Tuesday, January 15, 2008

kosmologi Barat Lwn Islam

6. Keserasian Kosmologi Quantum dengan Islam?


Asal-usul kejadian alam semesta mutakhir ini adalah mengikut kosmologi kuantum (KQ) yang telah dibicarakan di atas. Mengikut teori itu kejadian alam semesta ini bermula daripada kosong, la min syai’ atau ex-nihilo, iaitu daripada “tiada kepada ada” melalui “penerowongan”, dikaji dengan hebatnya oleh ramai sarjana Barat bermula dengan Vilenkin (1982, 1988) dan yang terkenalnya ialah Hawking dan Hartle (Hawking 1987; Hartle dan Hawking 1983). Sesungguhnya kajian asal usul jirim, khususnya alam semesta ini, menjadi popular menerusi buku laris jualan Hawking (1988/1994) itu. Tulisan popular lain lagi yang mungkin lebih mudah tercapai di khalayak umum rasanya ialah karya Halliwell (1991) sebahagiannya kerana kepopularan majalah sains yang menerbitkan makalah itu.


Dalam kejadian alam semesta, seperti yang disebut sebelum ini, hampir semua sarjana dan/ulama Muslim sangat akur dengan TDB dan TAMbang dalam fizik moden (berhujah dengan TKnE dan MQ). Para Bucailleis hampir pasti menyatakan sains moden membuktikan bahawa alam semesta ini dicipta daripada DB dan AMbang yang begitu serasi dengan Ayaht-Ayaht al-Qur-aan (nasib baik belum terdengar ulama Islam yang mengatakan orang Islam wajib mempercayai TDB dan TAMbang itu). Mungkin sekali punca masalahnya, para Bucailleis ini hampir pasti bukan penyelidik dalam bidang sains moden itu dan oleh itu mendengar-dengarnya dari jauh sahaja, lalu terpesona dengannya dan lari bersembunyi di sebalik al-Qur’aan (seperti al-An‘aam: 73 dan al-Anbiya’ : 30) untuk menyokongnya atau “menumpang semangkuk” supaya terasa “tidak ketinggalan” dan benarnya cara hidupnya selama ini (Islam dan tidak menyelidik sendiri!). Mereka cepat menjadi Bucailleis. Contoh nama-nama popular atau besar mereka ini sudah disebut dalam seksyen 4 dahulu, tetapi ingin pula ditambah di sini ialah betapanya pendirian sebegini termasuklah oleh institusi besar Islam seperti YADIM yang ditintakan dalam laman rasminya oleh Syed Mahadhir (2005) dan hampir semua laman sesawang Islam seluruh dunia (lihat internet “sains Islam” dan “Islamic science”).


Mereka hampir pasti juga tidak mengetahui betapanya kedudukan teori-teori ini dalam komuniti para penyelidik sains moden amat dinamik, khususnya ada kumpulan yang mengkritik hebat teori-teori ini sehingga menawarkan teori lawannya yang ditunjukkannya lebih baik lagi hasilnya seperti yang dihurai sebelum ini. Kumpulan yang bekerja di bawah paradigma DB itu sendiri pun pelbagai kerana persoalannya bagaimana DB itu berlaku masih belum selesai, walaupun yang dominan sekarang ialah menerusi KQ tajaan Hawking. Dalam hal inilah nama Stephen Hawking, seorang ahli fizik besar dunia yang terkenal dengan pendirian antiagama itu, dan oleh itu tidak hairanlah teorinya banyak yang bertentangan dengan ajaran agama Kristian dan sekaligus dengan agama Islam juga. Hal ini sudah dipaparkan sebelum ini. Oleh itu, sokongan seseorang Islam terhadap TDB perlu hati-hati (ada batas-batasnya) seperti yang dijelaskan di bawah ini.


