Sunday, November 30, 2008

takrif peradaban Melayu

PERADABAN MELAYU: PENGEMBALIAN TAKRIF SEBENARNYA
(Oleh Shaharir bin Mohamad Zain)

Sesuatu peradaban bangsa terkenal dengan penentuan bangsa dan wilayahnya, sejarah, bahasa, sastera dan budayanya. Bagi peradaban Melayu, terutamanya oleh bangsa Melayu dan sarjananya sendiri, keenam-enam komponen pentakrif peradaban ini cukup bermasalah penetapannya kerana lamanya penyimpangannya daripada keadaan sebenarnya.

Pertamanya, takrif sastera itu begitu lama menyimpang daripada makna asalnya sehingga ruang lingkup kajian peradaban Melayu yang dikatakan sebagai bidang bahasa kesusasteraan dan kebudayaan itu hampir pasti difahami oleh para sarjana peradaban itu sekalipun sebagai sebuah kajian bidang “sastera” yang lawannya “sains” itu, yang terkenal dengan anggapan citranya sebagai dua budaya yang berbeza yang dikesali oleh Snow tahun 1960-an dahulu menerusi karya masyhurnya “The Two Cultures” itu. Rasanya sekurang-kurangnya sejak 1950-an dahulu lagi orang Melayu yang terpelajar menganggap “sastera” lawannya “sains” (“sastera” itu dipadankan dengan istilah Inggeris “arts”). Oleh itu citra kajian peradaban Melayu tidaklah termasuk ilmu-ilmu pengetahuan yang terkenal dengan nama “sains dan teknologi” atau lebih tepat lagi “sains, kejuruteraan dan teknologi” yang sejak 2002 dahulu dalam wacananya berhubung dengan nasib bahasa dan bangsa Melayu akibat dasar pendidikan “sains dan Matematik” dalam bahasa Inggeris, penulis ini merujuk ilmu-ilmu ini dengan lebih komprehensif lagi dengan akronimnya SAKTI (=Sains, Kesihatan, Kejuruteraan, dan Teknologi) atau kemudiannya dipersedapkan lagi rasanya kepada KESATRIA (=Kesihatan, Sains, Kejuruteraan dan Teknologi). Perkataan “sains” dalam SAKTI atau KESATRIA itu dianggap oleh penulis ini termasuklah sains social dan matematik. Citra peradaban Melayu tanpa SAKTI atau KESATRIA selama ini sebenarnya menjadikan citra peradaban atau tamadun Melayu itu sebagai sebuah peradaban “sastera” , peradaban tanpa SAKTI atau KESATRIA, dan sekaligus dianggap sebuah tamadun yang rendah. Ini satu penyimpangan makna “sastera” oleh “cerdik pandai” Melayu moden kerana dalam prasasti Melayu Campa (sebelum abad ke-10M) “sastera” bermakna penulisan atau karya dalam apa sahaja bidang ilmu pengetahuan sehingga adanya istilah Melayu purba/kuno seperti “horasastera” (=karya hora, iaitu astrologi-astronomi), “dharmasastera” (= karya pengurusan dan perundangan), dan “arthasastera” (=karya harta, iaitu ekonomi). Jadi penyimpangan makna “sastera” ini sudah begitu lama, sehingga tidaklah mungkin agaknya kita mengubahnya sehingga kembali kepada makna asalnya, walaupun sarjana sains di UKM pada tahun 1980-an lagi cuba melakukannya dengan memperluaskan makna istilah “susastera” bagi menggantikan “literatur” yang bermaksud apa-apa karya yang dirujuk oleh seseorang penulis dalam sesebuah kajiannya itu. Jadi takrif Peradaban Melayu yang ingin kami syor di sini ialah sebuah peradaban yang antara lainnya berupa proses pencapaian orang-orang rumpun Melayu dalam bidang SAKTI atau KESATRIA itu mestilah sentiasa ditegaskan dengan apa cara sekalipun.

