al-Qurtabi untuk mendapat 6 “syarat khalifah” yang kami tafsirkan sebagai 6 aksiom nilai kepemimpinan Islam Andek Masnah (PIAM), iaitu

(PIAM1) al-Wilayah al-‘Ammah (Islam, baligh, merdeka, berakal dan lelaki yang beliau tegas-kan tidak perlu dipertikaikan lagi),

(PIAM2) berilmu,

(PIAM3) al-‘Adalah (bukannya keadilan sahaja),

(PIAM4) al-Kifayah (berwibawa, berani, cekal, dan sebagainya),

(PIAM5) Sejahtera pancaindera dan anggota badan, dan

(PIAM6) keturunan Quraisy.


Terasa benar tidak kenanya dan tidak cukupnya set aksiom nilai kepemimpinan ini. Sebahagiannya kerana sintesis beliau itu berasaskan hanya kepada beberapa buah karya sahaja dan tertinggal banyak lagi karya muktabar dalam bidang ini. Perhatikan juga bagaimana terikatnya beliau dengan pandangan klasik tentang perlunya “keturunan Quraisy“ itu walaupun Ibn Khaldun telah meniadakannya di dalam senarainya. Malah sarjana Melayu kurun ke-17 itu, Bukhari al-Jauhari 1603 pun tidak memasukkan syarat “Quraisy” ini dalam syarat kepemimpinannya. Walaupun sarjana Melayu selepasnya pula, Nur al-Din al-Raniri 1623 masih mengekalkan syarat “Quraisy” ini (lihat Shaharir, 2005d).

Nilai wustdo jelas dikehendaki Islam (Ayaht al-Qur-aan, al-Baqarah: 143 (wakadzaa lika ja'alnaa kum ummatan wasatdon =bagitulah kami jadikan kamu umat yang wustdo) dan hadith Nabi Muhammad SAW (Khayrul umiiru awsaatdoha = sebaik-baik perbuatan ialah yang wustdo), tetapi ternyata nilai wustdo dimplikasikan oleh 'adil atau lebih am lagi, al-‘adala itu). Dalam Cakravantin, nilai ini terdapat dalam “(CV18) saksama/wustdo dalam aspek kebergunaan, kebaikan, dan keseronokan” yang tentunya lebih sempit daripada konsep yang terkandung dalam al-‘adalah itu, (PIAM3) itu. Akan tetapi konsep al-‘adila ini boleh dimasukkan ke dalam aksiom am daripada Cakravantin, iaitu aksiom ke-4. Ini pemeribumian-pengIslaman aksiom daripada Cakravantin itu.

Sifat (PIAM1) adalah seanalog dengan unsur yang tersirat dalam aksiom Cakravantin kedua,CV(ii); sifat (PIAM2) dapat dipadankan dengan aksiom Cakravantin ketiga, CV(iii); sifat (PIAM4) dapat dipadankan dengan aksiom Cakravantin pertama, CV(i), malah dengan komponen Cakravantin asal: CV7,9 &16; dan akhirnya sifat (PIAM5) juga dapat dipadankan dengan aksiom Cakravantin pertama, CV(i).

Jelaslah, segi istilah dalam aksiom am, kepemimpinan Tamadun Islam itu hampir semuanya ada analognya/qiasnya dengan sifat kepemimpinan daripada Cakravantin. Akan tetapi oleh sebab falsafah dan tabii keagamaan yang berbeza, maka semantiknya, fahamannya, perinciannya, amalannya dan natijahnya tentulah berbeza sekali. Namun yang pentingnya, kajian sains kita sendiri (etnosains, iaitu sebahagian daripada kegiatan pemeribumian) bukan sekadar memberi kekuatan jati diri dan memupuk patriotisme itu yang berkekalan tetapi mampu memberi ilmu kontemporer yang standing dengan ilmu semasa yang diimport atau yang terbit daripada sumber asing. Tegasnya patriotisme ilmu membuahkan ilmu kontemporer yang alternatif.


