Wednesday, October 20, 2010

Laris, Terhiris dan Tergores

Laris, Terhiris dan Tergores: Ulasan buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin


Shaharir b.M.Z.
Karyawan bebas
riramzain@hotmail.com

Buku yang ingin diperkatakan ini ialah karya Danial Zainal Abidin berjudul penuhnya Quran Saintifik. Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains, terbitan PTS Millennia 2009, cetakan ke-8. ISBN 978-983-3604-15-9.

Kelarisan dan Genre Karya
Buku ini cukup laris kerana cetakan pertamanya tahun 2007 yang bermakna sudah 7 kali ulang cetak dalam masa 3 tahun ini, iaitu suatu yang agak fenomenal dalam industri perbukuan di Malaysia. Tidak syak lagi satu daripada kunci utama larisnya buku ini ialah judul yang berbunyi cukup Islam… ada perkataan “Quran”, dan cukup moden … ada perkataan yang berhubung dengan sains, iaitu “saintifik”. Sejak munculnya buku Marice Bucaille 1976, La Bible, le Coran et la science yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah dalam bahasa Melayu Indonesia 1978, Bibel, Qur-an dan Sains Modern, terbitan Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, yang bertemakan pengukuhan sains moden menerusi al-Qur’aan, dan begitu laris sehingga menjadikan Bucaille itu pengarang keberayaan semalaman itu, maka selepas itulah barang buku sedemikian sifatnya memang cukuplah laris. Buku Danial ini memang tergolong dalam genre ini terbitan Malaysia bersama-sama dengan buku-buku Harun Yahya (berkarya di dalam bahasa Turki) terbitan Media Saba, kuala Lumpur seperti yang mauduknya sama dengan sebahagian besar buku Danial ini, Penciptaan Alam Semesta yang memang laris juga, Arip Kosmo 2007 (seorang akademiawan di UKM) dengan karya laris jualannya, Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran yang sehingga 2009 sudah 3 kali ulang cetaknya), dan Malim Ghozali 2006 (seorang mantan diplomat dan aktif dalam kegiatan sastera) dengan karya berjudul yang lebih berani lagi Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan terbitan Seladang Books dengan versi Inggerisnya sekali, The Profound Truth: Understanding Perfection yang difahamkan tidak kurang juga larisnya. Walaupun begitu begitu kelarisan buku-buku ini tidaklah setara dengan buku Danial itu.


Dalam dunia berbahasa Melayu, kelarisan buku-buku jenis ini memanglah sehingga kini rasanya belum dapat menandingi buku bermaudukkan kepemimpinan dan kepengurusan yang cukup Islam judulnya, yang panjang tetapi cukup menyengat, Rahsia Sukses membangun Kecerdasan Emosi dan Spritual ESQ Emotional Spiritual Quotient. The ESQ Way 165 1 Ihsan 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam oleh Ary Ginanjar Agustian terbitan Arga Publishing Jakarta 2002 dengan cetakan ke-43 pada Ogos 2008; dan dijangka semakin meletup lagi kerana fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang cukup negatif terhadap buku ini. Namun buku ini sebenarnya indah judul daripada makbul sebagaimana yang dapat disaksikan sorotannya di dalam blog komshaha (September 2010). Apa pun, tentunya buku Danial ini ada kelebihannya, ada “pacar” atau “jampi” pelarisnya yang tidak menjadi pada buku-buku lain terbitan Malaysia. Sekali imbasnya, sebahagian daripada “pacar” itu datangnya daripada dua orang Mufti besar, iaitu Dato’ Harussani Mufti Perak (sudah berTan Sri) dan Dr. Mohd Asri, Mufti Perlis (kini mantan) merangkap seorang cendekiawan awam yang kontroversi dan popular yang juga diakuinya sebagai sahabat penulis, yang memberi kata pengantar masing-masingnya sejak cetakan 2007 lagi, dan selepas itu ditambah pula dengan kata pengantar oleh Prof. Mohamed Hatta seorang pakar perubatan (psikiatri) yang tidak asing di Malaysia, Naib Presiden Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan juga penggiat yang dikenali umum (menerusi JIM dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia) yang juga (mengikut prakatanya) rakan seperjuangan Danial.

Banyaknya Bab!

Buku Danial ini setebal 312 pipi matannya, tidak termasuk 3 junjungan kata pengantar daripada tiga orang tokoh masyhur (sepipi setiap orang yang disebut di atas), prakata pengarang (3 pipi), Bibliografi (2 pipi) dan biodata penulis 2 pipi. Ada lima bahagian: bahagian umum tentang hubungan al-Qur’aan dengan sains, bahagian khusus (dua bahagian berturut-turut) perkara sains pilihan (unsur astronomi-kosmologi, dan kejadian manusia) yang dipaparkan kehebatan benarnya dan sahnya sains itu menerusi al-Qur’aan, diikuti dengan bahagian perkara-perkara ibadah dan isu sosial pilihan dengan perasionalan agama-sains (agama bagi isu sains dan sains bagi isu agama), dan akhirnya epilog yang memuat kesimpulan dan sekaligus membuat penegasan tujuan penulisan buku ini, iaitu sains mengukuhkan pegangan seseorang terhadap Islam dan ketinggian Islam menerusi kritikan terhadap Kristian. Oleh sebab setiap bab buku ini luar biasa pendeknya (di luar norma makna sesebuah bab), bahkan ada beberapa bab yang sepipi sahaja banyaknya dan yang terpanjangnya pun hanya 6 pipi dan majoritinya dua-tiga pipi sahaja, maka bilangan babnya luar biasalah banyaknya, iaitu 107 bab!

Tujuan Penulisan dan Kesampaiannya

Benarlah buku Danial ini, seperti yang diharapkan oleh ketiga-tiga pengiringnya, ditulis dengan hasrat yang murni, iaitu mengukuhkan ‘aqidah dan keimanan seseorang Islam serta menunjukkan kebenaran Islam menerusi kebenaran sains kepada yang bukan Islam agar mereka tertarik kepada kebenaran Islam dan seterusnya beroleh hidayah memeluk Islam. Prakata penulisnya sendiri pun sungguh menyatakan demikianlah matalamatnya, di samping sudahpun menyatakan atau membayangkan pendekatan yang sama dengan buku-buku yang disebut di atas, walaupun ada pula beberapa pernyataannya yang begitu jelas pertentangannya dengan pendekatan itu. Tidak syak lagi sasaran kepada umat Islam itu nampaknya mengena berdasarkan kelarisan buku ini; manakala sambutan buku ini daripada kalangan orang bukan Islam sukarlah ditentukan. Apa pun kajian sains terhadap tercapai-tidaknya dua sasarannya dan harapan pengiringnya itu belumlah dilakukan, walaupun Dr. Arip Kosmo yang karyanya disebut di atas itu ada menyatakan beliau beroleh data yang menunjukkan tercapainya sasaran pertama penulisan genre ini. Namun cara perolehan data beliau itu amat boleh dipertikaikan oleh ahli statistik di bidang persampelan. Oleh itu sehingga kini kami berpandangan kelarisan buku-buku genre ini, termasuk buku Danial ini, tidaklah bermakna adanya kesan positif kepada perkembangan sains di kalangan orang-orang Islam amnya, di Malaysia ini khasnya, bahkan kami berhujah sebaliknyalah yang berlaku.