Istilah “budaya” (atau bentuk luasnya sekali pun, “kebudayaan”) dalam wacana tamadun Melayu selama ini juga amat menyimpang daripada makna “budaya” yang asal. Malah bagi orang awam Melayu bahkan budayawan dan kerajaan dengan “Kementerian Kebudayaan” sering memanifestasikan maksudnya dengan seni tampak yang ringan dan popular seperti tarian, lakonan, permainan, hiburan dan kelaraan tradisi seperti gasing, wau, wayang kulit, dikir barat dan sebagainya. Mereka sering terlupa atau melupakan untuk memasukkan seni tampak yang lebih tinggi tarafnya lagi seperti seni pertukangan atau apa-apa seni ciptaan “orang pandai” Melayu seperti “pandai besi”, “pandai tangan”, “tukang kayu”, “tukang rumah”, atau lebih am lagi senibina, dan “tukang timbal” (tukang perahu/kapal/bahtera/jung) yang setiap satunya melibatkan bidang ilmu yang kini dikenali sebagai kejuruteraan dan teknologi itu. Mereka sebenarnya sudah terlupa dengan etimologi perkataan “budaya” itu dicipta daripada perkataan “budi” dan “daya” yang tentunya bermaksud yang jauh lebih luas daripada yang ditonjolkan selama ini. Malah maksud budaya yang popular itu hanya maksud picisan sahaja. Ini dapat dilihat pada makna “budi” dalam Taj al-Salatin (diterbitkan oleh DBP 1992 sebagai Taj us- Salatin) oleh seorang sarjana agung Melayu abad ke-16/ke-17, Bukhari al-Jauhari yang benyiapkan karya agungnya ini dalam 1603 itu. Beliau menjelaskan makna “budi” itu dalam satu bab bukunya itu, dan ringkasnya di sini “budi” itu “ilmu” dan “akal” malah istilah “budiman” disamakan dengan ilmuwan yang tertinggi tarafnya dalam Islam yang diistilahkan dalam al-Qur’aan sebagai ulil albab itu. Tidaklah ada rujukan kepada seni tampak yang popular itu dalam huraian makna “budi”-nya itu selain daripada beliau menegaskan manifestasi “budiman” itu ialah orang yang “menyuruh berbuat baik….. menegah berbuat jahat ….sebab budi jua yang bertentukan bahagia atau celaka segala manusia dan menandai segala manusia yang berbahagia dan bercelaka kerana budi itu ada beza antara manusia dan binatang”. ( Taj us-Salatin, ms 156-157). Makna “budi” dalam Taj us-Salatin itu memang amat serasi dengan makna “adab” dalam “peradaban” itu (malah dengan al-Din dan madany dalam “tamadun” sebuah istilah yang dianggap sinonim dengan peradaban itu) kerana mengikut Islam yang diartikulasikan oleh Sayed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an dahulu lagi bahawa ilmu dan adab itu dua istilah yang tidak boleh dipisahkan; malah tujuan memberi ilmu (mendidik) kepada seseorang ialah supaya orang itu beradab, dan orang yang biadap ialah orang yang tiada ilmu atau (tidak terdidik). Sungguhpun Bukhari al-Jauhari tidak menyebut secara jelas adanya unsur kejuruteraan dan teknologi dalam takrif “budi” beliau itu, tetapi huraiannya menunjukkan adanya “budiman” itu berupa orang yang perihatin kepada kesihatan, dan “diusahakannya dengan sangat pada segala pekerjaan yang baik dan pada segala perbuatan yang terpuji itu dengan disegerakan” (Taj us-Salatin: ms 157), iaitu konsep amal soleh para jurutera dan ahli teknologi itu. Beliau juga memetik pandangan sarjana sebelumnya bahawa “peri budi itulah yang dikatakan nikmat rafik itu kerana jikalau sakit kamu ialah yang mengubat kamu dan jikalau jatuh kamu ialah yang membangkitkan kamu dan jikalau hina kamu ialah yang memuliakan kamu” (Taj us-Salatin, ms 158) yang lebih jelas membawas maksud amal soleh para ilmuwan kesihatan, kejuruteraan dan teknologi itu. Kesimpulannya di sini, budaya atau kebudayaan yang menjadi penentu sesebuah peradaban/tamadun bangsa itu ialah ilmu dan kepandaian bangsa itu, iaitu tamadun Melayu ialah perihal proses dan pencapaian orang-orang Melayu sejak dahulu kala (sejak kerajaan Funan di Kembuja abad ke-2M) dalam memperoleh, mengolah semula dan membina ilmunya khususnya dalam bidang SAKTI atau KESATRIA itu.

