Wednesday, June 4, 2008

Bahasa sendiri lebih baik

Perlunya bahasa Melayu kembali menjadi penggantar
utama dalam pendidikan sains dan matematik sekolah


Pendahuluan

Tarikh 13 Mei memang sejarah hitam kita. Kali ini 13 Mei 2002 apabila media massa perdana menyiarkan keputusan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pengajaran Sains dan Matematik (SAMA) sekolah mulai 2003 atas sebab “demi kemajuan bangsa” .

Bahasa Melayu kini (mulai pertengahan 2003) sudahpun disingkirkan dan tersingkir tempatnya dengan mendadaknya di dalam pendidikan SAMA sekolah, satu daripada sektor yang berpengaruh yang mencorak kebudayaan bangsa. Sebenarnya bahasa Melayu (BM) di peringkat pasca-sekolah dan institut pendidikan tinggi awam (IPTA) sudah mula disingkirkan jauh lebih awal lagi, walaupun secara perlahan-lahan. Sejak perisytiharan 1993 oleh Y.A.B Dato’ Sri Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, tentang bolehnya bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran sains dan teknologi di IPTA pada akhir tahun tersebut, bahasa Melayu mula terkesot daripada kedudukanya yang sewajarnya. Kemudian dengan kelulusan Akta Pendidikan Pendidikan Swasta 1995 yang mengizinkan tumbuhnya institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) atau kolej swasta dengan pesatnya dan hampir semua dalam bahasa Inggeris (BI), maka BM yang terkesot itu pun mula menerima tekanan yang kuat akibat himpitan daripada segenap penjurunya apabila bahasa itu cuba dipertahankan kepentingannya di IPTA. Selanjutnya, apabila munculnya dasar bahasa dalam pengajaran SAMA sekolah 2003, maka setengah pemimpin universiti merasakan tidak lagi wajar BM dipertahankan takhtanya selama ini di universiti pula, lalu banyaklah penggulingan BM yang merajai mata pelajaran SAMA dan yang berhubung dengannya. Kini, sejak 2005, ekoran dasar bahasa di sekolah itu, maka semua IPTA (termasuk di kubu kuatnya, UKM) sedang melaksanakan/menstrategi pengInggerisannya dengan hebatnya. Masing-masing telah pun bertekad akan mengInggeris sepenuhnya menjelang 2008 ini (setengahnya lebih awal lagi kerana mereka terus memulakan pengInggerisannya serentak dengan sekolah iaitu 2003 demi “menyahut seruan Negara”) sekurang-kurang dalam bidang SAMA, termasuk kursus pendidikan dalam bidang ini. Sebabnya mudah sahaja: semua pelajar aliran sains di sekolah adalah pelajar aliran Inggeris mulai 2005, dan yang lainnya demi teknologi maklumat (TM), globalisasi dan semua itu; dan untuk bidang pendidikan (sebahagian besarnya bersifat sastera, walaupun bidang pengajiannya pendidikan SAMA) kerana lulusannya akan menjadi guru yang akan mengajar dalam BI. Tetapi, penukaran kepada aliran Inggeris ini hampir pasti akan berlaku untuk beberapa kursus dalam ekonomi dan pengurusan yang bermatematik (memang banyak), malah dalam beberapa kursus sastera/kemanusiaan yang tidak semestinya bermatematik kerana hujahnya yang cukup lumrah sekarang, “demi pekerjaan dan globalisme.”

Tujuan makalah ini ialah dua perkara.

(1) Untuk memaparkan sebab-sebabnya BM perlu dikekalkan sebagai bahasa pengantar dominan dalam pendidikan sekolah dan pasca-sekolah di Malaysia.
(2) Untuk mengesyorkan beberapa langkah strategi dan/atau kaedah pengembalian status BM sebagai bahasa pengantar utama di sektor pendidikan.



I. Sebab-Sebab perlunya BM sebagai bahasa pengantar pendidikan SAMA di Malaysia


1. Terpinggirnya BM.

Kerajaan secara sedar atau tidaknya telah menjadikan 70% subjek pelajar aliran sains sekolah dalam BI, sedangkan dasar kerajaan juga akan menjadikan lebih daripada 60% pelajar sekolah berada dalam aliran sains. Ini bermakna sekurang-kurannya 60% pelajar sekolah boleh dianggap dalam aliran Inggeris dan sekali gus jelas BM terpinggir di kalangan mereka ini. Keadaan terperincinya lebih teruk daripada ini:

1.1. Mata pelajaran utama (mata pelajaran Wajib) Sekolah Rendah kini semuanya dalam BI kecuali Bahasa Melayu, dan Pengajian Agama Islam atau Pengajian Moral sahaja. Ini sama dengan sekolah aliran Inggeris pra-merdeka.


1.2. Mata pelajaran Wajib SPM aliran sains atau vokasional semuanya dalam BI kecuali Bahasa Melayu sahaja. Inipun sama dengan sekolah aliran Inggeris dahulu.

Sementara itu, mata pelajaran sekolah aliran sastera pun ada mata pelajaran yang dianggap sebagai sebahagian drp SAMA (oleh itu bahasa pengantarnya BI) ialah mata-mata pelajaran teknis/kejuruteraan (di sekolah biasa, teknik atau vokasional), perakaunan, perdagangan, dan kemahiran hidup. Malah banyak sekolah kini memastikan Pendidikan Jasmani dalam bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya sehari seminggu dijadikan Hari Bahasa Inggeris sepenuhnya atas alasan menambah pendedahan suasana berbahasa Inggeris di kalangan pelajar.

1.3. Aliran sains peringkat STPM atau Matrikulasi adalah aliran Inggeris kerana hanya Kertas Am sahaja dalam bahasa Melayu.

1.4. Yang masih dominan dalam bahasa Melayu hanyalah peringkat PMR dan Sekolah Menegah aliran sastera sahaja (sekitar 40% pelajar sekolah).

1.5. Kini kursus SAMA di IPTA pun sudah dimulai semuanya dalam aliran Inggeris dan lebih daripada 60% kursus di IPTA dapat digolongkan sebagai kurus SAMA itu. Bidang sains sosial dan kemanusiaan juga ada yang sudah diberi dalam BI seperti yang dijelaskan dalam pendahuluan makalah ini.



