Thursday, December 6, 2007

Kosmologi Quantum dan Hawking

KQ dan Hawking

KQ (Kosmologi Quantum) hampir sinonim dengan Stephen Hawking bukan sekadar adanya saham beliau yang besar di dalamnya tetapi kerana berjayanya beliau mempopularkannya menerusi buku beliau yang bersejarah sebab luar biasa laris jualannya itu pada 1988 (jutaan naskhah lakunya dengan terjemahannya dalam puluhan bahasa lain). Perkara yang dilakukan oleh Stephen Hawking dalam bukunya “ A Brief History of Time” atau “Riwayat Sang Kala” itu hanya spekulasi penyatuan teori quantum dengan TKnE dari kaca mata seorang ateis atau antiagama. Seseorang yang membaca buku ini tidak dapat tidak akan terasa adanya konspirasi pengarang untuk memburuk-buruk agamawan (khususnya Kristian, tetapi terpalit kepada semua agama). Seperti yang diceritakan oleh Stephen Hawking dalam buku laris jualan itu, pada tahun 1965 ahli fizik teori Inggeris yang terkenal, Roger Penrose menyelesaikan persoalan dalam TEn yang terbit daripada kerja dua orang sarjana Rusia 1963, Lifshitz dan Kalatnikov, iaitu “Adakah teori kenisbian meramalkan bahawa alam semesta ini patut bermula dengan Deguman Besar (DB), pada masa mula-mulanya?” Jawabannya ialah dalam bentuk sebuah teorem yang menyatakan sebarang bintang yang semakin padam semestinya akhirnya berada dalam kesingularan, iaitu memerlukan wujudnya kesingularan dalam rantau ruang-masa yang dinamai “Lohong Hitam” itu. Pembuktian teorem ini memerlukan andaian alam semesta ini tidak terhingga ruangnya (suatu andaian yang diutarakan oleh Ibnu Rusyd yang mengancam kehidupan sarjana Eropah Zaman Skolastik dahulu). Jawaban inilah kemudiannya diperluaskan dan diperhaluskan oleh Stephen Hawking menerusi tesis Ph.D beliau di bawah penyeliaan Penrose pada 1967-1970 dengan membuktikan bahawa kesingularan itu hanya berlaku jika alam semesta ini mengembang dengan cukup pantasnya (terkenal dengan nama “model inflasi” yang kadarnya dinyatakan dalam seksyen 3) sehingga boleh mengelakkan daripada berlakunya keruntuhan/penguncupan semula (berasaskan model alam yang dianggap sah berlaku oleh Penrose, iaitu model bak Friedman) .


Berkenaan dengan TAMbang ini, seperti yang dibicarakan dahulu, ramai pihak sudah menganggapnya sebagai fakta setelah tafsiran cerapan yang dibuat oleh Hubble 1929 dan Penzias & Wilson 1965 dianggap bukti kebenarannya, walaupun selewat-lewatnya sejak 1972 lagi, Segal di Princeton Univ. dan pengikut-pengikutnya sudah menonjolkan kelemahan TAMbang (Lihat Segal 1992; Daigneault & Sangalli 2001; dan Wilkinson & Wolfendale 1993) yang dibicara lagi selepas ini. Ramai sarjana atau cendekiawan Muslim (Lihat seksyen 4) bulat-bulat mempercayai TDB dan TAMbang kerana dikatakannya serasi dengan Ayaht al-Qur-aan 51: 47, 21: 104 dan 10: 10 yang telah dibicarakan dalam seksyen tersebut dalam konteks TKnE. Sarjana atau penulis Muslim yang tersebut di atas, selain daripada Achmad Baiquni itu, bukanlah yang boleh dianggap kenal dengan MQ pun. Namun tentunya mereka ini menggunakan Ayaht-Ayaht al-Qur-aan yang sama untuk menyokong TDB dan TAMbang yang berasaskan astronomi atau kosmologi quantum (KQ) itu. Sarjana-sarjana lain yang percaya bulat-bulat kpd TDB dan TAMbang disebut pada tempat-tempat yang relevannya di bawah ini. Lagi pun ada beberapa orang sarjana Muslim dalam dan luar Negara Malaysia yang menyatakan benarnya MQ itu berasaskan Ayaht-Ayaht al-Qur-aan atau ajaran sufi yang dibincangkan kemudian ini. Ini tentunya membuatkan mereka ini semakin kuat pegangannya kepada sokongannya kepada TDB dan TAMbang itu, menerusi MQ pula .


Hawking seterusnya cuba membuang syarat-syarat kesingularan yang dikenakan oleh beliau (dan Penrose) dalam tesis Ph.D-nya sehingga kesingularan itu tetap juga berlaku. Pada tahun 1970 beliau bersama penyelianya itu berjaya membuktikan betapa kesingularan DB itu pastinya berlaku dengan syarat TKnE itu betul dan alam semesta ini mengandungi sebanyak jirim yang kita cerapi kini. Mengikut Hawking, TDB ini medapat tentangan hebat daripada para Marxis (terutamanya dari Rusia, mengikut Hawking) kerana dilihatnya bertentangan dengan “prinsip tentuisme sains” dalam Marxisme itu dan sebahagian lagi kerana tidak senang dengan idea kesingularan yang memang tidak menyenangkan dan merosakkan keindahan TEn itu. Tetapi katanya lagi, komuniti ahli astronomi, kosmologi dan kosmogeni amnya menerima baik TDB ini, iaitu alam semesta ini bermula dengan kesingularan DB. Golongan agamawan Kristian (Katolik khasnya) dengan rasminya telah menerima konsep DB daripada TEn itu sejak 1951 lagi apabila pihak Paus katolik mengeluarkan fatwanya bahawa teori ini serasi dengan Bibel. Tidak hairanlah sarjana dan ulama Kristian (mengikut al-Qur’aan 5: 82, istilahnya ruhban dan qissisin; manakala 9:31, 34 menyebutnya ahbaru yang juga ditujukan kepada “ulama Yahudi”) ramai yang menulis perihal keserasian beberapa unsur MQ dengan ajaran Kristian seperti Schindler (1986), Dimery (1998), Russell drk. (2000) yang mengandungi banyak sarjana aliran ini, dan senarai penuh karya jenis ini ada di Lampiran 7. Para penulis Muslim pun mungkin sudah banyak menerimanya pada tahun yang sama dengan berhujah serasi dengan Ayaht al-Qur-aan. Malah pandangan Iqbal (1934/2004) pada 1934 itu pun boleh ditafsirkan mengimplikasikan penerimaan beliau terhadap TEv, dan oleh itu kemungkinan besarnya pula beliau menerima TAMbang dan TDB.


Hawking juga berkata beliau sedar akan ramainya juga orang tidak senang dengan TDB beliau itu kerana teori beliau itu bermakna “masa” ada permulaannya, dan tidak dapat direkonsiliasi dengan campur tangan tuhan. Oleh itulah, katanya munculnya sarjana lain (dan dia sendiri tidak berminat?!)yang cuba membina model alam yang tidak memberi implikasi adanya DB ini seperti yang dibincang sebelum ini dahulu. Namun kami berpendapat adanya masa permulaan itulah yang lebih serasinya dengan agama samawi kerana segalanya dicipta oleh Tuhan.


Walaupun Stephen Hawking sendiri memang tidak berpuas hati dengan teorinya bersama Penrose 1970 itu tetapi sebabnya lain sekali, iaitu kerana teori itu tidak mengambil kira MQ lagi. Beliau hanya mahu melihat kemasukan MQ ke dalam model alamnya itu akan memberi teori baru lagi, mungkin juga membuktikan bahawa tiadalah kesingularan pada mula-mula kejadian alam semesta ini. Hawking berjaya mencapai hasratnya itu dan teorinya yang baru itu memerlukan penerima bentuk alam yang terhingga tetapi tiada sempadannya yang bermakna tiadanya masa bermula, tiadanya masa Penciptaaan dan tidak berlakunya Kiamat. Lalu Hawking bertanya dengan sinisnya juga dalam bukunya itu, jika beginilah keadaanya apakah peranan Pencipta? Hawking seterusnya menceritakan dalam bukunya yang laris jualan itu betapa dalam tahun 1981 beliau menghadiri sebuah persidangan kosmologi anjuran Jesuit di Vetican. Dalam persidangan itulah beliau memaparkan teori barunya ini. Beliau menceritakan bagaimana para peserta persidangan tersebut termasuk beliau dibenarkan mengadap Paus dan dalam pertemuan itu, Paus itu menyatakan kepadanya tidaklah salah seseorang mengkaji evolusi alam semesta selepas DB, tetapi seseorang tidak sepatutnya mengkaji tabii DB itu sendiri kerana itu adalah ketika Penciptaan (Tuhan) berlaku. Beliau dengan sinisnya menyatakan nasib baik Paus itu tidak mengetahui teorinya yang dipaparkan pada persidangan itu yang bertentangan dengan pandangan paus itu, kerana kononnya beliau takut nasibnya sama dengan Galileo!


Sebenarnya, dalam tradisi Kristian sebelum abad ke-12M (zaman Skolastik Eropah) para agamawan Kristian Eropah memang apeduli sains sehingga seorang gerejawannya pada abad ke-2 M bernama Tertullian menegaskan tiadanya berguna dan relevannya spekulasi sains dan kefalsafahan dalam Kristian kerana beliau percaya semua itu absurd sahaja (Demikian catatan Dawkins 1999, yang juga terkenal dengan penyumbang taasubnya kepada Teori Evolusi; dan buku baru beliau 2006 lebih-lebih lagi menghentam agamawan dengan lebih kasar lagi drp karyanya terdahulu 2004, 2005 dan menjadi buku larus jualan pula). Zaman Skolastik, gerejawan mengambil sains Yunani menjadi sebahagian daripada ajaran Kristian pula. Kegagalan tindakan ini menyebabkan sejarah pertentangan sains dan Kristian Eropah berterusan hingga kini. Tetapi semakin ramailah agamawan Kristian kini yang akur dengan sains seperti yang ditunjuk oleh paus Katholik 1981 (yang memohon maaf kepada komuniti ahli sains Eropah kerana kesilapan dan kezaliman pihak gereja terhadap ahli sains abad ke-16 hingga ke-18) dan Dowe (2005) bahawa sains dan agama (Kristian) saling bergantung antara satu dengan lain, khusus dalam kosmologi, evolusi dan kejadian luar biasa.Vatican pun sebenarnya tidak mahu lagi gerejawan membuat kesalahan seperti yang pernah berlaku pada zaman dahulu itu dengan contoh penangannya terhadap tokoh terkenalnya, Galileo. Malah dalam perasmian persidangan ini Paus membuat pengakuan rasmi bagi pihak gereja tentang kesilapan dan kezaliman gerejawan dahulu kepada ahli sains (Shaharir 2004a). Waktu itu Stephen Hawking dilaporkan diam sahaja (kerana tiada peluang yang sesuai agaknya). Pada tahun 1988, Stephen Hawking (1988: 116) baru menjawab pernyataan Paus itu dengan sinisnya dengan katanya beliau gembira dengan kejahilan Paus itu kerana dalam ucapan beliau di persidangan itu beliau menunjukkan model alam beliau yang terhingga dan tanpa sempadan itu mengimplikasikan tiada awalnya, iaitu tiada Tuhan ketika Penciptaan itu. Hawking (1988: 140) juga menulis model alamnya itu juga mengimplikasikan tiada akhirnya (tiada kiamat?) dan seterusnya beliau mempersoalkan peranan Pencipta sehingga tergamak beliau menulis “dalam keadaan begini apa perlunya lagi Tuhan?”. Berdasarkan pengakuan Hawking ini sahaja pun sewajarnya Muslim tidak harus bersekongkol dengan teori tajaan sarjana ateis ini seperti dengan bangganya menyokong TDB beliau seolah-olah beliaulah yang memberi saham kepada bukti kebenaran Islam! Bertentangan dengan Paus, para sarjana Barat yang tahu selok-belok KQ dan berpegang teguh kepada Kristian amat tidak senang dengan pandangan-pandangan Hawking di dalam bukunya “Riwayat Sang Kala” itu dan telah memberi tindakan balasnya seperti yang dilakukan oleh Wilikinson & Wolfendale (1993) dan Le Poidivin (1991), tetapi setahu penulis ini tiada tindakan balas daripada sarjana Muslim selain daripada yang diusahakan oleh penulis ini di sini dan sebelum ini (Shaharir 1987/2000). Ini hanya menunjukkan kelemahan umat Islam dalam bidang ini, tidak seperti tindakan balas Muslim terhadap Teori Evolusi (TEv) umpamanya yang cukup banyak (lihat sorotan oleh Remtulla 1993 umpamanya) yang telah disentuh sebelum ini dahulu, sedangkan tidak disedarinya bahawa TDB berhubung rapat dengan TEv!



Seperti yang diakuinya sendiri, Stephen Hawking adalah seorang deis dan agnosis yang memang telah lama turut percaya bahwa alam semesta berasal daripada DB itu. Idea asalnya DB itu dispekulasikan oleh Lemaitre 1927 menerusi model alam semesta Friedman itu seperti yang telah disebut dahulu. Namun teori bagi fenomenon ini hanya pertama kali dianggap “berjaya” dikemukakan pada 1948 oleh Alphe, Bethe dan Gamow (tetapi sering dirujuk Gamow sahaja, walaupun di sini penulis ingin merujuknya sebagai ABG sesuai dengan hasrat asal pengarang berkenaan itu yang mahu makalah mereka itu dirujuk sebagai alfa-beta-gama). Sejak itu sudah banyak pengubah-suaiannya dilakukan oleh para sarjana selepasnya tetapi konsep asasnya, meledak dan mengembang, dikekalkan. Teori meledak dan mengembang itu sahaja yang belum selesai kerana banyak kelemahan yang ditemui dan perlu diatasi. Senarai kelemahan ini sudah dipaparkan sebelum ini yang masih sah berlaku dalam KQ sekalipun. Teori yang terbaik setakat ini ialah yang disumbangi oleh Hawking yang masyhur itu. Prinsip DB ini didokongi oleh Stephen Hawking dengan pengubahsuaiannya berasaskan teori kosmologi quantum-nya, lalu pada tahun 1988 beliau berspekulasi bahwa DB itu terjadi kira-kira 17 bilion tahun yang lalu. Hawking membuat pernyataannya yang sinis kepada agamawan (atau sesiapa sahaja yang beragama) dengan katanya bagi mereka yang percaya bahwa Tuhanlah yang menciptakan alam semesta ini, dia masih boleh mengkhayali atau membayangkan Tuhan berbuat demikian pada masa DB itu, atau selepas DB dengan cara yang seolah-olah adanya satu DB itu. (Hawking 1988: 9 atau versi Melayu Indonesianya m.s. 10-11). Jelas TDB ialah suatu teori evolusi yang selaras dengan Teori Evolusi Darwin (TED) itu, dan oleh itu amat sesuai dengan sistem nilai Barat.
....bersambung dng judul "Bahana Kejahilan Muslim?"