Satu lagi yang amat bermasalah dan menyimpang maknanya dalam takrif tamadun Melayu selama ini ialah tentang makna atau kesiapaan orang Melayu itu: wilayahnya dan sejarahnya. Hal ini terjadi kerana dengan kejayaan pemupukan nasionalisme yang sempit oleh para pemimpin dan ilmuwan ikhtisas (ilmuwan yang terlampau dekat dengan pemerintah) negara-bangsa baru di Alam Melayu ini, khusunya wilayah pentakrifnya kini, Indonesia dan Malaysia, maka kini Melayu bagi Indonesia ialah hanya suku kaum kecil di kota Jakarta, di Riau, di Jambi dan di Malaysia sahaja, manakala bagi rakyat Malaysia ialah orang peribumi Malaysia (terutamanya di Semenanjung Malaysia) yang beragama Islam sahaja. Malah dalam banci penduduk Sabah dan Sarawak, Malayu ditakrifkan sebagai satu suku kaum yang berbeza daripada peribumi yang lain dan bukan dari Indonesia, atau Filipina; oleh itu bilangannya amatlah sedikit. Sesuai dengan fahaman baru yang menyimpang ini sejarah peradaban Melayu bagi Malaysia ditekankan hanya bermula pada zaman Kesultanan Melaka, tidak pada Pasai/Aceh, Petani atau Campa (walaupun itulah mula awalnya bangsa Melayu membina tamadunnya dalam acuan Islam) dan pencapaian SAKTI bagi wilayah bangsa Melayu ini (Pasai, Petani dan Campa) terbukti amatlah tinggi. Hakikatnya, peradaban/tamadun Melayu Islam sekalipun tidak wajar hanya ditumpukan pada zaman Kesultanan Melaka sahaja semata-mata atas pertimbangan nasionalisme dan kepentingan wilayah negara-bangsa Melayu Malaysia sahaja. Sebaliknya, peradaban/tamadun Melayu Islam Pasai, Petani, Campa, Melaka, Demak-Mataram, Sulu-Mindanao, Brunei, Johor-Riau-Lingga, Ternate-Tidore, dan Banjar (sekadar menyebut yang agak lebih masyhur) yang boleh diIstilahkan sebagai Peradaban/Tamadun Alam-Melayu Islam mestilah dijadikan komponen tamadun Malayu itu.