Terhiris dan Tergores

Pertamanya, bagi mereka yang bekerja di dalam pemajuan sains sendiri (ahli sains, penyelidik dsbnya) terutamanya yang terlibat dengan pembinaan semula sains mengikut acuan sendiri, kefahaman atau perspektif Islam yang tumbuh sejak tahun 1980-an dahulu atas landasan terutamanya yang disediakan oleh Ismail al-Faruqi, Seyyed Hossain Nasr dan Muhammmad Naquib Al-Attas yang dikenali sebagai pengIslaman/Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) yang institusi ideolognya di Malaysia ini ialah ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia), karya seperti yang dihasilkan oleh Danial ini memang terhiris hatinya dan menggores karyanya. Terhiris dan menggores kerana karya mereka itu diapedulikan (ditidak-pedulikan langsung) malah secara tak langsungnya tertampar atau ditamparnya kerana pendiriannya yang amat kontra itu. Masakan tidak demikian! Buku seperti ini cukup bersungguh-sungguh benar menegakkan kebenaran sains moden menerusi Islam, sedangkan para pembina sains Islam menerusi pengIslaman sains itu memeras otak berkarya dan berbuih-buih mulutnya mengkritik sains moden menerusi kaca mata Islam, dan setengahnya sudah pun berjaya menawarkan teori alternatif (berasaskan Islam) kepada teori sains moden yang diakuri benarnya oleh kumpulan Bucailleis ini (Negatifnya Bucailleisme banyaklah diperkatakan orang dan yang terbarunya kami bicarakannya di dalam akhbar Siasah 24-30 Mei dan 1-7 Jun 2009, “Sains Islam bukan hasil Bucailleisme” dan di dalam sorotan buku Ary yang disebut di atas yang disiarkan di dalam blog komshaha ,September 2010). Buku Danial ini memang mewakili karya kumpulan Bucailleis ini dalam banyak perkara sains moden yang dipaparkan di dalam karyanya itu. Inilah yang dibicarakan selanjutnya di bawah ini.

Islamnya Cerapan Barat dan Sainsnya

Bab 2 buku Danial membicarakan “Sumber Ajaran Islam”, iaitu al-Qur’aan dan al-Hadith. Ini sudah menjadi klise lama dan lumrah mungkin sejak Mongol menawan ibu kota Tamadun Islam dahulu kerana orang Islam sudah lama nampaknya tidak lagi mahu mengotakan kata-kata muluknya itu. Ringkasnya, orang Islam rata-rata tidak lagi mahu menjadikan al-Qur’aan (apa lagi al-Hadith) sebagai sumber ilmunya. Kandungan buku Danial ini pun diperlihatkan nanti tidak menghala ke arah itu kerana sumber ilmu sains moden bukannya daripada ajaran Islam tetapi tiba-tiba dibuktikannya sains itu cukuplah serasi dengan ajaran Islam. Pada penilaian kami, beliau tidak terkotakan retoriknya di dalam prakatanya untuk “meletakkan sains di atas landasan yang betul bertunjangkan Quran dan Sunnah”. Benar, mengikut Bab 4 dan 5 buku Danial itu, Islam menegaskan ilmu diperoleh menerusi cerapan (iaitu sesuai dengan makna kedua ayaht yang dihuraikannya itu, iaitu bermaksud tanda di sekeliling kita, di dunia dan di alam semesta ini). Mantik selapisnya dan sepintas lalunya, sehubungan dengan ini, nampaknya jelas ahli sains Baratlah yang melakukan hal suruhan Islam ini, lalu mereka pun dapatlah ilmu yang diredhai Allah yang oleh itu kita patut mengeyakannya dan bersyukur! Itulah intipati daripada ajaran Ibn Kathiyr/Kathir (saeorang pentafsir klasik al-Qur’aan yang berpengaruh itu) yang dipetiknya dalam prakatanya lagi yang difahami olehnya dengan naifnya sehingga dipaparkannya di Bab 5 sedemikian itu. Sebenarnya, cerapan tidak semudah itu berlakunya dan memberi kebenarannya. Ramailah yang terlupa, terlepas pandang atau tidak sedar bahawa Cerapan itu sendiri sarat nilainya, iaitu dua orang yang mencerap benda yang sama sekalipun tidak semestinya memberi data atau kafahaman yang sama dan oleh itu teori yang sama atau sains yang sama. Apatah lagi keputusan untuk mencerap: orang yang berlatar belakang pendidikan atau berkebudayaan yang berbeza besarlah kemungkinan membuat keputusan untuk mencerap benda yang berbeza. Tegasnya cerapan orang bukan Islam tidak semestinya memberi sains yang sama seperti cerapan orang Islam melakukannya. Ini merujuk kepada cerapan benda yang belum diketahui tabiinya, bukannya cerapan yang dilakukan oleh seseorang pelajar atau pengikut sesebuah teori terhadap benda yang dicerap itu.

Swapenempelakan: Tenggelam-Mabuk-Terpesonanya Muslim kepada Sains

Bab 6, 7, dan 8 daripada buku yang disorot ini memanglah rasanya mengharukan pembaca yang peka dengan keadaan Muslim kini. Ini kerana yang diperkatakannya itu tidak secocok dengan orang Islam kini, iaitu orang Islam kini jelas tidak menghayati “Islam Pemangkin Sains”; orang Islam kini tidak “Mementingkan Bukti dan Dalil”; dan orang Islam kini tidak “Berminda Progresif”. Bab-bab ini begitu singkat dibicaranya walaupun isunya berat-berat itu, oleh itu tentunya boleh amat dimusykili oleh pembaca yang kritis. Rasanya ramailah pembaca bab-bab ini (daripada kalangan Muslim yang swa-insaf) segera tertimbul soalan swa-penempelakannya seperti “Kepada siapakah gerangannya bab ini ditujukan?”; dan “Ke manakah orang Islam hendak menyorok mukanya dengan penempelakan terhadap orang Islam yang mudah datang daripada orang bukan Islam akibat penulisan yang kurang swa-peka di dalam Bab 6 hingga 8 itu?” Sudahlah demikian, Bab 8 itu ada pula unsur “menumpang sekaki” terhadap teori Deguman Besar (Big Bang) dengan dakwaan semacam “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” kononnya umat Islam sudah mengetahui teori ini menerusi Suraht al-Anbiya’, ayaht 30. Lebih daripada itu lagi penjelasan di dalam bab 8 (dan bahagian dua buku itu (Bab 16 hingga 37) bereya-ya benar menegaskan bahawa teori Deguman Besar itu (selepas ini diringkaskan sebagai DB sahaja; istilah lainnya Dentuman Besar, DB juga) memang teori Islam, teori yang betul dan benar, teori yang tiada cacat-celanya, teori yang sudah ada di dalam al-Qur’aan! Sebenarnya jika seseorang itu tidak tenggelam-mabuk-terpesona dengan sains moden amnya, DB khasnya, dan cuba mentelaah dengan kritisnya akan terjemahan-tafsiran semasa oleh para pentafsir besar yang setengahnya memang dipetik oleh Danial terhadap ayaht 30 drp Suraht al-Anbiya’ dan ayaht-ayaht lain (yang dipaparkan di dalam bahagian 2) itu sekalipun, nescaya wujud ruang terbuka luas untuk tidak menerima langsung atau sekurang-kurangnya mengkritik teori DB itu. Memanglah ramai dan semakin ramai ahli sains Barat pun yang tidak mahu menerima teori DB ini (dan sepatutnya lebih-lebih lagilah Muslim kerana selama ini Muslimlah yang selalu mengkritik Barat) Tegasnya, seseorang Muslim itu sepatutnyalah turut memeriahkan kritikan terhadap teori DB itu kerana begitu banyak ketaktekalan dan tidak-upayanya DB menjelaskan banyak fenomenon alam ini. Satu satu daripadanya ialah perkara yang disebut oleh Danial sendiri di dalam Bab 35, iaitu keperluan wujudnya jirim gelap (dark matter) bagi mengakomodasi teori kosmologi yang mengizinkan berlakunya DB itu, yang malangnya tidak diserlahkannya begini. Keadaan sebegini menjadikan ayaht–ayaht al-Qur’aan yang sama itulah juga boleh menjadi inspirasi kepada seseorang Muslim untuk membuktikan tidak serasinya ajaran Islam dengan DB itu.