Matematik Pengoptimuman


Isu yang lebih menarik lagi ialah matematik keputusan kerana matematik ini ada hubungannya dengan sifat manusia yang dipercayai mempengaruhi seseorang itu membuat keputusan sebagaimana yang dibicarakan oleh Simon, pemenang Hadiah Nobel 1978. Hal ini benar-benar jelas contoh peranan nilai dalam matematik (pengoptimuman). Simon berhujah bahawa manusia hanya membuat keputusan terbaik setakat yang memuaskannya sahaja. Sehubungan itu beliau memperkenalkan satu istilah baharu dalam bahasa Inggeris (bahasa perantaraan karyanya) yang terbit daripada gabungan “satisfying” dengan “optimising” lalu diciptanya perkataan “satisficing” dan diterjemah oleh penulis ini sebagai “mengoptimuaskan” (daripada “mengoptimumkan” dan “memuaskan”) sejak kursus perancangan multimatalamat di peringkat Sarjana dikendalikan oleh penulis ini mulai 1980-an dahulu di UKM. Seterusnya, Simon menegaskan yang manusia ini tidak bersifat rasional sepenuhnya tetapi bersifat rasional terbatas (lihat Simon 1957). Satu kaedah pelaksanaan prinsip Simon ini ialah menerusi konsep optimum gol (ciptaan Charnes & Cooper 1977) iaitu fungsi matalamat/prestasi dan sebagainya itu dianggarkan terlebih dahulu pada tahap yang memuaskan hati seseorang atau kumpulan pembuat keputusan. Seterusnya menganalisis pencapaian batas kepuasan ini tertakluk kepada kekangan mutlak K itu. Jelas di sini betapa tidak objektifnya konsep dan penyelesaian optimum Simon ini. Bukan itu sahaja, adakalanya penyelesaian optimum Simon ini berbeza dengan penyelesaian pengaturcaraan biasa dan seseorang terpaksa membuat keputusan berpihak kepada sesuatu fahaman keoptimuman itu.

Walau bagaimanapun, seperti yang dibicarakan dalam Shaharir (2005d,e), prinsip optimum Simon itu masih belum memenuhi keperluan sistem nilai Islam yang mementingkan wustdo (berdasarkan Ayaht al-Qur-aan dan Hadith yang telah disebut sebelum ini) yang boleh distilahkan sebagai rasional wustdo. Jika dimodelkan konsep Islam, ini akan mengubah lagi matematik optimum fungsi matalamat tunggal sekalipun. Hal ini mungkin juga adakalanya memberi penyelesaian yang berbeza lagi daripada optimum Simon, iaitu menerusi optimum gol. Optimum gol ini boleh diistilahkan sebagai optimum wustdo atau ringkasnya optiwus bagi menggantikan optimuas itu. Oleh itu konsep optimum gol itu yang melibatkan anggaran batas bawah atau batas atas fungsi matalamat/objektif perlu diubah-suai kepada model wustdo, iaitu suatu selang nilai fungsi matalamat/objektif itu (rujuk Lampiran). Keadaan ini menerbitkan suatu teorem yang baharu dalam pengoptimuman yang dalam Shaharir 2005d,f dahulu dinyatakan sebagai harapan sahaja. Teorem tersebut ditunjukkan seperti berikut:

Teorem

Anggaran nilai wustdo untuk memperolehi optiwus bagi masalah

Maksi h .x

tertakluk kpd

Mx ≤ k, x ≥ 0 , M = (m(ij)) (matriks bersaiz p x n)

ialah b ≤ h.x ≤ a

dengan

b = Persilangan {B(s), s=1,..,q}

B(s) = {β/ π(s) > mini {α(i)/μ(is): μ(is)>0},

s =indeks maksi {Z(i)>0}, s=1,2,…q-1;

q-1 ialah bilangan tablo simpleks sebelum terjadinya Z(i)≤0 semua i,

B(q) ={ β>0 :semua Z(i) ≤ 0} }



dan a sembarang asalkan lebih besar daripada b. Di sini vektor baris (alfa, beta) mewakili lajur penghabisan pada sesebuah tablo simpleks itu yang pada tablo pertamanya ialah , μ(ij) mewakili unsur di baris ke-i lajur ke-j pada setiap tablo simpleks yang pada tablo pertamanya bernilai m(ij), dan Z ialah baris kriterium sesebuah tablo simpleks yang pada tablo pertamanya