Bagi penetapan wilayah kediaman bangsa Melayu, sehingga kini ada kecenderungan solah-olah Melayu itu hanya Malaysia ini sahaja atau yang lebih nostalgia agaknya melebarkannya kepada Nusantara, atau yang lebih berasaskan pada asal-usul bahasa Melayu sebagai bahasa Austronesia akan memasukkan wilayah Alam Melayu yang memang luas dari Madagaskar ke Taiwan hingga ke Pepulau Penimur (Easter). Namun sering-kalilah mereka ini ketinggalan wilayah Indochina yang tamadun Melayunya luar biasa tingginya sejak abad ke-2M (Kerajaan Funan di Kemboja dan Kerajaan Campa di Vietnam, dan Kerajaan Langkasuka-Petani di Thailand Selatan itu). Oleh sebab peradaban Melayu di Madagaskar, Taiwan dan di Filipina setakat ini tidak banyak yang diketahui ketinggian martabatnya, kecuali di Filipina selatan pada zaman Islamnya, maka pengabaian wilayah ini tidaklah begitu menjejaskan citra peradaban Melayu keseluruhannya, tetapi pengabaian peradaban Melayu Indochina amatlah mengherotkan peradaban Melayu kerana bukti kewujudan bahasa Melayu yang tertua setakat ini ialah rakaman prasasti Campa abad ke-4/5M bukannya di prasasti di Palembang (zaman Sriwijaya) abad ke-7M itu, yang malangnya yang di Palembang inilah sahaja yang selalu disebut-sebut orang. Lagi pun prasasti Melayu Indochina sebelum abad ke-3 hingga ke-11M ada ratusan banyaknya sedangkan prasasti Melayu Sriwijaya hanya tidak lebih daripada 10 buah sahaja. Senibina Melayu Campa yang bertaraf ajaib dunia bertarikh abad ke-5M sedangkan senibina yang bertaraf yang sama, iaitu Borobudur bukan sahaja tidak mahu disebut oleh orang Melayu Malaysia tetapi bertarikh abad k-8M. Peradaban Melayu-Islam di wilayah Indochina seperti yang dibayangkan di atas juga jauh melebihi wilayah Melayu yang lain terutamanya dalam abad ke-18 hingga ke-19M yang berpusat di Petani. Ini hanya contoh kehilangan peradaban Melayu jika wilayah Melayu di Indochina dan wilayah Melayu yang sekarang ini dinamai Indonesia itu diabaikan! Yang tinggal hanyalah tamadun Melayu yang kurang bermutu dan berumur hanya sekitar 600 tahun sahaja! Siapakah yang mendiami Tenggara Asia ini sebelum itu? Oleh itu wajarlah wilayah tamadun Melayu ialah termasuk bukan sahaja Indonesia tetapi semestinyalah Indochina supaya empat tamadun besar Melayu pra-Islam, Funan, Campa, Langkasuka dan Sriwijaya tidak terabaikan, lebih-lebih lagi Campa dan Langkasuka (atas nama Petani) menjadi komponen tamadun Melayu Islam yang gemilang mulai abad ke-14M hingga aba ke-19.


Atas pertimbanag lain lagi, kajian peradaban atau tamadun Melayu yang mengabaikan sejarah pencapaian peradaban bangsa itu pada zaman pra-Islamnya semata-mata atas pertimbangan bahawa “tamadun Melayu” hanya relevan dengan makna tamadun atau peradaban itu apabila dipertimbangkan keIslaman Melayu itu sahaja juga tidaklah wajar didokongi oleh sesebuah pusat/institusi penyelidikan peradaban atau tamadun Melayu atas sebab-sebab yang berikut:

Pada zaman Tamadun Islam sendiri, banyak kajian tamadun sebelumnya, khususnya Yunani, Roma, Parsi, Tiongkok dan Hindia, malah Alam Melayu bagi tujuan mengayakan pengetahuan sarjananya dan melakukan pengIslaman ilmu terhadap warisan pra-Islam itu. Begitu juga Tamadun Eropah, sarjananya begitu bersungguh-sungguh menggali khazanah peradaban bangsanya sendiri dan yang dianggap warisan bangsanya, Yunani, di samping khazanah Tamadun Islam, untuk diEropahkan (mulanya diKristiankan tetapi kemudiannya dinyahagamakan atau sekurang-kurangnya disekularkannya) dan dikembangkan sehingga hari ini. Sarjana Islam pada zaman Tamadun Islam itu tahu dan beranggapan tidak semua pandangan sarjana Yunani dan tamadun-lain itu bertentangan dengan ajaran Islam dan oleh itu tidak perlu “diIslamkan” kerana surih-surih ajaran Islam daripada nabi-nabi Islam sebelum Nabi Muhammad SAW masih ada tersirat di dalam ilmu mereka itu umpamanya dalam ilmu Plato atau yang mereka Arabkan sebagai Aflatun itu, malah diberi gelaran al-Hakim pula. Namun memang banyaklah ilmu Yunani yang mereka tapis dan Islamkan. Pendeknya pengIslaman peradaban Yunani oleh sarjana Muslim dahulu memang terkenal wujudnya dan ada rakamannya yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Itulah sebabnya, wajarnya dikatakan anehnya sikap mereka yang menjemuh atau menentang penggalian ilmu Melayu pra-Islam (yang diperkatakan lagi di bawah ini) kepada kegiatan pengIslaman atau pemeribumian ilmu-ilmu Barat kontemporer sekarang ini. Kami malah mengesyorkan supaya satu daripada kegiatan penyelidikan Peradaban Melayu kini ialah pemeribumian-pengIslaman ilmu Barat kontemporer (mengikut pengertian penulis ini yang diutarakannya sejak hampir sedasawarsa dahulu itu dan contohnya sudah banyak diterbitkannya, dan yang terbarunya dalam Shaharir “Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan di Alam Melayu” terbitan UMT 2008 itu.