2. Negatifnya Keputusan peperiksaan
Laporan rasmi memanglah sering menegaskan betapa positifnya pengajaran SAMA menerus bahasa Inggeris seperti pelajar semakin berminat dan semakin baik prestasinya sejak tahun mulanya pengenalan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar SAMA. Namun yang tidak rasminya berlaku sebaliknya. Umpamnya bagi PMR 2005 (tahun pertama pelajar dikatakan menjawab salan dalam bahasa Inggeris setelah 3 tahun belajar SAMA dalam bahasa tersebut) keputusannya seperti berikut:

2.0. Keputusan rasminya prestasi PMR 2005 lebih baik daripada sebelumnya. Namun, rasanya tiadalah yang sanggup membelakangi deria biasa, gerak hati, rasa hati, bisikan hati atau intuisi masing-masing lalu percaya kepada keputusan rasmi ini! Dalam SAMA, deria biasa atau gerak hati itu menjadi hipotesis yang boleh dipercayai sehinggalah dibuktikan secara SAMA-nya sebaliknya. Keputusan rasmi itu belum dapat dibuktikan sohihnya secara SAMA. Yang tidak ditonjolkan dalam laporan rasmi itu ialah perkara-perkara berikut:

2.1. Hanya sekitar 30% sahaja yang menjawab dalam BI dan itu pun kebanyakannya dari sekolah bandar. Yang lainnya menjawab dalam BM atau “bahasa Rojak” (BR); dan yang menjawab dalam BM itu pun banyak istilah yang digunakannya ialah istilah dalam BI. Ini menunjukkan pendidikan SAMA menerusi BI tidak berjaya tetapi sebaliknya sekaligus pula berjaya menghilangkan segala istilah dalam SAMA dalam BM, malah BR akan semakin berleluasa di peringkat formal sekalipun.

2.2. Pelajar yang menjawab dalam BI lebih ramai peratusan gagalnya berbanding dengan pelajar yang menjawab dalam BM atau BR itu. Dong Jiao Zhong (dalam Siasah 20 Januari-2 Feb 2006) telah membuktikan hal ini: sekitar 26% pelajar yang menjawab dalam BI gagal, manakala hanya sekitar 8% yang menjawap dalam BM itu gagal. Ini mengukuhkan kajian yang telah dibuat di seberang laut beberapa tahun yang lepas yang menunjukkan pelajar yang belajar SAMA dalam bahasa bukan bahasa ibundanya merosot prestasinya.

2.3. Prestasi BI merosot. Ini pun mengukuhkan kajian di seberang laut yang mendapati pengajaran SAMA dalam BI tidak juga meningkat secara berertinya akan prestasi BI pelajar tersebut.


3. Melayu Malaysia dan Indonesia berbanding dengan Melayu lain di Asia Tenggara.

Melayu Singapura, Brunei dan Philippina yang telah lama mengikuti pendidikan SAMA dalam BI tetapi tiada bukti yang mereka ini lebih baik daripada Melayu di Malaysia dan Indonesia yang belajar ilmu ini dalam BM, malah ada tanda-tanda Melayu Malaysia dan Indonesia lebih berjaya. Melayu di Thailand dan Melayu Campa (Kemboja dan Vietnam) belajar SAMA dalam bahasa asingnya (bukan Inggeris) dan menerima padah yang lebih teruk lagi bersekali dengan semakin pupusnya bahasa Melayu di sana.

4. BM dan BI sebagai bahasa asing bagi Cina.

Cina Malaysia dan Cina Singapura tiada beza prestasinya dalam SAMA walaupun kedua-duanya belajar dalam bahasa bukan bahasa ibundanya (Cina Malaysia belajar dalam bahasa Melayu sekurang-kurangnya selepas peringkat sekolah rendah, manakala Cina Singapura belajar dalam bahasa Inggeris). Malah setiap tahun ratusan atau ribuan pelajar Cina lulusan SPM yang ditawarkan biasiswa atau tempat belajar di Singapura, atau di negara-negara lain, dan seringlah pula pelajar Cina Malaysia itu mengatasi Cina Singapura atau lain-lain. Ini mungkin sekali disebabkan majoriti Cina Malaysia belajar SAMA sekolah rendah dalam bahasa ibunda, manakala hanya sekitar 40% sahaja Cina Singapura yang belajar SAMA dalam bahasa ibunda barunya (bahasa Inggeris atau Singlish) kerana (mengikut kajian sosial di sana) itulah peratusannya rakyat Singapura kini yang tidak tahu bahasa Cina; dan Inggeris/Singlish menjadi bahasa ibundanya sambil mengimpikan menjadi Inggeris.


5. Hubungan tamadun/kemajuan bangsa dengan bahasanya sendiri.

Setiap bangsa yang mencapai taraf tamadun tinggi dahulu, seperti tamadun Yunani, dan tamadun Islam maju menerusi bahasanya sendiri. Begitu juga dengan bangsa-bangsa mencapai taraf Negara Maju sekarang hampir semuanya maju dalam bahasanya sendiri. Pengecualiannya hanya Irelandia (bersekali dengan Wales dan Skotlandia) yang telah meninggalkan bahasanya sendiri hampir sepenuhnya dengan mendokong bahasa penjajahnya, Inggeris, sebagai bahasa pembangunannya sehingga bahasanya sudah hampir pupus, walaupun mereka masih sedang cuba menyelamatkannya. Tetapi di antara Negara-Negara Maju itu, Irelandia (Wales dan Skotland) mungkin sekali yang termundur dalam SAMA berbanding dengan Negara-Negara Maju lain, atau tidak mungkin mengatasi England, Australia, New Zealandia, Kanada dan Amerika Syarikat (Negara-Negara maju yang majoriti rakyatnya memang berketurnan Inggeris).


6. Tabii Inovasi dan daya pengaryaan.

Hasil-hasil penyelidikan tentang inovasi dan daya pengaryaan oleh para sarjana di segenap pelusuk dunia menunjukkan bahawa sarjana, pengenovasi, atau pereka cipta daripada berkebudayaan sendiri mampu mencetus karya/ciptaan/rekaan yang berbeza dan bitara berbanding dengan sarjana atau pereka cipta yang berbangsa A tetapi berkebudayaan B kerana berpendidikan formalnya dalam kebudayaan B. Kelainan penghayatan bahasa dan sekaligus kebudayaan itulah yang mampu melahirkan kelainan persoalan, karya, idea, prinsip dan sebagainya.