Pengekalan Retorik Muslim

Perbincangan di dalam Bab 9, mungkin kerana singkatnya itu juga, amat banyak menimbulkan kekeliruan, bahkan kesesatan umat terhadap sains moden/kini. Ayat pertamanya, “Islam tidak pernah mengenepikan sains” dikira cukup ironi kesannya. Begitu banyak penulisan sarjana Kristian (di dalam gerakan menegakkan sains yang tidak bertentangan dengan ajaran Kristian seperti teori penciptaan dan teori reka bentuk pintar ciptaan mereka melawan Teori Evolusi Darwin/Darwinan) dan sarjana Islam (di dalam gerakan pengIslaman Ilmu) yang memberi hujah-hujah betapanya landasan yang membuahkan sains moden ini bertentangan dengan ajaran Kritian dan Islam dan oleh itu perlulah diketepikan dan digantikannya. Bagaimana pula bolehnya diungkapkan “Islam tidak pernah mengenepikan sains”! Memang terhiris dan kesal sekali rasanya. Tambahan pula Danial menggunakan takrif sains dari sebuah ensiklopedia yang jelas berpihak kepada takrif sains Barat bagi menegakkan pernyataannya yang kurang teliti itu. Hal yang serupa berlaku dengan penjelasannya tentang teknologi. Lagi pun teknologi tidaklah sentiasa dilahirkan oleh sains. Anehnya, di perenggan berikutnya, setelah nasi sudah dijadikannya bubur, beliau cuba pula menghidang pembaca dengan makna sains Islam dan ahli sains Islam yang sebenarnya mengenepikan sains moden (minus DB yang cuba dipertahankannya itu). Sungguh bercelaru!


Bab 11, ayat pertamanya “sains dan Quran tidak dapat dipisahkan” cukup menggusarkan para penggerak sains Islam kini kerana sains pada orang awam (pembaca buku ini) ialah sains sekarang ini, sains moden atau sains Barat itu, dan sains ini tidak sekali-kali ada hubungan atau dihubungkan dengan “Quran” terutamanya yang dihasilkan oleh ahlinya sejak abad ke-18 M hingga kini. Sehubungan dengan ini, perenggan terakhir bab ini lagi menggusarkan kerana sains ini begitu banyak yang tidak serasi dengan al-Qur’aan, kecuali seseorang itu sengaja mengalah sahaja kepada sains itu dan membuat tafsiran baru terhadap sesepotong Ayaht al-Qur’aan itu supaya sama dengan sains itu seperti dengan contoh teori DB yang diperkatakan sebelum ini.


Bab 12 pun bermasalah. Pada mula bicaranya cukuplah melegakan kerana penulisnya menegur mereka yang mentafsir ayaht al-Qur’aan menggunakan sains semasa. Namun kemudiannya penulis nampaknya turut mengaku kalah sahaja kepada beberapa “penemuan sains” (sebenarnya perekaan sains) yang dianggapnya sahih lalu diberi contoh kepada sains kejadian alam semesta (teori DB) yang sebenarnya cukup kontroversi, sama kontroversinya dengan sains kejadian makhluk kehidupan yang mengisi alam semesta ini (iaitu Teori Evolusi) di kalangan ahli sains Barat yang apeduli agama sekali pun. Puncanya beliau sudah terikut-ikut dengan ulama yang sudah mengaku kalah dengan teori DB yang antara lainnya berasaskan kepada kononnya “cerapan mendapati alam ini mengembang”. Lantaran mereka pun berusaha mentafsir ayaht al-Qur’aan yang menampakkannya serasi dengan “teori alam mengembang” itu, iaitu ayaht 47, Suraht al-Zuriyaht yang turut dipetik oleh beliau. Ini tidak lain daripada perbuatan yang beliau sendiri tegur pada awalnya, iaitu melakukan “Pentafsiran Quran Menggunakan Sains”! Pendeknya tafsiran Said Hawa dan Hamka terhadap kebenaran “teori alam mengembang” yang dipaparkan di dalam bab ini hanyalah manifestasi kekalahannya kepada sains moden sahaja. Sepatutnya ayaht al-Qur’aan yang sama itulah digunakan untuk mengkritik teori “alam mengembang” itu seperti yang telah pun kami cuba melakukannya beberapa tahun yang lepas dan dikumpulkan pula di dalam sebuah buku terbitan ASASI 2010 (Kritikan terhadap Teori Einstein dan Teori Quantum). Dengan tindakan sebeginilah, maka sekali gus barulah kita mengotakan retorik kita selama ini bahawa al-Qur’aan itu sumber ilmu; bukannya menjadi alat menegakkan ilmu yang entah benar atau tidak kerana penemunya, perekanya atau pembinanya tidak pernah pun merujuk kepada apa-apa yang diajar oleh Islam. Cereta sahihnya “alam mengembang” yang dipaparkan di dalam Bab 12 sebenarnya bertaraf seperti sahihnya “Teori Evolusi” sahaja. Cerita “penemuan” Hubble 1929 yang juga disebut di dalam Bab ini, memang menjadi asas pertikaian “teori alam mengembang” kerana itu hanya satu daripada tafsiran data yang diperolehnya; tafsiran lain terhadap data yang sama tidak mengimplikasikan alam ini mengembang. Tafsiran lain itulah yang melahir beberapa teori alternatif kepada “teori alam mengembang” yang kononnya sudah sahih itu.


Sehubungan dengan ulasan terhadap Bab 12 itu, Bab 13 dan 14 juga sedikit-sebanyaknya terpalit kerana ketiadaan penekanan sebaliknya, iaitu (sepatutnya) “Kefahaman Quran menghasilkan Sains” dan “Iman menghasilkan Sains”. Sudah banyak contoh sains yang terhasil begini, cuma penulis berkenaan perlulah mendampingi mereka yang menghasilkan sains Islam menerusi pengIslaman ilmu itu. Dalam keadaan sekarang ini, penekanan yang hebat diberi kepada kononnya sains kini serasi dengan Islam, sedangkan ahli sains yang mencipta sains itu sebenarnya bukan Islam bahkan jumhurnya mereka itu ateis, sekular atau apeduli agama, sebenarnya menimbulkan gejala generasi Muslim yang semakin apeduli juga kepada agamanya, atau semakin sekular sahaja!


Ulasan selanjutnya ditujukan kepada bahagian 2 buku ini sahaja kerana bahagaian selanjutnya adalah berkenaan dengan ilmu yang pengulas ini boleh dianggap jahil dan oleh itu tidaklah layak membicarakannya.

Kaedah Menghaq-al-yaqiyn-kan Teori Deguman Besar?

Penulisan bahagian 2 buku ini, sesungguhnya menumpukan kepada ilmu yang telah disentuh sedikit-sebanyaknya sebelum ini, iaitu tentang kejadian alam. Izinkanlah kami bicaranya hal ini bab demi bab lagi. Bab 16 hingga Bab 18 penulis menumpukan kepada teori DB lagi yang mahu ditegaskannya bahawasanya teori ini benar dan sahih yang dapat disokong dengan kuat dan yakinnya bukan ke tahap ‘ain al-yaqyn (cerapan yang tidak boleh dipertikaikan lagi) bahkan ke tahap haq al-yaqiyn kerana menggunakan ayaht-ayaht al-Qur’aan yang tafsirannya tidak boleh dipertikaikan lagi. Tidak cukup lagi dengan alasan cerapan dan al-Qur’aan itu lalu dipaparkan pula sokongan daripada ahli-ahli sains yang dianggap masyhur di dalam bidang masing-masingnya yang mengagumi keserupaan teori DB dengan yang ada di dalam al-Qur’aan (Bab 16 & 17). Tidak pula dinyatakan yang para Profesor ini memeluk Islam atau tidak kerana pengakuan dan kekagumanya terhadap keserasian al-Qur’aan dengan DB itu, kecuali seorang Profesor anatomi di Universiti Chiang Mai yang dicatatkan di Bab 37. Tindakan penulis Muslim menumpang kekuatan peribadi sarjana dari Negara Maju bagi menegakkan sesuatu perkara seperti begini memanglah tidak asing lagi… dan biasanya memang boleh menang kerana Muslim rata-rata mudah mengalah kepada apa-apa pun dari Negara Maju sehingga itulah juga yang menjadi pelemah dan pelemasnya selama ini. Dalam hal ini, jika penulis ini berjaya meyakinkan pembaca akan kedudukan ilmu ini begini, iaitu tiada apa yang boleh dikatakan lagi terhadap teori asal-usul alam semesta ini, semuanya sudah betul, maka tiada apalah yang Muslim dapat buat lagi, apatah lagi mengimpikan untuk suatu hari nanti sarjana Muslim mengalahkan sarjana Barat dalam bidang ini. Tunggu sahajalah.. dan tak lama lagi teori baru akan diutarakan oleh sarjana bukan Islam lagi bagi memperbaiki teori DB itu… masa itu pastinya akan muncul lagi buku seperti ini yang mengeyakan teori itu menerusi ayaht yang sama agaknya tetapi dengan tafsiran yang baru pula…aman lagilah jiwa Muslim agaknya.