Z(i) = m(ij) h(j)- c(i), hasil tambah j dalam I set indeks asas, c(i)=1, i = p+1 dan 0 selainnya; jika diandaikan kekangan mutlak itu tercapai sepenuhnya.


Bukti:

Masalahnya dapat diturunkan kepada

Mini v(p+1)

tertakluk kpd

m(ij)x(j) + u(i) – v(i) = α(i), i =1,2,…, p (bilangan kekangan mutlak)

h(j)x(j) + u(p+1)- v(p+1) = b  [setiap satu ada hasil tambah terhadap j=1 hingga n]

Pada sebarang tablo simpleks baris kriteriumnya, andaikan ada
Z(s) = maksi {Z(i)>0}, maka pemboleh ubah ke-s (lajur ke-s) yang terbaik menggantikan pemboleh ubah (lajur) ke-r, jika ada indeks r yang memastikan
k(r)/m(rs) = mini {k(i)/m(is): m(is)>0}, asalkan

b/h(s) > k(r )/m(rs) itu.

Akan tetapi s ialah semua indeks daripada setiap tablo simpleks sebelum tercapainya Z(i)≤0 untuk semua i. Nilai β terakhir yg perlu di pertimbangkan ialah pada tablo terakhir ketika Z(i)≤0 semua i.



Maka diperolehlah teorem di atas.



%%%%%%

Teorem ini perlu diperbaiki lagi sehingga b terang-terang bergantung pada data yang ada, iaitu h, α dan M itu.







LAMPIRAN


Contoh penyelesaian masalah pengaturcaraan linear dengan konsep optimum baharu:

Optimum lazim, optimum Simon (optimuas dgn kaedah gol lazim) dan optiwus (kaedah gol wustdo).



Pertimbangkan masalah

maksi (2x + y)

tertakluk kepada

x + 2y ≤ 10 (1)

x + y ≤ 6 (2)

x - y ≤ 2 (3)

x - 2y ≤ 1 (4)

x,y ≥ 0 (5)


Penyelesaian lazimnya (andaian manusia rasional) ialah D = (4,2), iaitu di sini mengikut kaedah graf sahaja. Penyelesaian optimuas dengan kaedah gol lazim bergantung pada anggaran fungsi matalamat itu kerana mengikut kaedah ini, masalah di atas diturunkan kepada masalah berikut:

miniL (h.t (v[i]),v[5] ) , miniL = minimum secara leksikografi

tertakluk kepada

x + 2y +u[1]-v[1] =10

x + y + u[2]-v[2] = 6

x – y + u[3]-v[3] = 2

x - 2y +u[4]-v[4] = 1

2x + y –u[5]+v[5] = b, b ialah anggaran batas bawah fungsi matalamat: 2x + y ≥ b

x,y, u[i],v[i] ≥ 0

Penyelesaian komponen pertama fungsi pencapaian, v[i] ialah v[i] = 0 , i = 1,2,3,4

Oleh itu, selanjutnya diperlukan menyelesaikan masalah


mini v[5]

tertakluk kepada


x + 2y + u[1] =10

x + y + u[2] = 6

x – y + u[3] = 2

x - 2y +u[4] = 1

2x + y – u[5]+v[5] = b

x,y, u,v ≥ 0



Jika masalah gol ini diselesaikan secara aljabar (kaedah simpleks) maka tablo pertamanya ialah seperti berikut (sel yang kosong bermakna 0):



              x        y        u[1]      u[2]       u[3]       u[4]       u[5]        v[5]

u[1], 0    1        2       1                                                                         10

u[2], 0    1       1                       1                                                           6

u[3], 0    1      -1                                  1                                               2

u[4], 0    1*    -2                                                 1                                 1

v[5], 1    2       1                                                              -1           1      b

Z            2       1                                                              -1


                                                         Tablo 1



Lajur pertama dalam tablo 1 itu diisi dengan pemboleh ubah asas dan pekali kos yang sepadannya. Baris terakhir diisi dengan baris kreterium kaedah simpleks itu.