Wednesday, November 21, 2007

alam semesta quantum dan cabarannya terhadap Muslim

5.2. Model Alam Semesta menerusi Mekanik Quantum dan Cabarannya Kepada Sarjana Islam


Mekanik quantum (MQ) yang muncul pada tahun 1925 hasil tajaan sarjana Jerman yang bernama Heisenberg dianggap paradigma fizik atom dan di sekitar 30 tahun kemudiannya menjadi paradigma astronomi dan kosmologi yang kedua selepas munculnya Teori Kenisbian (TKn). Paradigma ini ditumpukan sepenuhnya kepada fenomenon atau kejadian pada zarah-zarah atom sahaja tetapi oleh sebab semua jirim dianggap oleh kebanyakan ahli sains Barat sejak abad ke-19M (dan oleh mutakallimun sejak abad ke-11M ) lagi itu terdiri daripada atom sahaja, maka MQ menjangkau dalam hampir semua bidang, dan ini termasuklah kosmologi yang membentuk bidang baru yang dinamai kosmologi quantum (KQ). Berbeza daripada TKn dan teori-teori fizik sebelumnya, melainkan teori ensembel benda yang banyak seperti mekanik statistik, MQ ini bersifat tidak pasti walaupun untuk benda tunggal seperti elektron, iaitu berkebarangkalian, tetapi teori kebarangkaliannya berlainan daripada teori kebarangkalian biasa sehingga disebutlah teori kebarangkalian quantum bagi membezakan dengan teori yang biasa dan lama itu yang dirujuki sebagai kebarangkalian klasik (setiap teori atau ilmu yang terbina sebelum munculnya MQ digelar teori klasik atau ilmu klasik). Perincian sejarah dan pembinaan serta kupasan kelemahan MQ dapat dilihat dalam Shaharir (2005, 2007a). Di sini tumpuan diberi kepada kupasan terhadap model alam semesta yang dibina menggunakan MQ pula, walaupun jika dianggap MQ itu sendiri tiada kelemahannya. Namun secara tak langsungnya termanifestasilah juga kelemahan MQ itu sendiri.


Ringkasnya, setelah didorong oleh ketidak-mampuan paradigma Newton dan Einstein dan juga paradigma Maxwell dalam elektromagnet untuk menjelaskan hasil ujikaji tentang “sinaran jasad hitam” pada 1900, maka Planck (seorang sarjana Jerman) memunculkan ufuk paradigma baru dalam mekanik. Namun dunia terpaksa menunggu sesuku abad lagi untuk menyaksikan satu paradigma baru yang lengkap tentang teori atom, yang mulanya dinamai “mekanik matriks” oleh penaja pertamanya Heisenberg 1925 yang telah disebut di atas, dan “matriks gelombang” oleh penaja keduanya (dengan kaedah yang berbeza), Schroedinger 1927, yang juga seorang Jerman. Kemudiannya kedua-dua teori atom ini dibuktikan sama sahaja dan oleh itu diberi jolokan barunya “mekanik quantum” (yang di sini diringkaskan sebagai MQ sahaja itu).

Ada banyak ciri atau implikasi yang menakjubkan daripada MQ, tetapi 15 daripadanya yang ingin disebut di sini hampir menjadi sinonim dengan citra MQ. Ciri atau implikasi itu ialah (0) adanya dualisme zarah-gelombang; (1) wujudnya aras-aras tenaga diskret bagi sesuatu zarah atom; (2) segala kuantiti klasik seperti kedudukan, momentum, tenaga dan lain-lain itu setiap satunya tertakluk kepada “taburan kebarangkalian” dan hukum mantik (oleh itu kebarangkalian) yang berbeza drp yang klasik itu; (3) berlakunya “prinsip ketakpastian Heisenberg”: adanya rumus sukatan pasangan kuantiti (yang dinamai kuantiti konjugat) seperti tenaga dan masa, kedudukan dan momentum yang tidak dapat disukat dengan ketepatan yang tinggi tanpa menjejaskan ketepatan yang satu lagi; (4) wujud fenomenon “kebergusutan” antara sebarang dua atau lebih keadaan sehingga menjadi keadaan baru pula; (5) seseorang pencerap mempengaruhi keadaan benda yang dicerapi sehingga berlakunya fenomenon yang dinamai “Runtuhan Fungsi Gelombang”; (6) kefahaman atom memerlukan pendekatan kebelakaan (belakaisme) dan keinsafan (kesedaran); (7) kebarangkalian wujudnya atau berlakunya sesuatu benda atau peristiwa itu hanya dapat ditentukan setelah benda atau peristiwa itu dicerapi atau berlaku; dan tiada lagi orbit zarah tetapi diganti dengan taburan keadaan zarah itu; (8) adanya penciptaan atom dan penyirnaannya sepanjang masa; dan (9) adanya fenomenon “penerowongan”, iaitu kemampuan zarah-gelombang menembusi sawar yang tidak mungkin ditembusi secara klasiknya; (10) kewujudan tenaga dalam keadaan vakum; (11) kewujuan salinan tak terhingga sesuatu benda (mengikut satu mazhab MQ); (12) adanya kemungkianan komunikasi dan teleportasi objek atom yang sepantas cahaya atau lebih (walaupun masih dipertikai); (13) Timbulnya isu keinsafan; (14) keperluan masa sebagai nombor kompleks. Semua ini bertentangan dengan intuisi dan menimbulkan puluhan paradoks yang tidak dapat dileraikan dengan memuaskan dan sekaligus melahirkan pula puluhan falsafah MQ yang sebahagian besarnya ada dibicarakan di dalam Shaharir (2005).


Einstein tidak bersetuju dengan keseluruhan MQ, kerana tabii kebarangkalian di dalamnya, dan boleh berlakunya komunikasi lebih pantas drp cahaya itu yang diistilahkannya sebagai “tak berkenyataan” dan “tak lengkap” itu. Beliau bersama muridnya, Padolsky dan Rosen, mencipta ujikaji fikiran/gedanken yg dikenali sebagai ujikaji EPR (menjadi paradoks EPR) bagi tujuan menunjukkan kelemahan MQ dan relevan hingga sekarang. Perbahasan beliau dengan kumpulan utama/asli pentafsir MQ yang diketuai oleh Bohr di Copenhagen (lalu dikenali sebagai tafsiran Copenhagen atau Bohr-Copenhagen) berlarutan hingga ke akhir hayatnya dan banyak mewarnai perkembangan MQ hingga kini (Sorotan terbaru tentang penetangan Einstein kepada kumpulan Boh di Copenhagen dlm MQ ialah oleh Deltete 1990 dan Landsman 2005).

Sebenarnya MQ cukup banyak membawa nilai, falsafah dan kontroversi yang masih belum dapat dileraikan hingga kini berbanding dengan bidang ilmu yang lain seperti makna kenyataan, cerapan, sukatan dan lain-lain lagi (Lihat semua ini dalam Shaharir 2005). Namun oleh sebab ahli sains moden didominasi oleh mereka yang apeduli agama terutamanya agama samawi (lebih-lebih lagi Islam), teori-teori baru yang diutarakan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul itu tetap menyisihkan nilai-nilai keagamaan samawi itu. Karya-karya yang menghubungkan MQ dengan pelbagai agama agak banyak tetapi hampir semuanya membicarakan keserasian antara kedua-duanya seperti yang disenaraikan dalam Lampiran 7 itu; dan yang popular dan lebih banyaknya ialah dengan Hinduisme, Budhisme dan Taoisme malah yang terlarisnya memang yang berhubung dengan agama ini (Capra 1978/2004 dan Zukav (1978/2001). Yang lebih ramai lagi ialah yang ateis/mulhid, dan oleh itu percubaan para sarjana Barat memperbaiki teori sains moden biasanya tidak dipengaruhi oleh sebarang agama malah anti-agama. Memang ada segelintir ahli sains Barat yang perihatin kepada keserasian sains dengan Kristian dan mereka ini seringlah mengkritik sains sekular termasuk MQ, dan kumpulan ini kini membina satu paradigma baru sains yang dinamainya “Reka Bentuk Pintar” yang telah disentuh sebelum ini, tetapi dibicara lagi di sini kemudian dalam konteks kosmologi quantum pula.


Satu daripada versi MQ (banyak lagi versi lain lagi) yang bertujuan mengatasi masalah-masalah paradoks, falsafah dan kontroversi yang terbit daripada 15 ciri MQ di atas itu ialah hasil binaan Bohm (seorang pehijrah AS dari Jerman yang kuat fahaman komunisnya, malah beliau menjadi mangsa McCarthyisme Amerika Syarikat tahun 1950-an hingga 1960-an dahulu) pada 1951 yang dikembangkan oleh beliau dan pengikut-pengikutnya sehingga kini dan korpus ilmu ini dikenali juga sebagai mekanik Bohman (lihat umpamanya Internet). Mekanik Bohman ini memang terkenal dengan adanya perisa mistikisme, kerohanian, kesedaran dan keinsafan amnya, tetapi para penaja teori Mekanik Bohman sebenarnya tidak bersetuju dengan kefahaman ilmunya dihubungkan dengan keagamaan samawi (lihat umpamanya Bohm & Hiley 1993, dan Pylkkannen 2005 dan senarai karya MQ yang dikaitkan dengan keinsafan di Lampiran 8). Nampaknya mekanik Bohman ini mendapat momentum yang luar biasa sekali, terutamanya selepas 1980-an, walaupun versi MQ yang dominan sejak 1950-an lagi ialah hasil binaan Feynman 1948 (seorang AS Yahudi yang terkenal dengan sikap apeduli agamanya, agnosis dan seumpamanya) yang memperoleh Hadiah Nobel daripada teorinya itu pada 1965. (Lihat teorinya yang terawal dalam buku Feynman & Hibbs 1965, dan status teorinya selepas itu termasuk kelemahannya dalam Shaharir 1990, 2004b, 2005, 2007a dan Shaharir & Zainal 1996).


Mengikut satu tafsiran teori Feynman ini yang paling pragmatis setakat ini, masa tidak lagi nyata seperti yang dianggap selama ini, tetapi berupa nombor kompleks. Inilah yang mendorong Stephen Hawking (seorang Inggeris yang terkenal dengan kecacatan jasmaninya yang luar biasa, dan ateisme-nya; dan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai “Einstein kini”) memilih judul buku beliau yang laris jualan itu sebagai “Riwayat Sang Kala” 1990 (terjemahan Melayu Indonesia kepada buku asal beliau “A Brief History of Time” 1988, terbitan Pustaka Utama Grafiti, Jakarta snt ke-3-nya,1994) itu dan kandungan buku ini diperkatakan sedikit lagi selepas perbincangan ringkas tabii penyatuan ilmu sains sejak tahun 1950-an. Sementara itu Shaharir (1990, 2004b, 2005, 2007a) telah pun membuktikan teori Feynman ini tidak memenuhi hukum al-Haitham yang sarat nilai Islam itu dan oleh itu tidak hairanlah teori itu termanifestasi tidak lengkapnya dan oleh itu perlu ditambah baik lagi. Oleh itu dalam keadaan teori itu sekarang, jika implikasinya bertentangan dengan sistem nilai Islam, walaupun hujah-hujahnya nampak tiada kesilapannya seperti yang tertonjol daripada karya Hawking (1988/1994) yang dibicarakan selanjutnya di bawah ini, maka teori itu perlulah ditolak oleh sarjana Muslim dengan iltizam memberi alternatifnya.


Astronomi teori yang mutakhir ini berupa astronomi yang terhasil daripada penyatuan TKnEn dengan MQ walaupun teori penyatuan dua teori itu sebenarnya masih belum berjaya dilakukan hingga kini. Namun, sudah ada buku-buku berkenaan dengannya sedangkan buku-buku itu yang terbaik sekali pun masih bersifat hipotesis dan spekulasi sahaja seperti buku Finkelstein (1995) itu. Senarai buku dalam kategori ini terbitan alaf ini ada di Lampiran 9. Kejayaan separanya ke arah penyatuan TKnEn dengan MQ ialah penyatuan MQ dengan Teori Kenisbian Khas (diberi nama Mekanik Quantum Berkenisbian, MQBn) oleh Dirac dalam tahun 1927 (seorang sarjana Inggeris diperihalkan oleh rakan-rakannya sebagai orang yang bertuhankan kepada fiziknya sahaja, dan teori ini boleh ditelaah pada Strange (1998). Namun teori ini hanya untuk elektron sahaja, setelah persamaan Schroedinger gagal melakukannya! Penyatuan keduanya ialah perkahwinan elektrodinamik klasik (teori Maxwell tentang elektrik dan magnet) dengan MQ yang menghasilkan korpus ilmu yang terkenal dengan nama elektrodinamik quantum (EDQ) oleh Feynman dalam tahun 1950-an yang boleh ditelaah pada Feynman (2001) sendiri yang masih sukar ditandingi walaupun pembaca mungkin mendapati buku-buku baru seperti oleh Gingrich (2006) lebih menyenangkannya. Satu tahap kejayaan mutakhir setakat ini dalam usaha penyatuan fizik yang berterusan ini ialah karya Abdus Salam (seorang Qadyani yang berasal dari Pakistan tetapi kemudiannya berhijrah ke UK) dan Weinberg (seorang AS Yahudi yang terkenal dengan pendirian ateisme-nya) dalam tahun 1960-an yang menyatukan MQ tentang kejadian radioaktif (disebabkan oleh wujudnya sejenis daya yang dinamai daya nukleus lemah) dengan daya elektromagnet. Teori mereka ini dinamai Teori Bersatu Gedang yang (walaupun sifatnya “gedang”) tetapi masih tidak termasuk TKnEn itu (Lihat umpamanya Weinberg 1992 & 1995 dan Ross 1985). Dalam bahasa Inggeris, teori ini terkenal dengan akronimnya GUT (=Grand Unified Theory), manakala dalam bahasa Melayu bolehlah cuba dipopularkan dengan TeBerSaGa.