Kesilapan Sejarah Deguman Besar


Sementara itu ada satu “fakta sains” yang tidak berapa tepat yang dicatatkan di dalam Bab 16, iaitu kononnya asal teori DB ini ialah daripada Einstein (“dicadangkan berasaskan formula General Theory of Relativity”). Pandangan sebegini memang lumrah disuarakan oleh orang lain juga secara lisan atau tulisan, akibat penghiper-sanjungan kepada Einstein. Mungkin kerana benarnya Teori Einstein itulah yang kemudiannya hinggalah kini dijadikan sebahagian daripada landasan teori DB menerusi model alam semesta Friedmann itu. Perlu diingat bahawa karya Friedmann dari Russia pada tahun 1922 ini lambat diketahui di Barat, iaitu tahun 1930-an kerana tabii komunikasi masa dahulu ditambah pula dengan Perang Dingin Rusia (blok komunis) dengan Barat (bukan Komunis). Sebahagian lagi ialah Teori Quantum (yang ditolak oleh Einstein) yang memang lebih banyak lagi dipakai (secara kualitatifnya) apabila seseorang menerang kejadian DB itu sejak teori ini mula diutarakan lagi. Penaja terawal teori DB ialah Gamov/Gamow (ahli fizik quantum Rusia yang berhijrah ke AS pada tahun 1934) dan dua nama lagi, Alpher dan Bethe pada tahun 1948 menerusi sebuah makalah agung mereka yang susunan nama pengarangnya sengaja di tulis sebagai “Alpher, Bethe dan Gamov” kerana mereka mahu makalahnya mudah diingat penulisnya sebagai alfa-beta-gama berasaskan huruf awal nama mereka itu. Teori DB memang dikenali pada awalnya dengan nama Teori Alpher-Bethe-Gamov. Sebenarnya, Einstein tidak pernah mengesyorkan teori seperti teori DB itu malah model alam semestanya sendiri mengandaikan alam semesta ini tidak berubah sepanjang masa, iaitu tiadalah pengembangan alam semesta yang berlaku. Beliau mengabaikan modelnya itu kerana ada sarjana yang membuktikan model alam semesta beliau itu tidak stabil (suatu yang tidak diingin oleh ahli kosmologi Barat) kerana itu mengimplikasikan alam semesta ini akan musnah bila-bila masa sahaja; suatu hal yang amat dielak oleh mereka ini! Di samping itu teori Einstein itu juga tidak mampu menjelaskan beberapa fenomenon alam tabii yang diketahui wujud pada zamannya itu tetapi tidaklah termasuk pun fenomenon yang dicerapi oleh Hubble itu (kononnya “alam mengembang”) kerana cerapan Hubble dibuat (tahun 1929) belasan tahun selepas teorinya itu diabaikannya. Hubble memang tidak menggunakan teori Einstein atau model alam semesta Friedmann bagi menjelaskan tabii datanya sehingga beliau menerbitkan hipotesis “alam mengembang” itu. Hubble juga tidak menggunakan teori DB atau Teori Alpher-Bethe-Gamov kerana teori ini belum pun wujud pada masa itu! Dalam tahun 1950-an barulah sarjana mengaitkan teori DB dengan “teori alam mengembang” kerana itu jelas sekarang sebagai isi dengan kuku. Namun “teori alam mengembang” juga menemui masalah yang sama, sehingga ada sekumpulan sarjana yang mahu menghidupkan kembali teori Einstein itu kerana mereka mendapati bukti ketakstabilan alam Einstein itu tidaklah betul sepenuhnya. Ini menjadi satu daripada teori lawan alam mengembang itu dan sekali gus melawan teori DB itu. Perlu ditegaskan lagi, kedua-dua teori DB dan lawannya (seperti model Einstein itu) memang beralaskan Teori Kenisbian Am Einstein, ringkasnya Teori Einstein, kerana intipati Teori Einstein ialah tabii masa dan ruang yang tidak boleh dipisahkan dan model alam semesta semestinya melibatkan ungkapan masa dan ruang yang menjadi keseniaan penciptaan sains sehingga kini (belum selesai-selesai kerana setiap model yang diutarakan termasuk model Friedmaan itu ada kelemahannya).


Penciptaan Alam Semesta dalam Enam Peringkat Deguman Besar?


Bab berikutnya, Bab 19 , ialah mengenai penciptaan alam dalam enam ayyam yang diperoleh daripada ayaht 7, Suraht Hud yang memang terkenal itu. Benarlah Danial juga bersetuju dengan hampir semua pentafsir bahawa ayyam di sini bukalah hari yang kita ketahui sekarang ini, sama ada hari di Bumi ini atau hari di planet atau sistem suria yang lain. Namun, nampaknya, beliau masih juga mahu mengaitkannya dengan masa yang diperlukan untuk kejadian alam semesta ini mengikut teori DB itu seperti mengatakan ayaht ini menjelaskan kejadian langit dan bumi melalui pelbagai peringkat. Ini semata-mata kerana terikat kepada teori DB yang dianggapnya benar dan sahih itu sahaja, sedangkan kaitan itu tidaklah perlu sedemikian, kalau kita mahu lari daripada teori DB itu, dan itu pun yang sepatutnya dilakukan oleh sarjana Muslim sekarang. Bagaimana pun pemaparan beliau ini terhadap pendapat Said Hawa bahawa “langit dan bumi dicipta dalam enam peringkat dapat dianggap sebagai satu pandangan … yang qat‘ii” boleh menjadi titik-tolak sarjana Muslim mengkritik teori DB dan seterus memberi alternatifnya kerana teori DB sekarang, seperti yang diperkatakan oleh beliau juga di dalam Bab 22, tidak membahagikan evolusi kejadian langit dan bumi itu kepada enam peringkat. Namun beliau begitu beriltizam untuk membuktikan kebenaran teori DB itu lalu diusahakannya mendapatkan juga 6 peringkat daripada pengumpulannya terhadap kronologi pembentukan alam semesta menerusi teori DB itu.

