Thursday, December 6, 2007

Kosmologi Quantum dan Hawking

KQ dan Hawking

KQ (Kosmologi Quantum) hampir sinonim dengan Stephen Hawking bukan sekadar adanya saham beliau yang besar di dalamnya tetapi kerana berjayanya beliau mempopularkannya menerusi buku beliau yang bersejarah sebab luar biasa laris jualannya itu pada 1988 (jutaan naskhah lakunya dengan terjemahannya dalam puluhan bahasa lain). Perkara yang dilakukan oleh Stephen Hawking dalam bukunya “ A Brief History of Time” atau “Riwayat Sang Kala” itu hanya spekulasi penyatuan teori quantum dengan TKnE dari kaca mata seorang ateis atau antiagama. Seseorang yang membaca buku ini tidak dapat tidak akan terasa adanya konspirasi pengarang untuk memburuk-buruk agamawan (khususnya Kristian, tetapi terpalit kepada semua agama). Seperti yang diceritakan oleh Stephen Hawking dalam buku laris jualan itu, pada tahun 1965 ahli fizik teori Inggeris yang terkenal, Roger Penrose menyelesaikan persoalan dalam TEn yang terbit daripada kerja dua orang sarjana Rusia 1963, Lifshitz dan Kalatnikov, iaitu “Adakah teori kenisbian meramalkan bahawa alam semesta ini patut bermula dengan Deguman Besar (DB), pada masa mula-mulanya?” Jawabannya ialah dalam bentuk sebuah teorem yang menyatakan sebarang bintang yang semakin padam semestinya akhirnya berada dalam kesingularan, iaitu memerlukan wujudnya kesingularan dalam rantau ruang-masa yang dinamai “Lohong Hitam” itu. Pembuktian teorem ini memerlukan andaian alam semesta ini tidak terhingga ruangnya (suatu andaian yang diutarakan oleh Ibnu Rusyd yang mengancam kehidupan sarjana Eropah Zaman Skolastik dahulu). Jawaban inilah kemudiannya diperluaskan dan diperhaluskan oleh Stephen Hawking menerusi tesis Ph.D beliau di bawah penyeliaan Penrose pada 1967-1970 dengan membuktikan bahawa kesingularan itu hanya berlaku jika alam semesta ini mengembang dengan cukup pantasnya (terkenal dengan nama “model inflasi” yang kadarnya dinyatakan dalam seksyen 3) sehingga boleh mengelakkan daripada berlakunya keruntuhan/penguncupan semula (berasaskan model alam yang dianggap sah berlaku oleh Penrose, iaitu model bak Friedman) .


Berkenaan dengan TAMbang ini, seperti yang dibicarakan dahulu, ramai pihak sudah menganggapnya sebagai fakta setelah tafsiran cerapan yang dibuat oleh Hubble 1929 dan Penzias & Wilson 1965 dianggap bukti kebenarannya, walaupun selewat-lewatnya sejak 1972 lagi, Segal di Princeton Univ. dan pengikut-pengikutnya sudah menonjolkan kelemahan TAMbang (Lihat Segal 1992; Daigneault & Sangalli 2001; dan Wilkinson & Wolfendale 1993) yang dibicara lagi selepas ini. Ramai sarjana atau cendekiawan Muslim (Lihat seksyen 4) bulat-bulat mempercayai TDB dan TAMbang kerana dikatakannya serasi dengan Ayaht al-Qur-aan 51: 47, 21: 104 dan 10: 10 yang telah dibicarakan dalam seksyen tersebut dalam konteks TKnE. Sarjana atau penulis Muslim yang tersebut di atas, selain daripada Achmad Baiquni itu, bukanlah yang boleh dianggap kenal dengan MQ pun. Namun tentunya mereka ini menggunakan Ayaht-Ayaht al-Qur-aan yang sama untuk menyokong TDB dan TAMbang yang berasaskan astronomi atau kosmologi quantum (KQ) itu. Sarjana-sarjana lain yang percaya bulat-bulat kpd TDB dan TAMbang disebut pada tempat-tempat yang relevannya di bawah ini. Lagi pun ada beberapa orang sarjana Muslim dalam dan luar Negara Malaysia yang menyatakan benarnya MQ itu berasaskan Ayaht-Ayaht al-Qur-aan atau ajaran sufi yang dibincangkan kemudian ini. Ini tentunya membuatkan mereka ini semakin kuat pegangannya kepada sokongannya kepada TDB dan TAMbang itu, menerusi MQ pula .