Dalam usahanya untuk lari jauh lagi daripada Maha Pencipta agaknya Hawking dilaporkan pernah berkata yang dia beranggapan Tuhan semestinya mencipta sesuatu daripada sesuatu benda, kerana katanya anggapan ini sesuai dengan kepercayaannya yang Tuhan tidak mencipta hukum-hakamnya sembarangan (tanpa tujuan). Sebab yang diberikan ini sungguh Islam bunyinya, tetapi tujuannya lain. Beliau mahu berteori bahawa DB itu berlaku bukannya “daripada tiada kepada ada” mengikut pengertian “tiada” yang biasa difahami, iaitu kosong sekosongnya. “Tiada” di situ bermaksud tidak nampak secara jasmani sahaja, iaitu dalam bentuk tenaga gelombang, cahaya dsbnya, atau lebih spesifik lagi “vakum” dalam MQ itu. Ini mungkin diterima baik lagi oleh orang-orang kebendaanis itu. Ini bermakna TDB itu, jika memang benar berlaku pun (dan ini pun masih dan semakin dipertikaikan), bertentangan dengan ajaran Islam (ajaran mutakallimun atau ahli kalam) yang berpendirian alam semesta ini terjadi daripada kosong (la min syai’, tiada apa-apa, ex-nihilo) kerana jika tidak, ilmu kosmologi itu bertentang dengan “Sifat 20” Tuhan itu.


Dalam tradisi keilmuwan Islam, isu kejadian benda secara ex-nihilo ini dibicarakan dengan hebatnya di kalangan mutakallimun (ahli kalam) seperti yang dapat ditelaah dalam buku Wolfson (1976), malah ex-nihilo itu terjemahan Latin terhadap ungkapan la min syai’, min la syai’ , atau yang hampir dengannya, al-ma‘adum (yang bermakna tidak wujud). Ijmak ahli kalam ialah kejadian itu ialah secara daripada la min syai’, tiada apa-apa, kosong sekosong-kosongnya atau ringkasnya kosong sahaja supaya tidak bercanggah dengan “Sifat 20” Allah itu. Shahidan (1999), sama seperti para sarjana Barat teis (kebanyakannya ahli falsafah Kristian), seperti Craig (1994, 1996), mengatakan Teori Hartle dan Hawking (1983) yang membenarkan kejadian alam semesta ini daripada “tiada kepada ada” melalui proses “penerowongan” itu (Isham 1988) sesuai dengan Islam (pandangan ahli kalam itu). Namun jika dihalusi sebenarnya tidak demikian bukan sahaja kerana hujah falsafah Hawking yang disebut sebelum ini tetapi juga kerana “penerowongan” itu berlaku menerusi ganjatan vakum dan vakum dalam MQ bukannya kosong (walaupun dalam sains klasik Barat memang kosong). Barrow (2002) dan Genz (2001) membincangkan dengan terperincinya akan hakikat ada bendanya dalam “vakum” dan “kekosongan” itu. Ahli falsafah Kristian, Morriston (t.t) juga membantah pandangan Craig (1996) tetapi dengan alasan yang lain lagi. Kajian kejadian alam juga membawa kepada kajian fenomenon di alam berskala Planck, iaitu sekitar 10 m, yang dijuarai oleh Finkelstein (1995). Shahidan (1999) meng-Islam-kan kegiatan ini dengan membawa maklumat Ibn ‘Arabi yang menamakan zarah yang bernama al-haya berada dalam skala sekecil skala Planck itu, yang katanya “suatu jirim asas di alam Malakut” yang boleh digunakan oleh para wali Allah yang bermaqam tinggi “membuat sesuatu jirim dengan isim ‘Kun Fayakun’ ” itu. Jika inilah yang mungkin dapat dibuktikan oleh para penyelidik di skala Planck itu maka hasilnya itu nanti masih bertentangan dengan pandangan ahli kalam itu. Muslim patut menganggap keadaan ini sebagai manifestasi kelemahan MQ sahaja.