Untuk kasus b > 2, daripada

{ b/h(1) = b/h(r): r = indeks maksi {Z(i)>0} >

mini {k(i)/m(i1) : m(i1) >0},

tablo pertama di atas memberikan tablo berikut apabila sewajarnyalah penghapusan Gauss dilakukan pada unsur dalam sel itu yang angkanya bertanda bintang itu:



             x      y     u[1]      u[2]     u[3]      u[4]      u[5]        v[5]

u[1], 0          4      1                                  -1         1                       9

u[2], 0          3                 1                       -1                                  5

u[3], 0           1*                           1          -1                                  1

x,     0   1      -2                                         1                                  1

v[5], 1           5                                         -2          -1          1        b-2

                     5                                          -2         -1



                                                         Tablo 2



Seterusnya tablo berikut diperoleh selepas penghapusan Gauss sewajarnya dilakukan berpangsikan pada sel yang unsurnya bertanda bintang itu jika diandaikan b>7, iaitu b(baharu)/h(2) baharu
= {b(baharu)/h(r) baharu : r = indek maksi {Z(i) baharu>0}
> mini {k(i) baharu/m(ir) baharu: m(ir) baharu >0}:



               x     y      u[1]      u[2]       u[3]      u[4]       u[5]        v[5]

u[1], 0            1       1                       -4         3          1                       5

u[2], 0                                1            -3         2*                                 2

y, 0                      1                                      -1                                  1

x, 0          1                                        2        -1                                  3

v[5], 1                                               -5        3           -1          1       b-7

                                                         -5        3           -1

                                                         Tablo 3

Seterusnya tablo berikut diperoleh selepas penghapusan Gauss sewajarnya dilakukan berpangsikan pada sel yang unsurnya bertanda * jika b > 10, iaitu

{b(baharu)/m(ir) baharu: r = indeks maksi {Z(i)baharu>0}
> mini {k(i) baharu/m(ir) baharu : m(ir) baharu > 0}:



              x     y       u[1]      u[2]       u[3]      u[4]      u[5]       v[5]

u[1], 0                    1          -3/2       1/2                     1                   2

u[4], 0                                  1/2      -3/2       1                                1

y, 0                1                     1/2      -3/2                                        2

x, 0         1                            1/2       1/2                                         4

v[5], 1                                 -3/2       -1/2                    -1       1      b-10

                                           -3/2        -1/2                   -1



Tablo ini memberi penyelesaian x = 4, y = 2 dan memerlukan b>10. Batas b ini boleh dianggap batas bawah wustdo bagi masalah ini.

Jelaslah juga batas atas wustdo akan muncul untuk masalah peminimuman.

Dalam optiwus mungkin seseorang menjangka perlunya meletakkan batas bawah dan batas atas yang wustdo, iaitu perlu meletakkan

b ≤ 2x + y ≤ a , a batas atas nilai fungsi matalamat itu, a≥b.