Oleh itu sesuatu umat yang cuba menjadikan cara hidupnya menerusi pendidikan ilmu dalam bahasa dan kebudayaan umat lain, tidak mungkin menjadi umat itu lebih berdaya karya atau berinovasi daripada umat lain itu (menjadi impiannya itu).


7. Tidak neutralnya SAMA: Bukan hanya aspek penggunaanya, penerapan atau aplikasinya sahaja


Tidak neutralnya SAMA itu ialah bukan sahaja dari aspek kefahamaan dan penghayatannya bagi SAMA semasa (yang sedia ada dan oleh itu perlu dipelajari) tetapi aspek amalan dan pengembangannya (iaitu aspek pengajaran, inovasi dan karya baru). Tidak neutral itu ialah segi pendekatan, pemilihan atau pengecaman persoalan, matalamat penyelesaian sesuatu persoalan, pembinaan model kepada persolan itu, penilaian kepada model itu, dan akhirnya cara pelaksanaan atau amalan ilmu yang diperoleh itu. Inilah yang memberi makna kepada ungkapan “maju dalam acuan sendiri” (terutamanya selepas “Wawasan 2020”) itu. Jika BI yang menjadi bahasa pengantar SAMA maka ilmu ini pastinya akan condong kepada kebudayaan Inggeris dalam semua aspek yang disebut di atas. Kita hanya berpotensi besar menjadi satelit Inggeris sahaja.

Oleh itu bahasa sesuatu kaum itu memang berperanan positif bagi mewarnai SAMA dan seterusnya memajukan kaum tersebut bukan sebaliknya. Bahasa sesuatu kaum itu, jika digunakan sebagai bahasa pengantar ilmu yang dipelajarinya, bukan sahaja memudahkan lagi kaum itu menguasai ilmu yang sedia ada kerana lebih mudah menyesuaikan ilmu itu dengan kehidupannya atau pandangan alamnya, tetapi memberi fahaman baru kepadanya, menghayatinya, dan mencetuskan inovasi atau idea baru sama sekali terhadap ilmu itu lalu mejiwai ilmu itu dengan kebudayaannya dan akhirnya ter-antarabangsa-lah kebudayaan itu menerusi ilmu karyanya itu. (Ini boleh dianggap hukum tabii kerana ditegaskan oleh al-Qur-aan juga, Suraht Ibrahim, Ayaht 40; dan sudah terbukti sepanjang masa)

8. Kejayaan dalam pemerataan ilmu

Pendidikan SAMA dalam aliran Melayu selama ini telah meningkatkan tahap capaian rakyat Malaysia kepada peluang berilmu dengan hebatnya bukan sahaja dalam negeri tetapi di segala pelusuk Negara Maju. Sebaliknya Negara-negara yang mendokong bahasa asing dalam sistem pendidikan SAMA-nya seperti di Afrika, Amerika Selatan, India, Pakistan, dan Philippina semuanya terkenal dengan pengagihan SAMA yang pincang hingga India umpamanya dilaporkan hanya kurang daripada 20% sahaja rakyatnya yang mencapai SAMA di peringkat Sekolah sedangkan Cina di Republiknya jauh lebih tinggi peratusannya. Ini adalah manifestasi kebenaran hukum tabii tentang pendidikan menerusi bahasa sendiri yang telah disebut di atas.



9. Pendidikan SAMA dalam BM memang berjaya dengan mutunya

9.1. Pendidikan SAMA dalam aliran Melayu difitnahkan kononnya pencapaian akademik pelajar Melayu tidak juga meningkat selama ini. Ini dibuktikan setiap tahun dalam pencapaian setiap peperiksaan penting di sekolah (UPSR, PMR dan SPM) dan di IPT: yang mendapat 8A SPM umpamanya sekitar 1 Melayu dengan 9 bukan Melayu dan pencapaian Sarjana Muda Kepujian Kelas I dalam SAMA sekitar 1 Melayu 19 bukan Melayu! (data seblum 2003). Malah dikatakan juga kononnya pendidikan dalam aliran Melayu menjadikan Melayu semakin lemah kerana kononnya mereka semakin tidak menghiraukan BI, bahasa yang diandaikanya menjadi kunci kepada kecemerlangan akademiknya dan bukan akademiknya. Andaiannya, dengan SAMA aliran Inggeris masalah ini terselesai! Betapanya data pencapaian Melayu dalam SAMA pada zaman tiada aliran Melayu dahulu yang cukup daif itu sudah (sengaja) dilupainya?

Pencapaian anak-anak Melayu berbanding dengan bukan Melayu di semua peringkat sebenarnya jauh meningkat berbanding dengan zaman pendidikan bukan dalam aliran Melayu dahulu, walaupun jurangnya masih luas. Sudah ramai anak Melayu yang malah dapat berada di universiti-universiti terkemuka di dunia, di Amerika Syarikat dan di United Kingdom, di Jepun, dan di Eropah, ramai pula yang beroleh kelas pertama pun. Jika pencapaian ini dicampurkan dengan yang di dalam negara, maka jurang pencapaian Melayu dengan Cina tidaklah seburuk yang digambarkan selama ini.

Pencapaian kelas pertama pelajar Melayu di universiti tempatan kita melonjak naik sejak 2003 ekoran ramainya pelajar cemerlang Melayu tidak dapat belajar di seberang laut kerana kemelesetan ekonomi dahulu. Ini menunjukkan dakwaan Melayu tidak bagus-bagus dalam SAMA walaupun diajar dalam bahasanya sendiri tidak tepat sama sekali. Begitu juga ramainya pelajar Malaysia (termasuk Melayu juga) yang mendapat anugerah pelajar terbaik atau penulis tesis terbaik dalam SAMA, hampir semuanya pelajar aliran Melayu. Buat selama 30 tahun universiti kita bergaya dengan “taraf dunia” kerana semata-mata berbahasa Inggeris itu, tidaklah pernah kita mendengar atau menyaksikan berita seperti ini!