Sarjana Barat yang ramai sekular itu sudah tentu tidak mahu teori “kun fayakun” (terus jadi seperti penegasan Allah dalam Surah Yaa Sin itu dan lebih jelas lagi agaknya, Suraht al-An‘aam: 73), atau teori “Tuhan sentiasa mencipta” (Iqbal 1934/2004: 36, 44, 52, 56, 102, 106, 107, 109, 110). Pada masa kini Sarjana Barat yang sekular itu mendapat cabaran hebat daripada “Model Reka Bentuk Pintar” tajaan ahli kosmologi Kristian yang juga telah disentuh sebelum ini di sini. Mengenagkan situasi inilah maka model Kristian ini sepatutnya mendapat perhatian ahli sains Muslim seluruh dunia sambil memberi pandangan pro-kontranya. Teori-teori tajaan ahli sains teis atau bukan sekular ini memang tidak cocok dengan “Teori Evolusi” yang masyhur itu, iaitu sesuatu mesti berlaku secara evolusi dan penuh nasib atau tidak semena-mena sahaja. Namun TAMbang itu ada satu masalah yang lebih besar lagi iaitu ketidak-mampuannya menjelaskan perkara yang berlaku sebelum alam-alam semesta itu mengembang.

Di sinilah Stephen Hawking dan pelajar-pelajarnya datang lagi ke pentas ilmu teori ini dalam tahun 1980-an dahulu. Hartle dan Hawking mengesyorkan teori barunya 1983 yang berasaskan pada model alam semesta tanpa sempadan (seperti dunia ini) di samping teori superset yang merangkumi kenisbian am dan MQ. Mereka menganggap setiap alam semesta sebagai zarah quantum sahaja dengan nilai fungsi gelombang untuk alam kita ini besar dan yang lainnya kecil-kecil sahaja serta pemalar-pemalar fizik bagi alam-alam semesta lain itu kecil-kecil belaka serta tanpa makhluk hidup. Banyak makalah tentang model tanpa sempadan dicetak kembali dalam Li Zhi Fang dan Ruffini (1987). Model ini pertama kali diutarakan oleh Hartle dan Hawking (1983), dan formulasinya yang lebih baru dan komprehensif lagi ialah dalam Hawking (1987). Dalam teori kosmologi inilah Hawking banyak membicarakan juga tentang tabii “Lohong Hitam” yang cukup popular itu terutamanya selepas tersebarnya teori ini menerusi buku laris jualan beliau itu kerana mengikut model itu alam semesta ini tiada mulanya, Hawking (1988/1994). Namun kini sudah diketahui umumlah (internet) tentang pengakuan Hawking sendiri di International Conference of General Relativity and Gravitation, Dublin, Ireland 2004, bahawa teori beliau tentang perkara ini tidak betul lagi. Inilah masanya para penyokong teori kosmologi Barat di Timur bermuhasabah sedalam-dalamnya dan mungkin memberi teori baru sama sekali. Para penulis Muslim juga sering membuat pernyataan yang kurang tepat dan mengelirukan dalam keghairahannya menegakkan sokongannya terhadap TDB. Harun Yahya dalam karyanya “Penciptaan Alam Semesta” (t.t) umpamanya, mengatakan para kebendaanis/materialis amat suka berhujah bahawa alam semesta bukanlah sesuatu yang dicipta tetapi terjadi dengan tabiinya sejak tidak terhingga masa dahulu lagi. Kononnya teori kosmologi baru telah mengalahkan pandangan kebendaanis itu dan sekaligus menegakkan kebenaran Islam. Niatnya bagus tetapi pendekatannya menumpang pada yang membawa rebah! Persoalannya, “teori kosmologi baru” yang mana? Mereka ini tidak sedar agaknya bahawa TDB itu juga direka supaya tidak memenuhi teisme/agamaisme tanpa pertimbangan khusus kepada kebendaanisme, kerana para perekanya seperti Hawking itu tidak pernah mengatakan Tuhan yang mencipta DB “daripada tiada kepada ada” itu seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Model alam semesta yang baru ciptaan Hawking itu sebenarnya tidak memerlukan Tuhan seperti yang dilaporkan dengan tembiranya dalam buku laris jualannya itu (Hawking 1988/1994). Lagi pun sarjana atau penulis Islam itu sepatutnya mematahkan hujah sarjana Kristian yang menolak TDB kerana TDB berimplikasi ateisme/mulhidisme itu sebelum mendokong secara mudahnya TDB itu. Yang lebih penting lagi, yang perlu disedari, ahli falsafah kebendaanis sebenarnya akan menolak TDB kerana mereka menolak peranan Tuhan (bukan benda) terhadap susuatu yang “tiada” (yang bermaksud tiada apa-apa benda pun) dalam penciptaan alam semesta ini; walaupun dijadikan sekelip mata atau tidak, itu tidak relevan lagi. Pendeknya, kebendaanis memang menolak ex-nihilo yang setengah pihak berpendapat ex-nihilo itu diimplikasikan oleh KQ itu. Ini belum lagi mengambil kira pandangan Carroll (2003) yang mencirikan kebendaanisme dalam model alam semesta ialah yang memenuhi 4 ciri yang berikut: sebagai struktur matematik formal, hukum-hakam alam semesta, syarat sempadan yang sesuai dan tafsiran yang sesuai. Jika pandangan Carroll ini diterima maka jelas KQ yang melahirkan/mengukuhkan TDB dan TAMbang itu sains kebendaanis! Ini tentunya pandangan ekstrim, kerana seolah-olah kaedah sains ini semestinya melahirkan sains kebendaanis. Tidaklah demikian, tetapi TDB dan TAMbang dalam bentuk sekarang ini memanglah kebendaanis. Hawking (1988/1994) sendiri menyatakan yang bapa kebendaanis iaitu Marxis tidak bersetuju dengan TDB beliau (yang asal karya bersamanya dengan Penrose) bukan kerana teorinya anti-kebendaanis atau tanpa unsur kebendaanis, atau memukul mati kebendaanisme tetapi kerana ada permulaan dalam penciptaan alam semesta ini!. Jadi beliau mengubahsuai model asalnya hingga yang mutakhir ialah yang mengimplikasikan tiadanya permulaan penciptaan itu!