Langit dalam Astronomi-Kosmologi Moden yang Tak Tergapai

Dalam Bab 21, dibicarakan perihal jujukan/urutan penciptaan langit dan bumi. Dalam astronomi dan kosmologi moden tiadalah kosep langit. Isu utamanya, setelah dipacu oleh Teori Kenisbian Einstein (teori tabii jasad besar dan jarak jauh, seperti planet-planet dan bintang-bintang itu) dan Teori Quantum (teori jasad kecil dan jarak dekat seperti elektron, proton dan quark itu) yang masih bertentangan antara satu dengan lain itu (belum dapat dijinakkan bersama, apatah lagi disatukan seperti yang dingini sejak hampir sekurun yang lalu lagi) ialah bagaimana ruang dan masa tercipta dan bagaimana model alam semesta dibina sehingga semua fenomenon fizik di dalamnya dapat difahami. Tidak hairanlah usaha memadan langit atau samawat di dalam al-Qur’aan dengan teori yang sedia ada di dalam atau dicongkel daripada kosmologi moden sentiasa menghadapi masalah dan jalan buntu. Istilah langit di dalam bahasa Inggeris pun tidak dapat dipadankan dengan kosmologi moden kerana dalam bahasa Inggeris ada empat istilah yang nampaknya dapat dikaitkan dengan “langit Inggeris”, iaitu sky, heaven, paradise and celestial. Pada zaman sebelum teori Copernicus (nama sebenarnya Kopernigk) muncul, heaven dan paradise itu merujuk kepada planet dan bintang itu. Oleh sebab setiap planet itu dianggapnya bergerak mengelilingi Bumi mengikut orbitnya masing-masing sehingga dibayangkan mengikut lapisan masing-masing, maka ditafsirnya lapisan planet itulah langit. Mereka pun selanjutnya mentafsirkan lintasan 5 butir planet yang diketahui lama wujudnya itu dan lintasan Bulan dan Matahari itulah menjadi 7 lapis langit, lalu terbitnya istilah seven heavens, dan heavenly objects/bodies. Lima butir planet yang diketahui lama itu, mungkin sejak Nabi Adam lagi, ialah (mengikut jaraknya daripada Bumi) selepas Bulan (langit pertama) ialah Utarid/Mercury (langit ke-2), Zuhrah/Zohrah/Venus (langit ke-3) [ejaan yang tidak diperakukan ialah Zuhrat, Zuhara dan Zuharah; bintang ini juga dikenali sebagai Bintang Babi Penganjur, Bintang Barat, Bintang Johar, Bintang Kejora, Bintang Pagi, Bintang Timur dan Bintang Zorah], Matahari/Sun (langit ke-4), Marikh/Mars (langit ke-5), Musytari/Jupiter (langit ke-6), dan Zuhal/Saturnus/Saturn (langit ke-7). Langit ini dipadankan dengan sama’ (jamaknya samawat) dalam bahasa Arab yang sejak 1970-an dahulu diMelayukan kepada samawi lalu seven heavens setara dengan tujuh samawi dan heavenly bodies setara dengan jasad samawi; dan bukannya dengan al-jannaht atau syurga walaupun terjemahan biasanya heaven itu ialah malangnya syurga juga. Inilah juga teori yang ada di dalam kitab-kitab atau manuskrip lama Melayu seperti yang terkenalnya Bustan al-Salatin (Bab 1) karya Nur al-Dyn al-Ranyry (Nuruddin al-Raniri) 1638 itu. Dengan munculnya teori Copernicus dalam pertengahan abad ke-16 M (pusat alam bukan lagi Bumi tetapi Matahari) yang nampaknya turut diakuri oleh penulis Muslim hingga kini pun (yang besar kemungkinannya tidak mengetahui adanya Teori Einstein dan Teori Quantum; contohnya lihat manuskrip 1960-an karya …, , tetapi nampaknya tidaklah termasuk Danial (Bab 30), tingkat-tingkat langit ini tentunyalah sewajarnya berubah tetapi kami belum pernah melihat rakaman sedemikian itu di mana-mana lagi. Bagus juga kerana kalau ada pun pemadanan langit dengan planet ini sudah usang dan tidak terpakai lagi kerana bilangan planet sejak abad ke-18 sudah melebihi 5, bahkan kini sudah diketahui 10 butir planet (setelah begitu lama dengan 9 planet). Penolakan Danial terhadap teori Copernicus dan teori sebelumnya benar-benar mengikut gaya yang dipreskripsikan oleh penggiat pengIslaman ilmu, iaitu menggunakan al-Qur’aan sebagai sumber untuk mengkritik sains moden. Danial boleh ditabik di sini.


Istilah paradise (daripada Latin paradisus daripada Yunani paradeisos; atau setengah mengatakan daripada Arab firdaus) ini nampaknya dikhaskan untuk heaven yang tinggi-tinggi (jauh daripada Bumi) melepasi jasad-jasad yang sekarang dipanggil planet itu. Ini bermakna paradise itu dahulunya dianggapnya lapisan bintang-bintang selepas Zuhal (Inggeris, Saturn drp Latin Saturanus) hinggalah 1781 apabila ditemui planet yang diberi nama Uranus dijumpai dan seterusnya paradise berubah lagi apabila planet yang lebih jauh lagi dijumpai pada tahun 1846 dan diberi nama Neptun (drp Inggeris, Neptune drp Latin, Neputunus) tetapi pada 1930 ditemui planet yang diberi nama Pluto (planet ke-9) lalu paradise pun berubah tempatnya selepas planet ini hinggalah 2003 planet ke-10 pula dijumpai dan dipersetujui namanya Eris pada 2006 sempena Tuhan (betina) peperangan & perjuangan Yunani. (Ini contoh terbaru sikap ahli sains Barat menunjukkan perangainya yang apeduli agama samawi lalu berseronok lagi dengan memuliakan Dewa panganisme Yunani ini; semua nama planet Barat itu sempena nama Dewa Yunani atau Roma). Tegasnya, mengikut paradigma ini, sejak 2003 bolehlah dikatakan paradise itu dikhaskan untuk bintang-bintang yang berada selepas planet ke-10, Eris itu. Bintang-bintang ini dijadikan bahan ilmu yang dikenali di dalam bahasa Melayu purba (sebelum abad ke-8 M) sebagai horasastera (daripada Sanskrit yang bermakna tulisan/sastera tentang bintang), kemudian dengan kedatangan Islam menjadi ilmu nujum (ilmu bintang), dan dengan kedatangan Barat menjadi astrologi (daripada Ing., astrology drp Latin dan Yunani, astrologia, yang juga bermakna ilmu bintang; dan di dalam bahasa penjajah Pascabima (Alam Melayu) lain ialah astrologia bagi Pertugis/Sepanyol, astrologie bagi Belanda/Perancis). Bintang dalam horasastera/ilmu nujum/astrologi ini berjumlah 12 butir (selaras dengan pewujudan 12 bulan setahun itu) dan dikenali dalam tamadun Melayu-Islam sebagai Bintang Rasi atau Bintang Dua Belas (yang kini lebih dikenali dengan Zodiak, drp Inggeris Zodiac drp Latin Zodiacus, Yunani Zodiakos yang bermakna haiwan yang menjadi nama bintang-bintang berkenaan; dalam bahasa-hahasa penjajah Pascabima lain: Zodiaco bagi Pertugis/Sepanyol, Zodiak bagi Belanda, Zodiaque bagi Perancis,), yang popular dengan natijah ramalan daripadanya oleh Barat-Inggeris, horoskop (Ing./Perancis, horoscope daripada sumber yang sama dengan Melayu Purba, hora; dan konteks lain, hora diambil Inggeris menjadi unit masanya, hour) dan skop (drp Inggeris scope drp Yunani, skopein, yang bermakna meneropong; bahasa penjajah Pascabima yang lain: horoscopo dlm Pertugis/Sepanyol, horoscoop dlm Belanda).


Istilah paradise hampir pasti diterjemah ke dalam bahasa Melayu sekarang sebagai syurga oleh mereka yang terikat kepada semantik bahasa Inggeris dan sekular pula, lebih-lebih lagi itulah model Kristian-Eropah tentang syurga. Ini juga syurga dalam ajaran Buddha mengikut kitab sucinya Bhagavadgita yang dihuraikan oleh Bhaktividenta Swami 2008 (Bhagavad-Gita As It Is terbitan Los Angeles: The Bhaktividenta Book Trust). Semua ini tentunya bertentangan dengan konsep syurga dalam Islam. Mungkin lebih baik paradise dalam konteks bintang-bintang ini diterjemah kepada “kayangan” sahaja; walaupun dalam konteks alam akhirat itu memanglah sesuai paradise itu (yang memang dipakai juga di dalam bahasa Inggeris-Kristian) diterjemah kepada syurga.