Beginilah analoginya yang sepatutnya berlaku dengan kajian peradaban Melayu pra-Islamnya yang kami anjurkan ini. Kajian peradaban Melayu pra-Islam adalah tidak semuanya peradaban kafirun, musyrikun atau Hinduis-Buddhais yang tanpa nilai-nilai ke-Islam-an langsung kerana Islam wujud sejak Nabi Adam ‘AWS dan berkemuncakkan pada Nabi Muhammad SAW, di samping adanya nilai-nilai Melayu pra-Islam yang non-Islam yang mungkin masih sesuai dihayati sekarang pun kerana Islam mengizinkan amalan warisan yang tidak bertentangan dengan Islam. Kita harus percaya bahawa ajaran nabi-nabi Islam sebelum Nabi Muhammad SAW memang sedikit sebanyaknya sampai pada umat Melayu sebelum Islam tiba ke Alam Melayu ini dan nilai-nilai keIslaman ini meresap ke dalam peradabannya (ilmunya). Oleh itu kajian peradaban Melayu pra-Islam juga sama pentingnya dengan, kalaupun tidak lebih daripada, kajian peradaban Barat (ilmu Barat moden) kerana manfaat yang besar akan diperoleh dalam dua aspek yang berikut: (1) pengetahuan tahap peradaban bangsa sendiri sebelum Islam akan memberi keinsafan diri yang sesuai bagi tujuan memberi kekuatan jiwa dan mental untuk membina peradaban yang lebih hebat dalam acuan yang lebih kukuh sekarang, terutamanya jika status peradaban itu didapati mengatasi bangsa lain pada zaman yang sama. (2) Pengetahuan peradaban bangsa sendiri pra-Islam itu besar kemungkinannya berguna bagi menerbitkan peradaban (ilmu) yang baru hasil daripada kritikan, inovasi atau sintesis peradaban itu menerusi saringan sistem nilai Melayu kini (terutamannya daripada perspektif Islam). Ini sekurang-kurangnya sama seperti yang dilakukan oleh umat Melayu kini (walaupun belum ramai) terhadap peradaban (ilmu) Barat moden. Kajian peradaban Melayu pra-Islam dan selepasnya sebelum peradaban Barat menusuk ke dalam jiwa umat Melayu, dalam konteks ilmu yang selama ini terabai dalam kajian peradaban Melayu, layak dinamai kajian etno-SAKTI atau etno-KESATRIA Melayu sejak abad ke-2M. Usaha menjadikan etno-SAKTI atau etno-KESATRIA Melayu ini dan yang SAKTI atau KESATRIA kontemporer (dari peradaban Barat) kepada ilmu yang lebih sesuai dengan jiwa umat Melayu Islam zaman kini dinamai oleh penulis ini sebagai pemeribumian SAKTI atau KESATRIA. Inilah projek penyelidikan Peradaban Melayu yang mesti dilakukan.


%%%%%%TAMAT 23 Nov. 2008/25Dzq 1429%%%%%%%