Hawking seterusnya cuba membuang syarat-syarat kesingularan yang dikenakan oleh beliau (dan Penrose) dalam tesis Ph.D-nya sehingga kesingularan itu tetap juga berlaku. Pada tahun 1970 beliau bersama penyelianya itu berjaya membuktikan betapa kesingularan DB itu pastinya berlaku dengan syarat TKnE itu betul dan alam semesta ini mengandungi sebanyak jirim yang kita cerapi kini. Mengikut Hawking, TDB ini medapat tentangan hebat daripada para Marxis (terutamanya dari Rusia, mengikut Hawking) kerana dilihatnya bertentangan dengan “prinsip tentuisme sains” dalam Marxisme itu dan sebahagian lagi kerana tidak senang dengan idea kesingularan yang memang tidak menyenangkan dan merosakkan keindahan TEn itu. Tetapi katanya lagi, komuniti ahli astronomi, kosmologi dan kosmogeni amnya menerima baik TDB ini, iaitu alam semesta ini bermula dengan kesingularan DB. Golongan agamawan Kristian (Katolik khasnya) dengan rasminya telah menerima konsep DB daripada TEn itu sejak 1951 lagi apabila pihak Paus katolik mengeluarkan fatwanya bahawa teori ini serasi dengan Bibel. Tidak hairanlah sarjana dan ulama Kristian (mengikut al-Qur’aan 5: 82, istilahnya ruhban dan qissisin; manakala 9:31, 34 menyebutnya ahbaru yang juga ditujukan kepada “ulama Yahudi”) ramai yang menulis perihal keserasian beberapa unsur MQ dengan ajaran Kristian seperti Schindler (1986), Dimery (1998), Russell drk. (2000) yang mengandungi banyak sarjana aliran ini, dan senarai penuh karya jenis ini ada di Lampiran 7. Para penulis Muslim pun mungkin sudah banyak menerimanya pada tahun yang sama dengan berhujah serasi dengan Ayaht al-Qur-aan. Malah pandangan Iqbal (1934/2004) pada 1934 itu pun boleh ditafsirkan mengimplikasikan penerimaan beliau terhadap TEv, dan oleh itu kemungkinan besarnya pula beliau menerima TAMbang dan TDB.


Hawking juga berkata beliau sedar akan ramainya juga orang tidak senang dengan TDB beliau itu kerana teori beliau itu bermakna “masa” ada permulaannya, dan tidak dapat direkonsiliasi dengan campur tangan tuhan. Oleh itulah, katanya munculnya sarjana lain (dan dia sendiri tidak berminat?!)yang cuba membina model alam yang tidak memberi implikasi adanya DB ini seperti yang dibincang sebelum ini dahulu. Namun kami berpendapat adanya masa permulaan itulah yang lebih serasinya dengan agama samawi kerana segalanya dicipta oleh Tuhan.


Walaupun Stephen Hawking sendiri memang tidak berpuas hati dengan teorinya bersama Penrose 1970 itu tetapi sebabnya lain sekali, iaitu kerana teori itu tidak mengambil kira MQ lagi. Beliau hanya mahu melihat kemasukan MQ ke dalam model alamnya itu akan memberi teori baru lagi, mungkin juga membuktikan bahawa tiadalah kesingularan pada mula-mula kejadian alam semesta ini. Hawking berjaya mencapai hasratnya itu dan teorinya yang baru itu memerlukan penerima bentuk alam yang terhingga tetapi tiada sempadannya yang bermakna tiadanya masa bermula, tiadanya masa Penciptaaan dan tidak berlakunya Kiamat. Lalu Hawking bertanya dengan sinisnya juga dalam bukunya itu, jika beginilah keadaanya apakah peranan Pencipta? Hawking seterusnya menceritakan dalam bukunya yang laris jualan itu betapa dalam tahun 1981 beliau menghadiri sebuah persidangan kosmologi anjuran Jesuit di Vetican. Dalam persidangan itulah beliau memaparkan teori barunya ini. Beliau menceritakan bagaimana para peserta persidangan tersebut termasuk beliau dibenarkan mengadap Paus dan dalam pertemuan itu, Paus itu menyatakan kepadanya tidaklah salah seseorang mengkaji evolusi alam semesta selepas DB, tetapi seseorang tidak sepatutnya mengkaji tabii DB itu sendiri kerana itu adalah ketika Penciptaan (Tuhan) berlaku. Beliau dengan sinisnya menyatakan nasib baik Paus itu tidak mengetahui teorinya yang dipaparkan pada persidangan itu yang bertentangan dengan pandangan paus itu, kerana kononnya beliau takut nasibnya sama dengan Galileo!