Oleh sebab seorang daripada sarjana yang bertanggungjawab memajukan teori penyatuan sains fizis itu, khususnya TeBerSaGa itu ialah seorang yang dianggap Muslim (terutamanya oleh Barat, walaupun mungkin majoriti Muslim tidak beranggapan demikian), Abdus Salam, maka timbul persoalan untuk mengiktiraf-tidaknya sains binaan mereka itu sebagai “sains Islam” (kerana konsep “sains Islam” boleh sahaja dihayati oleh ahli sains yang bukan Islam sekalipun, sama seperti orang bukan ateis boleh menghayati karya sains seseorang ateis!). Namun, rasanya Abdus Salam sendiri tentunya tidak bersetuju yang sains ciptaannya itu dikategorikan sebagai unsur “sains Islam” kerana beliau terkenal dengan pendiriannya (lihat Lai & Kidwai 1989, dan Hoodbhoy 1991/1996) bahawa sains itu neutral (tidak memihak kepada sesiapa pun), iaitu sesiapa pun akan memperoleh sains yang sama jika mereka mencarinya; dan kalau ada pun “sains Islam”, pada beliau, “sains Islam” itu ialah sains pada Zaman Tamadun Islam dahulu sahaja yang sudah menjadi sejarah dan diambil alih dan dikembangkan lagi oleh sarjana Barat (termasuk sarjana Timur seperti beliau).

Tanpa persoalan keIslaman Abdus Salam kerana beliau sendiri mengaku yang dia seorang Muslim (“Islam Ahmadiah” atau “Islam Qadyani” yang tidak diiktiraf oleh Sunni atau Syiah, malah diisytihar oleh Kerajaan Pakistan 1974 sebagai bukan Islam), dan persoalan agama rakan sepenyumbangnya, Weinberg yang terkenal dengan pendirian ateisme-nya, sumbangan sains Abdus Salam memang tidak boleh dikategorikan sebagai “sains Islam” mengikut pengertian “sains Islam” yang diperjuangkan oleh ASASI (Malaysia, yang ditubuhkan pada 1978) yang menerbitkan jurnalnya Kesturi sejak 1988. Abdus Salam ada menyebut kehebatan Tamadun Islam dalam sains (Lihat Lai & Kidwai 1989) tetapi beliau tidak pernah mengaitkan sumbangan sainsnya sendiri dengan prinsip Islam atau dengan tradisi keilmuwan sains pada Zaman Tamadun Islam yang beliau turut membanggainya itu. Yang ditonjolkan hanya prinsip keindahan menerusi simetri yang dianggapnya sebagai pendorong besar dalam pembinaan teori sainsnya bersama Weinberg itu. Sukarnya Muslim menerima beliau sebagai ahli “sains Islam” juga terjustifikasi apabila beliau membisu seribu bahasa (tiada makalah beliau yang kami ketahui) terhadap pandangan-pandangan rakan terdekat beliau dalam keilmuwan, Weinberg itu, tentang wajarnya sains kini termasuk “astronomi quantum” itu terpisah daripada agama (Weinberg 1992); sedangkan Abdus Salam meninggal pada 1996. Ini berbeza dengan Whitehead umpamanya, yang sanggup mengkritik hebat pendirian sarjana Barat yang ateis atau agnosis termasuk rakannya sekaryanya, Russell, sehingga beliau menerbitkan falsafah sains teis yang khsusus yang diberi namanya organisme itu (yang dibicarakan oleh Shaharir 2007a sebelum ini). Begitu juga dengan tiadanya tindakan balas Abdus Salam terhadap Hawking yang dibicarakan di bawah ini, sedangkan polemik teori Hawking itu berlaku sekitar 8 tahun sebelum beliau meninggal. Dalam konteks ini, Abdus Salam tidak pun layak dikategorikan sebagai ahli sains teis, apatah lagi yang boleh menjadi proksi ahli sains teis Islam.

Sementara itu teori interaksi unsur-unsur dalam nukleus sesebutir atom yang terdiri daripada 3 butir quark yang diberi warna/kromo merah, biru dan kuning dan satu butir gluon dan seluruhan korpus ilmu ini dinamai kromodinamik quantum (KDQ), quantum chromodynamics (QCD) dan TKnEn itu masih belum dapat-dapat disatukan. Kegagalan menyatukan semua teori yang sedia ada sejak zaman Einstein dahulu lagi itu; dan begitu banyaknya unsur subatom yang muncul sejak dijumpai elektron, proton dan neutron pada awal abad ke-20 dahulu hingga kini berjumlah ratusan menyebabkan semakin ramai sarjana berkenaan meninggalkan paradigma lama ini dengan mencipta paradigma baru yang secara amnya dinamai Teori Segala-galanya (TerSaga) atau Inggerinya, Theory of Everything (TOE) dengan teori atom digantikan dengan Teori Tetali (zarah digantikan dengan tetali), String Theory, dan teori graviti digantikan dengan Teori Supertetali, Superstring Theory sejak 1970-an dahulu. Pengenalan yang menarik kepada teori ini dapat ditelaah pada Peat (1988/1993). Ini memang mencabar hidup-hidup para mutakallimun dan pengikutnya, dan tentunya pengikut Ibn Hazm akan bangkit segar! Buku-Buku TeSeg, Teori Tetali, supertetali/aditetali terbitan 2000- Jun 2007 sahaja pun sudah cukup banyak dan untuk Kosmologi Quantum ada disenaraikan di Lampiran 9. Namun senarai kelemahan TDB yang dipaparkan sebelum ini dalam seksyen 3 itu masih berlaku dalam KQ dan para sarjana kosmologi Barat yng mengkritik TDB nampaknya tidak berkurangan dan mereka ini seperti Antonopoulos (2003), Lerner (1991), Lucas (1996), Williams & Hartnett (2005) dan banyak lagi yang disenaraikan di Lampiran 2 hingga 6 itu; serta oleh sarjana-sarjana Kristian (selain daripada yang telah disebut sebelum ini) seperti, mengikut abjadnya, Copan & Craig (2004), Jonathan (2004), Murphy & Russell (1997), dan O’Leary (2004). Senarai karya ini yang lebih tuntas ada di Lampiran 6 dan 7. Di pihak yang lain pula usaha mengharmonikan teori kosmologi moden dengan Kristian (Katholik) nampaknya dilakukan di peringkat tertinggi agama tersebut dengan komuniti ahli kosmologi menerusi siri simposium anjuran pihak Vatican (yang memang ahli Pusat Balicerap Astronominya) seperti seminar 1988 yang pascasidangnya disunting oleh Russell drk (1988) yang banyak mengandungi makalah tentang kosmologi seperti oleh Isham (1988), MacMullin (1988), Peters (1988), Russell (1988); seminar 1993 yang pascasidangnya disunting oleh Russell drk (1993/1996) yang khsus membincangkan tentang KQ dan Kristian seperti oleh Isham (1993), dan Russell (1993); dan seminar 2000 yang pascasidangnya disunting oleh Russel drk (2000) yang khusus membicarakan persoalan “Tindakan Kudus” mengikut prspektif Kristian. Selain daripada itu banyaklah juga sarjana lain yang membicarakan keserasian Kristian dengan teori kosmologi seperti yang disenaraikan di Lampiran 7.
Bersambung......

Tuesday, November 6, 2007

Teori Alternatif Barat kpd TDB

5. Teori Alternatif TDB


Mengikut sejarahnya teori alam semesta yang mengimplikasikan adanya TDB (Teori Deguman Besar) wujud setelah teori alam statik (alam semesta Einstein) dan teori alam semesta mantap tajaan Hoyle-Burbidge-Bondi) tersisih (kini ternyata buat sementara waktu sahaja). Teori alternatif alam semesta merujuk kepada teori yang lain drp TDB atau ringkasnya Teori Alternatif TDB. Oleh itu Teori Alternatif TDB bukan sahaja teori pasca-TDB tetapi apa jua teori alam semesta yang tidak mengimplikasikan adanya pengembangan terus menerus alam ini. Ini termasuklah teori-teori statik, mantap (yang telah disebut dahulu) dan pengubahsuaiannya seperti alam semesta quasi-mantap karya Hoyle, Burbidge dan Narlikar pada 1993. Model ini menjamin adanya minideguman, peristiwa mini-ciptaan, atau deguman kecil. Namun selepas cerapan terhadap berlakunya alam semesta memecut, pengubahsuaian selanjutnya dilakukan lagi hingga kini. Oleh itu kegiatan membina model alam semesta tetap berterusan hingga kini kerana semakin banyak fenomenon alam yang didapati tidak dapat diterangkan menerusi model alam semesta yang sedia ada; dan sebahagian lagi kerana perlunya model itu mengambil kira teori fizik yang baru lagi, iaitu teori atom atau mekanik quantum. Ini dibicarakan kemudian.


Golongan yang tidak bersetuju dengan TAMbang bergerak sejak 1972 lagi dengan kegiatan membina model alam semesta alternatif yang digelintari oleh Ezra Segal (meninggal 1998) di MIT, khususnya membina hujah-hujah untuk mengembalikan model alam statik tajaan Einstein (dengan pengubahsuaian yang sewajarnya, dengan mengambil kira Teori Quantum). Bagi Segal anjakan merah yg dicerap oleh Hubble 1929 itu bukannya kesan Doppler yang diterangkan menerusi alam mengembang itu tetapi beliau menawarkan teori penjelasan yang baru lagi yang boleh ditelaah drp bukunya itu (Segal 1992). Mengikut Baez drk (t.t) yang menulis balasungkawa Segal sambil memaparkan sumbangan-sumbangannya yang besar sepanjang hidupnya menyatakan kumpulan ahli kosmologi yang menyokong pandangan beliau ini semakin membesar yang percaya penjelasan terbaik terhadap cerapan Hubble itu ialah semacam lakuran kesan Doppler dengan teori Segal itu. Pandangan Segal tentang model alam semesta ini dapat ditelaah dalam bukunya 1992. pandangan Baez drk ini nampaknya terbukti lagi dengan adanya pengembalian kepada model statik dapat ditelaah pada makalah Daigneault & Sangalli (2001) dengan panjang-lebarnya itu.

Model alternatif dalam konteks astronomi dan kosmologi klasik (dalam TEn) telah dibicarakan dahulu dan yang diulangi sepintas lalu di sini pula dengan sedikit penambahan maklumatnya lagi sesuai dengan keperluan MQ. Model alternatif yang paling terkenal agaknya, kerana sudah lama ialah model alam semesta keadaan mantap atau lebih am lagi, kuasi-mantap yang banyak susasteranya bukan sahaja dalam bentuk makalah seperti oleh Narlikar (1999), tetapi juga buku seperti oleh Hoyle drk. (2000). Model lain yang hebat war-warnya kerana ciptaan sarjana di universiti hebat (Princeton dan Cambridge) ialah oleh Steinhart dan Turok (Steinhart 2003, Steinhart & Turok 2002, 2004). Yang lainnya yang ingin disebut di sini ialah karya sebelum 2000 iaitu Dart (1993) dan Lampton (1989) manakala karya yang baru-baru selepas ini ada di Lampiran 1 hingga 6.



Contoh teori alternatif yang lain benar paradigmanya ialah karya sarjana teis Barat (Kristian) yang dikenali sebagai Teori Ciptaan (TC) dan jelmaan barunya TRBP. Perincian tentang gerakan mencari model alternatif kepada TDB dan TAMbang ini dibincangkan dengan terperincinya oleh Shaharir (2004a, 2006b) yang melibatkan bidang astronomi dan Teori Quantum sehingga mewujudkan bidang baru lagi yang dinamai Kosmologi Quantum (KQ) itu dan dipaparkan semula di sini dengan penambahan ulasan terhadapnya.


Yang hendak disebut di sini dahulu ialah betapanya adanya memorandum terbuka (disiarkan dalam majalah sains popular terkenal, New Scientist 2004) yang disebut dalam perkara 12 dalam senarai kelemahan TDB di atas itu (seksyen 3) menunjukkan adanya semacam konspirasi kepada sesiapa sahaja yang ingin membina teori yang bertentangan dengan TDB atau TAMbang yang terkenal ada hubungan yang intim dengan TEv itu. Dipercayai mereka ini memang berusaha melindungi TDB dan TAMbang kerana hubungan akrabnya teori-teori ini dengan TEv itu. Mungkin sudah sampai masanya ilmuwan Islam yang menyokong TDB atau TAMbang untuk berhenti melakukannya dan beralih kepada menggalakkan ahli astronomi atau kosmologi Muslim mencari model dan teori alternatifnya sebagaimana yang dilakukan oleh segolongan ilmuwan Barat itu, walaupun atas sebab yang berbeza. Ini penting sebab pada pandangan penulis ini, model alam semesta statik atau alam semesta mantap lebih menjanjikan keserasiannya dengan Islam. Model alam semesta statiklah atau model alam mantaplah rasanya yang berkemungkinan besar melahir model alam semesta yang mengimplikasikan alam semesta ini ada permulaan dan ada akhirnya untuk suatu masa yang tidak dapat ditentukan itu (teori malapetaka atau dwicabangan dan kekalutan stokastik) sekurang-kurangnya. Selagi Muslim bersikap pasif atau reaktif sahaja maka selama itulah Muslim terjajah dalam ilmu pengetahuan, khususnya dalam astronomi atau ilmu falak dan kosmologi.


Berikut ini di bicarakan teori alam semesta Kristian moden iaitu TC dan TRBP dahulu. Golongan sarjana TC digelar “Ciptais” atau “Creationists” muncul dalam tahun 1970-an dengan penubuhan Institute for Creation Reseach di AS. Golongan yang lebih baru lagi itu, sarjana Reka Bentuk Pintar (RBP) atau “Intelligent Design (I.D)” nampaknya lebih memberi dampak yang besar kepada perkembangan sains Barat amnya terutamanya mulai 1990-an (yang cukup banyak tulisannya). Serangan utama golongan ini ialah terhadap falsafah sains amnya dan khususnya Teori Evolusi Darwin/Darwinan (TED) dan TDB-TAMbang.


5.1. Teori Alam Semesta Kristian: Reka Bentuk Pintar


Model alternatif yang datang daripada pertimbangan yang berasaskan ajaran Kristian yang terkenal sebagai “Penciptaan” atau “Reka Bentuk Pintar” (RBP) yang telah dibicarakan dahulu dalam konteks teori klasik (TEn) masih sah berlaku dalam konteks KQ seperti yang dapat ditelaah dalam Pinschmidt (1986) itu; dan cabaran itu tidak akan hilang begitu sahaja semata-mata kerana pihak Vatican menegaskan yang RBP itu bukan sains seperti yang disebut sebelum ini.