Bersambung dng judul "Penerowongan dalam Penciptaan Alam Semesta "

Sunday, January 6, 2008

bahana kejahilan Muslim?

Bahana Kejahilan Muslim?

Mungkinkah ulama/ahli falsafah/sarjana Islam yang menentang TED tidak begitu tahu TDB sehingga sanggup menyanjung tinggi akan TDB tetapi dengan cukup tekalnya menentang TED (sejak zaman Darwin hingga kini, seperti yg telah dihuraikan sebelum ini. Berkenaan TED, di Barat pun memang ada gerakan menentangnya atas dasar agama Kristiannya, tetapi berbeza dengan dunia Islam, Barat memang ada kumpulan agamawannya yang menyokong kuat TED dan oleh itu sokongan mereka kepada TDB itu suatu yang tabii sahaja. Contohnya, mengikut Sethiadi (t.t) seorang gerejawan Katolik Roma yang bernama Pater Teilhard de Chardin S.J yg hidup 1881-1955 menanggap dan menganggap TED itu suatu fakta yang prinsipnya mesti dipenuhi oleh semua sains (bukan untuk sains hayat sahaja). Pada mulanya, pandangan ini tidak disenangi oleh pihak gereja Katolik Roma sehingga pada tahun 1960-an pun buku-buku beliau tidak direstui membacanya. Namun pada 23 Oktober 1996, Paus John Paul II mengeluar hukum mempercayai TED ini sebagai “mubah” (kalau mahu menggunakan istilah Islam, iaitu “harus” dalam bahasa Melayu Malaysia) kerana kononnya TED tidak lagi bertaraf hipotesis. Sepuluh tahun sebelum ini beliau juga secara rasmi memohon maaf kepada komuniti ahli sains dunia atas kesilapan gereja katholik menghukum (membunuh atau menyiksa) para ahli sains abad ke-16 hingga ke-17M itu. Pengkritiknya mengatakan semua ini berupa langkah membayar hutang atau membaiki kerosakan Katholik di mata dunia. Kemudian pihak Protestan pula mulai menerima TED walaupun tiada dikri gereja dikeluarkan kerana itulah tabii Protestan yg tiada sistem Paus itu. Lagi pun TDB itu menarik pemikiran Barat kerana selepas itu “Teori Evolusi” alam semesta berlaku (Tuhan tidak diperlukan)! Tentunya “Institut Penciptaan” dan orang TRBP di AS kecewa dengan perkara ini. Namun pendirian Katholik secara rasmi dan umumnya di kalangan gerejawannya terhadap TEv amatlah kebendaliran sebagaimana yang dipaparkan oleh seorang ahli astronomi terkenal dan kontroversi, Coyne (2005) yang menjadi Pengarah Balicerap Vatican pada masa itu. Coyne amat tegas pendiriannya menentang TRBP. Ini agak bertentangan pula dengan pendirian Kardinal bernama Sch├Ânborn yang mendakwa TEv tidak serasi dengan kepercayaan kepada Tuhan pencipta (dilaporkan dalam New York Times, 7 July 2005), yang disokong oleh Papus Benedict XI sekarang (2007). Kardinal Newman dari Great Britain pula menegaskan pada 1868 lagi bahawa TED tidak semestinya ateis. Walaupun Papus John Paul bersetuju dengan TED tetapi pendirian Papus ini terhadap TDB dan TAMbang agak kurang jelas tetapi mungkin sama walaupun beliau melarang ahli sains mengkaji ketika Deguman Besar itu berlaku! Sebaliknya, Papus Benedict tidak percaya kepada TDB seperti yang disebut sebelum ini, malah dikatakan beliau telah menyingkir Coyne daripada menjadi Pengarah Balaicerap di Vatican pada 2005 kerana kritikan sarjana ini kpd TRBP. Pendirian Papus ini terhadap TED tidaklah diketahui.


Berhubung dengan kebiasaan para “ulama Kristian” (atau qissiisin) mudah akur, tidak kesah atau mengerluk (menyorok diri) terhadap pandangan ahli sains, seorang daripada ahli matematik dan ahli falsafah agung Inggeris, Whitehead (1958:188) ada menyebut betapanya sikap itulah yang menyebabkan akhirnya merosakkan kewibawaan cendekiawan para pemikir agama Kristian. Pandangan ini mungkin semakin benar berlaku di kalangan ulama Islam juga.

Di Malaysia ini, malangnya bidang astronomi gunaan pun boleh dikatakan tiada pelajar yang meminati, walaupun kempen dan pempopularan bidang astronomi dan sains angkasa begitu hebat dilakukan oleh kerajaan. Puncanya ialah ketiadaan minat terhadap matematik yang mencukupi kerana dua bidang ini memerlukan mereka yang juga berminat kepada matematik khususnya analisis fungsian dan analisis atas manifold dan aljabar tidak kalis tukar tertib. Di UKM umpamanya, setelah 35 tahun (sejak penubuhan UKM 1970) kewujudannya tiada seorang pun pelajar DFal. dalam bidang kenisbian dan hanya mampu melahirkan seorang siswazah DFal. dalam bidang mekanik quantum. Universiti-universiti yang lain di negara ini juga berprestasi demikian. Malah bilangan sarjana di Malaysia yang pernah mendapat latihan dan masih membuat penyelidikan dalam bidang ini hanya boleh dibilang dengan sebelah tangan sahaja, dan dengan ketiadaan pelajar mereka ini segera berpindah kepada bidang lain pula. Tidak hairanlah bidang astronomi yang dahulu menjadi milik orang Islam yang unggul, kini begitu jauh dengan umat Islam.
Bersambung dng judul "Keserasian Kosmologi Quantum dengan Islam?"