Saturday, October 8, 2011

Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris

PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS
(Menjawab soalan drp Wartawan Berita Harian)

Sebahagian kecil sahaja drp SJ (soal-jawab) ini dipetik dan disiarkan di dalam Berita Harian, Jumaat 19 Ogos 2011.


Soalan Wartawan 1 (SW1). PAGE mendesak supaya Kementerian Pelajaran membenarkan atau memberi hak kepada PIBG menentukan sama ada sekolah mereka mahu melaksanakan semula PPSMI atau sebaliknya. Apa pendapat Prof ?

Jawaban Shaharir 1 (JS1). PIBG ditubuhkan untuk memajukan pendidikan sekolah mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan menentukan dasar pendidikan khususnya dasar bahasa pengantar atau kurikulum. PAGE sengaja menimbulkan soalan ini sekarang semata-mata sebagai helah bermadah sahaja kerana kecitaannya dan kecintaannya kepada bahasa Inggeris kini nampaknya sedikit mendung sahaja. Keghairahan sebenarnya ialah memastikan semua sekolah (hingga ke universiti) menggunakan bahasa Inggeris sahaja. Padanya bahasa Inggeris adalah bahasa penyelamat pendidikan umat Malaysia, bahkan cara mereka mengabui mata orang awam pun seolah-olah bahasa Inggeris adalah penyelamat pendidikan umat dunia! Dengan hati-budinya yang terserkap dan terpasung itulah, PAGE malah memalu gong “bahasa Inggeris bahasa perpaduan bangsa”. Sekarang mereka ini nampaknya bersiasah menggunakan “hak asasi manusia”, “hak bahasa ibunda”, dan sebagainya untuk mencapai impian komprador-nya sahaja dengan harapan jika kerajaan juga terperangkap hati-budinya lalu mengizinkan PIPG menentukan dasar bahasa, maka mudahlah akhirnya semua sekolah berjaya dInggeriskan juga sama seperti yang sudah berlaku di banyak buah negara bekas jajahan yang merdeka seperti idolanya Singapura, dan yang dipengapnya Timor Leste, Papua Niugini, Filipina, India dan negara-negara di Afrika yang pemimpinnya berabok Inggeris itu. Semasa PPSMI dipaksa ke atas semua sekolah dahulu, PAGE tidak bersuara seperti ini, malah tidak pun bersetuju membenarkan pelaksanaan PPSMI ditentukan oleh PIBG kerana itu bertentangan dengan jiwa keInggerisannya.


SW2.Ada ibu bapa atau pensyarah berhujah bahawa ada beribu-ribu pelajar menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda dan mereka mahu PPSMI dilakukan semula dalam bahasa Inggeris. Boleh Prof komen ?


JS2. Betul di Malaysia ini, ada beribu-ribu ibu bapa yang memang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibundanya, walau pun segi etnik, darahnya atau DNA-nya mereka ini buka berketurunan Inggeris. Mereka ini ular sekerat belut sekerat. Ini perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia terhadap rakyat di negara-negara yang pernah dijajah. Negara yang pernah dijajah Sepanyol menjadikan seperatusan rakyat negara itu mendokong bahasa sepanyol sebagai bahasa ibundanya, negara yang terjajah Perancis pun begitu,…. dan Malaysia dengan Inggerisnya, Timor Leste dengan bahasa Portugisnya, dan Papua Niugini dengan Inggeris. Pemimpin dan para cendekiawan Negara ini tentunya terlepas dripada hati-budinya bahawa makna kemerdekaan sesebuah negara daripada penjajahnya, sebahagian yang tidak boleh diremehkan, ialah pemerdekaan sistem pendidikan daripada penjajah itu dengan tujuan memerdekakan hati-budi (minda) rakyat terbanyak negaranya itu, khususnya meminimumkan golongan cendekiawan yang tidak berjiwa negara-bangsanya yang diistilahkan sebagai jiwa terpasung atau jiwa komprador. Sukarlah untuk tidak meletakkan PAGE dalam tergolong cendekiawan ini. Golongan yang menuntut aliran Inggeris untuk pelajar berbahasa ibunda Inggeris di Malaysia seperti PAGE ini patut melihat sistem pendidikan di Eropah dan di Amerika Syarikat (AS). Di AS, umpamanya ada seperatusan rakyatnya yang bahasa ibundanya bahasa Sepanyol (bahasa kedua terbesar di dunia selepas Inggeris dan diramalkan akan mengatasi Inggeris tidak lama lagi) sedangkan sekolah kebangsaan (dan pengajian tinggi) AS tetap bahasa Inggeris (bahasa rasmi AS). Tuntutan rakyatnya yang berbahasa ibunda Sepanyol supaya menjadikan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi kedua AS (oleh itu perlu diwujudkan sekolah aliran Sepanyol) sering juga berkumandang! Namun apa yang dilakukan dan diizinkan di sekolah rendah di AS ialah sekolah yang ada pelajar berbahasa ibunda Sepanyol yang mencukupi diberi segala kemudahan pelajar itu belajar dalam bahasa ibundanya itu bagi menguasai ilmu di peringkat sekolah rendah, dan pada masa yang sama memberi pendidikan bahasa kebangsaan AS (bahasa Inggeris) bagi persediaan belajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah Menengah dan seterusnya. Begitulah halnya di negara-negara di Eropah yang sedang dijadikan projek rintis seperti di Jerman (bahasa rasmi Negara, Jerman) dengan bahasa Turki sebagai bahasa perantaraan sementara di sekolah rendah untuk pelajar berbahasa ibunda Turki, dan di Perancis (bahasa rasmi negara, Perancis) dengan bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan sementara di sekolah rendah untuk pelajar berbahasa ibunda Arab. PAGE sepatutnya menuntut sistem pendidikan sepeti di negara-negara maju ini, bukannya menuntut menyingkirkan bahasa kebangsaan negaranya daripada menjadi sistem pendidikan yang dominan di mana-mana peringkat pendidikan pun. Pendeknya, PPSMI tidak wajar dituntut oleh PAGE (atau sesiapa pun rakyat Malaysia) supaya dihidupkan kembali walaupun khusus untuk sekolah bagi pelajar berbahasa ibundanya Inggeris. Mereka sepatutnya menuntut kelonggaran bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah/dasar sahaja seperti di negara-negara maju itu.