9.2. Hipotesis yang nampaknya begitu dipercayai oleh sesetengah pihak kebelakangan ini ialah bahawa jurang prestasi Melayu dengan bukan Melayu dapat disempitkan apabila bahasa pengantar SAMA dijadikan dalam BI adalah suatu yang di luar khayalan dan kefahaman orang-orang yang tidak terserkap/terpesona dengan bahasa dan kebudayaan Inggeris. Malah hampir semua kajian berhubung dengan hal ini yang dilakukan di luar negara memang menunjukkan sebaliknya!

9.3. Tinggi-rendahnya mutu pendidikan SAMA sekolah dalam BM (termasuk bahasa Melayu Indonesia) boleh ditentukan menerusi rekod pencapaian pelajar sekolah Malaysia dan Indonesia dalam pertandingan antarabangsa (iaitu Olimpiad Antarabangsa dalam Biologi, Fizik, Kimia, Matematik dan Maklumatik/Informatik yang diadakan setiap tahun sejak hampir satu abad yang lepas), pencapaian siswazah Malaysia di luar negara, pencapaian sarjana Malaysia dan Indonesia di arena antarabangsa (dalam penerbitannya, pengiktirafan komuniti luar negara terhadapnya menerusi penganugerahan zamali/felo dari persatuan-persatuan ilmiah/ikhtisas anata banagsa, anugerah kesarjanaan (tertingginya Hadiah Nobel bagi sains, atau Pingat Field bagi matematik), dan penerimaan gran-gran penyelidikan antarabangsa). Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan ini dengan dekatnya tidak akan tergamak mengatakan pendidikan SAMA dalam BM selama ini tidak bertaraf dunia:


Kedudukan pelajar Malaysia dalam ujian panca-tahunan antarabangsa dalam matematik (lihat 10.2) mengatasi negara rumpun Melayu yang terkenal dengan dasar berbahasa Inggerisnya, Philippina dan Brunei, malah mengatasi juga beberapa buah Negara Maju, walaupun di bawah Singapura.

Kedudukan pelajar Malaysia dalam olimpiad tahunan antarabangsa dalam matematik dan fizik (subjek lain belum ikut serta), walaupun baru beberapa tahun ini sahaja memasukinya dan tidak pula mendapat sokongan yang padu dari kerajaan (tidak seperti negara-negara lain, di ASEAN sekalipun), tidak seburuk Philippina dan Negara-Negara Ketiga yang lain yang mendokong bahasa asing dalam pendidikan SAMA mereka. Malah Indonesia, yang sudah lebih lama ikut serta olimpiad ini dan membuat persediaan yang lebih rapi dari Malaysia, sering menggondol beberapa piala termasuk emas, walaupun belum lagi berada dalam senarai 10 atas seperti yang selalu dicapai oleh Vietnam dan Thailand itu (dan kedua-dua negara ini selalu sahaja mengatasi Singapura).

Ramai ahli sains dan teknologi kita (majoriti Melayu) yang menang anugerah rekacipta tahunan di Geneva setiap tahun itu terdiri daripada mereka yang terdidik dalam aliran Melayu.

9.4. Satu kejayaan besar pendidikan SAMA aliran Melayu di peringkat antarabangsa ialah kejayaan kita mewujudkan para sarjana yang berfikir secara nasional walaupun bekerja untuk bersaing di antarabangsa sehingga mereka ini mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi istilah bidangnya masing-masing. Dalam bidang zoologi umpamanya kini sudah lebih daripada 300 istilah haiwan dalam bentuk L M dengan L bahasa Latin dan M bahasa Melayu daripada warna seperti hijau, jalur, tompok, dan sebagainya (contohnya, Arthrotus hijau), kata sifat lain seperti ajaib, cantik, lawa, indah dan sebagainya, dan daripada nama tempat di Malaysia seperti pahangi (drp Pahang), dan nama orang Melayu seperti ismaili (drp Ismail). Ini semua berlaku hanya dalam masa kurang daripada 15 tahun universiti kita semua dalam aliran Melayu. Sebaliknya untuk selama 30 tahun universiti kita dalam aliran Inggeris sebelumnya prestasi sebegini hampa tarafnya.


10. Pencapaian pelajar SAMA sekolah dalam bahasa ibunda lain selain daripada BI seluruh dunia terbukti juga berjaya malah sering lebih baik

Peperiksaan/ujian SAMA di peringkat antarabangsa seperti Olimpiad dalam SAMA yang diadakan setiap tahun yang telah dipaparkan dalam 9.3 di atas membuktikan pelajar yang belajar dalam bahasa ibunda bukan Inggeris pun (bahasa sendiri masing-masing) jauh lebih baik prestasinya.

10.1. Pencapaian Vietnam dan Thailand (dan kadang-kadang Indonesia) dalam ujian-ujian SAMA antarabangsa seperti Olimpiad tahunan dan ujian berkala setiap 5 tahun itu sering lebih baik daripada pencapaian Singapura dan India, apatah lagi Philippina dan Brunei. Indonesia dan Malaysia selalu mengatasi Philippina dan negara-negara-negara ketiga yang lain yang tidak menggunakan bahasa bangsanya sendirinya, malah Indonesia yang telah lama menyertai Olimpiad ini pernah juga mendapat pingat Emas dalam pertandingan tersebut.

10.2. Berdasarkan kedudukan pencapaian ujian SAMA ke atas pelajar-pelajar sekolah daripada 32 buah negara pilihan setiap lima tahun (kali ketiga dilakukan 1999), pelajar sekolah dari negara maju berbangsa/berbahasa Inggeris sekalipun (Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, dsbnya, iaitu negara-negara yang bahasa Inggeris memang bahasa ibunda majoriti rakyatnya) mendapat kedudukan yang rendah-rendah sahaja (ke bawah daripada ke-10 hingga ke-20-an pun) dan pelajar dari negara yang SAMA-nya tidak diajar dalam bahasa sendiri hampir semuanya mendapat kedudukan corot-corot sahaja. Malaysia pertama kali dipilih masuk dalam ujian ini dalam ujian 1999 dan ternyata dapat mengatasi semua negara yang dipilih di ASEAN ini kecuali Singapura, malah mengatasi beberapa buah negara maju bangsa Inggeris/Anglo-Saxon!

10.3. Keputusan Olimpiad Antarabangsa pun demikian juga, iaitu dalam biologi, fizik, kimia, maklumatik dan matematik, dalam masa 10 tahun yang lepas ini, daripada 10 negara teratas itu sekurang-kurangnya 8 daripadanya negara yang pendidikan sains dan matematiknya adalah dalam bahasanya sendiri. Sekali sekala memang ada prestasi terpencil tinggi yang ditunjukkan oleh India, Singapura, malah Afrika Selatan (calonnya bukan pribumi) dan Argentina (dalam Sepanyol, dan calonnya nampaknya bukan pribumi) yang pernah muncul dalam kedudukan kumpulan 10 atas itu tetapi itu pun berkongsi kedudukannya dengan negara-negara lain (yang menggunakan bahasa sendiri) yang jauh lebih kerap berada di kedudukan kumpulan 10 atas, iaitu Belanda, Bulgaria, Belarus, China, Czek, Iran, Kazakhstan, Korea Selatan, Krygystan, Rumania, Rusia, Taiwan, Thailand, dan Turki.


11. Pemenang Hadiah Nobel, Pingat Field dan ahli S & T yg paling Berpengaruh di Dunia Barat

11.1. Pemenang Hadiah Nobel (dalam sains) dan Pingat Field (dalam matematik) terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa. Hampir semua pemenangnya belajar SAMA sekolah dalam bahasa sendiri/ibunda (majoritinya bukan bahasa Inggeris). Ada pemenang itu yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris semasa berijazah pertama di negaranya sebelum berhijrah ke AS. Memang benar nampaknya, kemungkinan untuk seseorang mendapat pengiktirafan tinggi dalam apa jua bidang, dan SAMA tidak terkecuali, seseorang ahlinya perlunya berhijrah ke AS atau UK. Umpamanya, sejak Hadiah Nobel diadakan 1900 hingga 2003 seramai 138 ahli fizik dunia menerima hadiah ini dan 59 orang daripadanya secara rasminya dikatakan dari AS dan UK, iaitu zahirnya sekitar 44% penerima Hadiah Nobel itu belajar SAMA dalam bahasa ibunda berbahasa Inggeris. Seolah-olah bahasa Inggeris itulah bahasa superior pencetus idea. Zahirnya lagi, memanglah yang teramainya dari AS, iaitu 43 orang (sekitar 31%) tetapi hampir separuh daripadanya adalah pehijrah dari negara-negara yang pendidikan SAMA dalam bahasa kebangsaan masing-masing yang bukan bahasa Inggeris, malah ada yang belajar SAMA dalam bahasanya sendiri (bukan Inggeris) sehingga ke peringkat DFal sebelum berhijrah ke AS. Jadi pemenang Hadiah Nobel dari AS berketurunan Anglo-Saxon sebenarnya (berbahasa ibundanya bahasa Inggeris) kurang daripada 30 orang atau kira-kira kurang daripada 22% daripada seluruh para pemenang Hadiah tersebut. Zahirnya juga pemenang yang kedua teramainya ialah dari Jerman, iaitu 24 orang diikuti oleh UK 20 orang (termasuk seorang pehijrah dari Pakistan, dan seorang pehijrah dari Hungaria). Tetapi sebenarnya Jermanlah yang teramai kerana ada 8 orang lagi sarjana Jerman yang menerima Hadiah Nobel tetapi atas nama AS (kerana mereka berhijrah ke sana setelah menerima pendidikan SAMA dalam bahasa Jerman) menjadikan 32 orang (kira-kira 23%) Jerman menerima Hadiah tertinggi itu, suatu bilangan yang lebih tinggi dari bangsa berbahasa ibunda Inggeris (Anglo-Saxon= AS+UK+Kanada+Australia+New Zealandia) itu, iatu kira-kira 40-an orang sahaja, apabila mengambil kira bilangan penduduknya. Bilangan bangsa-bangsa lain yang memenangi Hadiah Nobel ialah Russia 9 orang, Perancis 8 orang, Belanda 7 orang, Italia 5 orang, Sweden, Switzerlandia dan Jepun masing-masingnya 4 orang, China dan Denmark masing-masingnya 3 orang, dan Austria, India dan Irelandia masing-masingnya 1 orang. Ini bermakna pemenang Hadiah Nobel yang belajar SAMA dalam bahasa asing bangsanya (walaupun boleh jadi bahasa ibundanya kerana latar belakang elitanya) hanayalah pemenang dari India dan Irelandia itu (jumlahnya dua orang). Untuk meramaikan lagi jumlah ini kita bolehlah mengambil dua orang lagi pemenang yang masing-masingnya atas nama AS (Chanderasekhar, anak saudara Raman pemenang dari India itu) dan Abdus Salam atas nama UK (Bahais dari Pakistan) yang menjadikan jumlahnya hanya 4 orang (daripada 138 orang). Perhatikanlah juga China (6 orang termasuk atas nama AS) jauh lebih ramai daripada India (3 orang termasuk pehijrah AS dan UK) yang mendapat Hadiah Nobel.


11.2. Pemenang Pingat Field yang dikhususkan untuk bidang matematik sahaja itu (yang setara dengan Hadiah Nobel) lebih kuat korelasinya dengan pendidikan SAMA pemenangnya dalam bahasa sendiri dan tidak semestinya Inggeris. Sehingga 2002 seramai 42 orang ahli matematik dianugerahi Pingat ini dan di kalangannya itu tidak kurang daripada 24 orang daripadanya bukan berbahasa ibunda Inggeris dan beroleh pendidikan matematik dalam bahasa ibundanya sahaja (bukan bahasa Inggeris), termasuklah 11 orang sarjana Perancis, 5 orang Rusia dan 3 orang Jepun. Walau apa pun, kesemua 42 orang pemenang Pingat Field ini belajar matematik dalam bahasa ibundanya, sekurang-kurangnya sehingga peringkat ijazah pertama.


11.3. Dalam 1999 seorang sarjana AS bernama Hart, menyenaraikan 100 orang yang paling berpengaruh pada Tamadun Barat yang termasuk 44 orang ahli sains dan teknologi (S & T) yang dianggapnya paling berpengaruh pada Barat. Kesemua 44 orang ahli S & T itu terdiri daripada mereka yang terdidik dalam bahasanya sendiri kecuali 4 orang, iaitu dua orang sarjana Inggeris, iaitu Roger Bacon (terdidik dalam bahasa Arab dan Latin dalam abad ke-13M), dan Newton (terdidik dalam bahasa Latin dalam abad ke-17M); dan dua orang sarjana Eropah abad ke-16M, Kopernigk/Copernicus dan Kepler (bangsa Poland dan Jerman yang terdidik dalam bahasa Latin).


12. Ciptaan teknologi, karya agung SAMA, kemajuan amnya dan bahasa sendiri

12.1. Teknologi kini banyak ciptaan negara yang SAMA sekolah tidak diajar dalam BI atau semuanya ciptaan bangsa dari negara yang SAMA diajar dalam bahasa bangsa itu sendiri.

12.2. Karya agung dalam SAMA mengikut penilaian sekumpulan sarjana anglo-Saxon sendiri yang diketuai oleh Adler 1997 menunjukkan sehingga kini daripada 33 orang ahli sains yang menghasilkan karya agung itu hanya 5 orang sahaja ahli sains tersebut yang karya-karya agungnya itu ditulis bukan dalam bahasa ibundanya, iaitu Huygens (bangsa Belanda abad ke-17 menulis dalam Latin), Kepler (bangsa Jerman abad ke-16 menulis dalam Latin), Kopernigk/Copernicus (bangsa Poland abad ke-16 menulis dalam Latin), Leibnitz (bangsa Jerman abad ke-17 menulis dalam Perancis), dan Newton (bangsa Inggeris abad ke-17 menulis dalam Latin).

12.3. Indeks kemajuan negara anggota ASEAN: selain daripada Singapura, korelasi kemajuannya dengan bahasa pengantar pendidikan begitu jelas memihak kepada dokongan bahasa sendiri dalam SAMA. Kita juga tidak harus lupa, kedudukan kita dalam indeks-indeks kemajuan itu, yang agak membanggakan itu disebabkan oleh sistem pendidikan kebangsaan kita dalam BM selama ini.

12.4. Negara-negara yang mencapai kemajuan yang luar biasa yang pernah diberi jolokan Negara Industri Baru (NIB), Negara Harimau, dan Negara Naga itu, hanya sebuah negara sahaja yang bahasa pengantar SAMA-nya dalam BI, dan yang lainnya semuanya dalam bahasa sendiri

12.5. Kajian Amritya Sen, seorang pemenang Hadiah Nobel Sains Ekonomi 1999 yang memberi analisis dalam bukunya “Freedom as Development” (Kebebasan sebagai Pembangunan) 2002, membuktikan betapanya dasar ekonomi yang sama diamalkan di India dan di China pada tahun 1980-an dahulu itu menunjukkan China lebih berjaya daripada India. Beliau berpendapat hal ini berlaku kerana sistem pendidikan elitis di India (bahasa pengantar Inggeris, sekurang-kurangnya pendidikan pasca-sekolahnya) tidak memungkinkan ramai penduduk India mencapai tahap pendidikan yang sepatutnya bagi menjayakan program pembaharuan itu dan sebaliknya berlaku di negeri China. Beliau juga memberi data-data yang meyakinkan betapanya pelbagai tahap jenis kebebasan yang dijadikan sebagai kayu ukur pembangunan itu bergantung kepada sistem pendidikan yang merata, dan kemerataan pendidikan ini jelas diwarnai oleh bahasa pengantarnya.



13. Bahasa asal ilmu SAMA sekarang sebahagian besarnya bukan BI

Andaian bahawa bahasa asal ilmu ialah bahasa Inggeris adalah andaian yang tidak tepat sama sekali. Ilmu SAMA sekolah itu pun hampir semuanya bukan asalnya dalam bahasa Inggeris Bahasa asal ilmu SAMA sekolah ialah bahasa Yunani, Arab, Latin dan Perancis. Inggeris pun belajar SAMA dalam bahasa Arab, Latin dan Perancis hingga pertengahan abad ke-19M. SAMA peringkat universiti sedikit sahaja asalnya dalam bahasa Inggeris. Ambil sahaja asas-asas penting dan asasi fizik universiti: fizik klasik asalnya hampir semuanya dalam bahasa Latin, Perancis atau Jerman. Satu daripada unsur fizik klasik yang besar ialah fizik Newton, sempena nama ahli sains agung Inggeris, itupun asalnya dalam bahasa Latin. Unsur fizik klasik yang asalnya dalam bahasa Inggeris hanyalah fizik elektromagnet klasik kerana jaguhnya Maxwell memang Inggeris yang berkarya dalam bahasa Inggeris kerana sudah abad ke-19. Fizik moden yang terdiri daripada teori kenisbian, dan teori kuantum semuanya berasal daripada bahasa Perancis atau Jerman. Tokoh yang diagungkan abad ke-20, Einstein, berkarya besarnya hanya dalam bahasa Jerman. Teori-teori besar dalam matematik seperti teori set, teori fungsi, analisis, analisis fungsian, teori pengoperasi, topologi, homotopi, dan topologi, semuanya bukan ciptaan/binaan/karya dalam bahasa Inggeris tetapi Perancis, Jerman, Rusia, Belanda dan Poland. Sebenarnya ilmu SAMA sehingga peringkat universiti yang kita cuba kuasai itu semuanya ilmu terjemahan kepada bahasa Inggeris sahaja, dan kini sudah pun banyak ada dalam bahasa Melayu juga.


14. SAMA Sekolah dan peringkat ijazah pertama tidak berubah pantas dalam bahasa apa pun.

Ada pandangan yang mengatakan belajar SAMA dalam bahasa sendiri tidak mampu mengejar ilmu tersebut yang berubah pantas dalam bahasa Inggeris. Sebenarnya SAMA sekolah, malah kebanyakan bidang SAMA hingga ijazah pertama adalah ilmu ciptaan bangsa-bangsa bukan Inggeris dalam bahasa bukan Inggeris lebih daripada 100 tahun yang lepas. Hebatnya Inggeris ialah, dalam masa yang agak singkat sahaja Inggeris telah menterjemah semuanya sehingga kita rasa ilmu mereka sahaja. Ilmu ini tiada tanda-tandanya akan berubah lagi kecuali kaedah pendekatan dan penyampaiannya sahaja mengikut kebudayaan masing-masing (terutamanya yang menggunakan bahasa sendiri). Malah yang berubah pantas ialah teknologi komputer sahaja, bukan sains komputer. Sains yang sedang hebat dieksploitasikan untuk teknologi maklumat sekarang dan masih belum berjaya ialah sains yang dicipta oleh bangsa Jerman dalam bahasa Jerman kira-kira 80 tahun yang lepas dan diajar pada pelajar fizik dan matematik hanya mulai tahun ke-3 atau ke-4 universiti dalam pelbagai bahasa di dunia ini termasuklah dalam BM sejak hampir 30 tahun yang lepas lagi. Ini bermakna kerja-kerja terjemahan SAMA memang amat relevan dan wajar dalam pembangunan SAMA sesuatu bangsa walaupun pada zaman ini, malah Inggeris pun masih terus-menerus melakukan terjemahan SAMA dari bahasa-bahasa lain.


15. Korpus ilmu SAMA dalam BM sudah di jendela dunia

Korpus ilmu SAMA sekolah dalam BM sudah lama menyamai dengan yang ada di Negara-Negara maju. Malah, mengikut beberapa sumber yang agak boleh dipercayai bahawa buku SAMA sekolah dalam BI (di Malaysia) sekarang adalah terjemahan buku-buku dalam BM dahulu sahaja; dan jika berita ini tidak benar maka itu hanya manifestasi keghairahan kita kepada BI mengatasi daripada keperluan ilmu yang sudah ada dalam bahasa kita.

Korpus ilmu SAMA peringkat pasca-sekolah, sungguhpun jauh daripada mencukupi, kerana keiltizaman kita memeribumikan ilmu yang sedia ada tidak sekental bangsa-bangsa yang maju kini, tetapi ilmu-ilmu baru dalam bentuk tesis peringkat Sarjana dan DFal dalam BM sudah menjangkau ribuan banyaknya. Ada yang sudah dirujuk oleh sarjana atau bakal sarjana luar negara. Jelaslah BM sekarang sudah pun berada di perbatasan bahasa ilmu SAMA dunia. Hanya mereka yang tidak mengikuti perkembangan ilmu atau yang masih terbelenggu dengan dunia keInggerisan sahaja yang mahu mengubah arus perkembangan tamadun Melayu baru ini.


16. Belajar SAMA menerusi BI di kalangan pelajar Anglo-Saxon sekalipun juga mengalami masalah pembelajaran-pengajaran yang sama dengan menerusi bahasa lain.

Para pelajar yang bahasa ibundanya bahasa Inggeris juga terkenal mengalami masalah belajar SAMA di negara masing-masing dan tidak kurang kroniknya berbanding dengan pelajar-pelajar yang belajar dalam bahasa lain. Penyelidikan dalam pendidikan SAMA di negara-negara ini cukup banyak. Hasil-hasil penyelidikan ini tiada yang memperakukan bahasa Ingegrislah bahasa yang terbaik bagi seseorang pelajar bukan berbahasa ibundanya bahasa Inggeris, seperti pelajar Hispanik di AS, malah diperakunya bahasa ibunda pelajar itulah yang terbaik.


17. Bukti al-Quran dan Hadith terhadap hukum pembangunan ilmu dalam bahasa sendiri

Tiada bangsa atau negara yang mencapai tahap maju dalam bahasa asing seperti yang dihuraikan sebelum ini. Hukum pembangunan atau pemajuan ini sebenarnya juga terkandung dalam al-Quran seperti dalam Surah Ibrahim, Ayat 4, dan Surah Ali ‘Imran, Ayat 164 yang bermaksud “Allah tidak mengutuskan seorang rasul pun melainkan daripada kalangan bangsanya sendiri agar mereka mudah memahami pengajaran ilmu (al-Kitab dan hikmah)”. Oleh itu dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di sekolah dan di pasca-sekolah adalah satu-satunya dasar dan wawasan negara Malaysia yang wajar dipertahan dan diteruskan jika benar-benar kita mahu menjadi bangsa yang maju yang boleh bersaing dengan negara-negara yang sedia maju kini. Jika tidak paling-paling baiknya bangsa kita hanya menjadi karikatur daripada karikatur, komprador atau kreol sahaja!

Hadith masyhur yang mengatakan “sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia akan terselamat dari tipu helahnya” digunakan oleh sesetengah pihak untuk mengeyakan dasar bahasa Inggeris dalam pendidikan SAMA (tetapi belum lagi dalam pendidikan ilmu bukan SAMA!), sedangkan hadith ini bermaksud apa jua bahasa untuk komunikasi bukan untuk menjadikan sebagai bahasa pengantar SAMA (atau ilmu-ilmu lain). Sepatutnya hadith ini digunakan untuk memperkuatkan umat Melayu mempelajari bahasa China dan India kerana dua bahasa kaum ini berada di halaman kita sejak beribu tahun dahulu tetapi umat Melayu amat sedikit menguasainya sehingga sejak bidang pengajian China dan India di UM ditubuhkan pengkhususannya tiada pelajar Melayu di dalam pengajian tersebut! Seluruh dunia merasa hairan dengan sikap kita terhadap dua bahasa ini.

Satu lagi Hadith masyhur, “Belajarlah kamu hingga ke negeri Cina” juga digunakan bagi mewajarkan dasar BI dalam SAMA (dalam Negara sendiri), sedangkan ini hanya galakan kepada Muslim supaya mencari dan memeribumikan ilmu dari segala ceruk rantau dunia seperti yang telah dibuat oleh Tamadun Islam dahulu dan bangsa-bangsa yang maju seperti yang telah dihuraikan sebelum ini.


18. Belajar SAMA dalam bahasa Inggeris menyemarakkan semangat rendah diri

Dalam masa 30 tahun lebih pendidikan kita dalam bahasa sendiri pun rata-rata pelajar masih merasa rendah dirinya berbanding dengan bangsa berbahasa Inggeris kerana media massa dan penyaksian kehebatan teknologi dan alam perniagaan di Negara sendiri pun yang berbahasa Inggeris dari lif yang hanya tahu bahasa Inggeris dengan kecanggihan komputer peribadinya yang zahirnya juga hanya tahu bahasa Inggeris dan gedung-gedung perniagaan dan pengurusan perniagaan yang daun pintunya untuk masuk hingga ke tandas juga hanya tahu bahasa Inggeris. Keadaan ini pastinya akan bertambah kukuh lagi dengan pendidikan SAMA dalam bahasa Inggeris. Kita akan lebih mudah mengagumi bangsa berbahasa Inggeris lagi. Apa saja berkenaan dengan sains dan matematik, dan dunia semakin bergantung kepada dua bidang ilmu ini, hanya dikaitkan dengan bangsa yang berbahasa Inggeris sahaja.


19. Pengangguran dan bahasa Inggeris

Pengangguran orang Melayu lebih berhubung dengan prestasi ekonomi Negara dan status Melayu dalam dunia perniagaan dan keusahawanan, bukannya lebih kepada penguasaan mereka berbahasa Inggeris. Cina yang tidak begitu tahu BI pun jauh lebih mudah mendapat pekerjaan daripada Melayu yang fasih Inggeris; dan United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Kanada juga menghadapi masalah pengangguran!

20. Segala-galanya kerana globalisasi dan TM

Negara-Negara ketiga yang lemah mindanya biasanya mentafsirkan globalisasi dan TM (teknologi maklumat) sebagai setara dengan peng-Inggerisan sahaja. Bagi Negara Maju, globalisasi dan TM bermakna tiadanya lagi sempadan baginya untuk berurusan dengan sesiapa di alam maya ini kecuali bahasa dan budaya. Oleh itu mereka menjadi semakin peka mempelajari bahasa dan budaya lain (termasuklah BM kerana besarnya umat rumpun Melayu) sambil mencari jalan menyusup masuk dengan sistem nilainya. Jika kita mahu meninggalkan kebudayaan kita sendiri dengan rela hati kita sendiri atas alasan apapun, itu memang bonus kepadanya sahaja. Kita tidak mendapat apa-apa yang lebih daripadanya. Kesatuan Eropah (KesEro), dan Negara Bekas Jajahan Rusia (NBJR) boleh menjadi contoh baru, selepas PBB, dalam kes “bahana globalisasi dan TM” ini, iaitu kedua-duanya tidak semakin menjadi ekabahasa (Inggeris). Bahasa komunikasi KesEro masih bahasa anggota kesatuan tersebut walaupun ada usaha untuk menurunkannya kepada 4-5 bahasa (Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Italia); manakala NBJR masing-masing menjadikan bahasa sendiri sebagai bahasa pembangunan (bukannya Rusia atau Inggeris). Bahasa TM, khsusnya keluaran Microsoft, juga semakin merebak luas kepada pelbagai bahasa seperti China, Arab, dan Melayu (Malaysia/Indonesia) selain daripada bahasa-bahasa Eropah. Soalan Olimpiad antarabangsa yang disebut di dalam 9.3 dan 10 itu tidak dalam satu bahasa Inggeris seperti yang umum menganggapnya kerana “antarabangsa” itu malah dibuat dalam hampir setiap bahasa Negara yang mengambil bahagian itu termasuklah bahasa Melayu (Malaysia dan Indonesia). Contoh terbarunya, Olimpiad Antarabangsa Matematik 2006 (di Slovenia) disertai oleh 90 buah negara termasuk Malaysia dan soalannya ada dalam 48 buah bahasa termasuklah bahasa Melayu Malaysia (Indonesia tidak ikut serta tahun itu) . Bahasa-bahasa tersebut ialah yang berikut:
Afrikaan, Aisland, Albania, Arab (3 versi: Arab , Arab Kuwait dan Arab Maghribi) , Armenia, Azerbaijan, Belanda, Bosnia, Bulgaria, China, Croatia, Czech, Denmark, Estonia, Finland, Georgia, Grik, Hungaria, Ibrani/Yahudi, Inggeris, Italia, Jepun, Jerman, Korea, Latvania, Lithuania, Makedonia, Melayu (Malaysia), Mongolia, Norwegen, Perancis, Persi/Farsi (Iran), Pertugis/Feringgi, Poland, Romania, Rusia, Sepanyol, Serbia (2 versi: Serbia dan Serbia BIH), Singhala (Sri Lanka), Slovakia, Slovenia, Sweden, Thailand/Siam, Turki, Ukrain, Uzbekistan, dan Vietnam.
Keputusan olimpiad ini pelajar-pelajar dari negara yang tidak menggunakan bahasanya sendiri tidak berada di dalam senarai 10 atas, malah corot-corot belaka.



II. Syor pengembalian kedudukan bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya

1. Pendidikan SAMA (Sains dan Matematik) Sekolah Rendah sewajarnyalah dalam bahasa ibunda pelajar terbesar di Malaysia (Melayu bagi rumpun Melayu, Mandarin bagi rumpun China dan Tamil bagi rumpun India), tertakluk kepada kemampuan guru berkenaan. Akan tetapi istilah mata pelajaran SAMA di sekolah aliran Mandarin atau Tamil itu perlu juga diberi dalam bahasa Inggeris dan Melayu bagi memudahkah kerja-kerja rujukan pelajar dalam bahasa Inggeris dan Melayu yang boleh menjadi pelengkap kepada mata pelajaran bahasa Inggerisnya atau Melayunya; manakala istilah dalam mata pelajaran SAMA di sekolah aliran Melayu perlulah juga diberi padanannya dalam bahasa Inggeris. Soalan peperiksaan mata pelajaran ini di sekolah hingga peringkat PMR itu ialah Melayu (di sekolah kebangsaan aliran Melayu), Mandarin dan Tamil (di sekolah aliran masing-masing). Walau bagaimanapun perlulah ada beberapa soalan (sekitar 30%) yang perlu di jawab dalam bahasa Inggeris dan Melayu bagi sekolah aliran bukan Melayu, dan beberapa soalan dalam bahasa Inggeris yang perlu dijawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi pelajar aliran Melayu (soalan-soalan dalam kategori ini sahaja yang di buat dalam dwibahasa, Melayu dan Inggeris).

2. Pendidikan SAMA peringkat SPM, STPM dan Matrikulasi dilakukan dalam dwibahasa sahaja (Inggeris dan Melayu) dan kertas peperiksaan pun dalam dwibahasa itu tetapi sekurang-kurangnya 70% daripadanya perlu dijawab dalam BM.

Oleh Shaharir bin Mohamad Zain (mantan TNC UKM, mantan Prof. Matematik UKM & UMT)

ٍ%%%%%%%%%%%%5 Mei 2006/kemaskini 4 Jun 2008%%%%%%%%%%%%%%%