Istilah celestial (daripada Latin caelestis yang bermakna hal-ehwal yang berhubung dengan heaven) nampaknya dikhaskan untuk konteks heaven yang diangkat martabatnya pada tingkat kudus/sakral seperti untuk agama yang diwahyukan, celestial religion, ilmu berkenaaan dengan heavenly bodies diistilahkan sebagai celestial science, khususnya celestial mechanics dan celestial dynamics dan seterusnya heavenly bodies pun menjadi celestial bodies. Istilah yang diperakui sejak tahun 1970-an terhadap celestial ialah “cakerawala” (drp Sanskrit, dalam model alam Hindu-Buddha bermaksud alam yang paling jauh daripada kaki Gunung Semeru/Meru).

Sejak Islam diserang dengan sains bukan ciptaannya, orang Islam amnya sentiasalah mahu berseronok mahu memadankan langit atau samawat di dalam al-Qur’aan itu dengan apa-apa lapisan yang ada di dalam astronomi-kosmologi Barat yang mutakhir. Khususnya Islam-Melayu menggelintar makna langit, sejak terutamanya dihimpit oleh “sains jasad di langit”, dan “sains asal-usul kejadian” daripada luar pemikiran mereka, sedangkan mereka ada istilah syurga, naraka, kayangan, akasa/angkasa dan yang lebih baru, samawi dan cakerawala itu. Tafsiran langit seperti di dalam Bustan al-Salatin yang diperihalkan di atas itu memanglah wajar tidak diterima lagi oleh orang Melayu kini. Seperti yang telah disebut sebelum ini, padanan langit/samawi dengan planet memang menunjukkan kebebalan sahaja. Gantinya yang agak popular nampaknya sejak beberapa dasawarsa dahulu lagi ialah lapisan-lapisan angkasa di atas permukaan bumi berasaskan kandungan jirim di setiap lapisan tersebut seperti mesosfera, staratosfera, troposfera, termosfera, dan eksosfera (baru 5 lapis) tetapi dengan mudah boleh didapatkan dua lagi lapisan atmosfera bumi ini seperti “Dua Pending van Allen” umpamanya, cukup 7 lapis x-sfera maka berhentilah. Namun, jelas padanan langit dengan x-sfera ini jauh daripada memuaskan. Itulah juga menjadikan Muslim mutakahir ini mengimbau lapisan alam semesta yang terbit daripada DB sebagai calon samawat itu.


Danial membicarakan isu yang berhubung dengan langit dalam Bab 21, 30 dan 35 dengan agak “haru-biru” kerana beliau tidak membicarakan konsep langit atau samawat itu terlebih dahulu, sedangkan dalam sains moden, seperti yang telah disebut sebelum ini konsep langit itu tiada. Dalam Bab 21, beliau menegaskan pada akhir bab itu seolah-olah atmosfera itulah langit semata-mata kerana mengikut sebuah sumber rujukannya tentang geografi fizik, atmosfera yang melitupi bumi ini ada 7 lapis. Tidak pula dijelaskan nama-nama lapisan itu sebagaimana yang kami papar sebelum ini untuk perbandingannya. Dalam Bab 30, lebih tidaklah jelas lagi makna langit di situ tetapi nampaknya langit itu sentiasa dikaitkan dengan planet, bintang bahkan galaksi sehingga tidaklah dapat dipadankan dengan 7 lapis samawat itu. Akhirnya Bab 35 dipaparkan hubungan langit dengan kejadian alam semesta menerusi DB yang benar-benar dipercayainya berlaku itu. Di sini pun konsep langit yang dapat dirumuskan oleh pembaca ialah bahawa langit itu lapisan bintang, planet dan galaksi itu kerana ditegaskannya ruang di alam semesta ini (suatu yang amat diminati oleh ahli kosmologi Barat) ialah ruang antarabintang/antarnajmi atau yang beliau kekalkan nama Inggerisnya interstellar dan ruang antaraplanet atau dikekalkannya istilah interplanetary space. Akan tetapi beliau tidak pula cuba memadankannya dengan 7 samawat itu. Pun begitu beliau tetap membuat kesimpulan di akhir Bab 30 ini akan keserasian sains hari ini dengan al-Qur’aan! Dalam Bab 22 Danial melakukan pembahagian fasa-fasa kejadiaan alam semesta (ayyam itu agaknya) kejadian alam semesta menerusi DB yang dipercayainya benar-benar berlaku itu. Beliau cuba mendapatkan 6 fasa kejadian alam semesta kerana dipacu oleh tafsiran ayaht al-Qur’aan oleh Said Hawa itu dan nampaknya beliau berjayalah mendapat 6 fasa itu. Beliau meletakkan kejadian langit (atas nama atmosfera) berlaku pada fasa ke-6 itu. Tidaklah jelas apa fungsinya pengelasan fasa ini selain daripada mentakhtakan kebijaksanaan Said Hawa dan ahli kosmologi Barat itu. Isu langit terabai lagi. Namun keseronokan dengan padanan pakai ambilnya (adhoknya) agama dengan ilmu asing ini ,… , seronok “menumpang sekaki” sahaja memanglah tidak akan menyelesaikan masalah umat. Lebih berkemungkinan besar lagi sebenarnya pemadanan 7 samawat dengan apa-apa lapisan yang diterbitkan daripada teori sains, yang tidak bertujuan menyelesaikan masalah langit atau samawat itu pun, memang tidak sesuai kerana teori sains moden ini bukan bertujuan untuk menyelesaikan masalah samawat atau langit itu.

Apa yang Tinggal pada Sarjana Muslim?

Rasanya yang terdidik kepada pembaca menerusi buku Danial ini rasanya begini sahaja: Semuanya orang Islam tak perlu gusar,… kita berada di naungan yang selamat, biarlah orang lain (bukan Islam, walaupun mereka yang anti-Islam atau tak peduli agama,…) membuktikan kita berada di tempat yang selamat ini. Setiap benda sains yang Barat jumpa itu sudah ada di dalam “Quran”! Orang Islam sudah tahu lama “alam ini mengembang”, Lohong Gelap (Black Hole), Blazar, Nebula Mawar (Rose Nebulae), adanya hayat bintang, Matahari menyinar Bulan memantulkan sinar Matahari, adanya orbit bagi setiap objek di langit (bahkan Bulan dan Matahari bergerak melalui bulatan) dan berputarnya setiap objek ini atas paksinya masing-masing pula, bulatnya Bumi, adanya jirim gelap (dark matter), …., yang setiap satunya dibicarakan di dalam buku itu… Rasanya Buccailleis mahu saja mecabar (tetapi tidak terkeluar agaknya) sesiapa sahaja supaya memberi apa sahaja perkara dan fenomenon yang ada di dalam astronomi dan kosmologi sekarang ini untuk dibalas dengan kata gembiranya bahawa perkara itu sudah ada di dalam al-Qur’aan (dan kebanyakan diketahui oleh ulama Islam sejak zaman munculnya pentrafsir-tafsir agung Islam dahulu lagi berabad-abad lebih awal daripada ahli astronomi dan kosmologi Barat yang tidak pernah peduli kepada al-Qur’aan itu!). Inilah yang terpapar di dalam buku laris jualan ini. Sungguh malu dan memilukan … laris tetapi terhiris sembilu rasanya … tergoreslah karya-karya “sains Islam” kini.