Sebenarnya, dalam tradisi Kristian sebelum abad ke-12M (zaman Skolastik Eropah) para agamawan Kristian Eropah memang apeduli sains sehingga seorang gerejawannya pada abad ke-2 M bernama Tertullian menegaskan tiadanya berguna dan relevannya spekulasi sains dan kefalsafahan dalam Kristian kerana beliau percaya semua itu absurd sahaja (Demikian catatan Dawkins 1999, yang juga terkenal dengan penyumbang taasubnya kepada Teori Evolusi; dan buku baru beliau 2006 lebih-lebih lagi menghentam agamawan dengan lebih kasar lagi drp karyanya terdahulu 2004, 2005 dan menjadi buku larus jualan pula). Zaman Skolastik, gerejawan mengambil sains Yunani menjadi sebahagian daripada ajaran Kristian pula. Kegagalan tindakan ini menyebabkan sejarah pertentangan sains dan Kristian Eropah berterusan hingga kini. Tetapi semakin ramailah agamawan Kristian kini yang akur dengan sains seperti yang ditunjuk oleh paus Katholik 1981 (yang memohon maaf kepada komuniti ahli sains Eropah kerana kesilapan dan kezaliman pihak gereja terhadap ahli sains abad ke-16 hingga ke-18) dan Dowe (2005) bahawa sains dan agama (Kristian) saling bergantung antara satu dengan lain, khusus dalam kosmologi, evolusi dan kejadian luar biasa.Vatican pun sebenarnya tidak mahu lagi gerejawan membuat kesalahan seperti yang pernah berlaku pada zaman dahulu itu dengan contoh penangannya terhadap tokoh terkenalnya, Galileo. Malah dalam perasmian persidangan ini Paus membuat pengakuan rasmi bagi pihak gereja tentang kesilapan dan kezaliman gerejawan dahulu kepada ahli sains (Shaharir 2004a). Waktu itu Stephen Hawking dilaporkan diam sahaja (kerana tiada peluang yang sesuai agaknya). Pada tahun 1988, Stephen Hawking (1988: 116) baru menjawab pernyataan Paus itu dengan sinisnya dengan katanya beliau gembira dengan kejahilan Paus itu kerana dalam ucapan beliau di persidangan itu beliau menunjukkan model alam beliau yang terhingga dan tanpa sempadan itu mengimplikasikan tiada awalnya, iaitu tiada Tuhan ketika Penciptaan itu. Hawking (1988: 140) juga menulis model alamnya itu juga mengimplikasikan tiada akhirnya (tiada kiamat?) dan seterusnya beliau mempersoalkan peranan Pencipta sehingga tergamak beliau menulis “dalam keadaan begini apa perlunya lagi Tuhan?”. Berdasarkan pengakuan Hawking ini sahaja pun sewajarnya Muslim tidak harus bersekongkol dengan teori tajaan sarjana ateis ini seperti dengan bangganya menyokong TDB beliau seolah-olah beliaulah yang memberi saham kepada bukti kebenaran Islam! Bertentangan dengan Paus, para sarjana Barat yang tahu selok-belok KQ dan berpegang teguh kepada Kristian amat tidak senang dengan pandangan-pandangan Hawking di dalam bukunya “Riwayat Sang Kala” itu dan telah memberi tindakan balasnya seperti yang dilakukan oleh Wilikinson & Wolfendale (1993) dan Le Poidivin (1991), tetapi setahu penulis ini tiada tindakan balas daripada sarjana Muslim selain daripada yang diusahakan oleh penulis ini di sini dan sebelum ini (Shaharir 1987/2000). Ini hanya menunjukkan kelemahan umat Islam dalam bidang ini, tidak seperti tindakan balas Muslim terhadap Teori Evolusi (TEv) umpamanya yang cukup banyak (lihat sorotan oleh Remtulla 1993 umpamanya) yang telah disentuh sebelum ini dahulu, sedangkan tidak disedarinya bahawa TDB berhubung rapat dengan TEv!



Seperti yang diakuinya sendiri, Stephen Hawking adalah seorang deis dan agnosis yang memang telah lama turut percaya bahwa alam semesta berasal daripada DB itu. Idea asalnya DB itu dispekulasikan oleh Lemaitre 1927 menerusi model alam semesta Friedman itu seperti yang telah disebut dahulu. Namun teori bagi fenomenon ini hanya pertama kali dianggap “berjaya” dikemukakan pada 1948 oleh Alphe, Bethe dan Gamow (tetapi sering dirujuk Gamow sahaja, walaupun di sini penulis ingin merujuknya sebagai ABG sesuai dengan hasrat asal pengarang berkenaan itu yang mahu makalah mereka itu dirujuk sebagai alfa-beta-gama). Sejak itu sudah banyak pengubah-suaiannya dilakukan oleh para sarjana selepasnya tetapi konsep asasnya, meledak dan mengembang, dikekalkan. Teori meledak dan mengembang itu sahaja yang belum selesai kerana banyak kelemahan yang ditemui dan perlu diatasi. Senarai kelemahan ini sudah dipaparkan sebelum ini yang masih sah berlaku dalam KQ sekalipun. Teori yang terbaik setakat ini ialah yang disumbangi oleh Hawking yang masyhur itu. Prinsip DB ini didokongi oleh Stephen Hawking dengan pengubahsuaiannya berasaskan teori kosmologi quantum-nya, lalu pada tahun 1988 beliau berspekulasi bahwa DB itu terjadi kira-kira 17 bilion tahun yang lalu. Hawking membuat pernyataannya yang sinis kepada agamawan (atau sesiapa sahaja yang beragama) dengan katanya bagi mereka yang percaya bahwa Tuhanlah yang menciptakan alam semesta ini, dia masih boleh mengkhayali atau membayangkan Tuhan berbuat demikian pada masa DB itu, atau selepas DB dengan cara yang seolah-olah adanya satu DB itu. (Hawking 1988: 9 atau versi Melayu Indonesianya m.s. 10-11). Jelas TDB ialah suatu teori evolusi yang selaras dengan Teori Evolusi Darwin (TED) itu, dan oleh itu amat sesuai dengan sistem nilai Barat.
....bersambung dng judul "Bahana Kejahilan Muslim?"