Oleh itu kaedah gol bagi masalah optiwus ialah (dengan menganggap gol batas atas dan batas bawah fungsi matalamat itu sama sahaja prioritinya),


miniL ( v[1]+v[2]+v[3]+v[4], v[5]+v[6])

tertakluk kepada

x + 2y +u[1] – v[1] =10

x + y + u[2] – v[2] = 6

x – y + u[3] – v[3] = 2

x – 2y + u[4] – v[4] = 1

2x + y – u[5] + v[5] = b

2x + y + u[6] – v[6] = a

x,y, u[i],v[i] ≥ 0 , b≤a



Sekarang penyelesaian masalah ini untuk komponen pertama pencapaiannya ialah sama dengan dahulu juga, iaitu v[i] = 0, i = 1,2,3,4. Oleh itu masalah kedua untuk komponen fungsi pencapaian ialah

mini (v[5] + v[6])

tertakluk kepada

x + 2y +u[1] =10

x + y + u[2] = 6

x – y + u[3] = 2

x - 2y + u[4] = 1

2x + y – u[5] + v[5] = b

2x + y + u[6] – v[6] = a

a ≥ b

x,y,u[i],v[i] ≥ 0



Masalah ini perlu diselesaikan dengan cara kaedah simpleks dengan tablo pertamanya seperti berikut (ruang kosong bermakna nilainya 0:



                                                                                    1    1

1           2*         1                                                                          10

1           1                       1                                                              6

1          -1                                  1                                                    2

1          -2                                             1                                         1

2           1                                                    -1       1                        b

2           1                                                                    1         -1      a

2           1                                                    -1                        -1



Tablo simpleks 1 (baris terbawah ialah baris kriterium, baris teratas ialah pekali kos)

Tablo kedua diperoleh dengan penghapusan Gauss di sel yang pemasukannya ditandakan dengan bintang itu seandainya b>2 , iaitu

{b (baharu)/m(ir) baharu: r indeks maksi{Z(i) baharu >0}
>mini{k(i)/m(i1) :m(i1)>0}.

Jelas baris ke-2 terakhir tidak relevan kerana a > b dan unsurnya yang penting sama sahaja dengan baris ke-3 terakhir itu sampai bila-bila pun. Oleh itu tidak perlu dibuat analisis lagi kerana nila b sudah diketahui dan oleh itu a apa sahaja asalkan lebih besar daripada b.





BIBLIOGRAFI

Andek Masnah Andek Kelawa, 2001. Kepimpinan Wanita dalam Islam. Kedudukan daloam Syariah. Snt ke-2. Bangi: Penerbit UKM. Snt. Pertmanya 1999.

Charnes A. dan Cooper, W.W., 1977. “Goal programming and multiple objective optimization”. Euro. J. OR , 1: 39-54

Kirkeby O.F., 2000. Management Philosophy. A Radical-Normative Perspective. New York: Springer Verlag

Madonick H., 1965. The Treasury of Mathematics 1. N.York: Penguins Books

Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), 2004. Dinamika Bangsa Melayu. Menongkah Arus Globalisasi. Penerbit UKM. Lihat makalah Shaharir , “Pembinaan sains Melayu”, 303-320

Muhammad Alinor B.A.K., 2004a. “Dialog Peradaban Melayu Dianalisis menerusi Sebaran Kesusasteraan”. Kesturi , Jil. 14 (1& 2): 50-65, 2004

Muhammad Alinor B.A.K., 2004b. “Kesusasteraan Mantik Alam Melayu”. Jurnal Antarabangsa Tamadun Melayu, 1(3), hlm.163-177.

Muhammad Alinor B.A.K., 2005a. “Kesusasteraan Ilmu Mantik Tamadun Melayu Terawal”. Prosiding Seminar Matematik dan Masyarakat, 26-27 Februari 2005, hlm. 157-161. Kuala Terengganu : Jabatan Matematik, KUSTEM.

Muhammad Alinor B.A.K., 2005b. “Epistemologi/Mantik dalam Tamadun Melayu Terawal”. Zulkefli Hamid, Rahim Aman, Karim Harun dan Maslida Yusof. Prosiding Seminar Antarabangsa Linguistik Melayu. Jilid II, 2005, hlm. 233-245. Bangi : Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, UKM.