Perasaan ini lebih-lebih lagi terasanya apabila mengenangkan betapa seringnya “cendekiawan” Muslim mempertahankan perkara sains yang sebenarnya sudah roboh, atau sedang dirobohkan oleh sarjana Barat. Dalam kes di sini, yang bagusnya Danial, perkara ini tidaklah begitu jelas berlakunya demikian dalam hal yang ditebalkan di atas, iaitu orbit bagi setiap objek di langit ialah bulatan dan bulatnya Bumi. Sebahagiannya kerana penggunaan istilah “orbit” dan ungkapan “berputar di atas paksinya sendiri” dan “putaran dalam bentuk lain” (dalam Bab 30) yang agak mengelirukan. Contoh yang diberinya tentang “matahari bergerak di atas paksinya” dan “bergerak juga mengelilingi galaksi Bimasakti” cukuplah jelas perbezaannya. Namun contoh “bulan berputar atas paksinya” itu nampaknya bermakna “bulan berputar dalam bentuk lain” itu. Istilah “orbit” nampaknya digunakan untuk kedua-dua jenis putaran ini sedangkan sepatutnya untuk “putaran dalam bentuk lain” itu sahaja. Yang kurang jelas lagi ialah tentang penolakannya teori Batlamiyus atau Ptolameus (berpusatkan Bumi) dan teori Copernicus (berpusatkan Matahari) berasaskan al-Qur’aan, suatu yang bagus, tetapi tidak pula dinyatakan dengan jelasnya akan pendiriannya terhadap Teori Newton, Teori Einstein dan Teori Quantum yang dua teori yang terakhir itu menjadi landasan asas kosmologi moden, khususnya teori DB itu. Oleh sebab beliau begitu percaya kepada kebenaran teori DB maka bolehlah diandaikan yang beliau memang percaya kepada Teori Einstein dan Teori Quantum itu. Masalahnya, bagi Danial terutamanya, mengikut Teori Einstein, benarlah semua jasad di langit bergerak tetapi orbit (iaitu laluan atau lintasan putaran yang bukan pada paksinya sendiri) jasad itu tidak sekali-kali berupa bulatan. Orbit bulat bagi jasad di langit hanyalah pernah menjadi spekulasi dan idaman ahli astronomi masa dahulu sahaja tetapi apabila Newton berteori pada abad ke-17 Masihi dan diikuti orang (komuniti ahli sains) sehingga awal abad ke-20, didapati hampir tiadalah orbit bulatan itu tetapi yang ada ialah orbit elips atau hiperbola. Apabila cerapan dilakukan, Teori Newton ini hampir-hampir benar sah berlakunya tetapi ada beberapa objek di langit yang begitu ketara tidak langsung bergerak demikian seperti contoh terkenalnya ialah planet Utarid itu tidak mengikut orbit elips sekalipun (apatah lagi mengikuti bulatan) tetapi terhuyung-hayang seperti gasing meliuk, sehingga tempat yang pernah dilalui planet itu tidak akan pernah kembali lagi ke tempat itu bila-bila masa pun, iaitu gerakannya tidaklah berkala, atau lintasannya tidak tertutup! Teori Einstein dapatlah menyelamat keadaan ini daripada terduduk langsung, yang sekaligus menjadi satu daripada puncanya Teori Einstein itu dirayakan, walaupun Teori Einstein itu masih belum memuaskan dan semakin merebak dan mendalam ranah ketidak-puasannya hingga kini, tetapi yang penting lagi di sini teori Newton (apatah lagi teori Copernicus) itu sudah dihumban ke dasar lautan kerana didapati teori Einstein itu lebih berjaya (segi daya penjelasan fenomenon dan daya peramalan serta keanggunan dan kecanggihan matematiknya). Sekarang ini sesiapa yang mempertahankan sains yang berasaskan teori Copernicus-Newton, lebih-lebih lagi menggunakan al-Qur’aan, memang amat-amatlah memilukan dan membebalkan.


Bagusnya, Danial memang menolak teori Batlamiyus dan Copernicus, tetapi tidaklah jelas pendiriannya terhadap Teori Newton. Akan tetapi perlu juga diingatkan bahawa Newton (dan sarjana lain pun yang menyokong teori Copernicus itu) tidaklah dapat membuktikan keesahan hipotesis Copernicus itu (semuanya mengelilingi matahari mengikut bulatan dan matahari tak bergerak), namun hakikat ini tidaklah begitu disembulkan. Newton sebenarnya memperoleh teori baru yang boleh dipadankan (bagi Bucalleis) dengan ayaht al-Qur’aan yang diutarakan oleh Danial tentang bergeraknya semua objek di langit. Cerita teori Newton ini agak bermatematik dan mungkin “memalingkan punggung” ramai pembaca nanti. Namun mahu juga rasanya diceritakan di sini sedikit perihalnya kerana susahnya didapatkan hal ini di dalam susatera astronomi-kosmologi sekarang. Teori Newton hanya dapat digunakan untuk membuktikan teori Copernicus apabila seseorang berada di tempat yang menjadi pusat jisim dua jasad yang satu daripadanya jauh lebih besar (berat) daripada yang satu lagi (contohnya Bumi dan Matahari, Bulan dan Bumi,…asalkan hanya dua objek sahaja) dan tiada jisim lain lagi (yang mempengaruhinya). Pada pusat jisim 2-jasad, hukum graviti yang direkanya dan matematik ciptaannya, kedua-dua jasad itu bergerak sama ada dalam bentuk elips atau hiperbola bernisbi (relatif) dengan pusat jisim itu. Jika satu daripada jisim itu jauh lebih besar (berat) daripada yang satu lagi, maka pusat jisim berada hampir dengan objek yang lebih besar itu (dalam hal Matahari-Planet, Matahari-lah yang hampir-hampir menjadi pusat jisimnya dan dalam kes Bulan-Bumi, Bumilah menjadi pusat jisimya). Dalam keadaan inilah, maka kelihatan di pusat jisim itu (iaitu hampir dengan Matahari bagi sistem pasangan planet-Matahari; Bumi bagi sistem Bulan-Bumi) objek yang lebih kecil itu (iaitu planet pilihan atau Bulan) bergerak mengelilingi objek yang besar (pusat jisim) jika dicerap pada pusat jisim itu. Ini bermakna, oleh sebab kita berada di Bumi dan mencerap Matahari, maka tidaklah benar Matahari tak bergerak dan hanya Bumi yang bergerak mengelilingi Matahari; kedua-dua-nya bergerak mengelilingi antara satu dengan lain! Lagi pun, jika kita mencerap di pusat jisim Matahari-Bumi sekali pun kita tidak akan dapat membuktikan hanya Bumi yang bergerak dan Matahari tidak kerana kita ada banyak jasad lagi di langit sana (yang pastinya planet lain lagi itu) yang juga berinteraksi dengan Bumi dan Matahari itu. Sains (Matematik) sekarang masih belum mampu menjelaskan orbit 3-jasad apatah lagi beribu bahkan berjuta-juta jasad di alam semesta ini! Jika kita tolak teori Newton seperti yang sepatutnya, maka situasinya jauh lebih rumit lagi walaupun kesimpulannya secara kasarnya dapatlah dinyatakan bahawa semua benda di langit bergerak dan gerakannya bukan mengikut bulatan. Sekarang Danial nampaknya menerima dua teori yang bertentangan, teori Einstein dan teori daripada al-Qur‘aan (tafsirannya) Jelaslah Danial akan menolak teori Einstein sekarang tetapi kenapa dia menerima penuh teori DB sebuah teori yang berasaskan teori yang dia bersetuju menolaknya? Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan sains kini (dalam bidang astronomi-kosmologi) untuk mentafsirkan al-Qur’aan dengan begitu yakin seperti yang cuba dipaparkan oleh Danial di dalam buku ini.