SW3. Apa pula nasib pelajar etnik Iban, Kadazan, Orang Asli dan lain-lain yang bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa kedua kerana hanya dituturkan di sekolah ? Adakah Prof berpendapat mereka juga dinafikan hak untuk belajar dalam bahasa ibunda selepas Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu ?


JS3. Kemusykilan atau persoalan ini ditimbulkan oleh orang yang (sengaja) tidak faham makna bahasa Melayu. Indonesia ada ribuan kumpulan etniknya tetapi mereka tetap memilih hanya satu kumpulan etniknya sahaja untuk dijadikan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, dan bahasa utama sistem pendidikannya, tanpa rungutan apa-apa termasuk dari suku kaum Jawa yang begitu ramai (hampir separuh penduduk Indonesia daripada suku kaum Jawa). Ini tidak menghairankan kerana semua bahasa etnik di tenggara Asia ini, selain daripada bahasa negrito, suku kaum tiongkok, Hindia, Indo-China (tidak termasuk suku kaum Campa dan Patani), adalah satu rumpun bahasa sahaja yang dikenali sebagai bahasa Austronesia (sempena nama negara asal sarjana etnografi berkenaa), atau lebih kena lagi Malayonesia, atau Malayo-Polinesia. Ada teori yang menegaskan bahasa Melayu asli ialah daripada bahasa orang asli Formosa/Taiwan, Melayu Formosa/Taiwan (yang sudah hampir pupus sejak tentera Chiang Kai Shek lari daripada Mao Tze Tong dahulu dan menjadikan tempat pelariannya dan seterusnya menjadikan pulau itu negara barunya, Taiwan), dan teori yang satu lagi ialah bahasa Melayu asli ialah bahasa-bahasa di Borneo khasnya bahasa Iban. Oleh itu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa persekolahan/pendidikan, atau bahasa ilmu bagi setiap suku kaum berbahasa Austronesia di Asia Tenggara ini adalah suatu suatu yang amat wajar sekali kerana bahasa Melayu adalah bahasa mereka juga, bahasa lingua franca, bahasa perdagangan, bahasa diplomatik dan bahasa ilmu mereka sejak awal masihi lagi hinggalah status ini hilang sejak abad ke-19 M sahaja bahana penjajahan. Nasib baiknya bahasa ini bangkit semula menerusi pembentukan negara-bangsa baru Indonesia, dan sedikit sebanyaknya sehingga alaf ini oleh Malaysia sebelum bangkitnya cendekiawan dan pemimpin komprador baru menerusi projek PPSMI itu. Tegasnya, bahasa Melayu bukanlah bahasa asing kepada setiap suku kaum yang disebut di dalam soalan di atas, sebaliknya itulah bahasa yang paling dekat dengan jiwa mereka selepas bahasa suku kaumnya sendiri. Bahasa Inggeris tiada kena mengena dengan jiwa sukunkaum ini dan oleh itu pelaksanaan PPSMI kepada suku kaum ini adalah suatu bentuk kezaliman!


SW4. Ekonomi Indonesia berkembang pesat sekarang dan penggunaan bahasa Melayu secara meluas di sekolah negara ini mungkin membawa kepada penggunaan lebih meluas dalam sektor perniagaan di Malayaia. Adakah Prof melihat trend ekonomi Indonesia ini memberi faedah dalam jangka panjang kepada pembangunan bahasa Melayu ?


JS4. Trend perkembangan ekonomi di Indonesia memang suatu yang amat positif. Dalam tahun 1980-an hingga awal alaf ini, para pemimpin Ingerisofili /pencita Inggeris yang tentunya sealiran dengan PAGE sering menggunakan Indonesia sebagai contoh negatif terhadap kelemahan satu bahasa satu negara (“Bhineka Tunggal Ika”) yang kita tidak mahu menjadi sepertinya. Dengan keadaan ekonomi yang semakin berkembang di Indonesia sehingga dijangkakan mengatasi Malaysia dalam masa yang terdekat ini, maka sudah tentu kumpulan ini terpaksa mencari hujah lain lagi untuk tidak menjadikan Indonesia sebagai model kemajuan bangsa yang terdekat! Kini bukannya model satu bangsa satu bahasa tidak ada tetapi mungkin agak jauh, iaitu di Eropah atau di Timur jauh.


SW5. Bahasa Melayu tidak terkejar pada kepesatan sains dan matematik kini. Belajar dalam bahasa Inggeris tak ada masalah itu, umpamanya tak perlu terjemahan dsbnya. Komen?


JS5. Soalan ini patut ditujukan juga kepada negara-negara maju sains dan matematik kini, selain daripada AS, UK, Ireland, Australia, dan New Zealand, iaitu negara-negara di Eropah, Kanada (separuhnya dalam Perancis), Jepun dan Korea. Negara-negara maju ini, pendidikan sains dan matematiknya dalam bahasa bukan dalam bahasa Inggeris dan mereka pastinya tidak akan mengubah sistem pendidikan mereka kepada aliran Inggeris atas alasan di dalam soalan di atas. Berkenaan terjemahan, negara-negara maju sains dan matematik ini pun masih melakukan terjemahan dengan hebatnya. AS umpamanya melakukan banyak terjemahan dari bahasa-bahasa lain di Eropah, bahkan dari China, Korea dan Jepun. Begitu jugalah sebaliknya. Hanya orang Mahathirisme seperti PAGE sahaja yang membayangkan kita tidak perlu terjemahan jika kita dokong PPSMI. Tidaklah juga benarnya perubahan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris itu begitu pantas sehingga tidak akan terkejar sesuatu bangsa yang tidak berbahasa Inggeris menterjemahnya. Pertamanya, perkembangan sains dan matematik tidak berkembang secepat yang dibayangkan oleh Mahathiris itu. Sesebuah teori baru sains atau matematik memakan masa sekurang-kurangnya 30 tahun untuk dijadikan bahan sukatan pelajaran sekolah atau universiti. Kedua perkembangan sains dan matematik tidak hanya berlaku menerusi bahasa Inggeris sahaja, bahkan ahli sains dan matematik berbahasa Inggeris masih melakukkan terjemahan daripada bahasa lain seperti yang disebut di atas. Ketiga, negara maju sains dan matematik bukan berbahasa Inggeris, malah lebih banyak yang tidak berbahasa ibundanya bahasa Inggeris. Keempat, kita juga ada ahli sains dan matematik yang cukup untuk memindah sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Profesor sahaja pun kita ada sekitar 1,000 orang! (yang bukan bertaraf Profesor lebih daripada 10 kali ganda lagi). Jika seorang Profesor menulis (asli atau terjemahan) sebuah buku dalam 2 tahun pun, nescaya kita sudah ada 500 buah buku setahun! Sekarang ini tiada pengeluaran 5 buah buku setahun pun dalam bahasa Melayu kerana sistem pengiktirafan salah dan sewel kita terhadap karya dalam bahasa Melayu sehingga karya itu, dalam bahasa novel interlok, dianggap bertaraf “paria” atau dalam bahasa Mahathiris, “half-past six”, walaupun sebenarnya lebih atau setara dengan di dalam bahasa Inggeris. Penerbit setiap universiti kini dengan bebalnya merasai bertaraf dunia dengan hanya menerbitkan buku dalam bahasa Inggeris sehingga sejak PPSMI bertakhta tiba-tiba bahasa Melayu di penerbit itu muflis. Institut Terjemahan Negara kita pun tiba-tiba berubah ke matalamat lain sebaik sahaja PPSMI bermaharaja lela kerana buku-buku terjemahannya bukan buku besar dalam sains dan matematik, tetapi buku kanak-kanak (demi pasaran agaknya, atau beroleh penajaan dari pihak penerbit asal buku tersebut) dan sedihnya asyek “syok sendiri” pula dengan menterjemah buku-buku Melayu kenalannya ke dalam bahasa Inggeris! Dewan Bahasa dan Pustaka (simbol institusi pemaju bahasa Melayu) pula sudah tidak diizinkan menerbitkan buku sains dan matematik pengajian tinggi sejak PPSMI dilancarkan! Dan memang sejak itu tiada buku itu terbit. Dasar Transformasi Negara pun tiada sektor pembinaan kebudayaan sendiri, khususnya transformasi ilmu dalam kebudayaan sendiri dan pada masa yang sama pemimpin memberi berbagai isyarat tidak mahu dan tidak mampunya bahasa sendiri. PAGE pun menagih hutang pada pemimpin itu dengan berbagai-bagai caranya. Memang tidak mampulah bahasa sendiri kerana kita sendiri yang tidak mahu memampukannya. Jika kita benar-benar mahu bahasa Melayu menjadi bahasa besar, bahasa sains dan matematik sama seperti bahasa-bahasa negara maju itu, kita memang boleh dengan mengikut jejak yang sama seperti negara maju itu sebelum menjadi maju sekarang. Kerajaan tidak pernah terlambat melakukan transformasi kebudayaan ilmu dengan menggerakkan 1000 orang ahli Majlis Profesor Malaysia daripada kalangan ahli sains dan matematik itu memainkan peranannya selain daripada berperanan mentransformasikan sektor-sektor lain yang memang diingini itu. Para ilmuwan kita rata-rata sama dengan rakyat biasa sahaja dalam hal keiltizaman kehidupannya selama ini, iaitu “ikut dasar kerajaan sahaja”. Jika kerajaan mahu transformasi ilmu maka itulah yang akan menjelmanya; kerajaan tidak kesah ilmu dalam acuan sendiri memang itulah terjadinya terhadap pembinaan ilmu. Tentang PAGE dan Mahathiris, mereka tentunya tidak bersetuju dengan dasar yang memungkinkan bahasa lain bersaing dengan bahasa Inggeris! Namun jika kita mahu menyaingi bangsa lain dalam sains dan matematik, sejarah bangsa-bangsa yang maju sekarang sahaja yang perlu kita rintisi. Biarkanlah PAGE dan Mahathiris terjun dengan labu-labunya.


SW6. Ada pihak mengatakan kita tidak boleh ikut negara-negara di Eropah atau Jepun menggunakan bahasa sendiri dalam sains dan matematik kerana negara-negara ini penyumbang sains dan matematik sedangkan kita hanya penggunanya sahaja. Negara-negara ini adalah negara industri sedangkan kita belum mencapai taraf itu.


JS6. Ini benar-benar persoalan songsang dan sewel yang pernah ditimbulkan dalam kemelut awal PPSMI dahulu lagi! Sudah pun dijawab oleh pelbagai pihak tetapi di sini terpaksalah juga diulang jawabannya dengan cara lain lagi. Soalan ini lebih kurang sama dengan seseorang mengatakan “Kita tak boleh ikut orang kaya; dia ada duit, dia boleh buat apa sahaja. Kita miskin. Kita hanya boleh minta pada dia sahaja. Sementara itu kita tinggallah rumah kita ini untuk meminta sedekah daripada orang-orang yang kaya itu. Nanti kita kaya juga besok baru boleh kita hidup macam dia”. Bukankah kita patut belajar dan bertanya orang kaya itu, atau pada orang yang mengkaji rahsia orang kaya itu, bagaimana dia boleh jadi kaya, sedangkan dia dahulunya miskin juga, malah ada yang lebih miskin daripada kita sekarang? Apakah unsur kebudayaannya yang diabaikannya untuk menjadi kaya itu? Adakah bahasanya yang diabaikan ? Apa lagi yang diabaikannya? Ubat apa yang mereka makan?

%%%%%%%%%%%%%Shaharir Ogos 2011%%%%%%%%%%%%%%%%%%%