Muhammad Alinor B.A.K., 2005c. “Kesusasteraan Epistemologi Tamadun Melayu Terawal” dlm Kesturi 15(1&2), hlm. 59-73, 2005

Shaharir bin Mohamad Zain, 1996. “Pendidikan Sains Abad ke-21: Cabaran Sejagatisme dan Pasca-x-isme” dlm Siti Fatimah Mohd Yassin & Anuar Ahmad (Snt. cet. pertama)/Warnoh Katiman (Snt. cet. ke-2), hlm. 177-189. Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad ke-21. Bangi:Fakulti Pendidikan UKM.

Shaharir bin Mohamad Zain, 1995/1997. “Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular references to Malaysia” dlm. Anuar Ab. Razak dan Abu Bakar Majeed. (Pyt.), Islam Science and Technology. Hlm. 47-76. Pasca-sidang 1995. Kuala Lumpur: IKIM 1997.

Shaharir bin Mohamad Zain, 1997. “Mencerna sains mengikut acuan alam Melayu-Islam” dlm. Berita Harian, 18 Jun, 1997. Petikan ringkas daripada makalah, “Pembinaan sains Melayu-Islam” yang dibentangkan di “Seminar Peradaban Melayu”, di UKM. 13 Mac, 1997.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2003a. “Sains dan teknologi Melayu sebelum dikuasai penjajah Eropah” dlm Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu 1(2), hlm. 157-204, 2003.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2003b. Kaedah Pemeribumian Sains, Teknologi dan Perubatan. Bangi: Penerbit UKM.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2004. “Pembinaan sains Melayu” dlm Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), Dinamika Bangsa Melayu. Menongkah Arus Globalisasi, hlm. 303-320, Bangi: Penerbit UKM.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005a. “Terjemahan dan pemindahan ilmu, jalan ke puncak” dm Abdullah Hassan (Pyt). Terjemahan dan Pengglobalan Ilmu. Kertas Kerja Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-10, 2-4 Ogos 2005. Hlm. 41-49. K.Lumpur: PTS Professional Pub. Sdn Bhd.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005b. “Keperluan, Kaedah, Status dan Agenda Pemeribumian Sains Di Malaysia: Tidak Ke Mana Kita!?”.Seminar Sejarah dan Falsafah Sains Kebangsaan Oktober 2004 anjuran UKM-DBP-ASASI.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005c. “Peranan bahasa sendiri dalam pembangunan sains sepanjang masa” dlm. Jurnal Pendidikan Islam ABIM 11(2), hlm. 1-29; “Beberapa akibat daripada pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di Malaysia: Suatu penilaian empiris dan teori”, Kertas Kerja Kongres Pendidikan Melayu 2. Anjuran Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM), 26-27 Mac 2005, hlm. 17-70; “Masihkah ada kerdipan berjayanya dalam pengajaran sains dan matematik sekolah menerusi bahasa Inggeris?” Kongres Menyelamatkan dan Mendaulatkan Semula Bahasa dan Pendidikan Melayu, 10 Julai 2005, anjuran Kumpulan Prihatin, hlm. 19-38.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005d. Sains matematik dan pengurusan. Dibentangkan di Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-XIII, di Alor Setar. Anjuran UUM-PERSAMA 5 Mei, 2005. Muncul dalam JQMA/Jur. Pengukuran Qualiti dan Analisis 2005, 1(1): 1-43

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005e. “Teori Kepemimpinan Melayu Campa”. Seminar Sehari Pengajian Campa 30 November 2005 di UKM.

Shaharir bin Mohamad Zain, 2005f. “Pengoptimuman dalam acuan sendiri”. Siri 5 Kuliah di INSPEM .

Simon H.A., 1957. Models of Man. Social and Rational. N.York:JWiley.

Takakusu J., 1963. A Record of the Budhist Religion as Practiced in India and the Malay Archipelego (AD 671-695). Oxford Univ. Press. Cetakan terjemahan 1896 kepada catatan I-Tsing yang terkenal itu.

Wan Mohd Saghir Abdullah, 2000. Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara jilid 1. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah

Wan Mohd Saghir Abdullah , 2002. Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 5. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah