Monday, June 8, 2009

Pembawaan dan penyerlahan jiwa kemanusiaan yang berbeza mengikut penghayatan bahasa dalam sains matematik

Dibentangkan di Seminar Ulang Tahun INSPEM, UPM , 12 Mei 2009

Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik

Shaharir b.M.Z.
Karyawan Bebas

Abstrak

Sains matematik ditunjukkan ada jiwa kemanusiaannya yang bergantung pada bahasa pengajaran dan pendidikan serta bahasa penyelidikannya. Bahasa tabii sesuatu bangsalah yang mampu memberi pengertian tersendiri dan nilai ilmu serta cetusan idea baru dan sekaligus menjadi peregam hak milik ilmu ini sama seperti yang berlaku dalam bidang persuratan dan kesusasteraan jua. Ini dihuraikan dengan beberapa contoh sumbangan sarjana besar seluruh dunia dan unsur sains matematik sekolah dan universiti sehingga ke peringkat penyelidikan (2 × 5=10, F=ma, probable lwn barang kali, possible lwn mungkin/mumkin, exist lwn wujud, space and time lwn ruang dan masa, symmetry lwn simetri/samukur/setangkup, interest lwn bunga/faedah, dan loan lwn pinjaman/mudharabah). Berkaitan dengan hal ini, polemik penggunaan bahasa Inggeris di dalam pengajaran “sains dan matematik” yang hanya menumpukan kepada kepentingan komersilisme bahasa semasa tanpa pertimbangan nilai atau jiwa yang dibawa oleh ilmu itu menerusi pelbagai bahasa lain, khususnya bahasa sendiri, adalah suatu manifestasi kesalahfahaman epistemologi yang besar yang hanya merugikan bangsa sahaja.


Pendahuluan
Satu daripada andaian besar tentang tabii matematik ialah bahawasanya matematik itu berdiri di atas landasan mantik dan mantik itu dapat diturunkan sebagai nombor sahaja menerusi penomboran Godel (Lihat umpamanya, Latif 1996). Oleh itu tabii matematik berlandaskan mantik (mantikisme) adalah tabii nombor sahaja. Atas landasan ini maka tesis sarat-nilainya sains matematik bolehlah dikatakan diutarakan pertama kalinya oleh Oswald Spengler pada 1918-22 dalam bahasa Jerman dan diterjemahkan kepada Inggeris sebagai “The Decline of The West” dalam tahun 1926-1932, menerusi hujah-hujahnya yang berfalsafah tentang tabii nombor (ditunjukkan nombor itu sarat budaya), dan kemudiannya ditambah lagi oleh Leslie White 1947, “The Locus of Mathematical Reality: An Anthropological Footnote” yang dicetak semula dalam Hersh (2006), dan Tobias Dantzig 1930-an, Number: The Language of Science (snt barunya 2005) yang juga memaparkan kefahaman pelbagai makna sesuatu nombor di sisi pelbagai suku kaum primitif yang dikajinya. Berabad-abad sebelum mereka ini sebenarnya beberapa orang sarjana Islam khsususnya kelompok sarjana yang menggelar diri mereka sebagai Ikhwan al-Shafa’ secara tidak langsung juga menunjukkan tidak neutralnya makna sesuatu nombor. Miskipun mantikisme terbukti gagal menjadi landasan matematik sepenuhnya (dibuktikan oleh penegak utama mantikisme juga, iaitu Russell), namun dengan bukti saratnya nilai nombor terbukti jugalah saratnya nilai pada sebahagaian besar matematik itu. Sebenarnya, seseorang patut membuktikan sarat nilanya mantik bagi membuktikan demikianlah halnya dengan matematik. Secara falsafahnya ini memang telah dibuktikan oleh Heidegger (1928) dalam makalahnya yang diterjemah 1984 sebagai “The metaphysical foundation of logic”, walaupun para penegosiasi antarabangsa sudah menyedari hakikat kebergantungan mantik dengan bangsa itu sejak zaman berzaman lagi. Para ahli mantik besar kemungkinan percaya pada hakikat ini sejak mereka berjaya membina beberapa mantik baru yang berikut:
(1) Mantik n-nilai yang dimulai oleh Łukasiewicz 1917 dengan n=3 dan kemudiannya bersama dengan Tarski untuk n yang lebih besar drp 2.
(2) Mantik quantum oleh von Neumann 1930-an (dan penambah-baikannya selepasnya) yang berbeza daripada mantik klasik 2-nilai bagi memenuhi keperluan fenomenon yang berlaku dalam mekanik quantum.
(3) Mantik Heyting atau mantik intuisis Heyting 1932 bagi keperluan matematik yang berlandaskan falsafah intuisisme Brower atau binaisme dan oleh itu mantiknya juga dikenali sebagai mantik binais.
(4) Mantik tak terhingga nilai (yang lain daripada mantik kebarangkalian klasik), iaitu mantik kabur yang dikemukan oleh Zadeh 1965 yang kini sudah dilaksanakan dalam penciptaan pelbagai teknologi seperti yang terkenalnya mesin basuh yang canggih itu.
(5) Mantik ragaman/modus yang mengambil kira ragam bahasa yang membabitkan perkataan seperti “dahulunya”, “bisa/boleh/harus”, “mungkin”, “barangkali”, “mesti”, “perlu” (Inggerisnya formerly, can, could, might, may, possibly, probably, must, necessary) yang dimulai oleh Lewis 1918 (dalam karyanya, A Survey of Symbolic Logic yang diterbitkan semula oleh Dover 1960) dan kemudiannya bercabang kepada mantik epistem, mantik tempo(h)an, mantik deontik, mantik doksastik dan mantik niat. Kini mantik ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada kalangan bahasa komputer (bidang mantik pengiraan/komputasi).
(6) Mantik nyah-tersaur ciptaan Nute (1994) yang dikatakan bertujuan memformalkan mantik yang biasa terbabit dalam undang-undang, bahasa peguam dan kini juga mendapat perhatian di kalangan ahli kepintaran buatan.
(7) lain-lain lagi.

Walau bagaimana pun tesis atau pandangan Spengler, White, Dantzig, Heidegger serta perkembangan mantik matematik itu tidak mendapat sambutan sehebat kesan tesis Kuhn 1962 (yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah Melayu 1992) tentang adanya beberapa persetujuan arena dan kaedah perolehan ilmu yang berubah secara revolusi (yang diistilahkannya sebagai paradigma sains) dan diperluaskan ke dalam matematik (sejak akhir 1980-an) oleh ramai sarjana lain terutamanya oleh para sarjana yang dikumpul oleh Gillies (1996). Livingston (1986) berjaya memperkukuhkan lagi tesis kebergantungan budaya dalam matematik apabila beliau membuktikan kaedah pembuktian “bukti Godel” yang masyhur itu pun sarat dipengaruhi nilai budaya Jerman dan beliau menamai kaedah pembuktian begitu sebagai etnotatakaedah/etnometodologi. Sementara itu ketakneutralan ilmu termasuk sains dan teknologi juga beroleh hujah-hujah baru daripada pandangan sarjana Muslim khasnya Nasr (1964) yang membentangkan tentang adanya peranan kosmologi (pandangan alam sesuatu bangsa, ajaran agama atau falsafah) dalam sains (walaupun sehingga kini belum terbukti dengan jelasnya akan termasuknya juga hal ini ke dalam “matematik tulen”); al-Attas (1978) tentang keperluan pengIslaman ilmu kontemporer kerana ilmu ini dihujahkannya sarat dengan fahaman yang bertentangan dengan Islam, khususnya sekularisme; dan al-Faruqi (1982) dengan lebih lantang lagi memaparkan tentang keperluan pengIslaman/Islamisasi ilmu (kemanusiaan dan sains sosial) kerana ilmu-ilmu ini dibuktikannya sarat nilai Barat yang tidak sesuai dengan ajaran Islam (walaupun imbauan sebegini telah dibuat oleh ramai pihak dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi yang bergerak sebagai persatuan ilmuwan seperti ASASI di Malaysia sejak 1978 lagi). Dalam perspektif lainnya, D’Ambrosio (1977) menyerlahkan kepincangan penulisan sains matematik selama ini kerana terlampau berkiblatkan Eropah dan buat pertama kalinya beliau mengutarakan istilah etnomatematik dan mengimbau keperluan penghakisan dokongan eropusatisme (fahaman segalanya bermula/berpusatkan di Eropah) dalam penulisan dan pendidikan sains matematik sehingga melahirkan program etnosains dan terutamanya etnomatematik itu dalam tahun 1980-an dalam konteks pendidikan matematik (Perinciannya dalam buku terbarunya, Ethnomathematics 2006). Gagasan D’Ambrosio ini diperluaskan Shaharir (2000/2002) dalam skop penyelidikan etnomatematik yang dipersuakan dengan matematik kontemporer, gagasan pengIslaman ilmu dan gagasan pemeribumian ilmu yang disemainya sejak 1995 (Shaharir 1995/1997). Apa pun semua sumbangan sarjana yang disebut itu menunjukkan tidak neutralnya sains (termasuklah “sains matematik”). Namun sehingga kini pun, sains amnya dan terutamanya sains matematik masih terkenal sebagai ilmu yg paling neutral, iaitu bebas budaya, bebas nilai,…, dan tentunya bebas bahasa. Jika demikian tiadalah istilah matematik Barat, matematik sekular, matematik ateis atau matematik Islam, apatah lagi matematik Anglo-Saxon (Inggeris), matematik Hindia, matematik Tiongkok atau matematik Melayu dan sebagainya; yang ada hanya matematik sahaja (yang serupa untuk semua bangsa) dan bahasa hanya alat pengungkapan semulanya sahaja tanpa penjejasan kepada ilmu itu. Oleh sebab makalah ini membicarakan hubungan bahasa dengan sains matematik, maka kepercayaan umum bahawa sains matematik [termasuk “matematik tulen” atau “matematik murni” (Melayu Indonesia) [yang di dalam bahasa-bahasa penjajah rumpun Melayu ini dikenali sebagai pure mathematics (Ing.), puur wiskunde/mathematica (Belanda), matematica pura (Feringgi/Pertugis/ Portugis), matematicas puras (Sepanyol), dan mathematiques pures (Perancis)] itu “bebas bahasa” itulah yang hendak disangkal dengan huraian yang dipadatkan di sini dan perinciannya diisayaratkan kepada bahan rujukan berkenaannya.

Di sini kami tidak berhajat untuk mengulangi atau memaparkan semula hujah-hujah Spengler, Heidegger dan sebagainya itu lagi kerana bukan sahaja hujah mereka ini bersifat kefalsafahan yang kurang menarik perhatian khalayak di sini, tetapi contoh-contohnya mereka ini tidaklah mengenai bahasa yang ingin diperkatakan di sini. Yang pentingnya, sekarang ini terutamanya yang berhubung dengan isu projek kerajaan 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), kami ingin menghujah balas terhadap pandangan yang selalu berkumandang yang berbunyi berikut: “Tiada salahnya mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, kerana ilmu itu tidak akan berubah dan kita pun tidak akan berubah menjadi bangsa lain, khususnya KeMelayuan seseorang tidak akan luntur jika sekali pun dia belajar ilmu sepenuhnya dalam bahasa Inggeris”. (Lihat internet: minta “kritikan kedua terhadap Mahathir”). Sebenarnya ada banyak lagi persoalan yang timbul daripada projek PPSMI sejak 2003 itu, tetapi untuk makalah ini kami ingin menumpukan kepada persoalan yang tersirat di dalam pernyataan bebalis di atas itu sahaja. Di samping itu, kami juga menganggap pandangan pro-PPSMI selama ini terhenyot atau terherot kerana persoalan PPSMI itu berhenti pada tahap mengajar sains dan matematik (untuk lulus periksa) tetapi langsung tidak menyentuh persoalan pengaryaan atau penciptaan (iaitu penyelidikan) ilmu itu. Jadi dalam makalah ini, kami menumpukan kepada isu peranan bersaling antara bahasa (khsususnya bahasa Inggeris dan Melayu) dan sains matematik dalam pengajaran, pendidikan dan penyelidikan.


1. Pemilikan Ilmu menerusi Penjiwaan Tambahan dan Kritis kepada Ilmu Lani

Pemilikan ilmu dari kebudayaan lain (semestinya bahasa lain) itu hanya berkemungkinan menjadi milik sendiri menerusi pemindahan ilmu itu sahaja menerusi bahasa ibunda sendiri sebagaimana yang dihuraikan oleh penulis ini beberapa tahun yang lepas (Shaharir 1998, 2003a). Ini ialah kerana ilmu dalam bahasa A membawa nilai ilmu itu dengan tambahan nilai daripada bahasa A, jika bahasa A itu bukan bahasa asal ilmu itu (seperti yang berlaku pada kebanyakan ilmu Inggeris). Ilmu berbahasa A itu akan tertapis atau tertambah nilai dan sekaligus mengalami pemeriksaan yang kritis dengan bersahajanya apabila dipindahkan ilmu itu kepada bahasa B yang lain lagi. Berikut ini ialah beberapa unsur sains matematik yang melalui proses pemindahan ilmu Barat kepada ilmu Melayu (menerusi bahasa Melayu) dan sekaligus beroleh nilai tambahnya atau menerima kritikan kea rah penambah-baikannya sesuai dengan teori amnya yang digariskan di atas itu:

1. Ich un Uch/I and You/I and Thou/Aku dan Kau? (Shaharir 2009a)
2. pimpin/lead dan urus/manage (Shaharir 2008a)
3. exist/wujud (Shaharir 2007a)
4. logic/mantik/nyaya (Shaharir 2007a)
5. consumption/kepenggunaan (Shaharir 2006)
6. the best/terbaik/optimum (Shaharir 2006 & 2009a)
7. Tuhan/God/Allah (Lihat Taufik al-Attas Mingguan Malaysia, 12/April/2009)
8. kebahagiaan/happiness (Shaharir 2008b)
9. Ruhe/rest/diam, bewegung/motion/gerakan, Energie/energy/tenaga, Ereignissen/ event/peristiwa mengikut Einstein (bahasa Jerman-agama-kosmik) dan Whitehead (Inggeris-Kristian, bukannya Inggeris-sekular ) dan Melayu. (Shaharir 2006/2009).
10. 2 × 5=10 (Shaharir 2009b)
11. Hukum Newton, F=ma (Shaharir 2009b)
12. Raum und Zeit /space and time/ruang dan masa (Shaharir 2006/2009)
13. probable/barang kali, possible/mungkin/mumkin, permissible/harus/mubah/ja’iz (Shaharir 2007a)
14. indah/beauty khususnya simetri/symmetry/samukur/setangkup (Shaharir 2007b)
15. bunga/faedah/interest, pinjaman/loan, syarikat/musyarakah/mudharabah/usaha sama/ joint venture (Maheran & Shaharir 2004-2006)
16. simpul/knot (Alinor 2003)
17. ilmu (pengetahuan)/sains/knowledge/science, matematik(a)/mathematics (Shaharir 2008c)

Dalam makalah ini hanya perkara 10 hingga 15 sahaja (yang menyangkut juga perkara 3 dan 4) yang dibicarakan semulanya bagi tujuan khalayak ini (ahli sains matematik INSPEM)

1.1. Apa ada dalam 2 x 5?
Ambil pertimbangan yang mudah tentang “2 kali 5” itu yang bermakna dua longgok benda (katalah buah pauh) yang setiap satu longgoknya ada 5 biji pauh (kalau ilmu ini diajar dalam bahasa Inggeris tentunya buah yang lebih mesra dengan bahasa Inggeris itu akan dipertimbangkan (pastinya bukan mango); ini pun manifestasi perbezaan nilai yang dibawa oleh pemakai bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sehingga PPSMI itu mampu memberi sumbangan besar dalam memfosilkan nama-nama buah tempatan, dan apa pun benda tempatan amnya). Setiap biji pauh tidak ada yang serupa serba-serbinya dan ini dibezakan dengan menimbangnya, memeriksa kulitnya, jenisnya, asal-usulnya,…. dan banyak lagi pertimbangannya bergantung kepada ketelitian seseorang yang berminat kepada pauh itu. Jika semua ini diabaikan (bagi tujuan keperluan jumlah buah pauh secara kasarnya) maka barulah boleh dikatakan “dua kali lima itu sepuluh”. Bagi mereka yang teliti, mereka tentunya enggan menerima jumlah/jawaban itu, lebih-lebih lagi di tempat-tempat lain lagi! Nilai di sini ialah terbit daripada “ketelitian” memeriksa pauh itu satu persatu.

Atas pertimbangan lain lagi, “dua kali lima sama sepuluh” itu boleh dianggap terbit daripada pertimbangan “10 bahagi 2 sama dengan 5”. Pertimbangan ini menerbitkan lebih banyak dan menarik lagi “nilai” atau “hati budi” yang tersirat di dalamnya sehingga membabitkan “keadilan” (suatu nilai yang amat penting sepanjang zaman). Persoalan akan timbul, adakah adil bagi setiap dua orang itu menerima haknya daripada 10 benda yang hendak dibahagi 2 itu mendapat 5 seorang? Jawabannya, bergantung pada perjanjian dua orang itu, sumbangan mereka,…, hubungan syarak dan sebagainya hingga jawaban 5 itu tidak semestinya berlaku sepanjang masa dan situasi. Secara tabiinya akan timbul nilai-nilai Melayu-Islam pula.

Pertimbangan peribahasa Melayu yang terkenal “dua kali lima” yang diambil daripada situasi unggul 2×5=5×2 jelaslah sekarang amat sarat dengan nilai yang para pembaca diharap dapat mengungkapkan sendiri pula (Ingat 5×2 bermakna, dalam konteks longgokan buah pauh di atas bermakna 5 longgokan buah pauh yang setiap longgoknya mengandungi dua biji pauh yang sebenarnya lebih sukar lagi mencapai bilangan sepuluh itu). Peribahasa ini juga merujuk kepada satu daripada konsep keindahan, khasnya simetri Melayu yang dibincangkan berasingan dalam 1.5.

Konsep nombor itu sendiri pun sarat nilai sebagaimana yang dijelaskan oleh para ahli matematik Tamadun Islam dahulu (terutamanya di kalangan Ikhwan al-Shafa), dan di Eropah oleh ahli falsafah Jerman, Spengler, awal abad ke-20 itu, dan penemuan ahli sejarah sains Tobias Dantzig tahun 1930-an dan ahli antropologi Leslie White tahun 1940-an tentang konsep nombor bagi pelbagai suku kaum primitive (lihat rujukannya di bahagian “Pendahuluan” makalah ini), yang sebahagian besarnya memanglah tidak sesuai untuk bahan pendidikan di peringkat sekolah tetapi perlu disedari oleh pembuat dasar pendidikan negara. Namun tentang perbezaan “satu” dalam bahasa Melayu-Islam dengan “one” dalam bahasa Inggeris-Kristian mungkin masih boleh dibicarakan di peringkat sekolah pun kerana nilai dalam perkataan ini berkait rapat dengan tawhid (dalam Islam) dan teologi (dalam Kristian). Perbezaan makna setiap nombor bagi sesuatu kaum yang ditemui oleh ahli antropologi itu sudah pun termanifestasi dalam konsep nombor mengikut teori set yang diajar diperingkat sekolah lagi itu. Umpamanya nombor dua ialah bilangan set yang ada dua unsur, atau bilangan dua set daripada set dua unsur, atau bilangan set kepada set kepada set dua unsur, …, dan sebagainya. Pandangan Spengler tentang bagaimana “nombor dalam sesuatu budaya itu mampu mengungkapkan kewujudan manusia berbudaya itu” memanglah sesuai dibicarakan pada peringkat universiti sahaja, tetapi lagi sekali pembuat dasar pendidikan perlu menghargai perkara ini. Ringkasnya Spengeler menyorot perkembang konsep nombor di Eropah daripada nombor sebagai sukatan geometri (panjang, luas, isi padu dan binaan), iaitu kuantiti tersetimpalkan (commensurable (Ing.)/kommensurabel (Jer)) yang terdiri drp nombor bulat dan nombor nisbah itu, diiukuti dengan nombor sebagai punca persamaan aljabar (membabitkan kuantiti yang tak tersetimpalkan (incommensurable (Ing.)/ inkommensurabel (Jer.)) seperti nombor tak nisbah, dan nombor sebagai fungsi seperti nombor kompleks, dikaitkannya dengan tahap-tahap perkembangan kebudayaan bangsa. Apa pun semua ini menunjukkan numbor dalam sesuatu bahasa itu membawa nilai tersendiri yang terbudaya dalam bangsa yang berbahasa berkenaan itu. Memanglah diharapkan pembaca semakin dapat faham agaknya daripada perbincangan singkat ini pun bahawa peminggiran bahasa sendiri dalam S & T akan menghilangkan nilai-nilai bangsa itu yang memang ada dalam S & T.

1.2. Apa ada dalam F=ma?
Berkenaan hukum Newton itu, dalam keadaan yang unggul sekali pun di bilik-bilik makmal, hukum itu bukannya maksum, iaitu tertakluk kepada ketakpastian. Ini boleh dan perlu ditekankan di peringkat sekolah sekalipun, kerana nilai ketakpastian alam sains amat penting yang membawa kepada ketuhanan (menjauhi sekularisme, ateisme atau sainsisme). Di pihak lainnya, hukum Newton itu memang disangkal oleh Einstein tentang kewajarannya. Namun oleh sebab aspek nilai ilmu ini berhubung-kait pula dengan teori Einstein di peringkat yang tidak sesuai dengan sekolah (yang relevan dengan PPSMI), maka di sini ingin ditunjukkan saratnya nilai hukum ini berasaskan pada tiga istilah dalam hukum Newton itu (yang dikira sesuai di peringkat sekolah), iaitu nilai yang tersirat di dalam perkataan “daya” (drp Inggeris force daripada Latin fortis yg berupa terjemahan kpd Arab quwwaht yang memberi perkataan Melayu klasik, kuat, itu), “jisim” (daripada Arab jism yang diLatinkan sebagai massa dan diInggeriskan kepada mass), dan “pecutan”/“percepatan” (daripada Inggeris acceleration yang berasal daripada Latin, acceleratus, terjemahan kpd Arab, ta‘jul) sehingga hukum Newton itu menyerlah nilai yang terkandung di dalamnya berasaskan nilai-nilai daripada bahasa Arab, Latin, dan Melayu itu.

Mengikut hukum Newton, perkara yang menggerakkan sesuatu yang berjisim itu ialah daya/force/fortis/quwwaht. Jika orang Melayu tidak terputus tamadunnya oleh penjajahan Barat (yang sedang dihakiskan selama ini menerusi pendidikan sains dalam bahasa Melayu) maka istilah force Inggeris itu tentu tidak diterjemah kepada “daya” (atau “gaya” atau “kakas” bagi Melayu Indonesia) tetapi kepada yang lebih asli iaitu “kuat” atau sebagai istilah khusus fizik, quwwaht, yang mempunyai makna yang ada hubungan dengan ketuhanan Islam (Allah). Istilah force/fortis itu suatu terjemahan Latin dan Inggeris kepada quwwaht itu yang sudah hilang nilai ketuhanan Islam itu, kalau pun masih ada unsur ketuhanannya. Dalam buku-buku berbahasa Inggeris (yang tentunya menjadi rujukan atau teks setia dalam PPSMI) force dalam hukum Newton itu datangnya daripada interaksi zarah-zarah atau benda-benda berjasad di alam semesta ini yang terjadi dengan sendirinya (Natural/natural, katanya, dengan N besar atau kecil bagi mengganti God/god) termasuklah dengan zarah khayalan ahli sains bernama Higg (oleh itu dinamai zarah Higg, yang bagi mereka yang masih bertuhan secara sinisnya, zarah ini dinamainya zarah Tuhan/God’s particle; seolah-olah zarah lain itu bukan milik Tuhan!); dan daripada manifestasi tenaga yang sedia ada dalam setiap objek secara natural (tanpa Tuhan). Tersirat dalam konsep force ini (yang diringkaskan sebagai “tarikan graviti”) ialah kejadian luar biasa pada jarak jauh seperti tarikan antara matahari dengan bumi (sejarak hampir 200 juta km) dan lebih jauh lagi dari sudut alam semesta ini ke bumi ini, dan fenomenon ini Newton menamainya “tindakan sesaujana” (action at a distance daripada Latin, action in distans) yang beliau sendiri amat tidak senang hati kerana kejadian ini berlaku tanpa selang masa sedikit pun (segera/seketikaan) dan ketiadaan peranan Tuhan Kristiannya lagi, sehingga menyebabkan beliau meninggalkan fizik beliau ini untuk menyelesaikan kemusykilan jiwanya dengan cara lain lagi, iaitu menerusi semacam amalan sufi pula (walaupun beliau tidak berjaya). Einstein (yang menghayati nilai Jerman) berjaya meniadakan “tindakan sesaujana” tetapi teori tentang asal-usul daya dalam teori Einstein lebih bersifat kebendaan atau materialis (yang digemari Marxis dan ateis) pula yang tidaklah sesuai dihuraikan di sini. Ringkasnya, “daya” daripada sumber fizik Inggeris atau fizik yang diInggeriskan (istilah force) memberi makna yang berbeza daripada “daya” daripada sumber fizik Melayu-Islam. Kefahaman “daya” yang membawa dua pertembungan nilai yang berbeza ini (nilai keagamaan Islam, dan nilai keagamaan Kristian atau sekular ini hanya muncul apabila fizik diajar dalam bahasa Melayu kerana bahasa Melayu mempunyai sejarah dan nilai yang berbeza daripada bahasa Inggeris. Pengajaran fizik dalam bahasa Inggeris pastinya menjauhkan diri seseorang pelajar itu dengan nilai-nilai Melayu-Islam yang ada dalam istilah “daya” yang semakin terpanggil menghayati istilah quwwaht itu menerusi pengajaran fizik dalam bahasa Melayu selama ini.

Jisim dalam bahasa Melayu-Islam berbeza dengan mass Inggeris drp Latin massa itu (yang malangnya bentuk Latin itu didokongi sepenuhnya dalam fizik Melayu Indonesia). Jisim sebagai terjemahan sepenuhnya daripada Inggeris mass itu ialah sukatan banyaknya jirim atau matter (drp Latin materie) dalam sesuatu benda yang dikaitkan dengan atom benda, dan konsep atom Inggeris itu amatlah sekular sehingga ada usaha sarjana Barat menggantikan atom itu dengan monad. Teori monad tajaan Leibniz yang sezaman dengan Newton itu memang sarat dengan ketuhanan Kristian tetapi oleh sebab ahli sains Barat lebih selesa dengan sekularisme atau ateisme maka teori ini disingkirkan daripada fizik dan teori atom yang sekular atau ateis itu tetap bertakhta hingga kini, walaupun sedang ditandingi oleh teori-teori lain lagi hasil ketidakpuasan sarjana Barat sendiri terhadap teori atom itu (tetapi bukannya atas pertimbangan agama). Oleh sebab, mengikut hukum Newton itu, jisim dan daya bagi sesuatu benda adalah berkadaran terus antara satu dengan yang lainnya, maka penjelasan makna jisim yang sama seperti penjelasan daya itu juga terpakai. Oleh itu, lagi sekali konsep mass Inggeris adalah sekular sedangkan konsep jisim Melayu-Islam amatlah berkait rapat dengan ketuhanan Islam menerusi konsep jawhar dalam fizik Tamaun Islam itu. Jelaslah, pengajaran fizik dalam bahasa Inggeris tidak mungkin membawa nilai-nilai Melayu-Islam dalam konsep mass itu bila-bila masa pun. Jika konsep jisim Melayu-Islam yang ada dalam teori kejadian menerusi Martabat Tujuh dan Nur Muhammad, iaitu martabat Ijsam itu dapat dipermudahkan sehingga layak diturunkan ke dalam alam penjelasan jisim dalam fizik sekolah sekalipun, maka “nilai ketuhanan” yang ada dalam perkataan jisim itu menjadi lebih dalam dan bermakna lagi. Namun ini tentunya memerlukan pengolahan yang baru dan menunggu sarjana yang insaf akan warisan ilmunya sebelum kedatangan ilmu Barat ini. Kesedaran dan keinsafan yang ada kini akan terhakis dan akan tanpa penggantinya jika PPSMI berjaya diteruskan.

Dalam hukum Newton itu juga ada konsep pecutan/percepatan atau accelaration/ accelaratus/ta‘jul (Ing./Latin/Arab) itu yang juga sarat dengan nilai bangsa masing-masing kerana di situ terlibat konsep kedudukan (position) dan masa (time), dan kedudukan itu melibatkan konsep ruang (space). Dalam Hukum Newton itu, ruang dan masa dianggap tidak berjerait antara satu dengan lain: kedua-duannya wujud secara bebas dan berasingan sama sekali semutlaknya. Ini bertentangan dengan konsep masa dan ruang mengikut bahasa Melayu (kajian etimologi dan peribahasa Melayu berkenaan masa) dan warisan Islam yang contohnya dikupas oleh Iqbal (1934/2004). Konsep masa dan ruang Barat sekalipun ada dua aliran sejak zaman Yunani lagi: masa dan ruang terpisah bebas secara mutlaknya dan yang satu lagi sebaliknya. Sebagai contoh peranan bahasa dalam ilmu yang membabitkan ruang dan masa ini, masa dianggap berkait dengan ruang menerusi geist dan bewegung (kedua-duanya bahasa Jerman kerana wacana baru tentang masa dan ruang di Barat dimulai oleh para sarjana Jerman seperti Hegel itu). Sarjana Inggeris menterjemah dua istilah ini kepada “motion” sahaja (yang tentunya akan menjadi “gerakan” dalam bahasa Melayu bagi penterjemah ilmu Inggeris-Melayu yang berketuanan Inggeris sahaja), sedangkan ada sarjana Inggeris lain (berjiwa keagamaan) yang memadankan geist dengan istilah keagamaan Kristian, anima; dan bewegung itu pula dianggap tidak sama dng motion bagi mentakrifkan pecutan itu. Contoh ini jelas menunjukkan lagi betapanya istilah sains dan matematik itu bukannya bebas nilai. (Perinciannya di dalam Shaharir 2006/2009). Hanya pengajaran dan pendidikan sains dan matematik yang membisu (kerana gurunya kurang berilmu atau tidak mahir berbahasa sahaja) yang berlakunya ketiadaan nilai dalam ilmu ini. Banyak sumber yang boleh dipercayai menyatakan “pengajaran bisu” berlaku lebih berleluasa menerusi PPSMI, sedangkan satu drp akibatnya ialah penyahsuburan daya pengaryaan/penciptaan pelajar.

1.3. Berbezanya makna ruang dan masa berbanding dengan space and time
Iqbal (1934/2004) yang karyanya diterjemah ke dalam bahasa Melayu Indonesia dua kali (1966, 2002) dan Whitehead (1924/1978, 1922/2004) yang disorot dengan kritisnya oleh Fowler (1975) memulakan kritikan terhadap konsep ruang-masa dalam teori Einstein masing-masing berasaskan pada bahasa Arab-Islam dan Inggeris-Kristian berbanding dengan istilah-istilah asli dalam teori Einstein itu dalam bahasa Jerman. Baru-baru ini Shaharir (2006c, 2007b) menggunakan bahasa Melayu pula untuk menyemarakkan pradigma kritikan Iqbal dan Whitehead itu. Samalah yang didapati oleh Whitehead bahawa istilah-istilah Einstein dalam bahasa Jerman itu tidak serasi dengan nilai-nilai Inggeris-Kristian, kami juga mendapati ketidakserasiannya dengan nilai Melayu-Islam. Selanjutnya kami memeriksa tabii istilah “masa” bagi orang Melayu sejak abad ke-5 M dan kami mendapati “masa” dan “ruang” adalah kontinum serupa dengan yang diutarakan oleh sarjana Tamadun Islam dan dalam teori Einstein tetapi secara terperincinya “masa Melayu” dan “masa Islam” itu tidak dihayati sepenuhnya di dalam teori Einstein itu. Penemuan ini berpotensi untuk dieksploitasi seterusnya bagi memperoleh formulasi baru teori Kenisbian kita sendiri yang mungkin mampu menyaingi teori Einstein itu.


1.4. Apa ada dalam kebarangkalian dan probability?
Persoalan sarat nilainya istilah kebarangkalian atau probability telah dibicarakan dengan lebih terperincinya dalam makalah Shaharir (2007a). Di sini dibicarakan lebih ringkas tetapi dengan penekanan ang lebih kepada isu bahasa.

Pertamanya, perlulah disedari bahawa konsep kebarangkalian Melayu kini yang masih diambil sepenuhnya daripada probability berkait rapat dengan mantik dan teori set [mantik drp bahasa Arab, atau dahulunya nyaya daripada Sanskrit (kini yang ada hanya perkataan lawannya sahaja, “aninyaya”), dan apabila Islam tiba, perkataan itu digantikan dengan mantik dan kemudian dengan kedatangan penjajah Eropah, dipopularkan pula perkataan lojik/logik/logika daripada Yunani-Latin-Belanda-Inggeris]. Perbezaan nilai yang di bawa oleh istilah mantik dengan lojik/logik(a)/logic memang menarik dan penting juga tetapi tidak dibicarakan di sini. Oleh itu mantik yang berbeza atau teori set yang berbeza akan melahirkan teori kebarangkalian yang berbeza. Dalam hal ini sudahlah lama disedari dan diakuri bahawa setiap bangsa atau kebudayaan itu mempunyai mantik yang berbeza dan ini diinsafi sepenuhnya oleh para penegosiasi antarabangsa dan diplomat yang ikhtisas dan bijaksana (Lihat bahagian “Pendahuluan” makalah ini). Namun ahli matematik masih belum berjaya menerbitkan teori kebarangkalian atau kemungkinan yang sesuai dengan setiap kebudayaan ini kerana aljabar mantik atau aljabar setnya masih belum berjaya dilakukan. Pendidikan yang sarat dengan bahasa Inggeris seperti PPSMI itu sudah tentu jarang akan melahirkan orang yang sedar akan kebudayaannya sendiri apatah lagi dengan kebitaraan mantiknya yang memungkinkannya mencipta asas-asas teori set yang baru yang lain daripada aljabar Boole atau Boolean itu dan seterusnya teori sukatan yang lain daripada yang berlaku pada set Borel atau Borelan itu.

Teori kebarangkalian/probability yang sedia ada kini memang mengandaikan peristiwa sebagai unsur set naïf yang kewujudannya berasaskan pada mantik dwinilai sahaja, dan oleh itu amatlah terhad ruang lingkupnya! Perubahan kepada teori set atau mantik akan memberi teori kebarangkalian baru. Bagaimana nak ubah teori set atau mantik? KELUAR DARIPADA TEMPURUNG! Ini sering disebut sebagai pengimbauan kepada kosmologi baru, iaitu seseorang sarjana berpindah kosmologinya selama ini iaitu memupuk kesedaran kebudayaan baru, kebudayaan/kosmologi sendiri, mulai dengan bahasa. Itulah kata bistari “Bahasa kaya dengan ilmu.”

Orang Melayu sepertilah dengan kebanyakan bangsa lain juga tidak menghayati mantik dwinilai bukan semata-mata kerana perkara yang diminatinya tidak tertakrfi rapi tetapi tertakrif secara kabur (yang menerbitkan teori set kabur dan matematik kabur amnya) tetapi kerana mereka tidak mudah membuat keputusan dengan Ya atau Tidak sahaja, walaupun terhadap perkara yang tertakrif rapi sebagai unsur set naif itu. Umpamanya, Lim (2003) berpandangan, berasaskan peribahasa Melayu, bahawa orang Melayu membuat keputusan berasaskan budi, lalu beliau menamakan mantik orang Melayu sebagai mantik budi. Apakah struktur aljabar mantik budi ini? Jika kita mampu menerbitkan mantik budi ini maka terbitlah pula kebarangkalian budi!

Dalam kebudayaan Melayu-Islam sesuatu perkara itu tidak cukup hanya dengan menentukan “tertakrif rapi” atau “tidak tertakrif rapi” sahaja, seperti dalam penentuan set naïf itu. Bagi orang Melayu-Islam perkara itu seterusnya sentiasalah dikelaskan kewujudannya kepada kategori hukumnya: wajib, haram, sunat, makruh, dan harus/mubah/jaiz.

Bagaimanakah aljabar set dan mantik multi-nilai ini berbanding dengan mantik berasaskan bahasa Inggeris dan nilai Inggeris/Barat yang sudah sedikit sebanyaknya dibangunkan dalam mantik ragaman/modal logic dan mantik deontik/deontic logic mereka itu? Semua ini dijangkakan mampu menerbitkan kritikan membina kepada teori sukatan dan set Borelan yang sedia ada kini dan berpotensi pula menerbitkan teori yang baru lagi.

Hasil kajian etimologi
Kajian dan keinsafan kepada asal-usul atau etimologi sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa itu memang sering menerbitkan konsep sains dan matematik yang canggih. Begitulah yang berlaku dengan etimologi probability dalam matematik Inggeris pada masa sarjananya menterjemahkan (memeribumikan) ilmu ini dari bahasa dan kebudayaan lain di Eropah. Perkataan probability itu terbit daripada probable yang berasal daripada Latin probabilis dan lebih asas lagi probare yang bermakna menguji atau mendemonstrasi; dan probare itu diInggeriskan menjadi probe. Namun probable itu telah berubah sedikit maknanya menjadi “ke arah boleh jadi berlaku”, “condong atau cenderung ke arah berlaku/terjadi”; manakala probe bermakna cocuh (perkataan Kelantan yang bermaksud cucuk-cucuk benda yang ingin diketahui dengan benda yang tumpul), atau konteks lainnya, siasat dng halusi atau kuar. Oleh sebab istilah matematik probability bukan asli Inggeris tetapi terjemahan daripada istilah matematik dalam bahasa Latin ciptaan sarjana Italia dan Perancis dan Jerman, maka kefahaman pemikiran asal istilah ini perlulah dirujuk kpd istilah dalam bahasa-bahasa tersebut: probabilis (Latin), probabile (Italia), probable (Perancis/Inggeris), dan wahrscheinlich (Jerman). Kamus Italia-Inggeris dan Jerman-Inggeris memberi makna perkataan-perkataan ini, antara lainnya, juga sebagai yang dapat dipadankan dengan Inggeris “likely” atau padanan Melayunya “boleh jadi” atau “condong terjadi” itu. Oleh itu segi etimologinya, probability ialah “sukatan kecenderungan berlakunya sesuatu setelah dicerap/diuji/ didemonstrasinya”.

Dalam bahasa Melayu, kata dasar “kebarangkalian”, iaitu “barang kali” bermakna “tak pasti berapa kali berlakunya” dan tidak pernah membawa makna probare Latin atau probe Inggeris itu. Sarjana Melayu dahulu (tahun 1970-an) tidak memilih perkataan terkuarkan/boleh kuar =probe+ able; atau “boleh jadi” bagi menterjemahkan probable itu dalam usaha mereka memeribumikan ilmu probability yang besar mungkinnya disangka daripada Inggeris itu. Jika tidak probability itu diterjemahkan kepada “keterkuaran” atau “kebolehjadian” sahaja, yang tidaklah begitu salah tetapi ilmu ini akan membawa nilai yang berbeza lagi daripada kebarangkalian itu. Perkataan “boleh jadi” itu dikhaskan untuk dipadankan dengan istilah dalam bidang ini yang lain lagi, iaitu likelihood (menjadi “kebolehjadian”) yang berasal daripada likely itu, iaitu sejenis sukatan yang rapat dengan “kebarangkalian” itu. Ternyata istilah Melayu “kebarangkalian” itu jauh lebih baik drp istilah Inggeris, probability itu, kerana istilah Melayu itu hampir terus menerus memberi makna sains dan matematik istilah tersebut (iaitu bilangan kali terjadi dalam banyak kali cerapan yang mencukupinya) sedangkan istilah Inggeris itu agak sipi-sipi sahaja membawa makna tersebut! Apabila sudah di Melayukan ilmu ini sedemikian rupa maka bagi sarjana Melayu yang insaf dengan mendalamnya akan bahasa dan kebudayaannya akan semakin dicabar oleh nilai bahasa dan kebudayaanya lagi sehingga bidang kebarangkalian dalam acuan Inggeris itu akan semakin dirasainya penuh kepincangannya pula dan perlu diperbaiki lagi. Penggalian khazanah bahasa Melayu seperti bahasa Melayu Campa mungkin memberi pengujaan barunya lagi dalam usaha penginovasian ilmu ini kerana dalam bahasa Melayu Campa ada beberapa perkataan yang membawa makna likely atau “boleh jadi” dan oleh itu boleh dijadikan calon istilah ilmu ini yang membawa makna “kebarangkalian baru” kelak. Istilah-istilah itu ialah cadu/sadu, buon/bon dan sanat (Aymonier & Cabaton 1906).

Spektrum pasti-mustahil lwn certain-impossible
Dalam teori probability/kebarangkalian sekarang kita menyukat darjah keberlakuan atau kewujudan sesuatu peristiwa itu dengan dua istilah ektrimnya: pasti/mesti/certain/sure dan mustahil/impossible, dan antaranya mungkin/possible/may be, boleh jadi atau likely atau harus (konteks Malaysia). Jika kita keluar daripada tempurung Inggeris, istilah pasti (amat rapat dengan makna wajib), mustahil dan mungkin atau harus dalam bahasa Melayu itu terasa amat berbeza maknanya dengan padanan biasa kita dengan bahasa Inggeris itu. Ini boleh mencetuskan kritikan baru tentang kebarangkalian/probability itu yang akhirnya akan membuahkan teori baru. Lebih konkrit lagi berlakunya keadaan ini jika kita menggali khazanah ilmu Melayu Jawi seperti yang kami paparkan di bawah ini.

Manuskrip MS1659 (tanpa tarikh dan penulisnya) ada sebuah makalah berjudul Mutiara Putih (oleh Syaykh Abdul Rauf bin Syaykh? yang dianggarkan karya abad ke-17M) yang membicarakan perihal WAJIB, MUSTAHIL dan JA’YZ yang setiap satunya dibahagikan kepada dua kategori: zaaty dan ‘aradhy. Katanya, sifat yg wajib pada Allah itu zaaty bukan ‘aradhy. Contoh wajib ‘aradhy itu ialah masuknya syurga Sahabat Nabi yang Sepuluh itu. Adapun yang wajib pada Allah itu ialah Sifat yang Dua Puluh itu (terkenal dengan ringkasnya sebagai “Sifat 20” dalam tawhid itu). Begitu juga sifat yg mustahil pada Allah itu mustahil zaaty bukan mustahil ‘aradhy. Contoh mustahil ‘aradhy itu ialah masuknya syurga Abu Lahab; dan yg mustahil pada Allah itu lawan “Sifat 20” itu. Adapun sifat yang ja’yz (=mubah atau harus Malaysia) pada Allah itu ja’yz zaaty bukan ja’yz ‘aradhy. Contoh ja’yz ‘aradhy itu ialah masuknya syurga orang ma‘kshiaht (maksiat); dan ja’yz pada Allah ialah Ia menjadikan alam ini. Manuskrip MS1659 (pp 137-146, makalah Mutiara Putih itu juga) ada menyebut 4 “wajah” mumkin (asalnya perkataan Melayu kini “mungkin” itu). Pertama, mumkin mawjud, iaitu contohnya mumkin yg ada sekarang seperti adanya bumi dan langit ini. Kedua mumkin wajidwu anqadhy, iaitu mumkin yg sudah dijadikan pada hal sudah berlalu masanya seperti nabi Adam. Ketiga mumkin saywuajid, iaitu mumkin yg lagi akan datang seperti hari kiamat. Keempat mumkin ilmu Allah innahu lam yuwajid, iaitu mumkin yg diketahui Allah ta‘ala bahawasanya tiada dijadikan seperti seseorang yang bersepuluh kepalanya. Manuskrip al-Ranyry Ms 781(2) juga ada menceritakan perkara mumkin dan mustahil yang agak berbeza lagi daripada yang dipaparkan di atas. Pendeknya semua ilmu Melayu (abad ke-17M) berkenaan dengan istilah-istilah yang cukup intim dengan ilmu yang terkandung dalam teori kebarangkalian/probability sekarang begitu mencabar bidang ilmu ini. Inilah peranan bahasa yang cukup mahal harganya yang tidak patut dijual-beli seperti yang berlaku pada bahasa Melayu yang mengikut Ketua Muslimah Pas (secara lisan pada awal 2009) dengan harga ansuran 5 bilion atas nama urusniaga PPSMI itu.

Konsep “ada” atau “wujud” dalam Melayu-Islam yang masih terfosil.
Dalam manuskrip Ms1514 (mengikut pengelasan Perpustakaan Negara Malaysia) bertarikh 1343H = skt 1922M yang pengarang?/penyalinnya? ialah Muhamad Yusof al-Jari ibn Budah memaparkan tiga konsep “wujud”: khatdab, a‘yan khaarijaht dan tajally. Konsep-konsep ini muncul dalam Martabat Tujuh, sebuah teori kosmologi-kosmogeni Melayu abad ke16M lagi dan sehingga kini pun masih perlu ditelaah dalam usaha mencari idea baru bagi memperbaiki konsep wujud dalam sains kini yang masih belum memuaskan ramai sarjana seluruh dunia.

Dengan dasar PPSMI (sekalipun dengan versi yang kedengaran kini akan dimulai di Sekolah Menengah sahaja), pada amnya mustahil ‘aradhy kita dapat melahirkan sebilangan yang ampuh sarjana yang perihatin kepada bahasa Melayu sebagai alat pelangsungan penyelidikannya seperti yang digariskan ini? Mungkinkah ada jiwa-jiwa Melayu-Islam dalam karya sarjananya kelak? JAUHLAH PANGGANG DARI API.

1.5. Berbezanya Simetri dengan Symmetry?

Isu simetri/symmetry ini pernah dibicarakan oleh Shaharir (2008b) dan di sini diungkapkan semula dengan sedikit penambahan “fakta” sana-sininya. Ahli matematik dan fizik Barat banyak beroleh inspirasi dan konsep matematiknya berasaskan pada fahaman makna mereka kepada keindahan atau kecantikan yang terbit daripada bentuk yang dinamainya Inggeris symmetry (dan bahasa-bahasa lain di Eropah dengan sedikit perubahan ejaannya sahaja kerana semuanya daripada Yunani-Latin, symmetria, symmetros) yang mulanya dipadankan kepada bahasa Melayu dengan “setangkup” dan “samukur” (=sama+ukur) tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil perkataan “simetri” sahaja lalu menghayati makna perkatan itu daripada sistem nilai Barat (Inggeris khususnya) sahaja tanpa banyak soal lagi, seolah-seolah orang Melayu juga berkongsi sepenuhnya makna kecantikan khususnya simetri dengan orang-orang Barat (Inggeris khsususnya). Baru-baru ini, ahli etnomatematik dari New Zealand, Barton, memberi ulasan sepintas lalunya di seminar etnomatematik yang dianjurkan oleh INSPEM 2008, tentang “simetri Melayu” yang beliau cerap pada bentuk-bentuk geometri pada anyaman Melayu. Katanya simetri pada anyaman Melayu itu nampaknya berbeza daripada konsep simetri dalam matematik Barat selama ini yang dimodelkan sebagai sebuah struktur aljabar yang dinamai Kumpulan di Malaysia dan Grup di Indonesia (daripada perkataan Group yang berupa transkripsi Inggeris kpd istilah matematik Perancis Groupe yang muncul dalam abad ke-19M). Jika kita ingin memperbaiki matematik Kumpulan kini kerana ternyata teori Kumpulan itu berasaskan konsep simetri yang dirasai tidak sama dengan simetri kita (Melayu khususnya) maka selain daripada mencerapi sebanyak mungkin anyaman Melayu itu, kajian etimologi perkataan dalam bahasa Melayu yang lebih asli seperti “setangkup” dan “samukur” serta perkataan Melayu pra-Islam yang membawa makna semacam perasaan keindahan yang selama ini dinamai simetri itu juga amat berguna. Untuk ini Kamus Khmer purba (yang dipercayai berkongsi bahasa dengan Melayu Funan) memaklumkan perkataan “sama” daripada Sanskrit samma itu bermakna simetri. Kamus Melayu Campa dan Sriwijaya, bahkan Majapahit; dan kajian peribahasa Melayu juga berguna (seperti yang pernah juga disebut oleh Barton, “seperti pinang dibelah dua”, dan yang lainnya yang kami ingat serta-merta lani ialah “seperti cincin dengan permata”, “dua kali dua” dan “2 kali lima”). Bagi Inggeris Symmetry itu (yang diperkenalkan dalam abad ke-16M) boleh membawa makna kesepadanan (similitud dan kecitaan/afniti), keberkadaran dan keseimbangan; dan makna yang lebih aslinya daripada Yunani-Latin itu ialah “persetujauan dalam matra, perkadaran dan susunan” dan “susunan harmoni” (Mengikut kamus Oxford dan etimologi di internet). Ternyata keindahan dalam anyaman Melayu itu lebih daripada takrif simetri Barat yang dipaparkan di atas itu.

Sebenarnya ahli matematik Barat sudah pun mengkaji kesenian Parsi, Hindia dan “Keseniaan KeIslaman” dan memadankan dengan teori Kumpulan mereka. Mereka mendapati produk kesenian ini mempunyai struktur aljabar yang berbeza yang mengayakan teori Kumpulan mereka itu. Bagaimana dengan kesenian Melayu? Barton dengan seorang pelajar Melayu Malaysia kini (yang selalu juga berhubung dengan Dr. Alinor, di UKM/INSPEM/KDH) sebagai perujuk mereka) sedang melakukannya dalam arena anyaman tetapi hasilnya yang lebih menarik daripada yang pernah dibentangkan oleh mereka ini di Seminar Enomatematik di INSPEM itu masih belum kami ketahui. Isunya, dengan “pendidikan sains dan matematik” dalam bahasa Melayu selama ini pun kita masih menghasilkan ramai sarjana yang terbenam dalam kepumpung dan tempurung Barat, apatah lagi dengan PPSMI selama 30 tahun nanti?

1.6. Bunga/Faedah dan Interest, Pinjaman Bank/Mudharabah dan Bank Loan

Sejak bank Islam ditubuhkan di Malaysia 1980-an dahulu istilah-istilah urusan perbankan dalam bahasa Melayu dan Inggeris mula menonjol perbezaan maknanya yang kemudiannya membawa kepada pelbagai model matematik yang baru bagi menggantikan rumus matematik bunga/faedah (mathematics of interest) yang dipakai selama berkurun-kurun itu. Ini dianggap satu anjakan paradigma dalam pengurusan kewangan dan matematik kewangan dunia. Sekaligus menunjukkan sistem nilai begitu besar peranannya dalam kemajuan sains dan matematik. Segi bahasanya, sebelum munculnya bank Islam lagi, begitu jelas berbezanya semantik kita terhadap istilah “bunga” (yang kekal di Indonesia hingga hari ini) dan “faedah” (sengaja diperkenalkan tahun 1970-an dahulu untuk melunturkan hukum haram terhadap interest) dan sekaligus berubah juga semantik kita terhadap interest itu. Dengan pengenalan urusan perbankan Islam dengan pelbagai istilah keIslaman yang diMelayukan seperti yang terkenalnya “mudharabah” itu maka lagi sekali bahasa Melayu berubah maknanya terhadap bunga, faedah dan interest, pinjaman bank dan bank loan itu. Model matematik kewangan yang benar-benar berasaskan kepada mudharabah pun hampir berjaya sepenuhnya dilakukan oleh Maheran dan Shaharir di sepanjang tahun 2002-2006 yang dapat disasksikan dalam siri penerbitan mereka berdua ini atau dalam tesis D.Fal Maheran bt Jaafar yang diserahkan kepada Jabatan matematik UKM pada 2006 dan telah diluluskan itu.


2. Positifnya Peranan Bahasa dalam pemindahan dan penerokaan ilmu

Dengan beberapa contoh yang telah dihuraikan di atas, maka diharapkan jelaslah istilah-istilah dalam S & T itu berasal daripada bahasa pencipta ilmu itu yang memang sarat nilai daripada bahasa itu sejak mulanya muncul ilmu ini lagi dan kemudiannya dapat diperkukuhkan lagi atau menerima tandingan nilai itu apabila ilmu itu dijelaskan dalam bahasa lain lagi. Pendeknya bahasa pembinaan dan penjelasan ilmu itulah yang menilai ilmu itu. Pemindahan ilmu daripada Inggeris ke Melayu yang telah berlaku sejak 50 tahun ini sedikit sebanyaknya berupa pemindahan nilai yang ada dalam S & T Inggeris, dan kerana dalam proses itu biasanya akan berlaku pertembungan nilai secara tabiinya, maka sekaligus proses itu mampu mengubah dan memberi nilai baru kepada ilmu tersebut, terutamanya bagi mereka yang sedar akan warisan ilmu tersebut dalam kebudayaannya sendiri sebelum kedatangan ilmu yang dianggap ilmu Inggeris itu (walaupun sebenarnya asalnya bukan ilmu Inggeris, tetapi ilmu terjemahan/pemindahan Inggeris). Pemindahan ilmu sehingga berlakunya perubahan nilai atau kritikan ilmu itu hasil daripada penilaian berasaskan bahasa dan dan kebudayaan sendiri itu tentunya membuahkan penyelidikan dalam ilmu itu. Inilah yang positifnya berlaku dalam pemindahan ilmu itu dan yang memang dilalui oleh setiap Negara Maju itu. Ini tidak akan bersemarak berlaku, atau tiada mangkin yang berfungsi untuk berlakunya, jika ilmu itu tetap diajar dalam bahasa Inggeris seperti menerusi PPSMI itu.


3. Makna Ilmu Melayu dan Ilmu Malaysia

Dalam 1997 kami menghuraikan makna “sains Melayu” yang dikatakannya sebagai sains yang terhasil daripada persoalan yang terbit daripada kehidupan orang-orang Melayu, pandangan hidup dan kosmologi Melayu yang penyelesaiannya dibina untuk keperluan orang-orang Melayu yang kemudiannya mugkin tetapi ternyata mampu juga sedikit sebanyaknya menyelesaikan masalah bangsa lain, terutamanya apabila diubahsuai sewajarnya, sebagaimana yang berlaku pada sains Barat itu (Shaharir 1997/2005). Perkara yang berlaku pada sains ini tentunya berlaku pada matematik juga jika matematik itu dianggap sebagai subset bagi sains. Malangnya ramai ahli matematik sendiri tidak mengganggap ilmunya berupa sains kerana kononnya sumber sains berbeza daripada matematik, sedangkan ahli falsafah besar abad ke-20 dan tiada yang mengatasinya lagi hingga kini, Feyerabend, Kuhn, Lakatos dan Popper memang menganggap matematik itulah sebahagian besar sains, terutamanya sains yang dianggap tinggi martabatnya. Itulah sebabnya ungkapan “sains dan matematik” masih amat laku dan perlu terutamanya di Malaysia ini, lebih-lebih lagi dengan riuh-rendahnya projek terbaru kerajaan dalam pendidikan ilmu bukan sastera yang dikenali sebagai PPSMI mulai 2003 itu. Oleh itu di sini kami tidaklah mahu berpolemik tentang sains atau tidaknya matematik. Sebaliknya kami terus memaparkan bagaimanakah matematik itu sarat bahasa dan oleh itu sarat nilai (bahagian 1 di atas) sehingga wajarnya istilah matematik berbahasa bangsa A (ringkasnya matematik A) dibezakan dengan matematik B, khasnya matematik berbahasa negara-bangsa Malaysia, ringkasnya matematik Malaysia berbeza dengan matematik Inggeris. Oleh sebab bahasa bangsa Malaysia yang bertaraf nasionalnya ialah bahasa Melayu maka istilah matematik Malaysia itu semestinya antara lainnya bermakna matematik dalam bahasa Melayu sahaja. Matematik (atau ilmu apa pun) dalam bahasa bukan Melayu, seperti Inggeris, semestinya tidak diiktiraf sebagai matematik (ilmu) Malaysia; manakala matematik Melayu menjadi hanya sebahagian (walaupun besar) daripada matematik Malaysia. Matematik Malaysia ialah perluasan arena atau skop sumber dan tujuan matematik Melayu sehingga merangkumi kehidupan semua suku kaum bangsa Malaysia tetapi bahasanya tetap bahasa Melayu. Justifikasinya dihuraikan di bawah ini.
Persoalan yang ingin dileraikan di sini ialah apakah yang menentukan ilmu itu milik sesuatu bangsa B sehingga layak diistilahkan sebagai ilmu B, khususnya ilmu Melayu atau rumpun Melayu, seperti sains Melayu, fizik Melayu, sajak Melayu, Novel Melayu dan matematik Melayu. Kami berpegang kepada takrif bahawasanya ilmu bangsa A ialah ilmu yang ditulis dalam bahasa bangsa tersebut, khasnya ilmu rumpun Melayu ialah ilmu yang ditulis dalam bahasa rumpun tersebut oleh sesiapa sahaja dalam dunia ini terutamanya yang berasaskan pada sumber rumpun Melayu. Takrif ini berasaskan pada sejarah tamadun manusia sepanjang zaman dan sifat ilmu yang sarat nilai itu. Ini dihuraikan lagi di bawah ini. Bahagian ini dipetik drp buku penulis ini (Shaharir 2008a).

Pertamanya, seluruh dunia mengiktiraf bahawa tamadun Melayu amat kaya dengan manuskrip lamanya, terutamanya manuskrip Melayu Jawi (sesetengahnya mengatakan yang terbanyak di dunia kerana kini dianggarkan sebanyak kira-kira 6 ribu seperti yang dikelaskan oleh Shaharir 2003a), dan mereka ini juga bersetuju dengan takrif ‘manuskrip Melayu’ (karya sebelum abad ke-19M) dengan maksud tulisan pada kertas, daun tar (lontar), kulit pokok atau haiwan, dan pada batu (yang biasa disebut batu bersurat atau prasasti) dalam bahasa Melayu sahaja (bukan dalam bahasa Sanskrit atau Arab atau bahasa-bahasa lain, yang juga agak banyak terutamanya dalam Tamadun Melayu Funan dan Campa abad ke-2M hingga ke-16M). Ini sesuai pula dengan persetujuan mereka terhadap makna karya Inggeris, karya Perancis, karya Jerman dan sebagainya.

Dalam tahun 1960-an dahulu para budayawan dan sasterawan di negara kita pernah berpolemik di kalangannya untuk mentakrif “sastera nasional” atau “sastera Persekutuan Tanah Melayu” dan “Sastera Malaysia” untuk tujuan pengiktirafan rasmi kerajaan dan dunia amnya. Ada pihak yang mahu memasukkan sastera dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa suku kaum di Malaysia, yang ditulis oleh seseorang rakyat Malaysia juga dianggap “sastera nasional”. Ternyata kehendak kumpulan minoriti ini tidak mendapat tempat yang diingininya seperti yang disaksikan dalam penapisan hadiah-hadiah sastera peringkat nasional seperti anugerah “Sasterawan Negara” itu; tetapi tidak pula berlaku dalam bidang ilmu seperti anugerah “Ahli Sains Negara”, atau “Saintis Muda”. Dalam dua anugerah atau hadiah kepada ahli sains itu, kriteriumnya, antara lainnya, hanya rakyat Malaysia dan tiadalah berkehendakkan karya-karya mereka itu dalam bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu). Ini manifestasi kita membezakan karya sastera dengan karya sains, iaitu karya bukan sains dianggapnya sarat nilai, manakala karya sains itu bebas nilai hingga kononnya tiadalah ertinya membezakannya mengikut bahasa perantaraaannya. Kita sepatutnyalah akur dengan pandangan bersama para sarjana yang telah disebut sepintas lalu di bahagian pendahuluan makalah ini (walaupun setengah daripada hujah mereka masih boleh dipertikaikan), bahawa sains juga sarat nilai, maka hadiah untuk ahli-sains Malaysia itu tidak wajar dianggap sebagai pengiktirafan kepada mereka yang memenuhi syarat sekarang ini sahaja, iaitu kerana sumbangannya dalam bahasa apa pun dan di mana jua pun asalkan mereka rakyat Malaysia. Jika Malaysia dianggap sebuah negara-bangsa yang berbahasa pembangunannya (nasional/kebangsaan) bahasa Melayu, bukannya sebuah negara “satelit Inggeris” seperti yang tersirat dalam PPSM itu (iaitu negara yang memancarkan kebudayaan Inggeris dengan dominannya), maka karya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Malayu tidak wajar dianggap karya sains Malaysia. Sehingga kini oleh sebab karya sains “ahli sains rakyat Malaysia” hampir semuanya dalam bahasa Inggeris, dan ditambah pula memang yang dinilai hanya yang dalam bahasa Inggeris (dalam bahasa lain khasnya dalam bahasa Melayu dianggap tidak bermutu), maka lebih tepat lagi mereka yang diiktiraf itu sebenarnya diterima sebagai penyumbang “sains Inggeris Malaysia”, iaitu penyumbang sains dalam bahasa Inggeris oleh rakyat Malaysia. Bagi menjustifikasikan pandangan ini, marilah kita tinjau karya-karya tokoh besar zaman berzaman dan melihat bagaimanakah penentuan hak milik atau jenama karya ini.

3.1. Naipul Penyumbang Ilmu Siapa?
Pemenang Hadiah Nobel Persuratan 2001, Vidiadhar Surajprasad Naipaul namanya di beri kepada beliau atas nama United Kingdom (UK) bukan sekadar kerana beliau berkerakyatan UK, tetapi juga kerana karya-karyanya memang semuanya dalam bahasa nasional/kebangsaan UK (Inggeris) sahaja. Beliau dilahir di Trinidad berketurunan India dan mungkin sekali tidak tahu bahasa nenek moyangnya (bahasa dari suku kaum di Hindia/India). Orang Hindia tentunya tidak mengiktiraf Naipul sebagai penulis Hindia semata-mata kerana beliau berketurunan Hindia; manakala orang Trinidad tidak menganggapnya penulis Trinidad kerana semata-mata dia dilahirkan di Trinidad sedangkan karyanya tiada kena mengena dengan bangsa Trinidad atau Hindia. Walaupun bahasa Inggeris menjadi bahasa nasional/kebangsaan (bahasa pembangunan) Hindia dan Trinidad, dan karya Naipul dalam bahasa tersebut, namun Naipul masih sukar dianggap juga sebagai penulis kedua-dua negara itu kerana kewarganegaraannya adalah negara berbahasa asli Inggeris. Bagaimana dengan perkara dalam karya Naipul? Adakah perkara ini mempengaruhi jenama sesebuah karya? Karya Naipul yang menyebabkan beliau melonjak terkenalnya ialah berkenaan kehidupan orang-orang Islam di Indonesia dan Malaysia dalam bukunya,. “Among the Believers” 1981 dan “Beyond Belief “1998 (lihat Internet 1: minta Naipul). Namaun tiadalah rasannya orang rumpun Melayu yang termakan (terasuah) dan mahu mengiktiraf karya Naipaul itu sebagai karya persuratan Melayu atau ilmu Melayu kerana bahasa karya tersebut bukannya bahasa Melayu. Pendeknya, Naipul memang hanya layak dianggap penulis agung Inggeris sahaja kerana karya-karya agungnya dalam bahasa Inggeris. Asal keturunannya dan perkara yang dibicarakan dalam karyanya tidak mengubah taraf jenama karyanya itu.

3.2. Novel Somerset Maugham
Satu lagi contoh yang menarik dipertimbangkan ialah karya sasterawan terkenal berketurunan Ireland tetapi berkerakyatan United Kingdom, Somersat Maugham namanya. Beliau pernah menghasilkan novel, cerpen dan sandiwaraan terkenal yang berlatar belakangkan masyarakat di Asia seperti On a Chinese Screen 1923, The Gentleman in the Parlour 1930, The Letter 1927, dan The Painted Veil 1925 sehingga lamalah beliau berada di rantau Asia bagi menyiapkan tulisan-tulisannya itu (Internet 2: minta nama novelis ini), tetapi karya-karyanya itu tetap dianggap sastera Inggeris kerana bahasanya memang bahasa Inggeris; dan tidak juga dianggap sastera (bangsa) Ireland, walaupun bangsa Ireland sudah pun meninggalkan bahasanya yang asal, Seltik, kerana mendokong bahasa Inggeris sejak abad ke-19 lagi sebahagi bahasa pembangunannya (bahasa kebangsaan atau bahasa nasional).

3.3. Ilmu beberapa orang Pemenang Hadiah Nobel Sains
Bagaimana pula status beberapa orang pemenang Hadiah Nobel sains diterima oleh bangsa yang berketurunan Negara Ketiga yang karyanya bukan dalam bahasa negara pertiwinya (nenek-moyangnya)?. Contohnya, ialah dua orang sarjana berketurunan Hindia (Tamil), Chandrasekhar (berkerakyatan AS) dan Raman (berkerakyatan Hindia) yang masing-masing beroleh Hadiah Nobel fizik pada tahun 1983 dan 1930; Ahmad Hassan Zewail (berbangsa dan berkerakyatan Arab-Mesir tetapi menetap di AS), pemenang Hadiah Nobel kimia 1999; Abdus Salam yang berkerakyatan Pakistan dan menetap di UK, mendapat Hadiah Nobel fizik 1979; Earnest Walton (rakyat Ireland) pemenang Hadiah Nobel Fizik 1951. Mereka semua ini berkarya dalam bahasa Inggeris sahaja. Ilmu mereka ini tidaklah dipertikaikan lagi pemiliknya, iaitu Inggeris! Bahkan negara atau rakyat negara pertiwi sarjana ini mampu hanya menumpang sekaki tersipu-sipu sahaja atas kemasyhuran mereka ini.

Berkenaan dengan Ferid Murad, yang memperoleh Hadiah Nobel Perubatan 1998 memang penyumbang perubatan Amerika-Inggeris bukan sahaja kerana berkerakyatan AS tetapi kerana karyanya semuanya dalam bahasa Inggeris, walaupun beliau berasal daripada bangsa Albania Muslim (sebelah bapanya yg berhijrah ke AS) yang beremakkan seorang Kristian Baptis; dan beliau sendiri pun sudah murtad menjadi Kristian mazhab Protestan jenis Episcopalian dan beristerikan seorang Prebyterian.

Sebaliknya, ilmu karya para pemenang Hadiah Nobel (atau sarjana amnya) dari Jepun, Tiongkok, Perancis dan Jerman umpamanya memang tanpa ragu-ragu lagi diiktiraf sebagai ilmu atau ilmuwan (ahli sains) bangsa-bangsa berkenaan itu kerana banyak karya mereka itu ditulis juga dalam bahasa negara-bangsanya sendiri di samping bahasa-bahasa sains yang lain terutamanya, yang paling disanjungi rakyat Malaysia, Inggeris itu.

3.4. Newton Sarjana Siapa?
Karya ilmuwan bangsa Inggeris yang terkenal, Newton, yang asalnya Philosophiae Naturalis Principia Mathematica 1687 dalam bahasa Latin itu, tidak dianggap karya Inggeris sehinggalah karya itu diterjemah kepada bahasa Inggeris 42 tahun kemudian, 1729 oleh Andrew Motte. Begitulah besarnya peranan bahasa dalam penentuan pemilik sains itu. Ini sesuai pula dengan peranan nilai dalam ilmu sedangkan bahasa amat sarat dengan nilai.

3.5. Apa bezanya Wallace dengan Ahli Sains Hayat dari Malaysia?
Contoh yang lebih menarik lagi, Wallace, seorang ahli alam tabii UK terkenal abad ke-19 yang berada 8 tahun di Alam Melayu bersama ramai pembantu penyelidiknya dari kalangan rumpun Melayu, antaranya yang disebut dalam bukunya ialah seorang yang bernama Ahmad, merakamkan begitu banyak spesies flaura dan fauna di Alam Melayu (sekitar 35 ribu spesies) pada akhir abad ke-19 dan menjadi rujukan besar Darwin bagi menerbitkan hipotesisnya yang kini dikenali sebagai “Teori Evolusi” itu. Karya beliau tidak pernah pun dianggap sebagai sains Melayu kerana rakaman penyelidikan itu dalam bahasa Inggeris sahaja (Lihat karya Wallace 1869, “The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise”, yang terbitan ulangannya cukup banyak (dng berlainan Pendahuluan) dan yang agak barunya terbitan 2001 disorot oleh Mat Rofa 2006). Bukan sains-Melayu-nya ilmu karya Wallace ini dapat dimengerti dengan lebih mendalam lagi apabila seseorang mempertimbangkan tujuan ilmu bagi sesuatu bangsa; iaitu supaya bangsa itu memahami segala selok-belok kebudayaan dan alam persekitarannya dan memajukan diri atau bangsanya menerusi amalan dan ramalan daripada ilmu ciptaannya itu. Dalam hal ilmu Wallace itu, sungguhpun dengan puluhan ribu spesies flaura-faunanya yang dapat dicaminya, namun orang Melayu masih belum mengenali ratusan spesies haiwan dalam negara/kebudayaan berasaskan karya Wallace itu, seperti burung pingai, cendrawasih, jentayu, berkik, bubut, pokko/sesumpah dan serindit; beberapa haiwan lain lagi seperti belalang kunyit, tuma, hama, anai-anai, dan puluhan ikan laut seperti kembung, selar dan jolong-jolong yang besar kemungkinannya masih belum diketahui nama sainsnya hingga kini (terutamanya jika padanan Inggerisnya belum diketahui/pasti) seperti yang dibincangkan dalam Shaharir (2003b & 2005). Jelaslah ilmu Wallace itu bukan ilmu sains hayat Melayu kerana bahasanya!
Jika karya Wallace itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu (dengan memastikan semua istilah spesies flora-fauna yang telah diInggeriskannya itu dikembalikan kepada bahasa rumpun Melayu, maka pastinya ilmu Wallace itu dengan mudahnya menjadi ilmu milik Melayu. Sehubungan dengan ini, apakah bezanya karya Wallace itu dengan kebanyakan ahli sains hayat berkerakyatan Malaysia kini yang hanya berkarya dalam bahasa Inggeris sahaja juga?

3.6. Apa beza nya ahli matematik Sir Rohan Hamilton dengan ahli Matematik rakyat Malaysia kini?
Contoh yang lebih menarik lagi ialah tentang Sir Rohan Hamilton (abad ke-19) yang karyanya menjadi perebutan milik sains dan ‘jenama’ ahli sains Ireland dan UK kerana masalah bahasa ini (bangsa lain tetapi mendokong bahasa pembangunan yang sama). Sebenarnya atas dasar yang sama segelintir orang Melayu yang cita Inggeris (yang memperjuangkan PPSMI) juga mungkin ingin berebut karya Hamilton ini kerana Hamilton juga boleh berbahasa Melayu! Dalam hal ini tiadalah bezanya dengan orang Melayu yang hanya berkarya dalam bahasa Inggeris. Namun sebahagian besar orang Melayu tidak akan menerima karya matematik Hamilton sebagai khazanah karya ilmu Melayu semata-mata kerana beliau fasih berbahasa Melayu sedangkan karyanya dalam bahasa Inggeris sahaja.

3.7. Sarjana Melayu abad ke-6 hingga abad ke-19M
Sarjana rumpun Melayu sejak abad ke-6M lagi berkaraya dalam banyak bahasa tetapi termasuklah dalam bahasanya sendiri, bahasa Melayu (sebelum abad ke-13M terkenal dengan nama Kunlun oleh bangsa Tiongkok dan Kolan oleh Yunani). Antara sarjana itu ialah Subhodi dan Paramartha (zaman kerjaan Melayu Funan yang berpusat di Kemboja abad ke-2M hingga ke-9M) yang berkarya dalam bahasa Sanskrit, Melayu dan Tiongkok; Atisa, Dharmakirti dan Suryakirti sarjana zaman kerajaan Melayu Sriwijaya abad ke-7 hingga ke-13M). Atisa adalah sarjana yang berasal dari Tibet tetapi hampir menetap di Sriwijaya (Palembang) sambil mengajar dan berkarya dalam bahasa Melayu juga sehingga beliau diiktiraf sebagai sarjana Melayu. Ini hampir sama dengan yang berlaku pada sarjana zaman Melayu-Islam, Nur al-Dyn al-Ranyry dalam abad ke-17M, seorang sarjana dari Hindia (Ranir/Ranyr) tetapi kemudiannya mentapnya di Aceh serta banyak berkarya dalam bahasa Melayu dan Arab sahaja, setiap satu yang ditulis dalam bahasa Melayu itu (kecuali judulnya, biasanya dalam bahasa Arab) dianggap dunia sebagai karya Melayu (atau manuskrip Melayu). Karya berjudul Bahr al-Lahut dianggap manuskrip Melayu abad ke-12 kerana dalam bahasa Melayu walaupun bersifat terjemahan (oleh penterjemah yang tidak diketahui) sehingga ada salinannya yang berjudul Bahr al-Dahut daripada karya asalnya dalam bahasa Arab itu; begitu juga dengan karya terjemahan 1590 daripada bahasa Arab, ‘Aqa‘id al-Nasafi (juga oleh penterjemah yg tidak diketahui) dianggap manuskrip Melayu yang tertua (yang jelas tarikhnya) kerana bahasanya. Kedua-dua manuskrip ini ialah berkenaan dengan fizik dan falsafah sains warisan tamadun Islam yang mendahului Barat itu, dan malah layak dianggap fizik Melayu atau kosmologi Melayu (tetapi tidak berlaku demikian kerana orang Melayu sendiri kini tidak pernah mengiktiraf adalah sains dalam tamadunnya akibat sistem pendidikan yang dilaluinya memang berpusatkan tamadun Eropah). Pada zaman Tamadun Melayu-Islam (dianggap antara abad ke-14 hingga akhir abad ke-19M) ratusan ilmuwan Melayu berkarya dalam bahasa Arab dan Melayu yang telah kami perkatakan sumbangan puluhan sarjana pilihan dalam bidang SAKTI (sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi) di dalam Shaharir (2009a). Yang ingin ditegaskan di sini ialah bahawasanya mereka ini berkarya dalam bahasa Melayu di samping bahasa ilmu semasa yang lebih luas sebarannya, iaitu bahasa Arab. Umpamanya dua orang sarjana polimates: Ahmad al-Fatdany akhir abad ke-19 (agama, bahasa, sastera, sejarah, siasah/politik, penerbitan, kosmologi, matematik dan perubatan) dan Nwur al-Dyn al-Ranyry abad ke-17 (mantik, fizik atom, falak/astronomi, kosmologi-kosmogeni, kepemimpinan-kepengurusan dan falsafah). Ahmad al-Fatdany dikatakan menghasilkan lebih drp 160 buah karya dalam pelbagai bidang itu tetapi setakat ini yang dijumpai ialah 63 buah, iaitu 26 dalam bahasa Melayu, 28 dalam bahasa Arab dan 9 buah yang belum dikatahui bahasanya (Melayu atau Arab atau dwibahasa) kerana belum ditelaah/dicatat oleh sesiapa lagi yang kami ketahui. Al-Ranyry pula ditemui berhasil sebanyak 40 buah karyanya yang terdiri daripada 36 buah dalam bahasa Melayu dan 4 buah dalam bahasa Arab.

Kesimpulan
Sains matematik sarat nilai kemanusiaannya yang terkandung dalam nombor dan operasinya, istilahnya, aksiomnya, dan perkara yang dipertimbangkan. Setiap bahasa mampu memberi nilai tambah kepada sains matematik yang sedia ada atau menjadi penapisan nilai ilmu tersebut secara kritisnya sehingga mampu menerbitkan idea baru ke arah penginovasian, atau pe-revolusian ilmu itu. Bahasa Melayu telah berperanan sedemikian dengan contoh-contoh yang konkritnya. Sehubungan dengan tabii simbiosis ilmu dengan bahasa itu maka ahli sains matematik Malaysia perlulah memberanikan dirinya (memohon kebenaran jika perlu) bukan sahaja mengajar ilmunya dalam bahasa negara Malaysia, bahasa Melayu, dengan agak seimbangnya berbanding dengan pengajarannya kini dalam bahasa Inggeris, tetapi juga sering pula berkarya dalam bahasa Melayu agar dia layak menjadi sarjana Malaysia yang sebenarnya dan ilmunya juga layak dijenamai sebagai ilmu Malaysia. Untuk memudahkan lagi tercapainya budaya keilmuan seperti ini, maka ahli sains matematik perlulah turut bersama dengan para cendekiawan lain memberi pandangan, permintaan atau desakan bermadani kepada pihak kuasawan kini agar PPSMI dihapuskan segera. Tindakan ini sesuai dengan permintaan Menteri berkenaan kini yang mahu mendengar apa jua pendapat pemegang kepentingan pendidikan negara; dan akuilah bahawa ahli sains matematik adalah satu daripada kelompok tersebut.


Rujukan
al-Attas M.N.1978. Islam and Sekularism. ABIM. snt keduanya terbitan ISTAC 1993. Terjemahan di Indonesia sebagai Islam dan Sekularisme. Bandung: Pustaka 1981.

al-Faruqi I.R. 1982, Islamizatin of Knowledge: The Problem, Principles and the Workplan: A Follow-up Report on Seminar on 'Islamization of Knowledge'. National Hijra Centenary Committee of Pakistan. Juga diterbitkan oleh IIIT 1982. Diterjemah sebagai Islamisasi Ilmu di Indonesia 1986, dan PengIslaman Ilmu di Malaysia, DBP 1991

Alinor M.b.A.K. 2003,. “Pematematikan Simpulan dan Ikatan Melayu”, Kesturi 37-93

Aymonier E. & Cabaton.A.1906. Dictionnaire Cam-Francais. Paris: L’ecole Francaise D’extreme-Orient

D’Ambrosio U. 1977. Science and technology in Latin America during its discovery. Impact of Science on Society 27 :267-274)
--------------------. 2006. Ethnomthematics. Sense Publishers

Dantzig T. 2005. Number: The Language of Science. Dikemaskinikan oleh Mazur, terbitan Pi Press (terbitan asalnya 1930-an).

Fowler D.R. 1975. Whitehead’s Theory of Relativity. Process Studies 5(3): 159-174. Muncul juga di internet: http:// www. Religion-online.org/ showarticle. asp?title=2390 . Kelih 25 Jun 2005
Gillies D. (pnyut.). 1996. Revolutions in mathematics, Oxford : Clarendon Press

Heidegger M. 1928. (Terj. 1984) The metaphysical foundation of logic. Bloomington: Indiana University Press.

Hersh R. (Pnyut.). 2006. Lihat White (1947).

Iqbal A.M. 1934/2004. The Reconstruction of Religious Thought in Islam. Edited and annotated by M.Saeed Sheikh. N.Delhi: Adam Publishers & Distributors. There are many earlier editions and reprints. First published 1934 in London. First Indonesian Malay trans. was pub. in 1966 entitled “Pembangunan Kembali Alam Pikiran Islam” by P.T. Bulan Bintang, Jakarta (reprinted by Thinkers Library Malaysia 1987). A new Indonesian Malay trans. is “Rekonstruksi Pemikiran Agama dalam Islam”, Al-mizan 2002.

Kuhn T. 1962. The Structure of Scientific Revolution. Univ. of Chicago Press. Snt. Ke-2, 1970, snt ketiga 1996 berbeza hanya kerana ada indeks. Terjemahan di Malaysia, Struktur Revolusi Sains, DBP 1992.

Latif A.b.S. 1996. Falsafah Matematik. K.Lumpur: DBP

Lewis C.I.1918. A Survey of Symbolic Logic. Cetakan semula oleh Dover 1960.

Lim K.H. 2003. Budi as the Malay Mind : A Philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and Emotion in Peribahasa. Tesis Ph.D. Asia-Africa Insitute, Dept. of Austronesian Studies, Faculty of Oriental Studies, University of Hamburg.

Livingston E.1986. The Ethnomethodological Foundation of Mathematics. London: Routledge & Kegan Paul

Maheran bt. J. 2006. Model Matematik Pelaburan Musyarakah and Mutanaqisah. Tesis D.Fal. Jabatan Matematik, UKM. Tidak terbit

Mat Rofa b. I. Sorotan buku Wallace 1869, “The Malay Archipelego: The Land of Orang-Utan and the Bird of Paradise”, terbitan ulangan 2001. Jawhar 2: 1-21

Nasr S.H.1964. Introduction to the Islamic Cosmological Doctrine. Diterjemah di Malaysia sebagai Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, DBP 1992

Nute D. 1994. Defeasible logic. Dlm. Gabbay D. (Pnyut.). Handbook of Logic in Artificial Intelligence and Logic Programming. Vol.3: Nonmonotonic Reasoning and Uncertain Reasoning. Oxford University Press: 353-395.

Shaharir b.M.Z. 2009a. Apa ada pada pada bahasa Melayu? Syarahan Umum, anjuran Institut Bahasa dan Literasi, USM 12 April.
--------------------.2009b. Kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Sains dan Teknologi. di Wacana Ilmu Siri I: “Pemerkasaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu”, di KDH, ABIM pada 19 April 2009
-------------------. 2008a. Pembinaan Teori Baru Kepemimpinan dan Kepengurursan Rumpun Melayu. K.Terengganu: UMT
-------------------. 2008b. Ekonomi Pembangunan Lawan Ekonomi Kebahagiaan. Jawhar. Jurnal Kajian Ketamadunan Jun/Julai 2008, 5(1):1-45)
------------------. 2008c. Malangnya Nasib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Matematik: Bala yang Perlu Dikendala. Kolokuium Realiti Melayu anjuran Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) pada 21 Feb 2008)
-------------------. 2007a. Keperluan teori kebarangkalian baru yang lebih serasi dengan sistem nilai sendiri”. Prosiding Sem Keb Sn Matema ke-15 PERSAMA-UiTM 5-7 Jun 2007. Pusat Penerbit Universiti (UPENA), UiTM: 413-424
------------------. 2007b. A development in mathematical sciences in Malayonesian mould”, Proc. Internat. Conf. on Mathematical Sciences (ICMS), PERSAMA, Bangi. CP: 94-117)
--------------------. 2007c. Beberapa judul dalam fizik matematik: perspektif acuan sendiri. Bengkel Pemeribumian dan PengIslaman Sains & Kejuruteraan ASASI-UKM di UKM 9 Feb 2007.
----------------------.2006/2009. Bahasa Jiwa ilmu: kes teori kenisbian”, dalam Sari 2009, 27:149-171. Asalnya makalah yg dibentangkan di Sem. Matematik & Sn Komputer UMT 2006
--------------------. 2006,.Sains Matematik dan Pengurusan. Jurnal of Quality Measurement & Analysis/JSQA 1(1): 1-43
-----------------------.2005. Haiwan-Haiwan yang tercetus daripada peribahasa Melayu yang belum jelas segi sainsnya: Satu cabaran terhadap ahli biologi dan ahli leksikografi di Alam Melayu. Malaysian Jour. of Sc. & Technol. Studies 2005,3: 105-135.
---------------------. 2003a. Kaedah pemeribumian sains, teknologi dan perubatan. Makalah Khas Pusat Penerbit dan Teknologi Pendidikan UKM
---------------------. 2003b. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masehi dan peribahasa. Malaysian Jour. of Sc. And Technology Studies 2003, 1: 78-113
----------------------.2003c. Sains dan teknologi Melayu sebelum penjajahan Eropah. Melayu. Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 1(2): 157-204
----------------------. 2000/2002. Etnomatematik Melayu. Seminar Bersama UKM-UNRI 2002. Terbit dalam Sari 2002, 20: 97-112.
----------------------. Penerokaan Judul Asli dan pribumi dalam sains di Malaysia. Asasains 3 (Sept.-Dis.): 8-12
-------------------.1997/2005. Pembinaan sains Melayu. Dlm Mohamed Anwar Omar Din (Pyt.), Dinamika Bangsa Melayu. Menongkah Arus Globalisasi. Penerbit UKM 2005, 303-320. Asalnya makalah yg dibentang di Seminar Peradaban Melayu “Pembinaan sains Melayu-Islam” di Seminar Peradaban Melayu. Sem. Peradaban Melayu di UKM, 13 Mac, 1997, dan sebahagian isinya dimuatkan ke dalam Beri Harian …. Dng judul “.
-------------------.1995/1997.Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular references to Malaysia. Dalam Anuar AbRazak dan Abu Bakar Majeed (Pyt./ed.), Islam Science and Technology. Pasca-sidang 1995. IKIM, Kuala Lumpur: 47-76

White L. 1947 (Dicetak semula 2006). The Locus of Mathematical Reality: An Anthropological Footnote. Philosophy of Science 14:289-303, dicetak semual dalam Hersh R. (Pnyut.). 2006. 18 Unconventional Essays on the Nature of Mathematics. Springer: 304-19.

Whitehead A.N. 1928/1978. Process and Reality. New York : Free Press.
-------------------. 1958. Science and the Modern World. The New American Library
-------------------. 1922/2004. Principle of Relativity. CUP 1922. Diterbitkan semula oleh Dover Pub. 2004.

Friday, May 15, 2009

nasib bahasa Melayu

Malangnya Nasib Bahasa Melayu sebagai Bahasa Sains dan Matematik: Bala yang Perlu Dikendala

Shaharir b.M.Z.
Mantan Profesor Fizik Matematik UKM &
Mantan Profesor Matematik UMT



Malang yang menimpa sesuatu kaum memang nasib ketentuan Allah jua. Namun Allah menegaskan, kaum itulah yang menempahnya seperti (mengikut sebuah hadith) sering memilih “ketua” pada sesuatu tahap kerja atau pengurusan daripada kalangan orang yang tidak selayaknya. Pada abad ini kita menyaksikan banyak sekali nasib malang kaum Melayu yang seperti ini dan satu daripadanya ialah nasib malang bahasanya sendiri. Malang demi malangnya nasib Melayu abad ini menyebabkan sudah pun ada orang yang begitu kecewa sehingga menyatakan Hang Tuah (atau penulisnya) itu salah sama sekali kerana Melayu memang sedang menuju kepupusannya. Apa salahnya bangsa yang sejak abad ke-7 dikenali sebagai Moloyu atau Maliyul (oleh penulis Tiongkok ketika itu) atau sebelumnya sebagai Kunlun, Pnom atau Funan (yang setiap satunya bermakna gunung) itu? Kaum ini juga pernah dikenali dengan ejaan dalam bahasa-bahasa Eropah (selain Inggeris) dalam abad ke-13M sebagai Malayo, Malayu, Malayur, Malaiyur, Malaiur, Malaio, bahkan Malai; dan mengikut ejaan Jawi abad ke-19, dikatakan patut diRumikan sebagai Milayu. Kini pun Melayu dalam bahasa bekas penjajahnya ialah Malayo (Sepanyol), Malaio (Ferenggi/Portugis), Malaeis (Belanda), Malais (Perancis), saam-laa-yoo (Siam), dan malai (Vietnam).

Punca malangnya nasib bangsa inilah yang dibicarakan di sini dengan memaparkan 7 perkara yang diharap dapat sama-sama difahami, disedari dan diinsafi situasinya agar Hang Tuah masih benar juga akhirnya, jika beberapa tindakan sewajarnya dapat diambil bersama kelak.


1. Orang Melayu bukannya mudah lupa tetapi mudah ikut ketua

Nasib orang Melayu dalam segala hal khasnya dalam hal bahasanya banyak terletak pada sifat orang Melayu yang tidak berubah sejak zaman Tamadunnya yang terawal, Kerajaaan Funan (berpusat di Kemboja sekarang) dan Kerajaan Campa yang berpusat (di Vietnam sekarang) yang wujud mulai abad ke-2M dahulu, dan diwarisinya pada Zaman Sriwijaya dan Kesultanan Melaka, Kesultanan Petani, Johor-Riau dan lain-lain lagi di Alam Melayu ini hinggalah sekarang. Sifat yang dimaksudkan itu ialah bukannya “mudah lupa” yang dicanang oleh Dr. Mahathir Muhammad itu tetapi sifat mudah ikut ketua, iaitu suatu ciri feudalisme yang amat sedikit terhakisnya, walaupun agama orang Melayu sejak abad ke-14M, iaitu Islam melarangnya bersifat demikian. Beberapa contoh berikut cukup menjelaskan sifat Melayu itu:

B1) Batu bersurat Melayu Campa bertarikh sekitar abad ke-4 M (bahasa Melayu bertulis yang tertua) mencatatkan (6 baris) bagaimana hukuman penderhaka (bahasa asalnya, urang paribhu) kepada raja, orang itu akan hidup sengsara tujuh keturunannya (asalnya tjuh kulo ko) yang diibaratkannya sebagai berada di neraka selama seribu tahun (sarivu thun davam di naraka), sedang orang yang hormat setia kpd raja akan beroleh anugerah dari syurga (labuh nasi svarggah). [Malaysia Kita, INTAN 1993]
B2) Pada batu bersurat bertarikh abad ke-11M yang dijumpai di Kemboja tercatat adanya “aku janji” para pentadbir dan pembesarnya Melayu Funan yang diwajibkan bersumpah atas nama rajanya dan dihadapan api yang suci, Brahmana dan Archarya untuk berbakti kepada rajanya dengan apa cara sekalipun dan rela menerima apa jua hukuman ke atasnya dan keluarga dan keturunannya daripada rajanya jika “aku janji” itu ditafsirkan sudah tidak dipatuhi lagi.

…hidup kami semata-mata didedikasikan kepada perhambaan kepada raja walaupun membawa kami kepada kematian….kami akan cuba menjalankan titah perintah itu dengan penuh setianya hinggalah kepada perkara-perkara yang sekecil-kecilnya. Jika kami tidak mengotakan janji kami, maka bersedialah kami menerima apa jua hukum raja ke atas jasad kami… relalah kami dilahirkan semula dalam tiga puluh dua naraka selagi adanya Matahari dan Bulan ini.

Jika kami dengan setianya melaksanakan semua yang telah kami janji, maka moga-moga Yang Mahamulia mempertahankan landasan agama negara kami dan menyediakan makan-minum kepada keluarga kami --- dan moga-moga kami beroleh anugerah yang setimpalnya daripada kebaktian kami kepada tuan kami, bukan sahaja di alam maya ini tetapi juga di alam selepas ini.
[Petikan drp buku Shaharir b.M.Z. 2008. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. K.Terengganu: UMT]

Kisah yang menghayati nilai feudal ini dinukilkan dan digubah dalam banyak cerita dan mitos Melayu tentang bahana atau bala yang menimpa seseorang yang ingin menegakkan kebenaran tetapi terlanjur sehingga dianggap “menderhaka” kepada rajanya seperti yang berlaku pada Hang Jebat dengan Sultan Mahmud yang zalim; dan Laksamana Bentan (Laksamana Megat Seri Rama) dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang itu. Kedua-dua-duanya dipastikan mati dengan keadaan yang tidak patut dipuji walaupun perjuangannya suci! Tidak hairanlah orang Melayu tidak pernah lupa tetapi menerimanya sahaja siri “titah perintah rajanya” atau “kerenah rajanya” yang berhubung dengan bahasa Melayu yang kini berada dalam keadaan tragedi dan menyayatkan tetapi tetap tiada yang berani berdiri menyanggah bahkan yang ada hanya tunduk gundah sahaja:

1960: Pengisytiharan huruf Rumi sebagai aksara rasmi bahasa Melayu sehingga perlahan-lahanlah Melayu Jawi (yang kaya denga khazanah ilmu sejak abad ke-13M ) tersingkir dan terfosil. Orang Melayu akur kerana ketuanya berkata “demi memudahkan bangsa asing mempelajari bahasa Melayu, dan memudahkan orang Melayu mempelajari ilmu moden yang memang dalam Rumi”.

Walaupun demikian, bahasa Melayu Rumi berkembang pesat (mungkin jika Jawi dahulu dipertahankan kepesatannya sama juga dan bernilai tambah pula kerana sekaligus terus mewarisi ilmu yang sedia ada dan mengembangkannya lagi), khususnya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Rumi (berasaskan sumber Inggeris) melalui liku-liku kemajuannya yang menakjubkan antara 1960-1990-an sehingga ke peringkat Sarjana dan D.Fal sains dan teknologi (lebih tepat lagi sains, sains kesihatan, kejuruteraan dan teknologi, atau ringkasnya SAKTI). SAKTI dalam bahasa Melayu Malaysia mulai mengatasi SAKTI dalam bahasa Melayu Indonesia (yang bermula kira-kira 20 tahun lebih awal) sehingga ratusan pelajar Indonesia datang belajar di Malaysia di peringkat Sarjana dan D. Fal. dan ratusan juga pelajar dari negara Timur tengah dan Benua Hindia berbuat demikian. Dalam tahun 1990-an itu bahasa Melayu terbayang akan menjadi satu daripada bahasa SAKTI antarabangs mulai alaf ke-21. Malangnya, beberapa peristiwa berikut yang dicetuskan oleh pemimpin Melayu berkuasa membantutnya dan kini tinggal umbisi yang berada di bawah tanah yang tidak digemburkan lagi sehingga menunggu reput dan pupus sahaja jika tidak digali pada masa yang sesuainya untuk dijadikan bibit baru lagi!

1995: Kerajaan yang berketuakan Mahathir membenarkan universiti Awam (IPTA) menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam SAKTI. Dasar baru ini sudah membayangkan bahawa bahasa Melayu perlu digantikan dengan bahasa Inggeris kerana pada masa itu semua kursus SAKTI di IPTA menggunakan bahasa Melayu kecuali kursus-kursus yang dikendalikan oleh pensyarah asing (yang sentiasa ada dan diadakan demi pertukaran ilmu antarabangsa). Sejak 1995 itu, kecuali UKM, universiti awam yang lain telah mula menyisih dengan gahnya penggunaan bahasa Melayu dalam kursus-kursus SAKTI-nya.

1996: Akta IPTS yang memberi laluan mudah untuk mengadakan kolej dan universiti swasta dalam bahasa Inggeris dan disambut geger-riuh oleh orang Melayu (mendendangkan retorik ketuanya) sebagai satu lagi kemajuan besar dalam pendemokrasian pendidikan di Malaysia dan persediaan yang wajar bagi “menyahut globalisme”, dan mereka ini bak Pak Kadok tanpa kesedaran terhadap nasib bangsanya yang mula terlondeh meratanya.

2003: PPSMI dilaksanakan dengan penuh sokongan juak-juak ketua Melayu itu dan para pendekar sekutunya atas nama pemimpin Badan Bukan Kerajaan (BBK). Mereka ini membuka “langkah gelombang dua belas” dan dengan “tongkat enam sembilan” masing-masing mengikut rentak ketuanya yang melaungkan langkah itu “sebagai sebuah anjakan paradigma yang tepat bagi memperkasakan diri dalam persaingan arus globalisasi” tanpa kesedaran diri terhadap implikasi retorik itu sebenarnya lagi.

200X: Entah apa lagi dasar drp ketua Melayu yang akan dipatuhi lagi.

Benarlah, malang biasanya tidak berbau tetapi malang yang berbau sekalipun nampaknya orang Melayu tetap mahu menghidunya!


2. Malangnya pemimpin Melayu mendokong konsep pensejagatan yang salah
Konsep pensejagatan atau lebih dikenali dengan “globalisasi” tajaan para sarjana Barat alam tahun 1990-an itu sebenarnya berkembang di kalangan sarjana Barat sehingga menjadi dua aliran besarnya. Pertama yang didokongi oleh para pemimpin Helangan seperti Thatcher-Reagon dan Bush-Blair dengan gandingan falsafah liberalisme baru, yang menganggap kesuperioran kebudayaan bangsa Anglo-Saxon dan tidak memerlukan kebudayaan lain lagi bagi kelangsungan kemajuan dunia ini, malah wajar dihapuskan sahaja menerusi kekerasan yang disesuaikan dengan teori buatan sarjana upahannya, “Teori Pertelagahan Peradaban”, atau melalui kelembutan liberalisme baru seluruh dunia (dasar peniadaan peranan kerajaan dalam perjalanan sosioekonomi negara). Bagi golongan ini “dunia tanpa sempadan” akibat kemajuan TM (teknologi maklumat) itu ditakrifkan sebagai peniadaan sempadan kebudayaan dan pentakhtaan nilai Anglo-Saxon itu serata dunia dengan agresifnya sehingga sarjana golongan ini (setengahnya sarjana upahan, pengampu atau penyempat itu) mengeluarkan pelbagai teori “berakhirnya x” seperti “berakhirnya ideologi”, “berakhirnya negara-bangsa”, “berakhirnya sejarah”, “berakhirnya kebajikan”,… dsbnya. Inilah yang didokongi oleh para pemimpin Melayu (yang dipertuankan) sejak Mahathir hingga kini. Pemimpin Melayu tidak mahu mendokong pensejagatan kedua yang lebih menjanjikan kebahagian sejagat lagi sebagaimana yang terbukti dengan kegagalan dasar liberalisme baru tajaan para sejagatis/globalis jenis pertama itu di seluruh dunia sekarang. Konsep pensejagatan yang kedua bermaksud pengongsian dan simbiosis kebudayaan bangsa-bangsa bagi menjana idea baru bagi kelangsungan kemajuan manusia sejagat. Golongan ini akan menangis tidak berlagu lagi terhadap kematian sesebuah bahasa atau kebudayaan akibat amalan sejagatisme jenis pertama itu lebih daripada kematian sesuatu spesies biologi yang ditangisi oleh para pejuang alam sekitar itu. Mereka melihat setiap bahasa dan kebudayaan bangsa itu suatu aset dunia yang besar, selain daripada aset bangsa berkenaan itu sendiri kerana setiap bahasa ada menyimpan khazanah ilmu yang tersendiri yang belum tergali dan perlu digali, atau mampu menjadi mangkin penjanaan idea berilmu yang tersendiri. Isu bahasa dengan ilmu ini menjadi perkara besar dalam wacana perjuangan menegakkan sesuatu bahasa dan oleh itu dibicarakan berasingan lagi. Yang hendak dibangkitkan di sini ialah betapa bebalnya pemimpin kita yang memilih untuk mendokong sejagatisme atau globalisme jenis pertama itu sehingga sanggup memusnahkan kebudayaannya sendiri.

3. Malangnya pembuat dasar PPSMI hanya mengikut nafsu dan keras kepala sahaja
Tujuan PPSMI diwujudkan sering berubah terutamanya apabila terbuntu atau terperangkap dalam perbahasannya. Dalam ulasan terbarunya tentang PPSMI, arkitek dan juruteranya, Dr. Mahathir (dalam blognya bertarikh 5 Januari 2009) menyatakan tujuannya bukan untuk mempelajari dan meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris (Ini tentu mengejutkan juak-juaknya!). Tujuan PPSMI ditegaskannya sebagai untuk menguasai “bahasa sains dan matematik yang berlainan daripada bahasa Inggeris biasa”. (Dari mana pula dia dapat ajaran sesat beliau yang baru ini, Allah saja yang tahu). Namun dalam ulasan pertamanya tentang PPSMI (dalam blognya 23 Ogos 2008) beliau menegaskan penguasaan sains dan matematik hanya boleh dilakukan menerusi bahasa Inggeris biasa yang sering diucapkannya juga berupa bahasa asal sains dan matematik (satu lagi fakta yang salah dan impian yang menyasar). Jelas Dr. Mahathir bercelaru fikirannya di sini, bukan sekadar perkara-perkara yang ditegaskannya itu adalah kesilapan (yang telah dicatatkan di atas itu) tetapi pernyataan beliau itu penuh swa-percanggahan (percanggahan diri sendiri). Sangkalan penuh terhadap pandangan beliau yang pertama itu telah dilakukan oleh penulis ini pada Nov 2008 (yang diposkan kpd blognya dan disiarkan dalam blog komshaha, laman asasi atau kesturi, laman pts, laman perihatin dan beberapa yang lain lagi, atau taip sahaja di google “jawaban mahathir”) dan pembaca diundang melawatinya. Sementara itu, oleh sebab beliau tidak pernah mempersoalkan kemampuan pelajar dalam “bahasa Inggeris biasa” ke tahap untuk memahami sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sedangkan hakikatnya itulah yang menjadi isu besarnya (iaitu mengajar dalam bahasa yang pelajar tidak tahu atau tidak semahir bahasa ibundanya, kecuali segelintir pelajar daripada keluarga yang elitis yang menggunakan bahasa Inggeris lebih banyak daripada bahasa datuk-neneknya) maka juak-juaknya sentiasa menegaskan PPSMI itu bertujuan mengukuhkan atau meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar di samping mempelajari sains dan matematik dengan lebih mudah dalam bahasa asal kedua-dua ilmu itu. Apa pun kita boleh buat dua kesimpulan berikut:

PPSMI bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sains dan matematik; dan sekaligus meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa Inggeris.

Bolehkah tujuan ini tercapai? Adakah kementerian pendidikan/pelajaran telah membuat kajian terlebih dahulu tentang perkara ini? Tentunya tidak pernah kerana PPSMI dilaksanakan tanpa projek perintis sedikit pun, walaupun itulah yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu untuk mendapat petunjuk bagi sebarang perubahan kaedah pengajaran! Tidaklah juga diketahui bahawa pihak kementerian mengetahui hasil-hasil penyelidikan di luar negara tentang isu yang serupa ini yang menunjukkan tidak mungkin tercapainya hasrat itu sebagaimana yang dibuktikan oleh contoh-contoh kajian yang berikut:

P1) Penyelidikan yang dilakukan di Amerika Syarikat sejak tahun 1980-an di kalangan pelajar Hispanik (pelajar yang berbahasa ibundanya bahasa Sepanyol) dan peribuminya (Hindia Merah) yang selama ini belajar sains dan matematik dalam bahasa rasmi negaranya, bahasa Inggeris dan berprestasi amat buruk!. Timbullah projek LEP (Least English Proficiency) yang mempersaksikan dunia keperluan pengajaran sains dan matematik dalam dwibahasa (kepada suku-suku kaum ini).

P2) Penyelidikan yang dilakukan di Kanada sejak 1990-an di kalangan pelajar dari keluarga Perancis yang selama ini banyak yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Perancis tetapi oleh sebab bahasa rasmi kedua Kanada, bahasa Inggeris yang lebih dominan, maka ada kecenderungan pihak tertentu mahu melihat anak-anak Perancis ini belajar dalam bahasa Inggeris sahaja. Timbullah projek French/English Bilingual Program yang agak berbeza daripada projek LEP di AS itu.

P3) Penyelidikan di Hongkong pada tahun 2000 yang mahu melihat kemungkinan anak-anak berbahasa Tionghua diajar sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris sahaja dengan tujuan yang sama seperti yang dikehendaki Mahathir itu (Meningkatkan kefahaman sains dan matematik dan meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris). Hasilnya hasrat itu tidak tercapai.
P4) Penyelidikan di Eropah sejak 1990-an. Contohnya projek mengajar matematik dalam bahasa Arab di Sweden untuk pelajar-pelajar berbahasa ibundanya bahasa Arab, sedangkan bahasa sains dan matematik sekolah di negara itu ialah bahasa kebangsaannya, bahasa Sweden.

P5) Penyelidikan di Afrika khususnya di Nigeria dan di Afrika Selatan pada tahun 1980-an lagi yang menginsafi kepentingan bahasa ibunda dalam pengajaran sains dan matematik sedangkan bahasa rasmi negara ialah bahasa Inggeris. Penyelidikan ini mencetuskan pelaksanaan beberapa projek printis yang masih berterusan hingga kini tentang kemultibahasaan dalam pengajaran sains dan matematik dalam kelas-kelas yang berpelbagai kumpulan etnik yang wujud di kedua-dua negara itu (dan tentunya di negara-negara lain lagi di Afrika dan bukan Afrika sekali pun).

Pendeknya kajian-kajian ini menunjukkan tidak akan tercapainya matlamat PPSMI itu. Malah “kebenaran” kesimpulan daripada hasil penyelidikan di atas itu terhadap PPSMI itu telah dibuktikan pula menerusi penyelidikan sarjana-sarjana kita sendiri seperti kumpulan di UPSI yang diketuai oleh Prof. Ishak Haron (pakar pendidikan matematik), di UKM yang diketuai oleh Dr. Nurhashimah (pakar bahasa), kumpulan Dr. Juriah UKM (pakar pendidikan), dan Prof. Ratnawati & Prof Ismail (pakar pendidikan UIA), dan kumpulan penyelidik PEMBINA (yang melibatkan bebrapa buah univ. tempatan kita). Namun para pemimpin Melayu yang berkuasa itu tetap bungkam sahaja terhadap hasil-hasil penyelidikan yang berwibawa ini, malah mengeluarkan kononnya indeks-indeks kejayaan PPSMI menerusi analisis pihaknya terhadap hasil peperiksaaan UPSR yang menunjukkan kontra daripada hasil-hasil penyelidikan di atas seperti pelajar semakin bagus keputusannya, pelajar semakin berminat dengan sains dan matematik dsbnya itu. Apakah tahap kebolehpercayaannya retorik kementerian ini?

Peperiksaan awam yang menggunakan taburan untuk penentuan gred tidak mewakili prestasi sebenar pelajar. Hasil peperiksaan itu hanya menunjukkan prestasi relatif di kalangan pelajar itu sahaja. Peperiksaan yang soalannya sesuai dengan pelajar akan menghasilkan graf pencapaian relatif pelajar itu dalam bentuk loceng yang simetri sepenuhnya [Graf berapa orang pelajar yang memperoleh sesuatu markah atau selang markah]. Graf simetri inilah yang boleh menghasilkan keputusan yang cantik seperti 5% gagal dan 5% bergred A, 90% bergred antara C dengan B dan sebagainya.

Bagi peperiksaan yang soalannya tidak sesuai dengan kebanyakan pelajar seperti kes peperiksaan PPSMI ini (soalan tak mungkin sesuai dengan kebanyakan pelajar kerana pengajaran dalam bahasa Inggeris yang mereka tidak faham) besar kemungkinannya grafnya tidak simetri tetapi pencong ke arah ke bawah daripada 40 markah umpamanya, iaitu ramai pelajar yang mendapat markah antara 0-40 sahaja. Dalam hal seperti ini, penilai prestasi peperiksaan itu terpaksa menetapkan markah lulusnya yang sesuai supaya tidak ramai yang gagal. Inilah yang dikatakan PPSMI ini berkemungkinan besar dimanipulasikan markah lulus dan seterusnya gred-gered itu mengikut kehendak ketua pemeriksa atau lebih atas lagi sahaja.

Bagaimana dengan gembar-gembur pelajar semakin berminat dan semakin mendapat kefahaman yang lebih dalam PPSMI seperti yang pernah disiarkan dalam akhbar beberapa tahun yang lepas lagi dan ulasan pertama Dr. Mahathir terhadap perkara ini ialah kononnya keputusan itu tidak sepatutnya mengejutkan sesiapa pun kerana pengajaran dilakukan dalam bahasa asal sains dan matematik (bahasa Inggeris) akan lebih menarik dan memudahkan pelajar!

Ini memang politik semata-mata. Bukankah anak-anak orang Inggeris sendiri di UK, AS, Kanada, Australia dan New Zealand juga menghadapi masalah belajar sains dan matematik? Lagi pun, jika benar-benar jujur mahu membuktikan PPSMI lebih baik daripada PPSMM (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu) dahulu, kita perlu mewujudkan dua sistem ini serentak dengan segala kemudahan yang serupa dan kumpulan pelajar yang berkebolehan yang serupa. Hasil peperiksaan daripada dua sistem ini diambil dan dilakukan dalam beberapa tahun berturut-turut (inilah yang dikatakan projek printis itu). Lepas itu barulah pihak kementerian boleh bercakap dengan lebih wibawa lagi! Hal sebegini memang tidak pernah dibuat dan sudah tidak boleh dibuat dalam masa 6 tahun kebelakangan ini kerana “kawalan”-nya (istilah dalamkaedah statistik), PPSMM, sudah dimansuhkan sama sekali dengan megahnya pula. Yang boleh dilakukan ialah di sekolah-sekolah Tionghua kerana sepanjang 6 tahun kebelakangan ini kedua-dua sistem nampaknya masih berjalan, hasil perjuangan para pendidik dan ahli politik mereka yang tidak bebal serta sifat orang Tionghua yang kurang feudal (ketua tidak semestinya betul). Ini memang dilakukan, dan keputusan yang mereka peroleh memang menunjukkan PPSMI tidak sebaik PPSMT (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Tionghua) dan hanya sekitar 10% pelajar Tionghua yang menjawab dalam bahasa Inggeris dan keputusan pelajar yang menjawab dalam bahasa Inggeris tidak sebaik yang menjawab dalam bahasa Tionghua. Ini jelas menunjukkan orang Melayu memang Pak Kadok sahaja.

Malang Melayu kerana pemimpinnya tidak tahu atau tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada kejayaan PPSMBI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda) berbanding dengan PPSMA (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa asing) bukan sahaja dari sekolah Tionghua seluruh Malaysia itu bahkan juga dari segenap pelusuk dunia. Mereka sering melawat Eropah tetapi tidak pernah mengambil iktibar sistem pendidikan di sana dan sifat kesayangan setiap bangsa di Eropah itu terhadap bahasanya, walaupun bilangannya amat kecil berbanding dengan Melayu Malaysia apatah lagi Melayu Nusantara. Kesatuan Eropah (KE) kini berjumlah 26 anggota dan setiap anggotanya mahu bahasa mereka tidak diabaikan lalu terjadilah 23 tiga bahasa rasmi Kesatuan Eropah (ada puluhan jurubahasa semasa KE bersidang), walaupun bahasa persuratan KE ialah Inggeris, Jerman, Perancis dan Sepanyol atau Italia sahaja. Sesiapa sahaja yang berpengalaman melawat sesebuah negara di Eropah akan menyaksikan betapanya bahasa bukan bahasa rasminya, khususnya bahasa Inggeris, tidak digunakan dengan berleluasa seperti yang berlaku di negara kita. Baru-baru ini seorang rakan penulis menceritakan yang beliau terserempak dengan Menteri Pelajaran kita semasa penerbangan balik dari Eropah dan semasa bertegur sapa itu rakan penulis itu menceritakan kepadanya bagaimana rakyat Finland (negara yang baru dilawatinya kerana persidangan ilmunya, Statistik) begitu kental menghayati bahasanya sendiri sehingga sukar baginya untuk berinteraksi, maka reaksi pak menteri kita itu ialah “itulah yang kita tidak mahu berlaku di negara kita”. Tidakkah dia tahu dan sedar bahawa di Finland itu sekitar 60% rakyatnya celik bahasa Inggeris tetapi tidak mahu menggunakannya sewenangan di tempat yang tidak sepatutnya terutama di dalam negaranya sendiri? Tidak hendak belajar apa-apakah dia tentang dasar pendidikan negara itu yang menghasilkan rakyat sedemikian rupa?

Sehubungan dengan ini juga, para pemimpin kita juga tidak mahu mengambil iktibar dasar pengajaran dan pembelajaran sains Negara-Negara Maju yang kini mengikut penilaian PBB berjumlah 40 buah (27 buah di Eropah) termasuk yang terbarunya Hongkong, Israel, Korea Selatan, Malta, Singapura, Siprus, Slovenia, dan Taiwan. Hanya dua buah sahaja Negara Maju ini, iaitu Andorra (sebuah negara yang kecil bersempadan dengan Sepanyol dan Perancis) dan Singapura, yang pendidikan sains dan matematiknya bukan dalam bahasa ibunda rakyat terbanyaknya, masing-masingnya menggunakan Sepanyol dan Inggeris. Ini bermakna kita mahu meniru Singapura sahaja! Apa hebatnya Singapura segi sains dan matematik? Sains dan matematik Singapura tidaklah semaju di Negara Maju yang lain itu. Singapura sebenarnya lebih menjadi satelit Negara Maju sahaja: tempat pengurusan perniagaan yang menguntungkan. Ramai ahli sains dan matematik Singapura datangnya dari Malaysia, selain daripada negara-negara lain; dan yang lebih relevan dengan Melayu, ahli sains dan matematik Melayu Singapura tidaklah lebih hebat daripada yang di Malaysia. Sudahlah begitu, yang dahsyatnya, kini dianggarkan 40% daripada rakyat Singapura sudah hilang bahasa ibunda asalnya (terutamanya Tionghua, Tamil, dan Melayu) dan menghayati sebuah bahasa baru campuran Inggeris dengan bahasa-bahasa ibunda asalnya itu yang dikenali sebagai Singlish (bahasa Inggeris seperti dalam siri TV Singapura, Phua Choo Kang itu). Mereka ini dikatakan ramai yang rasa kecewa kerana tidak dapat menjadi betul-betul Inggeris. Bangsa yang berbahasa seperti ini memang tidak mungkin melahirkan pemikir (khususnya ahli sains, ahli matematik) besar yang lebih besar daripada pemikir daripada bangsa idamannya, Inggeris (lebih am lagi, Anglo-Saxon) dan tidak juga akan menerbitkan idea-idea berasaskan sumber kebudayaan tempatan yang berkemungkinan amat berbeza daripada pemikiran Anglo-Saxon itu (oleh itu berkemungkinan mengalahkannya) kerana mereka sudah tercabut daripada akar kebudayaan bangsa asalnya. Ini tabii sains dan matematik yang dibicarakan lagi kemudian ini. Yang ingin ditegaskan di sini, jika PPSMI diteruskan, maka Malaysia juga mampu menjadi kaya dengan per kapita yang tinggi sepertinya dan melahirkan manusia seperti 40% rakyat Singapura itu, iaitu yang boleh dinamai rakyat Malaysia yang berbahasa Malinglish pula. Ini agak munasabah berlakunya kerana dengan PPSMI itu sekurang-kurangnya 60% rakyat Malaysia akan melalui pendidikan aliran sains (satu daripada hasrat kerajaan) yang berada dalam kebudayaan Inggeris sepanjang persekolahannya kerana sekitar 65% subjeknya dalam bahasa Inggeris; dan 40% daripada rakyat Malaysia (satu lagi hasrat kerajaan juga) akan berada di pusat-pusat pengajian tinggi yang 90% berada dalam kehidupan berilmu menerusi kebudayaan Inggeris kerana sebanyak itu subjek sains dan matematik di peringkat tersebut. Ini pun boleh dianggap ramalan positifnya yang jauh kemungkinan berlakunya kerana Singapura itu contoh terpencil Negara Maju yang tidak mungkin berlaku pada negara lain. Hukum pembangunan sains dan matematik yang menjanjikan kejayaan ialah yang berlaku pada 38 buah Negara Maju itu. Bebalnya jika kita menganggap “Malaysia boleh!” lain daripada Negara-Negara Maju itu dan mahu juga cara Singapura! Ramalan yang lebih besar kebarangkaliannya berlaku lagi, ialah seperti yang berlaku di India dan Filipina (Contoh terdekat), iaitu kerana dasar pendidikan sains dan matematik dalam bahasa asing bangsanya, maka hanya sekitar 20% sahaja rakyatnya yang mampu menggapai ilmu itu di sekolah. Impian mahu melahirkan bangsa yang mampu bersaing peringkat sejagat yang selalu dilaung-laungkan oleh para pengasas dan penyokong PPSMI itu akan tinggal “sedap cakap” sahaja: riuh-rendah, kampung tergadai!

Satu lagi malangnya nasib Melayu dengan bahasanya ialah kerana pemimpinnya tidak mahu mengambil iktibarnya ialah hasil peperiksaan penilaian sains dan matematik yang terkenal tanpa penggunaan taburan normal (oleh itu tanpa kemungkinan manipulasinya). Peperiksaan yang dimaksudkan itu ialah Olimpiad Antarabangsa dalam setiap subjek sains (biologi, fizik, kimia, teknologi maklumat) dan matematik (setiap tahun) dan TIMSS= Trends in International Mathematics and Science Study (katurtahunan/caturtahunan). Berkenaan TIMSS, yang terbaru diadakan tahun 2007 yang prestasi Malaysia begitu merosot sehingga kementerian pelajaran kita tidak mahu mendedahkannya kpd masyarakat…. tetapi didedahkan oleh Lim Kit Siang dlm blognya baru-baru ini. Yang patut pemimpin Melayu ambil iktibarnya daripada siri peperiksaan ini ialah betapanya negara-negara yang mengajar sains dan matematik dalam bahasa ibundanya sahaja (menjawab soalan peperiksaan/penilaian ini dalam bahasa ibunda masing-masing) yang menjanjikan kejayaan yang besar, kerana negara-negara inilah yang sentiasa berada di kedudukan 10 atas setiap tahun/kali penilaiannya. Sekali sekala memang ada pengecualiannya yang dikejutkankan oleh Singapura dan India tetapi lagi sekali, bebal-lah kita mengikut hukum pengecualian sahaja dengan semata-mata berpegang kepada “Malaysia Boleh!”. Bukannya negara yang jauh-jauh yang patut dicontohi kerana Vietnam dan Thailand umpamanya sering mengatasi prestasi Singapura dan India ini, sedangkan kedua-dua negara ini amat kental dengan dasar pendidikan dalam bahasa kebangsaannya masing-masing, sementara Filipina yang terkenal lamanya mengabaikan bahasanya sendiri itu sentiasa tercorot.

Jika kita melihat bangsa-bangsa yang menyumbang sains dan matematik pula sehingga bangsa ini beroleh Hadiah Nobel dan anugerah keilmuwan besar yang lain lagi, maka lebih jelas lagi betapanya bangsa yang mendokong dan menghayati bahasa sendiri itulah yang lebih berdaya karya dan oleh itu banyak berjayanya menggondol hadiah-hadiah besar itu. Bahkan bangsa bukan Anglo-Saxon (terutamanya Jerman, Perancis dan Rusia) lebih ramai berjayanya sehingga sudah ada pakar daya pengaryaan seperti de Bono meembuat hipotesis bahawa bahasa bukannya bahasa yang berdaya banyak mencetuskan idea baru. Yang terbarunya pemenang Hadiah Nobel Fizik 2008 terdiri daripada 3 orang ahli fizik Jepun (dua daripadanya rakyat Jepun dan mengajar fizik dalam bahasa Jepun). Anehnya, ada orang yang sombong-bebal di Malaysia yang menulis di akhbar mengatakan “sayangnya ahli fizik Jepun itu tidak fasih berbahasa Inggeris!” sedangkan sepatutnya mereka ini memberi kekuatan kepada kita untuk memansukhkan PPSMI itu. Sikap ini seakan-akan sama dengan pendirian Dr. Mahathir sendiri, arkitek PPSMI itu, yang pernah menyuarakan yang dia tidak mahu Malaysia maju seperti Jepun yang tak tahu Inggeris! Sebenarnya ahli sains dan ahli matematik Jepun bukannya tidak celik bahasa Inggeris kerana mereka boleh memahami karya-karya dalam bahasa Inggeris dan boleh juga menulis karyanya dalam bahasa tersebut, cuma mereka tidak petah bercakap dan sepertilah dengan bangsa-bangsa di Eropah, sarjana Jepun itu tidak mahu bergaya dengan bahasa Inggeris terutama di dalam negaranya.


4. Malangnya orang Melayu tidak sedar warisan sains dan matematik daripada tamadunnya sendiri.

Orang Melayu, sebahagiannya menerusi dasar pendidikan negara yang pincang, tidak mengetahui kewujudan tamadunnya yang kaya dengan sains dan matematik yang pernah mendahulu Inggeris sejak abad ke-2M hingga ke-15M. Kurikulum sekolah dan pemimpin Melayu yang berpengaruh sering menegaskan bahawa orang Melayu telah wujud dan menjadi “tuan” di Malaysia ini sejak abad ke-14M (Kesultanan Melaka) atau paling jauhnya (tetapi amat kurang ditekankan kerana pusatnya bukan di Malaysia dan bukan Islam) ialah sejak abad ke-7M (zaman Sriwijaya). Namun tiadalah ditonjolkan pencapaian sains dan matematik bagi tamadun Melayu ini sehingga sains dan matematik dianggap hanya warisan Inggeris sahaja. Malah bapa pengkhinat moden bahasa Melayu, Dr. Mahathir, berulang kali menegaskan bahasa Inggeris adalah bahasa asal sains dan matematik….dan disambungnya lagi “oleh itu wajar dan lebih mudahlah ilmu-ilmu ini diajar dalam bahasa asalnya”. Sejarawan Tiongkok, dan Orientalis sudah lama mengiktiraf kehebatan tamadun Melayu dalam seni bina (menerusi candi-candi dan kuil-kuil) seperti Borobudur, di Jawa Tengah, yang dibina pada abad ke-8M, Candi-Candi Mison di Vietnam yang dibina pada zaman kerajaan Melayu Campa abad ke-5M lagi (semua ini diakui dunia sebagai teknologi atau bayangan pencapaian sains dan matematik Melayu yang menakjubkan). Satu lagi kehebatan teknologi Melayu yang diiktiraf dunia ialah teknologi perkapalan dan pelayaran (yang dipercayai dipupuskan oleh Feringgi/Portugis dengan mengambil para ahli teknologi perkapalan di Alam Melayu ini ke negaranya dan membina teknologi perkapalan mereka pula. Selain daripada itu yang lebih baru disedari dalam abad ini ialah betapanya sistem angka dan nombor seperti sekarang ini (cuma simbolnya sahaja yang berbeza) sudah ada dalam tamadun Melayu sejak abad ke-6M lagi (mendahului semua tamadun di dunia). Ini terbukti apabila ahli bahasa mendapati perkataan kosong hingga sepuluh itu hampir semuanya (pengecualiannya perkataan “satu” dan “dua” sahaja) adalah asli Melayu, sedangkan zero, one , two hingga ten (bahasa Inggeris) itu semuanya pinjaman daripada Arab, Yunani, Sanskrit atau Latin. Bahasa Melayu pada zaman dahulu (abad ke-2M hingga abad ke-12M) yang dirujuk oleh Tiongkok sebagai bahasa Kunlun (dipercayai dari istilah Pnom/Gunung) dan oleh Yunani (di Eropah) sebagai Kolan/Coelan; tetapi oleh Orientalis (dan diikuti oleh sarjana kita) sebagai bahasa Melayu Kuno/Kuna/Purba (yang tulisannya beraksara huruf Palawi). Bahasa Kunlun ini sudah menjadi bahasa ilmu sejak abad ke-5M sehingga ribuan buku/manuskrip dalam bahasa tersebut disalin, diterjemah atau dibawa seasalnya ke negara Tiongkok, Jepun dan ke Hindia, malah sesetengah karya terjemahan ini ada tersimpan di negara-negara tersebut yang masih belum dikaji oleh sarjana kita kerana pengabaian terhadap warisan ilmu kita selama ini. [Sepatutnnya bahasa Kunlun itu wajarlah dinamai bahasa Melayu pra-klasik kerana semua bersetuju bahasa Melayu abad ke-14 hingga abad ke-19M sebagai bahasa Melayu klasik yang tulisannya beraksara Arab, huruf Jawi. Ilmu sains pengurusan (menjadi satu bidang sains dan metematik besar sekarang) juga telah wujud dalam tamadun Melayu pra-Islam lagi apabila Orientalis Perancis mendedahkan adanya sebuah batu bersurat di Vietnam bertarikh abad ke-11M (zaman kerajaan Melayu Campa) yang menyatakan 32 sifat “pemimpin dunia” (istilah asalnya dalam bahasa Melayu pra-klasik: “cakravantin”) yang sebahagian besar masih relevan dengan teori sekarang; dan yang lebih penting lagi ilmu Melayu ini jauh lebih awal daripada unsur-unsur ilmu ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris (terawalnya dalam abad ke-17M) bahkan dengan tamadun Eropah seluruhnya yang bermula dengan karya Machiavelle abad ke-16M.

Pencapaian sains dan matematik Melayu Zaman Islamnya (mulai abad ke-13M) tidak juga kurang tinggi tahapnya berbanding dengan pencapaian di Eropah. Mengikut catatan bangsa-bangsa Eropah sendiri juga, kekalahan kerajaan Melayu Campa kepada Vietnam 1471, Melaka kepada Feringgi/Portugis 1511, dan Petani (kini di-Thai-kan menjadi Pattani) kepada Siam 1785 bukannya kekalahan dalam teknologi peperangan tetapi kerana perpecahan dan pengkhianatan sesama sendiri. Sarjana Melayu-Islam juga nampaknya mampu berkarya dalam psikologi dengan mengembangkan karya sarjana Tamadun Islam tentang tahap-tahap kemahuan manusia yang mendahulu teori Barat, dan jika diolah lagi ilmu ini mampu menyaingi teori Barat kini sekalipun. Yang lainnya lagi mengutarakan teori kosmologi-kosmogeni yang agak komprehensif yang terkenal dengan nama “Martabat Tujuh” yang yang antara lainnya menegaskan mula asal alam semesta ini dari kosong sekosong-kosong dan tidak mengalami evolusi, walaupun mekanismenya masih belum diformulasikan dengan kemasnya dan oleh itu menunggu sarjana kini melakukannya. Teori ini pun berpotensi menyaingi teori kejadian alam semesta Barat kini yang bersifat evolusi dan masih bertikai tentang permulaannya daripada ada atau daripada tiada benda, walaupun persetujuan tiadanya atau tidak pentingnya pencipta alam ini sudah dipersetujuinya. Banyak lagi contoh unsur-unsur sains dan matematik Melayu (dalam bahasa Melayu) yang mendahulu bahasa-bahasa Eropah yang boleh dipaparkan. Siapakah yang akan berminat dengan ilmu-ilmu warisan bangsa ini kelak jika pendidikan ilmu-ilmu ini dilakukan dalam bahasa Inggeris? Bukankah dasar PPSMI ialah sebuah dasar yang pastinya akan mengabaikan atau menidakpedulikan ilmu-ilmu warisan bangsa sendiri ini dan seterusnya menghapus sebuah tamadun yang terbukti besar ini? Alangkah bebal dan khianatnya pembuat dasar PPSMI!


5. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak tahu pencapaian ilmu sains dan matematik dalam bahasa lain khususnya dalam bahasanya sendiri

Bahasa sains dan matematik kini bukan sahaja bahasa Inggeris sahaja, walaupun benarlah yang dominannya memang bahasa Inggeris kerana kekuatan tentera dan ekonomi. Berasaskan penulisan sains dan matematik dalam jurnal (majalah yang memuatkan perkara-perkara baru dalam sesuatu bidang ilmu) bahasa-bahasa sains dan matematik sekarang selain daripada Inggeris ialah Perancis, Jerman, Sepanyol, Italia, Feringgi/Portugis, Rusia, Jepun, Tionghua (bahasa Tiongkok/Sin/China/Cathay), malah yang amat kurang diketahui di dunia sebelah sini, bahasa Ceska/Czech dan Finland. Jumlah jurnal dalam sekurang-kurangn dwibahasa (yang disenaraikan oleh penilai Barat, Scopus) ialah sekitar 10% yang diakui kecil tetapi tidak semestinya dampaknya juga kecil. Jurnal keluaran Amerika Syarikat sendiri pun ada yang berupa jurnal dwibahasa (Inggeris dan Sepanyol) dan tribahasa (Inggeris, Perancis, dan Jerman) dan jurnal-jurnal ini memang berada di senarai atas. Jurnal terbitan Malaysia dalam dwibahasa (Melayu dan Inggeris) juga sudah mula diiktiraf dunia dan sekaligus karya sains dan matematik dalam bahasa Melayu ternyata sudah dirujuk oleh sarjana-sarjana pelbagai bangsa di dunia. Sekaligus juga menyangkal tidak benarnya tulisan sains dan matematik dalam bahasa Melayu tidak bermutu atau tidak tersebar luas dan ahli sains Malayasia tidak dikenali dunia semata-mata kerana berkarya dalam bahasa Melayu. Sarjana Melayu sebenarnya, sepertilah dengan sarjana-sarjana bangsa yang maju (dan bukan daripada kaum Anglo-Saxon) itu, berkarya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (bahasa sendiri) dengan karya dalam bahasa Inggeris itu tidak semestinya lebih bermutu atau lebih banyak dirujuki orang brbanding dengan yang dalam bahasa Melayu (bahasa sendiri). Malah mengikut MyAis (Malaysian Abstract in Science), makalah terbitan dalam negara yang paling banyak dirujuk/dibaca ialah makalah dalam bahasa Melayu. Namun benarlah juga karya sains dan matematik dalam bahasa Melayu Malaysia atau Indonesia (Brunei atau Singapura) masih tidak sebanyak dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas, sehingga belumlah lagi dapat dilihat merata, sebahagiannya kerana ahli sains dan matematik kita sebenarnya belum biak berkarya dalam bahasa apa pun! Ini ialah kerana tradisi berkarya dalam bidang ini baru bermula sekitar 30 tahun (bermula dengan penubuhan UKM 1970) atau 50 tahun bermula dengan penubuhan universitas di Indonesia dalam tahun 1950-an, sedangkan bangsa-bangsa berbahasa yang lain yang tersebut di atas sudah lebih daripada ratusan tahun. Persoalannya, kenapalah jahatnya pemimpin Melayu yang berkuasa selama ini tiba-tiba (dalam tahun 2002) hendak mematikan perkembangan sains dan matematik dalam bahasa Melayu yang sudah pun menunjukkan kejayaannya berada di serambi pura kencana ilmu ini di serata dunia? Hanya pengkhianat bangsa sahaja yang sanggup menyekat perkembangan ini seperti menerusi PPSMI itu?


6. Malangnya Pemimpin Melayu yang berkuasa tidak kenal intan-permata bahasanya sendiri

Tujuan kita mengajar dan memberi sumbangan sendiri kepada sains dan matematik, antara lainnya, ialah supaya bangsa kita boleh memahami kejadian dan fenomenon alam tabii ini dan bersyukur serta memungkinkan kita mentadbir, mengurus alam dan makhluknya dengan penuh keadilannya atau tanpa kezalimannya. Ini kefahaman ahli sains Melayu-Islam tentang sains dan matematik yang jika ditukar kepada atau diungkapkan semula ke dalam bahasa Inggeris akan berubahlah terus atau beransur-ansur berubah mengikut semantik bahasa Inggeris itu pula. Perhatikan bagaimana perkataan-perkataan biasa yang penting (telah menjadi istilah dalam sains dan matematik) dalam ungkapan di atas, yang condong dan ditebalkan itu, cukup berbeza maknanya dengan perkataan-perkataan yang biasa dipadankan dalam bahasa Inggeris sebagai teaching, science, mathematics, understanding the natural events and fenomena, gratitude, possible, administer, manage, world, nature, creature/being, justice, cruelty . Ini sifat yang ada pada setiap bahasa, iaitu “zahirnya sama tetapi batinnya berbeza” yang cukup dalam implikasinya kepada pemahaman (oleh itu pengajaran dan pembelajaran) dan pembinaan (menerusi penyelidikan) ilmu khususnya sains dan matematik.

Setiap bahasa ada keistimewaannya dalam mencorak ilmu, malangnya pemimpin Melayu yang berkuasa itu bebal kerana mengiktiraf hanya bahasa Inggeris sahaja yang boleh, mampu dan patut mencorakkan ilmu. Mereka mungkin bersetuju saya tidak sama dengan I, awak tidak sama dengan you dan akur menghayati perbezaan itu, tetapi mereka tidak sedar dan insaf akan perbezaan perkataan-perkataan yang lebih tinggi yang disenaraikan di atas yang sarat dengan ilmu (sains dan matematik) itu. Senarai itu boleh ditambah lagi dengan yang lebih sarat nilai lagi seperti harus tidak sama dengan permissible (atau must atau should), haram tidak sama dengan forbidden, atau not permissible/permitted, wujud tidak sama dengan exist, Tuhan tidak sama dengan God… tidaklah sut senarai begini. Bertentangan dengan pandangan sesetengah pihak yang kurang arif dengan tabii sains dan matematik, seperti yang tergambar dalam pendapat Dr.Mahathir dalam blognya (5/01/09) kononnya istilah sains Inggeris itu berbeza daripada perkataan biasa Inggeris, kebanyakan istilah dalam kedua-dua ilmu ini memang berasal daripada perkatan biasa ini (selain daripada yang sengaja diambil daripada Arab, Latin dan Yunani). Pendeknya, kebanyakan perkataan Melayu (yang sarat nilai Melayu asli/pra-Islam dan Islam) berbeza maknanya dengan perkataan yang peringkat biasa-biasanya dianggap sama maknanya dengan padananya yang sesuai dengan perkatan Inggeris (yang sarat dengan nilai apeduli agama, sekular, bahkan mulhid/ateis terutamanya istilah-istilah sains kerana sekurang-kurangnya 90% ahli sains fizik teori Berbahasa Inggeris umpamanya adalah ateis). Perbezaan bahasa yang halus (peringkat tinggi inilah) yang menjadikan istimewanya sesuatu bahasa (khususnya bahasa Melayu) dalam pemahaman ilmu yang diimport (kebanyakan ilmu sains dan matematik sekarang) dan yang lebih penting lagi, pengaryaan ilmu tersebut (yang sedang dilakukan oleh ahli-ahli sains dan matematik Melayu-Islam yang beroleh pendidikan dalam kebudayaan Melayu-Islam atau yang sedar dan insaf akan kebudayaan Melayu-Islam sejak sistem pendidikan sains dan matematik berada dalam acuan berbahasa Melayu dalam tempoh 1959-2003. Bolehkah keadaan sebegini dilestarikan menerusi pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan harapan orang Melayu (khususnya sarjana sains dan matematik Melayu kelak) menjiwai nilai-nilai Melayu-Islam ini? Agak mustahil! Walaupun akan ada individu-individu yang terkecuali (terkeluar daripada norma) yang berlaku sebaliknya.

Jika Singapura boleh menjadi contoh terdekat, berkenaan dasar pendidikan dalam bahasa Inggeris ini; jika “berjaya” seperti Singapura (mungkin inilah yang diimpikan demikian oleh penaja dan pengikut PPSMI itu), akan ada sekitar 40% rakyat Malaysia yang bahasa ibundanya tidak lagi bahasa Melayu, Tamil atau Tionghua dan sebagainya tetapi bahasa Malinglish (sungguh sesuai pula sebab maling dalam bahasa Jawa bermakna “pencuri”) yang sepadan dengan Singlish di singapura yang telah dibicarakan sebelum ini. Bagi orang-orang ini mereka tidak tahu lagi semua perkataan yang disenaraikan di atas di atas tadi, bagi yang lain lagi, 60% lagi itu, sebahagian besarnya perkataan-perkataan Melayu yang sarat nilai Islam akan terhakis kerana diboboti oleh nilai-nilai yang tersirat dalam simantik setiap perkataan daripada bahasa Inggeris itu. Kedua-dua kelompok bangsa Malaysia baru ini entah apa identitinya dan pandangan hidupnya nanti tidaklah diketahui. Yang jelasnya, bagi yang berketurunan Melayu itu bukan lagi Melayu sekarang dan bukan juga Inggeris! Segi sains dan matematik, tiadalah lagi orang yang “berilmu” itu yang mahu membina ilmu itu dalam acuan Melayu-Islam sekarang dan tidak juga akan mampu menyaingi Inggeris, sebuah bahasa dan kebudayaan yang dianggapnya mengatasi segala bahasa dan kebudayaan lain. Dr. Mahathir sering memberi contoh dirinya sendiri tentang tiadanya hubungan apa-apa antara bahasa dengan sahsiah, perangai, pandangan hidup seseorang (diulangai dalam blognya yang terbaru bertarikh 05/01/09). Pandangan beliau itu amat bertentangan dengan segala kajian ahli bahasa, psikologi, falsafah, dan ahli sosiologi ilmu pengetahuan seluruh dunia yang dihuraikan mengikut acuan bahasa Melayu di atas. Namun yang lebih menjengkelkan lagi ialah kecetekan (atau kesengajaannya menyesatkan pembacanya) Dr. Mahathir memahami hukum sains tentang pembangunan sahsiah menerusi pendidikan, iaitu pada amnya bahasa berperanan mencorak pengajaran, pembelajaran, pembentukan peribadi dan pembinaan ilmu. Contoh pengecualian daripada berlakunya sesuatu hukum sains lebih-lebih lagi dengan contoh diri sendiri cukup rendah taraf sainsnya. Hukum fizik sekalipun, umpamanya yang mengatakan “daya sama dengan jisim kali pecutan” ada pengecualiannya; iaitu ada ketikanya mungkin sekali apabila Dr. Mahathir melakukan ujikajinya, hukum itu tidak berlaku. Namun hasil itu tidak sekali-kali memansukhkan hukum itu kerana kekerapan menyimpangnya daripada hukum itu tidak cukup tinggi. Hukum sains semuanya tertakluk kepada hukum statistik atau yang disebut sebagai “hukum yang tidak maksum”. Berhubung dengan hal ini, lebih menjengkelkan lagi, apabila Dr. Mahathir sering bertanyakan masyarakat Melayu “siapakah orang yang mengatakan dia tidak Melayu?” apabila orang membangkit soal hubungan bahasa dengan identiti bangsa dalam wacana PPSMI. Jawabannya jelas, KeMelayuannya, jika pun ada, pada amnya amat berbeza daripada ke-Melayuan kebanyakan orang Melayu lain yang tidak mendapat pendidikan yang serupa dengannya. Itu dia hasil daripada pendidikan Inggerisnya sejak bangku sekolah hingga kini (menerusi pembacaan sumber-sumber pilihannya yang tentu berbeza daripada pilihan sumber orang lain) sehingga menjadikannya cukup berbeza keMelayuannya dengan keMelayuan orang lain itu. Apa pun keMelayuan Dr. Mahathir itu tidak harus menjadi norma identity Melayu kini dan selamanya.


7. Malangnya pemimpin Melayu berkuasa tidak kenal makna sains dan matematik?

Istilah “sains dan matematik” hampir mengelirukan tabii sebenar sains dan matematik kerana sains dan matematik itu dua perkara yang terpisah, sedangkan sains itu kumpulan ilmu pengetahuan daripada akal manusia sejak zaman Nabi Adam dahulu yang berkembang hingga kini dan kumpulan ilmu itu yang dianggap tertingginya, terutama sejak abad ke-20 Masehi ini, ialah matematik (yang lainnya yang terkenalnya ialah biologi, fizik da kimia). Jadi matematik jelaslah sebuah sains juga! Namun, kerana Kementerian Pendidikan/Pelajaran kita telah lama memisahkan pentadbiran dua mata pelajaran sekolah (Sains dan Matematik) ini, maka sukarlah diperbaiki lagi. Oleh itu dalam makalah ini pun istilah “sains dan matematik” tetap dipakai. Perkataan “sains” dalam bahasa Melayu (Malaysia dan Indonesia) adalah baru diterima sebagai satu perbendaharaan kata bahasa Melayu. Dahulunya orang-orang rumpun Melayu di Alam Melayu ini (sebelum ada Indonesia dan Malaysia) menggunakan huruf Jawi dalam tulisannya mengunakan istilah “ilmu pengetahuan” bagi istilah science dalam bahasa Inggeris, atau wetenshap dalam bahasa Belanda. Semasa Feringgi/Portugis dan Sepanyol menjajah di Alam Melayu mereka mungkin juga memperkenalkan istilah yang setara dengan science atau wetenshap itu, iaitu ciencia. Kalau Belanda menterjemah ciencia kepada wetenshap, tetapi Melayu menterjemah ciencia, science dan wetenshap itu sebagai “ilmu pengetahuan” bagi membezakannya dengan ilmu daripada ajaran Islam (‘ilm dalam bahasa Arab itu). “Ilmu” Melayu-Islam mestilah ada hubungan dengan agama dan Tuhan; manakala “ilmu pengetahuan” tidak semestinya demikian kerana kemungkinannya pembina/pembawa “ilmu pengetahuan” itu hanya menggunakan akal sepenuhnya sahaja. Akhirnya dengan pengaruh Inggeris yang kuat (yang termanifestasi daripada bahasa Melayu menjadi Rumi sepenuhnya) pada tahun 1960-an perkataan science diterima menjadi perkataan Melayu dengan ejaan “sains”. Indonesia lama berdegil tidak mahu istilah “sains” dan mengekalkan istilah “ilmu pengetahuan” hingga tahun 1970a-an. Semua istilah sains dalam bahasa-bahasa Eropah, khususnya Ingggeris, Feringgi dan Sepanyol itu diambil daripada bahasa Latin, scientia. Bahasa Inggeris menerima perkataan scientia sebagai perbendaharaan katanya dengan perubahan ejaannya sehingga menjadi science itu bermula pada abad ke-14M sahaja yang bermaksud “pengetahuan yang diperoleh menerusi kajian” (Kamus etimologi di Internet) yang tentunya amat luas maknanya termasuk bidang sastera sekalipun. Makna science yang tidak termasuk bidang sastera seperti sekarang ini bermula pada abad ke-17M sahaja, dan sejak itulah scientia itu dianggap “modern science” oleh Inggeris kerana penyisihan sastera bermakna penyisihan unsur-unsur agama di dalamnya. Ini puncanya “sains moden” itu dianggap “sains sekular” terutamanya jika kita setia dengan makna asalnya dalam bahasa Inggeris itu. Dengan sejarah evolusi science ini, maka jika “berjayanya” PPSMI maka tiadalah lagi versi makna sains dalam kebudayaan Melayu-Islam itu, dan yang dihayatinya hanyalah makna sains atau science mengikut acuan Inggeris itu sahaja; dan itupun tidak sepenuhnya kecuali orang-orang Melayu meninggalkan agamanya sekarang sepenuhnya seperti yang berlaku pada kebanyakan ahli sains dan matematik Inggeris meninggalkan agamanya, Kristian, sepenuhnya. Senario ini tentulah menggerunkan sekali!

Berkenaan dengan “matematik” pula, istilah ini pun baru diterima sejak 1970-an bersama-sama dengan “matematika” di Indonesia. Sebelum itu bidang ini lebih dikenali atas nama satu daripada kaedahnya atau kegiatannya, iaitu hisab (ilmu hisab), hitung (ilmu hitung), atau keinginan sifatnya yang ketara, pasti (ilmu pasti). Di peringkat tingginya, ilmu ini dikenali atas nama pemikirannya, al-Riyadhiyaht (al-‘Ulum al-Riyadhiyaht) yang bermaksud latihan otak (ilmu latihan pemikiran). Nama ilmu hisab, ilmu hitung atau ilmu pasti itu pun sudah nampak kaitannya dengan sains kerana yang dihisab atau yang cuba dipastikan itu ialah perkara-perkara sains seperti pemastian keadilan dalam pembahagian harta pusaka, pengagihan kekayaan kepada masyarakat menerusi zakat dan penentuan beribadat (sembahyang, puasa, qiblaht, dsbnya) dan penjadualan kehidupan (taqwim) menerusi ilmu falak. Perhatikan bagaimana sarat nilainya ilmu hisab itu kerana makna pemastian keadilan, pengagihan kekayaan, penentuan beribadat, dan penjadualan kehidupan itu amat berbeza daripada satu bangsa dan bahasa kepada yang lain. Ungkapan-ungkapan ini akan berubah simantiknya apabila diungkap di dalam bahasa Inggeris umpamanya. Keadaan ini lebih ketara lagi jika berdasarkan nama pemikiran al-Riyadhiyaht itu kerana pemikiran dan bahasa itu cukup intim sifatnya yang sebahagiannya sudah dibicarakan sebelum ini. Penukaran istilah ini kepada matematik atau matematika (menerusi Inggeris, mathematics dan Belanda dan Latin, mathematica) yang berasal daripada Yunani, mathematikos, ialah atas keperluan merangkumi semua kegiatan sarjana dalam bidang ini, iaitu kegiatan memahami, menerangkan/menjelaskan, mentelaah, mengkaji, mempelajari, menangani, dan mengurus persekitaran tabii, sosial dan politik. Dengan kegiatan matematik yang sebegini, tidaklah perlu rasanya dijelaskan dengan panjang lebar lagi di sini bagaimana rapatnya matematik dengan kebudayaan sesuatu bangsa. Seseorang yang mengabaikan kebudayaan sendiri (seperti bahasa yang menjadi komponen utamanya) bermakna dia cuba memahami atau memberi faham, menerangkan/menjelaskan, …mengurus dirinya, persekitarannya dan sosiobudaya dan politiknya, pendeknya seluruh aspek kehidupan ini, dalam acuan bangsa lain dengan panduan ilmu (matematik) dari acuan bangsa lain itu . Inilah yang harus ditentang!


Kesimpulan
Hujah-hujah keperluan pemansukhan PPSMI yang tersirat di dalam perbincangan tragedi nasib malang bahasa (dan bangsa) Melayu dalam 7 perkara di atas bukanlah baru semuanya bahkan sebahagian besarnya sudah dipaparkan oleh pelbagai pihak sejak tercetusnya PPSMI dalam tahun 2002 dalam bentuk memorandum, resolusi seminar dan sebagainya serta dialog dengan pemimpin utama Melayu berkuasa yang relevan (Perdana Menteri Dr. Mahathir dan Pak Lah), Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan/Pelajaran. Namun semuanya ternyata tidak diendahkan oleh pemimpin Melayu yang berkuasa itu. Kini sudah sampai ke hidung. Bangkitlah umatku. Ikutlah bisikan qalbu masing-masing; ikutlah ketua dengan berpada-pada sahaja.


Bibliografi
Aliyu A. 2008. Teaching in mother tongue (Nigeria). http://www.mail-archive.com/ africanlanguages@yahoogroups.com/msg00630.html. Kelih 03/02/09
Cocking, R.R. dan Mestre, J.P., 1988. Linguistics and Cultural Influences on Learning Mathematics. Hillsdale:Earlbaum
Internet . Review of language, society and education in Singapore :http: //ccat.sas. upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 02/01/09
Lockwood K. Limited English Proficiency Students and Mathematics. An Annotated Bibliography. http://www.mathforum.org/~sarah/Discussion.Sessions/biblio. bilingual. html. Kelih 03/02/09
Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of instruction in Hong Kong High Schools: achievement growth in language and nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall Issue: 302-346
Norman K.I. & Keating J.F. 1997. Barriers for hispanics and american indians entering science and mathematics: cultural dilemmas. AETS Conference http://www. ed.psu.edu/ci/Journals/97pap22.htm. Kelih 04/01/09
Noren E. 2008. Mother-tongue of teaching mathematics project. Stockholm University, Sweden Email: eva.noren@umn.su.se . Kelih 04/01/09Olarenwaju A.O. 1996. Using nigerian languages as media of instruction to enhance scientific and technological development:an action delayed. Fafunwa Foundation Internet Journal of Education http:// fafunwafoundation. tripod.com/ fafunwafoundation/id10.html. Kelih 04/01/09
Setati M. 2005. Teaching mathematics in a primary multilingual classroom. Jour. for Res. In Maths Edu. 36(5): 447-466 http://my.nctm.org/ eresources/ view_media. asp?article_id=7229. Kelih 04/01/09
Warnod H. 2007. French/English Bilingual Program http://www.camberwellps. vic.edu.au/ . Kelih 04/01/09

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%% Makalah Kolokuium Realiti Melayu anjuran Persatuan Melayu Perlis (PEMANIS) pada