Teori alam semesta Kristian pertama ialah ciptaan sarjananya pada Zaman Pertengahan atau Zaman Skolastik dahulu dengan model Dante yang telah disebut pada awal makalah ini. Kelemahan model ini dan kelemahan sarjana Kristian berbanding dengan sarjana Barat yang sekular, ateis, deis, agnosis atau apeduli agama yang tumbuh sejak zaman Galileo lagi menjadikan model alam semesta Kristian yang dapat menandingi model ateis dan sebagainya itu. Galileo adalah orang yang pertama di dunia ini yang menegaskan adanya dualisme dalam kebenaran, iaitu kebenaran sains dan kebenaran agama (Kristian) yang kini diwarisi oleh kebanyakan ahli sains yang beragama termasuk Muslim. Hanya dalam akhir abad ke-20 ini barulah muncul kumpulan sarjana Kristian yang mengubah keadaan ini. Ini ialah hasil kegiatan golongan sarjana yang sedang membina “Teori Reka Bentuk Pintar” (TRBP) yang bermula sekitar 1990-an di Seatle AS dengan penubuhan Center for Renewal Scientific and Culture (CRSC). Selain itu ada dua lagi organisasi yang bergiat dalam perkara yang sealiran dengan CRSC ini, selain daripada “Institute Creation” yang lebih awal daripada CRSC itu, iaitu IDEA (Intelligent Design an Evolution Awareness), dan IDURA (Intelligent Design Undergraduate Research Centre) di Texas. Sejak itu muncul sekumpulan ahli sains (yang terkenalnya Behe dan Dembski) tajaan CRSC yang menggegarkan komuniti ahli sains dan masyarakat AS dengan pemaparan bukti-bukti TRBP yang berlawaan dengan Teori Evolusi (TEv) atau teori-teori alam semesta yang serasi dengan TEv, khususnya TDB dan TAMbang itu. Behe (1998/2006) dan Behe drk.(2000) dan Dembski (1998, 2002, 2004), masingnya ahli biokimia dan ahli matematik, dianggap dua orang sarjana yang memberi hujah-hujah kukuhnya. Ada beberapa hujah pentingnya iaitu, perkara yang dinamai “kekompleksan tak terturunkan”, “pentaabiran reka bentuk” atau “kekompleksan terspsefikasi” dan “penaalaan halus pemalar-pemalar fizik”.

Mengikut Wikepedia di Internet, istilah Reka Bentuk Pintar (atau asalnya Intelligent Design) diwujudkan bagi menggantikan Ciptaisme (atau asalnya Creationism) yang diistiharkan oleh Supreme Court of the United States 1987 tidak boleh diajar di sekolah kerana bertentangan dengan perlembagaan AS (yang sekular atau apeduli agama). Malah sejak itu perkataan creation menjadi tabu di AS sehingga, mengikut ceritanya, dalam manuskrip asal buku Of Pandas and People oleh Davis & Kenyon (1989/1993), ada lebih seratus kali penggunaan perkataan creation dan terbitannya seperti "creationism" and "creation science" yang kemudiannya diganti dengan intelligent design sebelum buku itu diterbitkan pada 1989. Buku ini dianggap buku Reka Bentuk Pintar (RBP) yang pertama. Istilah ini dipopularkan oleh seorang sarjana perundangan di AS, Philip Johnson menerusi bukunya 1991/1993, Darwin on Trial, yang mengesyorkan supaya sains ditakrifkan semula supaya merangkumi ciptaan aditabii (=supertabii/supernatural). Beliau dianggap bapa pergerakan RBP.


Mengikut Wikepedia di Internet, Kekompleksan tak terturunkan ditakrifkan oleh Behe (1998/2006, yang disorot oleh Adi Setia 2006) sebagai “sistem tunggal yang komponennya terdiri daripada beberapa bahagian yang berinteraksi dng sepadan rapinya sehingga masing-masing memberi sumbangan sebab berfungsinya sistem itu, dan apabila satu daripada komponen itu ditiadakan maka sistem itu pun tidak berfungsi.” Behe memberi contoh sistem sebegini berlaku dalam flagellum bakterea E.coli, lata pembekuan darah, silia, dan sistem imun/mangli adaptif. Penentang Teori Evolusi (TEv) memberi contoh yang Pilihan Tabii itu tidak dapat mencipta sistem kompleks sebegini kerana fungsi yang terpilihkan (boleh pilih) ada hanya apabila semua komponen terbabit itu sedia terhimpun. Kekompleksan terspesifikasi dibangunkan oleh ahli matematik-falsafah-teologi William Dembski (1998, 2004). Beliau menyatakan apabila sesuatu menunjukkan kekompleksan terspesifikasi (iaitu kompleks dan terspesifikasi serentak), maka seseorang boleh mentaakulkan bahawa keadaan itu dihasilkan menerusi sebab kepintaran (i.i. direka bentuk oleh Tuhan) bukannya hasil proses tabii. Itulah sebabnya hujah ini juga dikenali sebagai “pentaaabiran reka bentuk”. Contoh yang diberinya ialah tentang huruf tunggal abjad dispesifikasikan tanpa kompleks; ayat yang panjang daripada huruf-huruf rambang adalah kompleks tetapi tidak terspesifikasi; puisi yang indah-indah ialah kompleks dan terspesifikasi. Begitulah juga katanya dengan benda-benda hidup terutamanya “pola-pola” jujukan molekul dalam DNA. Beliau meletakkan Kb [maklumat yg dispesifikasi kompleks berlaku secara tak semena-mena bertabii] kurang drp 1 per 10150. Hujah RBP daripada luar sains hayat ialah drp fizik khususnya kewujudan penalaan halus pemalar-pemalar semesta yang menjadikan keadaan jirim dan hayat seperti sekarang; dan ini tidak berlaku secara tak semena-mena mengikut nasib seperti yang dibayangkan dalam TEv (hayat atau alam semesta). Pemalar yg dimaksudkan itu termasuklah pemalar-pemalar fizik asasi, kekuatan nisbi daya-daya nukleusm keelektromagnetan, graviti antara zarah-zarah asasi, dan juga nisbah-nisbah jisim zarah-zarah berkenaan. Jika sebarang nilai ini berbeza sedikit pun, alam semesta ini menjadi begitu berbeza, dengan banyaklah unsur kimia dan ciri-ciri alam semesta ini seperti galaksi-galaksi itu menjadi mustahil terbentuk.

Sebelum ini para pemimpin atau pendokong pergerakan TRBP menyerang TDB berasaskan falsafah sahaja: mereka menganggap sains Barat bukan teis berasaskan Tabiisme/Naturalisme dan oleh itu ada batas-batas falsafah sekular bagi Tabiisme yang menjadi landasan TDB itu [Tabiisme ialah falsafah sains yang menegaskan semua fenomenon boleh dijelaskan dengan kaedah sains tanpa pembabitan aditabii yang termanifestasi dalam bentuk karamaaht dan sebagainya]. Pendokong TRBP menegaskan bahawa sains tidak sepatutnya dihadkan kpd Tabiisme dan tidak sepatutnya juga memaksa dokongan satu falsafah tabiis (naturalistik) yang tidak menerima apa jua penjelasan yang mengandungi sebab aditabii. Gol keseluruhan golongan pendokong TRB ialah untuk mengalahkan pandangan alam bendais/materialis yg diwakili oleh TEv dan menggantikannya dengan sains yang serasi dengan kepercayaan Kristian. Hujah-hujah ini seanalog atu serasi dengan yang diutarakan oleh sarjana atau penulis Muslim selama ini; dan oleh itu para sarjana Muslim patut mengartikulasikan lagi hujah-hujah daripada sarjana TRB itu mengikut perisa Islam pula.

Bagi pendokong TRBP, sains tabii dianggap ilmu yang menggunakan kaedah sains untuk mencipta pengetahuan a posteriori yang berasaskan cerapan sahaja (kadang-kadang disebut sains empirik). Pendokong TRBP mahu mengubah takrif sains ini dengan menggantikan “tabiisme tatakaedah” (“naturalisme metodologi”) daripada sains itu kepada “nyataisme teis” (“realisme teistik”) atau, mengikut pengkritik TRBP, “aditabiisme tatakaedah”/ ”supertabiisme tatakaedah” (“supernaturalisme metodologi”), yang maknanya kepercayaan pada transiden, matra/dimensi tidak tabii pada kenyataan (realiti/realitas) yg ditunjukkan oleh tuhan yang transiden dan bukan tabii itu. Pendokong TRBP berhujah bahawa penjelasan tabiis/naturalistik tidak berjaya menerangkan fenomenon tertentu tetapi penjelasan aditabii dapat memberi penjelasan yang simpel dan berintuisi bagi asal-usul hayat dan alam semesta menerusi “kekompleksan tak terturunkan” , “kekompleksan terspesifikasi” dan “penalaan halus pemalar fizik” itu.

Hujah-hujah ini menjadi senjata baru menyerang TEv dan sekutunya seperti TDB dan TAMbang itu. Sebelum ini karya-karya yang memberi hujah-hujah kefalsafahan dan kelemahan daya penjelasan dan peramalannya TEv dalam sains hayat dan geologi sahaja memang banyak (lihat umpamanya sorotan Shaharir 1995, Rematullah 1993, Osman Bakar 1987, yang menumpu kepada kontroversi matematiknya oleh Karlin (1979) dan Karlin & Lessard (2001), yang menumpukan kepada perspesktif Islam oleh Shaikh Abdul Mabud (1987, 1992), dan yang menumpu kpd buku-buku teks biologi sahaja oleh Wells 2002); tetapi yang barunya ialah yang dihubungkan dengan TDB-TAMbang seperti isu “penalaan halus” itu dan isu lain lagi yang dibangkitkan terutamanya oleh Behe dan Dembski yang telah disitasi sebelum ini. Senarai karya TRBP cukup banyak dan mencabar TDB-TAMbang dengan hebatnya (Lihat karya itu di Lampiran 6). Bagaimana hebatnya reaksi Barat terhadap TRBP ini dapat disaksikan daripada peristiwa-peristiwa berikut:

Peris0. Kemenangan pihak Kristian dalam pembicaraan mahkamah 1925 digambarkan oleh Holywood sebagai “pembicaraan Monyet” atau “mahkamah Kanggaru”.

Pris1. Pada 1987 lagi Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa mengajar Ciptaisme di sekolah awam adalah bertentangan dengan perlembagaan AS; dan baru-baru ini pula pada 20 Disember 2005, mahkamah Daerah di Daerah Tengah Pennsylvania AS memutuskan (setelah pihak berkuasa pendidikan didakwa oleh sekumpulan pelajar sekolah) tidak bolehnya sekolah awam di daerah tersebut mengajar TRBP sekalipun di samping pengajaran TEv dan sebagainya.

Pris2. Penerbitan mereka yang membalas pandangan TRBP yang diwar-warkan daripada jaguh-jaguh evolusis seperti Dawkins (2004, 2005, 2006), Miller (2000) dan pengkritik TED asli yang terkenal Gould (dengan teori Evolusi ubah suai, teori keseimbangan berliang 1979 yang dapat dilihat dalam dua buah karyanya yang masyhur yang diulang cetak 2002 dan 2007) di samping adanya tekanan tidak rasmi pada penulisan TRBP atau anti-TEv sehingga ada makalah tentang sorotan TRBP sahaja pun mulanya diterima oleh sebuah jurnal tetapi kemudiannya menarik balik persetujuan menerbitkan makalah tersebut (Internet). Gould diletakkan oleh seorang pemuka TRBP yang dikenali umum, Dembski (2000) sebaris dengan Dawkins sebagai penentang TRBP dengan memetik pandangan Gould (1980) dan Pinnock (2001: 670) yang menyangkal peranan tuhan dalam kejadian alam biologi. Mengikut Sober (2007) Gould (1980) berhujah menetang TRBP dengan katanya “Jika pereka bentuk pintar bertanggungjawab pada panda, Dia memberi alat yg lebih berguna drp ibu jari-kontot yang ada pada panda itu untuk menyiat buluh bagi makanannya.” Penerbitan dalam majalah sains popular seperti Scientific American dan malah Physics Today begitu jelas memihak kepada penentangan TRBP (Lihat umpamanya Scientific American alaf ini: Julai 2007, Mac 2005, Julai 202, Jan 2001; dan Physics Today alaf ini: Feb 2007, Oct. 2006, April 2005, Sept 2005, Aug 2004, Nov 2003, Feb 2002, Sept. & Nov. 2002, Feb 2001). Contoh yang dilakukan oleh Scientific American menyiarkan tulisan Shermer (2006) menarik dicatatkan di sini lagi. Dalam makalah itu itu Shermer memetik jajak (pandangan umum, pol) yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew 2005 AS (yang dilaporkan oleh Shermer 2006 dalam majalah sains popular, Scientific American) 70% Kristian Evangelis tidak percaya pada TED tetapi hanya sekitar 30% Protestan dan Katholik yang bersikap demikian; manakala 60% Republican ciptais dan hanya 11 % menerima TEv, sedangkan di kalangan Democrat hanya 29% ciptais dan 44% menerima TEv. Pandangan umum Harris memberi 63% liberal dan 37% konservatif percaya TEv. Shermer pun membuat kesimpulan bahawa agama dan politik menentukan pendirian seseorang terhadap TEv. Beliau seterusnya menggesa pembaca (rakyat AS atau umat Kristian) supaya menerima TEv kerana 6 sebab: Evolusi cocok benar dengan teologi yang bagus, ciptaisme adalah teologi yang buruk, evolusi menjelaskan dosa asli dan model Kristian tabii manusia, evolusi menjelaskan nilia-nilai keluarga/famili, evolusi memberi akaun rukun-rukun/presep-presep moral Kristian spesifik, dan evolusi menjelaskan ekonomi pasaran-bebas konservatif. Sementara itu majalah terkenal Time keluaran August 2005 menganggap TBRP menjadi isu besar dunia lalu menjadikan keluaran bulan tersebut sebagai pumpun/fokus utamanya tetapi jelas tidak menyorok pendiriannya untuk bersikap neutral malah nampak memihak kepada lawan TRBP. Buku-buku terbitan TRBP yang disenaraikan di Lampiran 6 itu pun tiada sebuah pun yg diterbitkan oleh penerbit buku ilmiah yang terkenal seperti Springer, Academic Press, Prentice Hall, Wiley, World Scientific, Williams and Wilkins, Hodder and Stoughton, Butterworth, OUP, CUP, dan sebagainya kecuali sebuah buku Dembski dan Ruse (2004) itu, tetapi sebaliknya yang berlaku pada buku yang menentang TRBP.

Pris3. Reaksi yang banyak drp persatuan sains di AS, Kanada dan Australia (sehingga di peringkat Akademi Sains Negara masing-masing: The Academy of Science USA, The Academy of Science of the Royal Society of Canada, dan The Australian Academy of Science mengisytiharkan betapa bukan sainsnya TRBP itu. Mengikut Wikipedia di internet, pada Oktober 2005 sebuah koalisi persatuan ahli sains dan guru sains yang mewakili lebih drp 70 ribu ahli sains Australia dan para guru sains mengeluarkan pernyataan bahawa TRBP bukannya sains dan sekaligus meminta semua sekolah di Australia tidak mengajar TRBP sebagai sains kerana “kegagalannya memenuhi semua sifat teori sains.”


Pris4. Para sekularis berjaya mendapat pendirian akhbar rasmi Vatican, L’Osservatore Romano, yang memetik pandangan ahli evolusi Italia, Facchini, dan juga pandangan seorang pembesar Vatican, Rev. George Coyne, Pengarah Jesuit Balai Cerap Vatican dan seorang ahli astronomi yang agak disegani, yang kedua-duanya berpendapat RBP bukannya sains. Ini kemenangan sekularis terhadap musuhnya agamawan, walaupun pendirian ini dilaporkan bertentangan dengan pandangan Papus Benedict XVI sendiri dalam pernyataannya pada akhir tahun 2005 (yang dilaporkan oleh Associated Press 18 Nov 2005 & 19 January 2006 dalam Internet 1). Pendirian Papus Benedict ini sealiran dengan Presiden Bush yang dilaporkan oleh Washington Post 3 August 2005 yang berpendapat RBP patut diajar di sekolah sebagai alternatif kepada teori sains lain.

Pris5. Mengikut Wikepedia di Internet, dalam 2005-2006 penentang TRBP mendapatkan lebih 10,000 gerejawan menanda-tangani sebuah memorandum berjudul Clergy Letter Project (Projek Warkah Gerejawan).

Pris6. Mengikut Wikepedia juga, penentang TRBP juga mendapat khidmat para ahli sains masyhur yang dianggap sebagai penganut Kristian yang kuat seperti ahli astronomi George Coyne (dengan karyanya 2005, 2006, 2007 yang selalu dipetik oleh pihak lawan TRBP) tetapi menjadi penentang kuat TRBP. Pada September 2005, para penentang TRBP berjaya mengumpul 38 orang pemenang Hadiah Nobel yang mengeluarkan pernyataan bersama bahawa “TRBP tidak bersifat sains secara asasinya, tidak boleh diuji sebagai teori sains kerana kesimpulan utamanya berasaskan pada kepercayaan pada intervensi agen aditabii/supertabii”.

Pris7. Sambutan TRBP di negara-negara Eropah agak berbeza sedikit daripada yang di AS tetapi natijahnya tetap sama, iaitu komuniti sains sekular dan sekutunya tidak senang dengan TRBP yang nampaknya sedang mendapat momentum baru. Contohnya, mengikut Wikepedia di internet, apabila Jabatan Pendidikan dan Kemahiran UK mendapat tahu ada 59 buah sekolah awam dan sekolah agama di UK memiliki DVD yang diedarkan oleh kumpulan bernama Truth in Science yang diterbitkan oleh institusi yang ada hubungan dengan institut yang mengembangkan TRBP di AS, maka Jabatan tersebut mengeluarkan kenyataan rasminya menegaskan tiadanya Ciptaisme atau TRBP yang diajar sebagai satu subjek di sekolah, dan kedua-dua istilah itu tidak juga disebut dalam kurikulum sekolah. Kemudian Jabatan ini menyatakan TRBP tidak diiktiraf sebagai teori sains; dan oleh itu teori itu tidak dimasukkan ke dalam kurikulum sains. Namun, pada masa yang sama Jabatan itu menyatakan juga bahawa TRBP boleh dijelajahi dalam pendidikan agama sebagai sebahagian drp usaha membangunkan kefahaman kepercayaan-kepercayaan yang berbeza. Di Australia, keadaannya lebih kurang sama dengan di UK. Entah bagaimana latar belakangnya, Menteri Pendidikannya, Brendan Nelson 2005 membangkitkan persoalan perlu-tidaknya TRBP diajar dalam sains sekolah lalu beliau mendapat bangkangan daripada sebahagian rakyat awam Australia; dengan cepat pula beliau menjawab bahawa tempat yang sesuai subjek ini didedahkan, jika mahu diajar, ialah dalam kelas agama dan falsafah. Rancangan Menteri Pendidikan Belanda , Maria van der Hoevan 2005 untuk memulakan perbahasan akademik tentang TRBP telah menimbulkan perpecahan awam yang parah di negara tersebut. Selepas pilihan raya Belanda 2007, beliau diganti oleh Ronald Plasterk, seorang ahli genetik molekul, yang terkenal dengan ateis yang kuat dan sekaligus penentang TRBP. Beliau mendapat sokongan daripada Kardinal Katolik Roma, Christoph Schoenborn, walaupun yang lain kuat menentangnya.

Peris 8. Pemecatan beberapa orang sarjana yg menyokong TRBP, atau pun menentang TRB di tempat yang tidak sesuai: Pemecatan jawatan seorang profesor sebuah Kerusi di Jabatan Pendidikan di Kansas Univ. AS pada 2005 kerana pendiriannya terhadap TRBP dan mahu memperkenalkan kursus yang mengandungi TRBP. Pemecatan Rev. Prof. Coyne sebagai Pengarah Pusat Pencerapan Astronomi di Vatican kerana pendiriannya menetang TRBP dan menyokong kuat TED yang bertentangan dengan pendirian Papus sekarang.
Di AS, kontroversi TRBP sejak 1980-an lagi berkisar pada tiga isu:

Bolehkah TRB dianggap sains? Jika TRB memang sains adakah dalil yg menyokongnya dan penjelasan yg berkaitannya tentang sejarah hayat di muka bumi ini?, dan jika jawabanya negatif kpd kedua-dua isu di atas, adakah pengajarannya wajar dan mematuhi perundangan dalam pendidikan awam khususnya dalam kurikulum sains?

Mengikut Wikepedia di Internet, para penentang TRBP menyenaraikan sifat-sifat teori yang berikut yang mesti dipenuhi sebahagian besarnya supaya teori itu bertaraf sains untuk menjadi asas penilaiannya terhadap kesainsan TRBP:

STS1. Tekal secara dalaman dan luaran
STS2. memenuhi prinsip parsimoni atau pisau cukur Occam , iaitu simpel.
STS3. Berguna, iaitu berdaya perihalan, penjelasan dan peramalan
STS4. Terujikan secara empirik dan terpalsukan.
STS5. Berasaskan banyak cerapan biasanya dalam bentuk ujikaji berulang dan terkawal
STS6. Terbetulkan dan dinamik, iaitu perubahan dilakukan sesuai dengan data baru ditemui)
STS7. Progresif, iaitu mencapai semua perkara yang dicapai oleh teori sebelumnya dan ada pula yang baru.
STS8. Kesementaraan, iaitu menerima hakikat teori itu tidak bertaraf pasti dan mungkin perlu diganti lagi dengan yang baru

Para penentang TRBP berhujah bahawa TRBP tidak memenuhi hampir semua sifat di atas. Inilah yang digunakan oleh hampir semua pihak yang tidak bersetuju dengan TRBP yang dipaparkan natijahnya dalam Pris1-Pris8 di atas. Jelas STS1-STS8 itu bertentangan dengan tabii sains yang tidak normal (mengikut istilah Kuhn) seperti TRBP itu.

Mengikut Wikepedia di internet juga, pengkritik TRBP juga mengatakan teori itu tidak memenuhi kriterium “dalil sains” (”keterangan sains”) yang digunakan oleh kebanyakan mahkamah AS, yang dikenali sebagai Piawai Daubert. Piawai ini menentukan dalil (keterangan) yang boleh dipertimbang sebagai dalil sains atau tidaknya mengikut kriterium berikut:

KD1. Landasan teori bagi kaedah-kaedah mestilah menghasilkan ramalan yang terujikan menerusi cara yang membolehkan teori berkenaan itu terpalsukan
KD2. Kaedah-kaedah itu lebih dikenani lagi jika diterbitkan dalam jurnal yang diresensi/disorot oleh rakan sepakaran
KD3. Perlulah ada kadar ralat yang diketahui yang boleh dipakai untuk menilai hasil-hasilnya.
KD4. Kaedah-kedah sepatutnya diterima umum dalam komuniti ahli sains yang berkenaan.

Jelas juga KD1-KD4 itu sesuai untuk sains normal sahaja, dan oleh itu tidak hairanlah tidak berlaku pada TRBP. Dalam membuat keputusan pembicaraan kes patut-tidaknya TRBP diajar di sekolah daerah Dover AS pada 20 Disember 2005, hakim berkenaan mengatakan “Kami membuat kesimpulan bahawa TRBP bukannya sains, dan lebih drp itu lagi TRBP tidak boleh dipisahkan daripada ciptaisnya, dan oleh yang demikian berbau agama, dan anteseden”.

Mengikut Wikepedia di Internet, Ciptaisme mendapat tempat politik yang besar di negara-negara Muslim dan sarjananya ada yang berkongsi dengan Institute for Creation Research di AS. Ini tidaklah begitu benar, sekurang-kurang tidak berlaku di negara-negara Muslim di Asia Tenggara ini. Pandangannya bahawa TRBP belum mendapat perhatian para sarjana dari negara Muslim juga tidak benar. Teori ini selalu disebut oleh sarjana-sarjana Muslim di forum-forum yang membicarakan “pengIslaman ilmu” tetapi benarlah tiada yang melakukan hubungan akademik dengan kumpulan TRBP itu. Ini disebabkan kegiatan “pengIslaman ilmu” bukan sekadar mengkritik ilmu-ilmu Barat semasa yang tidak berkait dengan agama (Islam terutamanya) seperti yang dilakukan oleh golongan ciptais dan penyumbang/penyokong TRBP di Barat itu, tetapi memperbaiki atau membina semula ilmu yang dikritik itu berasaskan pada sistem nilai Islam. Kumpulan ciptais dan RBP tidak melakukan demikian.

5.2. Lihat sambungannya nanti...

Monday, November 5, 2007

Tindakan Balas Sarjana Muslim terhadap Teori Einstein

4. Tindakan Balas Sarjana Muslim Terhadap Model Alam Semesta yang Berasaskan Teori Einstein

Pertamanya, selain daripada Iqbal (1934/2004 yang terjemahan Melayu Indonesianya 1982 dan 2002) dan Shaharir (1987/2000, 2004a, 2006a,b, 2007b) tiada penulis Muslim lain yang mengkritik kelemahan Teori Einstein (TEn) terutamanya dari aspek sistem nilainya atau Islam. Iqbal (1934/2004; berasaskan siri kuliahnya di UK dalam tahun 1920-an lagi; karya beliau yang lain ditulis dalam bahasa jiwanya, Urdu) adalah sarjana Islam yang pertama yang mengkritik model alam semesta statik Einstein semata-mata berdasarkan Ayaht-Ayaht al-Qur-'aan yang padanya menunjukkan alam semesta ini dinamik kerana kedinamikan masa. Shaharir (2007b) telah pun mengupas hampir segala tulisan yang mengeyakan keesahan/kebenaran TEn sempena beliau menyorot sebuah buku baru dalam bahasa Melayu Indonesia yang dianggapnya mendewa-dewakan keunggulan teori tersebut tanpa cacat-celanya lagi itu. Di sini kupasan tersebut tidaklah sesuai dipaparkan lagi, kerana di sini penumpuan kupasan diberi kepada penerapan TEn ke dalam kosmologi pula. Kontroversi tentang tafsiran kepada data cerapan Hubble 1929 dan Penzias-Wilson 1965, dan oleh itu keperluan model alam semesta statik yang lebih baik daripada model asal Einstein langsung tidak mendapat tempat dalam buku-buku teks kosmologi. Ilmuwan Muslim seluruh dunia cepat begitu yakin dengan kebenaran TDB tanpa kesedaran yang mendalam akan betapanya teori itu serasi bahkan mengukuhkan Teori Evolusi (TEv) sedangkan secara ijmaknya, TEv itu tidak disetujui oleh ilmuwan Islam termasuk yang menyokong TDB itu! (Lihat sorotan tentang tindakan balas ilmuwan Muslim terhadap TEv oleh Remtulla 1993, dan sensasi barunya oleh Harun Yahya 1999/2005 yang menentang TEv tetapi berkarya (Harun 2005 & t.t) menyokong kuat TDB (Teori Deguman Besar).

Achmad Baiquni (1995: 147) yang diulanginya dalam karya beliau 1997 dan sebuah lagi tanpa tahun (t.t) itu, seorang ahli sains fizik nukleus di Indonesia yang disegani masa hidupnya (hidup sehingga 2003), dan amat perihatin kepada Islam, berpendapat walau apa pun hasilnya, model alam semesta Einstein bertentangan dengan Islam berasaskan kefahamannya kepada al-Qur-aan Ayaht 47, Suraht al-Zaariyaht (51): “Dan langit Kami bangun dengan kekuatan, dan Kamilah yang meluaskannya”, yang kononnya jelas menunjukkan alam ini tidak statik. Dengan tafsiran Ayaht ini dan Ayat 104, Surah al-Anbiya’ (21): “Pada hari Kami kecutkan samawi seperti kecutan lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya…….”, dan Surah al-Anbiya (21), Ayaht 30: “Adakah orang-orang yang tidak beriman tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu pada awalnya bersatu, kemudian Kami pisahkannya?…..” Pandangan seperti Achmad Baiquni ini (sebelum dan selepasnya) serupa sahaja dengan pendirian sarjana, cendekiawan atau penulis popular Muslim seluruh dunia dan sebagai contoh wakilnya ialah Harun Yahya (2005, t.t) penulis Turki yang cukup popular sekarang; Sulaiman (1989/1999) dan Mohd Abbas (1993), dua orang sarjana Malaysia yang tidak asing lagi; Iqbal (2004: 8, 44) dan Muhammad Asad (1980: 805, note 31), dua orang ahli falsafah Islam yang disanjung seluruh dunia, semuanya menyokong hipotesis “alam mengembang” dengan hujah-hujah yang sama. Sa‘id Hawa (1986: 278; 1985: 5529) pula, yang boleh dianggap mewakili ulama, berhujah secara nahu bahasa Arab sahaja terhadap Ayaht 21:30 bagi menegakkan teori “Deguman Besar” (dan sekaligus tidak disedarinya “Teori Evolusi”) yang juga bersifat amat reaktif dan didorongi amat sangat oleh perasaannya untuk menyokong teori yang sedia ada sahaja itu yang tidak pula beliau begitu mendalaminya, atau menggalakkan umat Islam mendahului umat lain dalam membuat kajian terhadap asal-usul kejadian alam ini.

Namun terjemahan-tafsiran lain (“Al Quraan dan Terjemahnya”) lain pula. Umpaamnya tentang 51:47 itu, “Dan langit itu Kami bangun dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya kami benar-benar berkuasa”, yang tidak pula menunjukkan alam ini tidak boleh statik! Begitu juga dengan 21:104, “Pada hari Kami gulung langit sebagai menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana kami telah mulai penciptaan pertama begitulah kami akan mengulanginya….” pun tidak semestinya tidak boleh ditafsirkan alam semesta ini tidak mengembang? Terjemahan 21:30 oleh oleh Mahmud Yunus (1969/1992), “Tafsir Quran Karim” itu pun agak lain: “Tiadakah orang-orang kafir mengetahui bahawa beberapa langit dan bumi adalah keduanya bertaut (bersatu), lalu kami belah keduanya? …” Terjemahan al-Qur’aan oleh penterjemah pertama di Pascabima ini, Abdul Rauf Singkel & Baba Daud pada 1671 dahulu lagi menarik kerana ketika itu tiadalah “Teori Alam Mengembang” ini. Terjemahan mereka terhadap 51:47 ialah, “Dan Kami binakan langit itu. Kami binakan dia pada hal dengan kuat Kami dan bahawasanya Kami jadikan akan dia luas”, manakala Ayaht 21:104 pula ialah “Sebab itu olehmu ya Muhammad hari yang kamu gulungkan langit seperti gulung oleh segala malaikat bernama Sijjil akan Kitab Shohifaht anak Adam tatkala matinya seperti yang telah Kami melalui pertama menjadikan segala makhluk daripada tiada kepada ada lagi akan Kami kembalikan ia kemudian daripada tiadanya yang telah Kami janjikan dengan satu janji atas kamu bahawasanya kamu berbuat akan barang yang kamu janjikan itu.” dan Ayaht 21:30, “Tiadakah diketahui segala mereka itu yang telah kafir itu bahawasanya tujuh petala langit itu dan bumi telah ada keduanya tertempat. Maka kami jadikan langit itu tujuh petala dan bumi itu pun tujuh petala dan telah kami jadikan daripada air yang turun dan yang terbit dari bumi itu tiap-tiap suatu hidup. Maka tiadakah kiranya mereka itu percaya dengan mentauhidkan daku?”; yang setiap satunya jelas tidak mengajak seseorang yang tidak dipengaruhi oleh TAMbang atau TDB untuk menyokong teori-teori ini dengan Ayaht-Ayaht ini.


Lebih menarik lagi, ialah tafsiran-tafsiran Suraht 21:30 oleh ulama-ulama Zaman Nabi dan Zaman Tamadun Islam dahulu yang teori kosmologinya lagi penuh mitos Arabs, Yunani, dan sebagainya; Oleh itu tafsiran mereka dipengaruhi oleh keadaan ilmu pengetahuan masa itu pula, seperti yang dirakamkan oleh Hamka (1965/1983-84) dalam “Tafsir al-Azhar” beliau itu. Hamka sendiri menterjemah Ayaht itu sebagai “Dan apakah tidak melihat orang-orang yang kafir itu bahawasanya langit yang banyak dan bumi itu dahulunya adalah sekepal, lalu Kami pisahkan di antara keduanya,….”. Pemilihan kata “sekepal” itu jelas tafsiran Hamka sendiri, walaupun beliau sendiri nampaknya tidaklah beriltizam menyokong “Teori Alam Mengembang” malah cenderung kepada berpandangan tafsiran al-Qur’aan tentang sains hanya benar nisbi masa sahaja, iaitu berubah mengikut perubahan sains. Pendirian ini pun dipengaruhi oleh hakikat Muslim zaman ini bahawa pentafsir al-Qur’aan bukannya seorang ahli sains dan oleh itu sentiasa mengekori ahli sains Barat sahaja.

Tafsir yang dibentangkan dengan panjang lebarnya oleh Hamka ialah tafsir Ibn Kathir (yang hidup pada abad ke-8H/15M) yang melaporkan tafsiran Ibn ‘Abbas, Abu Saleh dan Said bin Yubair bahawa Ayaht itu bermaksud dahulunya langit itu satu sahaja lalu dipisahkan oleh Tuhan menjadi tujuh, dan bumi itu pun satu lalu dipisahkan kepada tujuh juga tetapi langit dan bumi itu memang terpisah tetapi berdempetan sahaja sehingga apabila langit itu diangkat naik barulah bumi itu tersembul. Itulah katanya yang dimaksudkan Allah memisahkan langit dengan bumi itu. Hamka juga memaparkan tafsiran al-Qurthuby (abad ke-12M) yang mengatakan langit dan bumi dijadikan oleh Tuhan sendiri dan masing-masingnya kemudian dipecahkan kepada tujuh petala secara berturutan dengan ada nama-nama khas untuk beberapa petala bumi, iaitu Ru’aa, Dakmaa, dan seterusnya ….Mad dan ’Aribah masingnya petala bumi pertama, kedua, … keenam dan ketujuh. Semua tafsir klasik ini adalah sipi-sipinya sahaja dengan teori kejadian alam semesta sekarang. Namun yang jelasnya, mengikut tafsiran ini, bumi ini daripada asal lagi terpisah daripada yang lain, dan segala kejadian pemisahan itu (yang mungkin hendak ditafsirkan sebagai alam mengembang itu) telah berlaku, iaitu sekarang sudah tidak berubah lagi atau mantap sahaja. Mengikut Hamka lagi Ayaht asal al-Qur’aan ini memang kala lepas, fi’il madzi, tetapi katanya boleh juga merujuk kepada kala akan datang. Jika demikian oleh kerana semua petala itu sudah siap, dan Tuhan masih mencipta sepanjang masa seperti yang fahami oleh mutakallimun itu, maka tafsiran klasik ini mengesyorkan alam mantap lebih sesuai daripada alam mengembang.

Mengikut sarjana besar Melayu abad ke-17M, Nur al-Din al-Raniri (1639) yang dibicarakan lebih terperinci lagi pada seksyen terakhir makalah ini kejadian alam semesta ini tiada menunjukkan berlakunya secara evolusi (hanya selama 6 hari sahaja, daripada al-Qur-‘aan) dan tiada juga semacam Deguman Besar itu berlaku tetapi dengan “tilik muhibbaht” atau “tilik hebat” Tuhan sahaja. Menarik juga rasanya untuk disebut di sini bahawa “langit” pada al-Raniri ialah lapisan kedudukan “bintang” (planet sekarang) mengikut model alam semesta yang berpustakan Bumi (iaitu pra-Kopernigh bagi Barat dan pra-alShatir bagi Tamadun Islam): Bulan di langit pertama,…., Matahari di langit keempat,…. hingalah Zuhal di langit ke-7 (lihat Jadual 1, seksyen 2).

Persoalan sejauh manakah seseorang Muslim sekarang (yang telah lama tidak berminat atau memberi sumbangan kepada ilmu falak, astronomi dan kosmologi) patut-tidaknya menggunakan al-Qur’aan bagi membicarakan pandangannya atau pandangan Islam terhadap sesuatu teori/isu penemuan sains ini telah lama menjadi perbahasannya walaupun kemuncaknya ialah 1990-an (di Malaysia) menerusi projek “PengIslaman Ilmu” atau “Islamisasi Ilmu”. Ada pandangan seperti yang diwakili oleh Abdul Rahman 2006 (menerusi akhbar perdana Malaysia) yang tidak bersetuju langsung usaha seseorang memadankan ayaht-ayaht al-Qur’aan dengan sains moden kerana sains moden berubah sedangkan al-Qur’aan berubah. Ini hujah biasa yang disuarakan di seminar-seminar di Malaysia sejak tahun 1980-an dahulu lagi sehingga menimbulkan istilah Bucailleisme itu. Yang berbezanya kali ini suara itu dibaca oleh ratusan ribu pembaca akhbar perdan itu dan tentunya amat mempengaruhi Muslim di Malaysia. Rasanya agak keterlaluan jika kita takut memberi pendapat menerusi kefahaman kita tentang sains dan al-Qur’aan walau pun sains itu ciptaan orang Islam, apatah lagi sains ciptaan bukan orang Islam. Yang menjadi masalahnya, ialah iktikad pengulas sains itu sendiri. Dia perlu menganggap sains itu dipengaruhi nilai (agama ahli sains itu: majoritinya ateis atau apeduli agama!) dan bukannya tiada kelemahannya. Atas iktikad ini sudah tentu seseorang Islam yang mempunyai nilai yang bitara dalam segala hal akan lebih menilai sains Barat (yang membawa nilai ahli sains yang ateis atau apeduli agama) itu dengan lebih berhati-hati, iaitu penilai sains itu tidak cepat untuk akur sahaja kerana “takut” (termasuk takut dituduh “ketinggalan zaman”, “konservatif” dan sebagainya) atau yang lebih teruk lagi “bebal” (jahil tetapi sentiasa mahu mengeluarkan pendapat kerana menganggap dirinya “tahu”). Dengan berbuat demikianlah maka kita memupuk daya kritis dan daya pengaryaan pada diri kita dan masyarakat terpelajar kita dan lambat laung kita pula boleh terpanggil untuk menjadi penyumbang kepada ilmu itu; jika tidak kita hanya menjadi pengakur, pak angguk, pak turut dan pok-ko (istilah Kelantan untuk cicak koben) sepanjang zaman.
5.... bersambung.

kritikan Sarjana Barat terhadap TDB

3. Kritikan Spesifik Beberapa Orang Sarjana Barat terhadap Teori Deguman Besar

Suara pihak yang tidak bersetuju dengan TDB (Teori Deguman Besar) memang telah muncul sejak 1970-an lagi atas pelbagai sebab yang dibicarakan nanti. Namun suara ini mendapat pembesar suaranya yang pertama menerusi majalah ilmiah Barat yang berprestij Nature pada 1989, kerana kebetulan penyunting majalah tersebut ketika itu, John Maddox, adalah sarjana yang tidak bersetuju dengan TDB. John Maddox mencipta slogan “Hancurkan Deguman Besar” kerana katanya, “Selain drp tidak boleh diterima secara falsafahnya, DB itu pandangan yg terlampau dimudah-mudahkan tentang bagaimana alam semesta bermula, dan teori itu tidak mungkin dapat bertahan selepas sedasawarsa ini.” (Nature 340, August 10, 1989). Bahagian awalnya, pandangan Maddox ini memang benar tetapi luahan emosinya di bahagaian akhir kata-kata beliau itu meleset kerana TDB masih besar pengaruhnya hingga sekarang walaupun kekuatan sains TDB benarlah semakin menurun sehingga muncul Kumpulan Kosmologi Alternatif pada 2004 di UK dan adanya persidangan khas pertama tentang kosmologi alternatif pada 2005 bernama “Persidangan Krisis Kosmologi I” yang diadakan di Portugal.
Para pendokong TDB yang hingga kini pun ramai yang hanya bertaqlid sahaja (hampir semua pendokong Muslim) mungkin berubah sedikit pendiriannya jika mereka mengetahui dan menginsafi kelemahan TDB itu. Karya terbaru yang mempersoalkan kewajaran TAMbang umapamanya ialah karya Gron & Elgaroy (2007) dan karya-karya lain seumpamnya cukup banyak seperti yang dibicarakan selanjutnya ini. Senarai kelemahan TDB memang banyak dan mudah didapati dalam internet sahaja dengan meminta “weaknesses of the big bang theory” atau “kelemahan teori dentuman besar” yang dapat ditelaah dengan terperincinya dalam karya yang khusus mengkritik TDB oleh para sarjana sekular atau apeduli agama pun, serta oleh sarjana-sarjana Kristian. Antaranya kelemahan yang disuarakan oleh para ahli kosmologi Barat sendiri itu ialah yang berikut:
LTDB0. TDB mengimplikasikan TED dan oleh itu oleh secara tabiinyalah segolongan sarjana keagamaan (terutamanya Kristian, Yahudi, Islam) menentangnya atas dasar penolakannya terhadap TED itu. TED juga mengimplikasikan alam semesta ada permulaannya yang tidak disetujui oleh sebahagian sarjana ateis. Ada yang menolak kerana dengan ada permulaan itu perkiraannya menunjukkan tidak cukupnya masa bagi alam semesta ini ber-evolusi menjadi tahap seperti sekarang ini. Ada yang menolak berasaskan “hujah kosmologi”: Setiap yang bermula mestilah bersebab yang berbau agama dan tidak disukai bukan sahaja oleh ateis. Ada yang menyedari bahawa TDB itu bertentangan dengan Hinduisme (tarikan kepada nilai daripada Hinduisme memang perkara biasa berlaku pada sarjana Eropah, malah “bapa kedua” MQ, Schroedinger dikatakan demikian dan meresap masuk ke dalam formulasi MQ beliau). Ada pihak yang tidak senang adanya DB itu kerana mereka mempersoalkan dimanakah Tuhan dan apakah yang Tuhan buat sebelum DB berlaku, dan sekali pula mempersoalkan creatio ex-nihilo (kejadian drp kosong) itu.

LTDB1. Tidak dapat menjelaskan beberapa sifat asas alam semesta seperti yang berikut:


LTDB1.1. Kenapa alam semesta awal begitu tinggi darjah isotropinya? Kenapa suhu sinaran latar belakang mikrogelombang kosmos (SiLaM) begitu sekata?
Kenapa foton SiLaM datang daripada rantau-rantau yang tak berkait?
(Ini dikenali sebagai “masalah ufuk”).

(SiLaM dianggap satu daripada tiga perkara asas yang digunakan untuk mentafsir berlakunya TDB, dan inipun tidaklah disetujui oleh semua ahlinya (Marmet 1988). Dua lagi ialah anjakan merah galaksi jauh (yang terkenal menerima kritikannya) dan belanarnya unsur-unsur ringan yang dicerapi (khususnya helium dan hidrogen berat) yg menunjukkan kononnya unsur-unsur ini memang “dimasak” sejak mula DB itu. Mengikut TDB, pada mulanya alam semesta ini amat panas dan apabila alam itu berkembang dengan pantasnya (dikenali sebagai model inflasi) iaitu sekitar sefaktor 1022 per 10-30 saat, dan suhu sinarannya susut sehingga sejak 1992 dianggarkan sekitar 3 K sahaja. SiLaM isotropi pertama kali ditemui oleh Penzias dan Wilson 1965 dan pada 1992 sekumpulan penyelidik di NASA melaporkan bahawa data daripada satelit COBE (Cosmic Backgroud Explorer), yang khusus dilancarkan bagi tujuan membuktikan TDB-TAMbang, mengesani SiLaM anisotropi yang digelintari, akibat model inflasi itu. Pada 2003 ujikaji BOOMERanG (Balloon Observations of Millimetric Extragalactic Radiation and Geophysics) di Antartica sejak 1997 yang juga khusus untuk mengesan SiLaM menerbitkan data-data yang dikatakan selari dengan data COBE itu. Begitu juga dengan projek MAP (Microwave Anisotropy Probe) di NASA yang dilancarkan pada 2001). John Mather (NASA) dan George Smoot (Univ. of Calif) dianugerahi Hadiah Nobel 2006 kerana “penemuan mereka tentang bentuk jasad hitam dan anisotropi SiLaM)
LTDB1.2. Bagaimanakah boleh berlakunya galaksi-galaksi boleh terbentuk daripada satu keadaan alam semesta dahulunya begitu tinggi isotropinya? Bagaimanakah ketaksekataan rambang dalam alam semesta mengembang boleh mengizinkan pembentukan galaksi? (Masalah pembentukan galaksi atau struktur skala besar)

LTDB1.3. Kenapakah ketumpatan tenaga dalam alam semesta cuma cukup untuk merentangi satah (ruang Euklidan?). Kenapakah cerapan menunjukkan banyaknya jirim dalam alam semesta ini adalah sekitar sebanyak yang genting yang diperlukan untuk memberhentikan pengembangan itu? Kenapakah syarat awal yang tak berkenyataan diperlukan, iaitu sebaik sahaja selepas deguman besar itu, ketumpatan jirimnya semestinya sama dengan ketumpatan genting sehingga pada 50 tempat perpuluhan? (Masalah kesatahan/kedataran)

LTDB1.4. Kenapakah adanya bintang-bintang yang nampaknya lebih tua drp alam semesta? (Masalah umur alam)

LTDB1.5. Bagaimana boleh berlaku nisbah antijirim dng jirim begitu kecil?

LTDB2. Bagaimanakah DB berlaku atau bagaimana sebelumnya? Bahagian yg susahnya menjawab soalan ini ialah dengan teori graviti kerana pada awal kejadian DB dahulu suhu dan tekanan begitu tinggi hingga hukum-hakam fizik tidak diketahui.

KelTDB3. Bagaimanakah model alam semesta drp TEn ini boleh diterima sedangkan model itu tidak mengambil kira MQ yang dianggap memerintah alam semesta ini pada masa kejadiannya?

LTDB4. Andaian AMbang dalam TDB itu hanya satu tafsiran daripada cerapan ajakan merah daripada cerapan radioastronomi oleh Hubble itu. Banyak penjelasan cara lain lagi yang boleh menjelaskan cerapan itu dengan hujah-hujah lain yang lebih teguh lagi seperti menerusi fenomenon anjakan merah, kejadian ledakan besar itu sendiri, dan kehadiran unsur deutreum, helium-3 dan letium-7 dan lain-lain (sila lihat Shaharir 2005).

LTDB5. Cerapan yang baru-baru selepas 1980-an hingga kini, banyak yang tidak dapat dijelaskan menerusi TDB, malah banyak pula yang bertentangan dgn ramalan TDB itu.

LTDB6. TDB tidak dapat menjelaskan asal-usul alam semesta atau objek-objek bererti di dalamnya (seperti galaksi, bintang, planet dan manusia). TDB tidak mengandungi sebab tabiis yang tekal atau kredibel untuk menjelaskan benda yang dilihat di alam semesta ini.

LTDB7. TDB mengandungi banyak kelemahan falsafah yang behubung dengan ontologi baik daripada perspektif keagamaan wahyu atau sekularisme sekalipun.

LTDB8. Tabii tenaga gelap dan jirim gelap tidak dapat dijustifikasikan menerusi TDB.

LTDB9. Semua dalil berlakunya DB, lohong hitam, tenaga gelap dan jirim gelap bergantung pada satu anggapan yang genting, iaitu bahawasanya Persamaan Einstein (2) itu masih berlaku apabila diekstrapolasi daripada kondisi-kondisi tercerap sederhana kepada situasi-situasi ekstrim yang tidak tercerap, sedangkan Persamaan Einstein (2) diperoleh di luar drp pertimbangan ini.

LTDB10. Teori tetali (yang begitu menjanjikan kekuasaannya mengatasi model zarah yang dianggap sudah gagal) menunjukkan TDB tidak mungkin berlaku.

LTDB11. Banyak teori alternatif kpd TDB yang diutarakan oleh gologan teis atau bukan teis, malah ateis pun.
[Karya ahli kosmologi alternatif ini dikatakan menghadapi rintangan memperoleh gran penyelidikan atau sokongan sahaja pun, dan sekatan penerbitan selumayan pihak yang mendokong TDB atau TAMbang sehingga mencetuskan KKA (Kumpulan Kosmologi Alternatif) di UK yang membuat surat terbuka kpd komunitinya yang ditanda-tangani oleh 33 orang ahli kosmologi termasuk Hermann Bondi dan disiarkam dalam New Scientist 2004 itu. Senarai sebahagian besar rujukan bagi teori alternatif itu dibincangkan kemudian. Seminar pertama dunia khas untuk perbincangan kosmologi alternatif di adakan pada 2005 berjudul “1st Crisis in Cosmology Conference (CCC-1): Challenging Observations and the Quest for a New Picture of the Universe” di Moncao, Portugal, 23-25 Jun 2005. Golongan ahli kosmologi teis pula membina teori yang dinamainya Teori Reka Bentuk Pintar (TRBP) yang tentunya menghadapi rintangan yang lebih besar lagi yang dibicarakan berasingan nanti]

Ahli-ahli kosmologi Barat sedang berusaha memperbaiki atau meninggalkan langsung TDB itu dengan menawarkan pelbagai teori barunya dan teori baru inilah yang nampaknya tidak diketahui langsung oleh para penulis Muslim hingga kini, malah asyik mengukuhkan TDB menerusi tafsiran Ayaht-Ayaht al-Qur-‘aan tanpa penglibatan secara langsung dengan penyelidikan bidang kosmologi. Ini dibicarakan dengan lebih rinci lagi kemudian.


TDB mengandaikan alam semesta ini baru, iaitu bermula pada suatu masa terhingga dahulu bermula 15 bilion tahun dahulu!). Schaefer (1994), seorang ahli kimia di AS yang dikatakan bertaraf pemenang Hadiah Nobel, berkata, sesetengah ahli sains terkenal menolak idea asal-usul alam semesta ini bermula pada satu masa terhingga dahulu berasaskan falsafah. Schaefer sendiri terkenal sebagai seorang kimiawan Barat yang lebai dan tawadhu’ Kristian dan oleh itu tidak hairanlah beliau condong tidak menyetujui TDB-TAMbang. Dalam makalahnya itu, Schaefer memberi contoh Eddington, seorang ahli fizik besar UK sezaman dengan Einstein yang dikatakan bertanggungjawab mengesahkan ujikaji pentahkikan TKnE (Lihat Shaharir 2004a tentang kesah manipulasi ujikaji ini), yang menolak idea alam semesta yang ada permulaan, kerana dia berasa ada sesuatu yang tidak kenanya dengan model alam semesta berasaskan TDB kerana model itu memerlukan masa ber-evolusi yang tidak terhingga lamanya untuk mempersaksikan alam semesta berada di tahap kini. Segi ajaran Islam, kejadian alam semesta ini semestinya ada permulaannya kerana hanya Tuhan sahaja yang tiada permulaan. Schaeffer sebagai penganut Kristian yang setia itu tentunya juga berpendirian begini. Namun sejak kebelakangan ini, Schaffer menegaskan bahawa TED (dalam sains hayat) boleh diterima sebagai teori yang tidak bercanggah dengan ajaran Kristian. Kemungkinannya beliau ingin menjaga jawatannya yang berprestij sebagai ketua penyelidikan projek Genom yang besar itu. Cerita bagaimana seseorang sarjana disingkir daripada jawatan pentingnya kerana pendirian ademiknya berlawanan dengan arus perdana memang tidak asing di AS sekali pun, seperti yang terbarunya berlaku pada seorang professor di Kansas University yang dilucutkan jawatannya sebagai ketua jabatan pendidikan kerana mengetengahkan sebuah kursus yang mengandungi TRBP (Skeptical Inquirer March 1, 2006, 30(2): 11-12).

Schaefer juga menyatakan sebab am penolakan seseorang terhadap idea alam semesta berpermulaan itu yang dikatakannya berasaskan pada “hujah kosmologi” (sejenis hujah falsafah): Setiap yang ada mulanya mestilah bersebab; oleh itu jika alam semesta ada masa mula wujudnya, maka alam semesta itu mesti ada sebab kewujudannya yang tidak disukai oleh sarjana Barat kerana berbau agama. Hujah ini mungkin sekali tidak relevan/terpakai bagi orang yang beragama walaupun Iqbal (1934/2004:23-25) menunjukkan “hujah kosmologi” (dan “hujah teleologi” dan “hujah ontologi” memang gagal membuktikan kewujudan Tuhan! Namun mungkin sekali penentangan Barat kepada TDB ini tidak disedari umum, termasuk sarjana/penulis Muslim seluruh dunia.


Schaefer juga menyebut betapanya TDB bukan sahaja bercanggah dengan ajaran ateisme totok (yang tidak mengiktiraf sebarang teori yang menunjukkan adanya Tuhan yang mencipta) tetapi juga bercanggah dengan Hinduisme yang mengajar adanya daur kehidupan yang tidak terhingga. Tidak hairanlah Narlikar (sarjana India yang tentunya mengetahui benar ajaran Hindu), bersama Hoyle dan Burbidge (sarjana Inggeris yang ateis), mengutarakan model alam yang tiada TDB, iaitu “alam semesta mantap” (Hoyle-Burbidge-Bondi-Gould 1948 lagi) dan penmbah-baikannya “alam semesta kuasi-mantap” (Narlikar 1999, Hoyle, Burbidge dan Narlikar 2000). Hoyle dan Burbidge, dua orang lagi sarjana besar yang diambil oleh Schaefer bagi mewakili penentang TDB yang penentangannya tidak berasaskan pada pada agama Kristian atau agama Timur tetapi pada ateisme (iaitu pegangan hidup ahli sains ghalib Barat). Ketidak-puasan ahli astronomi terhadap TDB mengikut semangat Hoyle dan Burbidge ini sesungguhnya telah lama seperti yang terbukti daripada tulisan Ellis (1984) yang menyorot keperluan teori alternatif kepada TDB itu.


Ross, seorang daripada ahli astrofizik yang terkenal dan pada masa yang sama terkenal dengan sikapnya mempedulikan ketuhanan Kristian seperti yang terpancar dalam karyanya (1999, 2001, 2004, 2006). Schaefer memetik pendapat Ross tentang TDB yang menulis, “jika masa bermula pada DB itu, maka alam semesta mestilah suatu entiti yang beroperasi dlm masa yang tidak bersandarkan sepenuhnya pada, dan pra-wujud daripada, dimensi masa kosmos. Ini bermakna Tuhan itu transiden, iaitu beroperasi melampaui batas-batas dimensi alam semesta dan Tuhan itu bukannya alam semesta ini sendiri dan tidak juga berada dalam alam semesta ini”. Tuhan yang seperti ini tidak menyenangkan orang-orang seperti Ross ini.


Lederman dan Teressi (1994), yang pertama itu pemenang Hadiah Nobel fizik nukleus 1978, juga tidak senang dengan TDB kerana TDB memerlukan keadaan awalnya kosong, satu bentuk vakum yang aneh kerana walaupun tiada apa-apa, tanpa ruang, masa, jirim, cahaya dan suara, tetapi ada pula hukum-hakam alam tabii dalam situasi itu. Baginya, semua ini tiada munasabahnya. Namun hujah-hujah Lederman ini tidak kuat kerana hujahnya itu tiada masalahnya bagi orang-orang yang beriman dengan kekuasaan Tuhan mencipta ex-nihilo, jika terbukti atau benar-tidaknya TDB itu. Bagi pihak kebendaanis yang percaya kpd mekanik quantum (MQ) juga berpendirian kekhawatiran Lederman itu tidak berasas kerana MQ juga menegaskan tiadanya “kosong”, “hampa” atau ”vakum” mengikut pengertian klasik itu. Satu lagi pandangan terhadap pendapat Lederman ini ialah betapa lemahnya MQ kerana tidak mengizinkan wujudnya “kosong”, “hampa’ atau “vakum” mengikut pengertian yang dikehendaki agama itu. Isu penciptaaan menerusi ex-nihilio (kosong sekosongnya, atau tradisi Islamnya isu la min syai’) memang menjadi perkara besar dalam tradisi Kristian dan Islam dan oleh itu dibicarakan lagi kemudian ini.

Di Barat isu ada-tidaknya tuhan masih menjadi perkara besar (Russel drk 1988, Le Poidevin 1991, Craig & Smith 1993, Smith 1997 & 1998, Begley 1998, Barbour 2000, Polkinghorne 2003, Blanchard 2004, Carrier 2005, Hodgon 2005, Dawkins 2005, Aston & Westacott 2006, Dawkins 2006) yang pada setengah pihak berpendapat “bukan masalah kita” (kerana kita Timur atau lebih spesifik lagi “Islam”). Ada beberapa buah jurnal khas yang memuatkan perkara ini seperti Zygon dan Skeptic. Sebenarnya Timur/Muslim juga perlu mengikuti isu Barat ini kerana penyakit Barat ini sedang menular ke seluruh dunia. Kebanyakan penentangan sarjana beragama Barat terhadap kosmologi quantum (KQ) adalah berkisar pada isu kewujudan Tuhan, seperti kebanyakannya berhujah bahawa kosmologi quantum Hawking (yang mengandaikan berlakunya TDB) mengimplikasikan ateisme/mulhidisme dan tentunya ada yang membangkangnya. Kedua-dua aspek ini dapat diikuti dalam Craig dan Smith (1993) dan hujah baru lagi dalam Smith (1998).

Malah pandangan Smith (1997,1998) tentunya menggembirakan sebahagian besar ahli sains Barat yang ghalib itu kerana beliau berhujah alam semesta ini wujud disebabkan adanya kebarangkalian bersyarat pewujudan berasaskan pada hukum alam tabii yang berfungsi (iaitu “fungsi gelombang” alam semesta) dan sekaligus membuktikan hukum alam tabii ini tidak tekal dengan pendirian agamawan dan mengimplikasikan tiadanya Tuhan serta menyangkal pendirian sarjana agamawan yang tersebut itu. Beliau membuat kesimpulan dengan sombongnya bahawa seseorang kini hanya berpeluang memilih menjadi mulhid/ateis atau menegaskan kosmologi quantum itu palsu. Beliau juga mengingatkan mereka yang cenderung kepada keagamaan kerana katanya sejak Kopernigh/Copernicus dan Galileo, bila-bila masa pun apabila agama menentang sains maka agamalah yang kalah. Bagi pihak Islam hujah-hujah Smith ini juga menunjukkan kelemahan MQ menerusi kosmologi quantum ini, kerana pilihan yang ada itu semuanya bertentangan dengan Islam.

Namun unsur MQ yang lain pula sering digunakan untuk membuktikan kewujudan tuhan. Umpamanya hampir semua ahli teori fizik (termasuk Hawking dan Weinberg) mengaku semua pemalar fizik begitu teliti dan tepat nilai dan gabungannya sehingga jika pemalar-pemalar ini diubah nilainya sedikit sahaja maka semuanya akan runtuh. Ini dirujuk sebagai “penalaan halus” dalam fizik yang telah dibicara dalam konteks TRBP. Namun Hawking dan Weinberg tidak terpanggil untuk mengaitkan situasi ini dengan Tuhan. Seorang Rabbaniyun/ahbaru (Rabai/Rabbi, ulama/ahli hukum Yahudi, Lihat al-Qur’aan, 3:79; 5:44) yang bernama Steinman (2000) memperkatakan perkara ini yang dihubungkan dengan kewujudan tuhan. Hujah-hujahnya tentulah banyak yang sesuai disokong oleh ulama ahl Kitab dan Islam. Sementara itu ahli kosmologi Kristian, di AS terutamanya, membina sebuah teori lawan TDB dan teori-teori kosmologi yang apeduli agama (Kristian) yang dinamainya “Teori Penciptaan” atau “Reka Bentuk Pintar” yang kini cukup banyak penulisannya (lihat contoh penyumbangnya yang disebut sebelum ini), yang contohnya menerusi prinsip antropi dalam IDEA (t.t) dan “penalaan halus” itu. Ini dibicarakan lagi dalam seksyen khasnya nanti.
Sejak 1980-an, terutamanya selepas Hawking (1987), model-model alam semesta dalam TKnE itu mendapat lonjakan daripada penerapam MQ ke dalamnya dan membentuk bidang yang dinamai Kosmologi Quantum (KQ) yang dibicarakan berasingan nanti. Namun model berperisa MQ ini mendapat tentangan hebat daripada kumpulan yang sama yang dahulunya menentang model berasaskan TKnE sahaja itu. Antara mereka yang menentangnya yang berasaskan ajaran Kristian (kebanyakannya ahli falsafah) ialah Le Poidevin (1991), Miller (1999), Wilkinson dan Wolfendale (1993), Polkinghorne (1996, 1998), Alston (1988, t.t), Smith 1997, Craig dan Smith (Craig 1996,1997; Craig dan Smith 1993) yang banyak mengaitkan teori KQ dengan ateisme. Senarai senarai sarjana dan sumbangannya dalam bidang ini ada di Lampiran 6 dan 7. Namun sarjana Barat (ahli kosmologi sendiri) pada amnya jauh lebih banyaknya yang merendahkan Kristian seperti yang diwakili oleh sarjana besarnya Weinberg (1992), Hawking (1988/1994), Isham (1988, 1993), dan evolusis terkenal Dawkins (2006, 2005, 2004, 1999). Berdasarkan Lightman (1990) dan Carroll (2003), tentunya lebih daripada 90% ahli sains Barat menyebelahi Weinberg, Hawking dan Dawkins itu, sekurang-kurang dalam isu berkenaan KQ yang berhubung dengan TDB-TAMbang-TEv.

Tentang TAMbang itu pula, yang memang menjadi sebahagian daripada unsur TDB itu, sejak cerapan Hubble 1929 ditafsirkan menyokongnya pada tahun 1936 menerusi model matematik alam semesta Friedman oleh Lemaiter (telah disebut dalam seksyen 2) dan seterusnya diperkuatkan dengan sebuah teorinya oleh serangkai sarjana yang disusun namanya dalam penerbitan mereka bersama berkenaan teori ini sebagai Aleph, Bergman dan Gamov (supaya dirujuk sebagai alfa, beta gama atau ringkasnya, ABG) 1948 itu, telah mengalami banyak pengubahsuaiannya, dan teori terbarunya sejak 1970-an, apabila disyorkan pengembangan itu berlaku secara eksponen pada peringkat awalnya dan dinamai “model inflasi” (Lampiran 1). ABG mengutarakan hipotesis “alam mengembang” itu semata-mata bagi tujuan menjelaskan tafsiran data Hubble itu, sedangkan penjelasan data tersebut boleh dilakukan tanpa hipotesis alam mengembang seperti menerusi “kesan Compton” dan dan lain-lain lagi mengikut teori alternatif kosmologi yang dibicarakan nanti dalam seksyen 5. (Senarai karya teori alternative ada di Lampiran 2 hingga 5).

Teori alternatif bukan quantum kepada TDB dan TAMbang telah dibicarakan dahulu dan di sini ditumpukan kepada MQ yang sepadannya pula. Yang ingin disebut lagi di sini ialah betapanya kewujudan fizik alternatif bagi menjelaskan cerapan Hubble 1929 dan Penzias & Wilson 1965 (dan terbarunya 1992 dan 2003 tentang SiLAM yang telah disebut dalam seksyen 3 sehingga dua orang sarjana yang terlibat Mather dan Smoot beroleh Hadiah Nobel Fizik 2006 itu) itulah memberi kekuatan kepada pembinaan model-model alam alternatif atau kembali memeriksa model alam lama dalam konteks kosmologi quantum pula. Inilah agaknya yang membuatkan model alam statik kembali ke pentas dan khususnya Barrow drk (2003) memeriksa kestabilan model alam statik yang dahulunya dibuktikan tidak stabil, lalu menjadi sebabnya model itu perlu disingkirkan; dan mereka berjaya membuktikan model statik itu sebenarnya stabil juga (Lampiran 3). Ringkasnya, segala kekurangan dalam kosmologi klasik (model alam semesta semata-mata mengikut TEn sahaja) masih kekal diwarisi dalam KQ. Khususnya dalam hal TAMbang itu, sekumpulan ahli sains fizik UK yang menamakannya Kumpulan Kosmologi Alternatif (KKA)/Alternative Cosmology Group (ACG) yg ahlinya termasuk Hermann Bondi, ahli asronomi Besar UK itu, membuat sebuah memorandum terbuka yang disiarkan dalam New Scientist 22 May 2004 yang memprotes komunitinya yang mempertahankan TDB yang semakin runtuh itu dan menghalang sarjana alternatifnya (Lihat An Open Letter….dalam senarai Rujukan makalah ini) itu merangkumi kegiatan dalam KQ.

Dalam KQ pemodelan alam semesta yang mengambil kira perkahwinan Teori Kenisbian Am Einstein (TKnAE) atau ringkasnya Teori Einstein (TEn) dgn MQ yang dimulai oleh Hawking dan Penrose dalam tahun 1960-an itu. Kebanyakannya berhujah dengan angan-angan besar sahaja kerana dua teori ini masih belum dapat disatukan, malah masih saling tidak tekal. Namun inilah yang dilakukan oleh Hawking. Satu cara berangan-angan ini ialah membina model ganjatan vakum kerana mengikut MQ yang ada zarah-zarah subatom boleh muncul serta merta daripada vakum (vakum tetapi ada tenaga!). Sebelum berlakunya ganjatan vakum ini alam semesta ini berupa ruang kosong (tiada jirim). Tempoh berlakunya penciptaan jirim menerusi ganjatan vakum itu dinamai epok inflasi. Dalam epok inflasi ini, alam semesta berkembang lebih pantas daripada kelajuan cahaya. Berbezanya dengan model DB dahulu, model ini tiada permulaan pada “takat tajam” (tiada kesingularan awal itu), tetapi muncul menerusi ganjatan tanpa sebab drp vakum ruang latar belakang yang lebih luas. Model ini pun masih tidak memuaskan sehingga Hartle dan Hawking mencipta model baru lagi yang dipopularkan oleh Hawking menerusi buku bersejarah beliau itu (Hawking 1988/1994 dan Hartle & Hawking 1983). Dalam bukunya itu Hawking (1988/1994) mengakui bahawa beliau berusaha mewujudkan model alam semesta yang tiada mula kejadian alam ini supaya sekurang-kurangnya, kalaupun Tuhan ada, peranan-Nya tiada! Beliau Berjaya berbuat demikian dengan mengambil pengajaran daripada kaedah pengquantuman Feynman yang menganggap masa sebagai nombor kompleks. Dengan ini model alam semestanya tiada lagi “birai masa-ruang” (yang dahulunya masa sebagai nombor nyata mewujudkan “takat tajam” yang mewakili takat singular atau mulanya alam ini) yang memaksa “seseorang mengimbau Tuhan” itu. Namun model Hartle-Hawking ini tetap menerima banyak bangkangan daripada para ahli sains-falsafah-Kristian seperti Deltete & Guy (1995, 1997), Oppy (1997), Craig (1994,1997) dan Alston (1998, t.t.). Senarai penuhnya di Lampiran 7. Sarjana Islam pun patut menentang model alam Hartle-Hawking ini, mungkin dengan hujah-hujah yang berbeza lagi.

Satu lagi perkara yang Hawking mampu menimbulkan semula perbahasan lama tentang penciptaan alam semesta ialah isu “penciptaan daripada tiada apa-apa” atau istilah Latinnya yang dikekalkan dalam wacana bidang ini dalam bahasa Inggeris sekalipun, ex-nihilio. Dalam tradisi Islam, setelah berbahas panjang di kalangan sarjana Islam dahulu (para ahli kalam) secara jumhurnya bersetuju dengan pandangan bahawa alam semesta ini dijadikan la min syai’ (bukan daripada apa-apa pun) yang kemudiannya diterjemahkan oleh Barat ke dalam bahasa Latin sebagai ex nihilo atau Latin sepenuhnya, creatio ex nihilio (penciptaan drp kosong), dan dijadikan doktrin Kristian juga (Lihat Wolfshon 1976). Walaupun demikian, berbeza daripada ulama atau ahli falsafah Islam, TDB Hawking-Penrose ini pun tidak mendapat persetujuan semua ulama Kristian dan ahli falsafah Kristian. Craig (1979, 1985, 1991, 1994, 1996,1997) menjadi contoh ahli falsafah Kristian yang dipengaruhi oleh hujah-hujah mantik ahli Kalam (Craig 1985, 1991) yang membuktikan TDB Hawking-Penrose itu serasi dengan ex-nihilo, tetapi Morrison (t.t.) dan Smith (1997, 1998) menyangkalnya. Mereka tidak senang dengan TDB ini kerana adanya masa yang Tuhan tidak berfungsi, iaitu sebelum berlakunya DB itu. Mereka lebih suka alam yang ada selamanya dahulu lagi. Ini dibicarakan lagi kemudian. Model alam terjadi daripada DB dan mengembang begitu dipopularkan sehingga kebanyakan orang tidak sedar adanya model alternatif yang tidak kurang bagusnya seperti model alam statik yang disebut di atas itu, model mantap, dan model-model lain lagi yang dibentangkan hampir semua sudah dibicarakan dahulu yang setiap satunya boleh diquantumkan tetapi tetapi mewarisi sebahagaian besar daripada kelemahan dalam model-model klasik itu.

Mungkin sekali para sarjana yang menyokog TDB sebenarnya disebabkan oleh bukti secara cerapan. Siapa yang tidak percaya? Pemenang Hadiah Nobel, Weinberg pun percaya! Cerapan itu berasaskan teori berikut: Setelah pembentukan alam semesta melalui ledakan raksasa daripada DB itu, sisa sinaran yang ditinggalkan oleh ledakan ini haruslah ada. Selain itu, sinaran ini sepatutnya tersebar merata di segenap penjuru alam semesta. Bukti adanya sinaran ini, pada akhirnya, kononnya, ditemui pada tahun 1965 oleh dua orang sarjana yang tidak kurang besarnya (kerana mereka juga beroleh Hadiah Nobel 1978), bernama Arno Penziaz dan Robert Wilson. Kemudian pada tahun 1989, NASA mengirimkan satelit Cosmic Background Explorer [COBE] ke ruang angkasa untuk melakukan penyelidikan lagi tentang “sinaran latar kosmos” dan beberapa projek khusus NASA lagi seperti yang disebut dalam seksyen 3 dahulu yang telah pun menghasilkan pengiktirafan besar dunia sains Barat sehingga dua orang yang terlibat dengan projek ini Mather dan Smoot dianugerahi Hadiah Nobel Fizik 2006 itu. Ini tidaklah bermakna “berakhirnya sejarah kosmologi”. TDB-TAMbang tetap menerima kritikan demi kritikan sekarang dan masa akan dating kerana senarai kelemahan teori ini dalam seksyen 3 itu masih berlaku, walaupun dikatakan semakin lemah. Umpamanya satu daripada bukti penting bagi DB adalah jumlah hidrogen dan helium di ruang angkasa. Dalam banyak penyelidikan, diketahui konsentrasi hidrogen-helium di alam semesta bersesuaian dengan perhitungan teori konsentrasi hidrogen-helium sisa peninggalan peristiwa DB. Jika alam semesta tidak memiliki permulaan dan jika alam semesta ini telah ada sejak dulu kala, maka unsur hidrogen ini seharusnya telah habis sama sekali dan berubah menjadi helium. Semua ini jelas bukti-bukti yang diragui oleh sekumpulan ahli astronomi dan kosmologi UK yang membuat surat terbuka kepada komunitinya akan kepincangan pihak-pihak yang berkuasa yang masih mempertahankan TDB dan mencengkam pula para penteori dan teori-teori alternatifnya seperti yang telah diperkatakan sebelum ini.

Satu daripada sebabnya TDB itu dipopularkan Barat sedemikian rupa rasanya kerana adanya unsur TEv dan anti-teologi yang digemari mereka itu. Seorang ahli astrofizik Perancis dan terkenal dengan tulisan popularnya bernama Reeves (1984, 1991, 1998) berkata DB itu “melibatkan aspek metafizik yang boleh menyedapkan atau memualkan”, dan seorang lagi ahli fizik besar Barat bernama Isham (1988) berpendapat, hujah terbaik bagi DB menyokong teisme ialah betapa tidak senangnya sesetengah ahli fizik ateis terhadap teori ini. (Isham nampaknya sekategori dengan Hawking dalam hal hubungan sains dengan agama, suka mempersenda-sendakannya, oleh itu beliau beliau boleh dianggap, kalau bukan ateis pun, seorang apeduli agama). Ini masih tidak menyekat sarjana Kristian menentang TDB itu. Mereka ini lebih berkenan dengan teori alam mantap atau alam semesta berganjat yang kedua-duanya sudah pernah dimodelkan terlebih dahulu tanpa penerapan MQ (Shaharir 2004a). Sekarang dengan MQ, model alam semesta yang mantap atau alam semesta berganjat boleh dirasionalkan kemunasabahannya lagi menerusi teori penciptaaan dan penyirnaan yang sentiasa berlaku dalam alam atom itu. Namun segala kelemahan model-model itu tetap berlaku di sini juga.

4. ...Bersambung lagi dng judul "Tindakan Balas Sarjana Muslim ..."