Tentang bulatnya Bumi memang sudah lebih lama lagi terbukti tidak benarnya oleh sains moden. Andaian bulatnya bumi ini, mengikut sejarah sains Barat, diutara oleh sarjana Yunani sebelum Masihi dahulu lagi, tetapi disahkan benarnya hanya oleh Magellan pada awal abad ke-16 setelah beliau disimbolkan sebagai pengeliling dunia yang pertama (kerana beliau mati dibunuh oleh seorang raja-wira Islam di Pulau Mactan (di utara Mindanao) bernama Datu Lapu-Lapu; dan jika kita mahu petriotik pelayar Melayu yang membantu pelayarannya sejak di Eropah, yang bernama Ahmad yang diberi nama timangan Sepanyolnya, Enrique, itulah pengeliling dunia pertamanya: Ahmad dicolek oleh orang-orang upahan Magellan dari Melaka untuk dijadikan penunjuk jalannya dan beliau dapat melarikan diri apabila kapal Magelan itu sampai di Melaka). Namun bulatnya bumi ini daripada peristiwa ini hanya secara kasar sahaja. Jika berdasarkan pada pelayaran itu sahaja bumi ini boleh jadi juga berbentuk silinder atau lain-lain lagi! Sarjana Yunani mendapat inspirasi daripada bayang-bayang Bumi ketika gerhana Bulan itu untuk membuat hipotesisnya bahawa Bumi ini “bulat”, iaitu sferoid. Dalam abad ke-17 M Newton menggunakan teorinya mengenai gerakan untuk mendapat kesimpulannya bahawa bumi ini tidaklah bulat tetapi buntal (sferoid pipih) dengan jejari di Khatul-istiwa lebih panjang sebanyak 43 km daripada yang menerusi Kutub Utara atau Selatan. Teori ini kononnya disahkan betul menerusi pelayaran dari England ke Peru dan ke Lapland (Finland) pada 1730-an. Namun kajian bentuk Bumi menerusi satelit (pertengahan kedua abad ke-20) menunjukkan Bumi ini berbentuk seperti buah jambu atau mengikut model alam Hindu-Buddha jambudvipa, yang bagi orang Barat berbentuk buah per (e di sini sama dengan e di dalam elok). (Lihat K. Lamback, “The shape of the earth: from erosthenes to the space age”, http://www.interacademies. net/?id=7673). Yang penting, tidak tepatnya dunia ini bulat sudah diterima umum di kalangan ahli sains sejak abad ke-18 M lagi! Ini mungkin dilemma besar bagi Danial yang sudah begitu ber-haq al-yaqiyn dengan tafsiran al-Qur’aan terhadap ayaht berkenaan Bumi itu di dalam Bab 34 (isu tafsiran falak, dan yukawwiru, kawwara dan daha di dalam al-Qur’aan).


Sains Moden Peduli Tuhan?

Bab 105 “Sains Menonjolkan Tuhan” cukup mengelirukan kerana yang sains (maksudnya sains moden ini, sains sekarang, sains yang diperkatakan oleh Danial) sebenarnya jelas tidak menyokong pernyataan itu. Jika benarlah bagai dikata oleh Danial itu (dan sebenarnya ramailah yang suka berkata seperti beliau itu), maka seperti yang disuarakan oleh Seyyed Hossain Nasr, sarjana pelandas “pengIslaman Ilmu” yang amat disegani oleh sarjana Barat sekalipun itu, kenapakah sebahagian besar (tinjauan yang dibuat beberapa kali oleh ahli sosiologi AS, lebih drp 90%) ahli sains Barat itu sama ada ateis (menolak kewujudan Tuhan mengikut konsep ajaran agama samawi/wahyu) atau apedulis (tak peduli agama); dan selebihnya itu pula (sekitar 10% itu tentunya jumhurnya beragama tetapi sekular sahaja) ? Siapa yang “mengajar agama” kepada mereka ini? Bukankah sains yang “dimuliakan” itu? Bukankah ini kerana tabii sains yang mereka fahami dan bina itulah yang mengajar dan mendorong mereka hidup demikian? Sains moden ini sebenarnya mengajar mereka tiadanya Tuhan atau Tuhan tidak berfungsi lagi di dunia ini!

Benarkah Sains Moden Membenarkan Quran?

Bab akhir buku ini, Bab 107, “Sains Membenarkan Quran” juga berupa tafsiran orang awam Muslim yang tua-tua terhadap sains sekarang sahaja. Baguslah juga untuk mereka itu! Akan tetapi bagi Muslim generasi muda, yang terdedah dengan kupasan sains dari para ahli sains itu sendiri, jikalau dalam bidang astronomi dan kosmologi ini, Stephen Hawking (bakal pemenang Hadiah Nobel) dan Stephen Weinberg (pemenang Hadiah Nobel), kedua-duanya terkenal dengan pendirian ateis atau apeduli agama, apatah lagi pelajar atau penyelidik sains itu sendiri, tentunya mempunyai perasaan yang kontra daripada pernyataan itu. Akibatnya mereka pun semakin menjadi sekular (memisahkan Islam dengan sains) atau seorang-duanya bergiat di dalam “PengIslaman ilmu” yang seringlah dihiris oleh tulisan Bucailleis seperti karya Danial ini.


Sedar Dirikah Kita?

Tulisan di Bab kedua terakhir Bab 106, “Quran Pemangkin Ilmu Sains” jikalau sebelum membacanya sungguh teringin besar membacanya dengan bayangan adanya tulisan bukti sekarang (bukan zaman Tamadun Islam dahulu sahaja) yang menunjukkan al-Qur’aan benar-benar menjadi pempercepat atau pemecut penemuan baru sains yang lebih serasi dengan kehendak Islam berbanding dengan yang berlaku di dalam sains yang tidak dipacukan atau bersumberkan al-Qur’aan selama ini. Namun setelah membacanya, tiadalah perkara impian atau harapan itu. Contoh al-Qur’aan sebagai mangkin (“pemangkin” membazir sahaja setaraf dengan ahli saintis dan sebagainya) pada zaman dahulu pun hanya digambarkan secara am sahaja iaitu mengulang pendapat sejarawan Barat juga bahawa Renaissance Barat itu berlaku berkat Islam! Yang lainnya ialah cerita ulangan pemangkungan (penamparan dsbnya yang memalukan Kristian Eropah) tentang kezaliman Inkuisisi terhadap ahli sains mereka dan tentang tiada budaya cita ilmu di kalangan Kristian dahulu. Memanglah semuanya benar! Namun itu dahalu. Keadaan sekarang sebenarnya sudah berubah. Paus Katholik pun sudah membuat (tahun 1990-an) pohon maaf secara terbuka kepada komuniti ahli sains seluruh dunia kerana kezalimannya dahulu; dan penganut Kristian-Barat sekarang adalah antara mereka yang paling cita ilmu lebih daripada penganut Islam sekarang sekalipun; bahkan ada penganut Kristian yang tidak sekular yang bertaraf ahli sains yang menubuhkan institut penyelidikan (bertaraf swasta atau badan bukan kerajaan) khusus bagi menentang sains Barat yang dianggapnya dominan ateis atau berajaran anti-Kristian terutamanya di dalam falsafahnya (naturalism yang diistilahkan di dalam bahasa Melayu sebagai tabiisme dan sekutunya atau manifestasi atau penjelmaanya), sains kejadian hayat (Teori Evolusi dan sekutunya) dan kejadian alam semesta (Teori DB dan sekutunya). Ini lebih baik daripada Muslim kerana walaupun sarjana Muslim juga ada yang insaf seperti ini dan bergiat di dalam “pengIslaman Ilmu” tetapi bilangan ahli sains (khususnya dalam bidang kejadian yang penting itu, kejadian hayat dan kejadian alam semesta), hanya boleh dibilang sebelah tangan sahaja.

Kesimpulan

Buku Danial, sungguhpun sebuah karya yang berjaya (yang terbukti daripada kelarisan jualannya), oleh itu boleh dipuji dalam sumbangannya meraya dan memeriahkan industri perbukuan di dalam bahasa Melayu, namun mauduk bicaranya sekali-kali tidak memangkinkan, bahkan mengawamangkinkan, kegiatan pembersihan ilmu barat yang sekular atau ateis, yang secara jumhurnya kini sudah diterima menjadi masalah besar umat Islam. Keyakinannya yang luar biasa terhadap beberapa buah teori sains moden yang sudah diabaikan atau sedang dirobekkan Barat sendiri boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada umat Islam dari bersikap mengalah/inferior kepada Barat, menjadi pasif, tidak berdaya kreatif, hinggalah kepada semakin sekular, memuliakan liberalisme (tafsiran al-Qur’aan berubah mengikut kehendak sains semasa) dan menghargai jamakisme/ pluralism (kerana ilmu daripada ahli sains Barat bukan Islam sama sahaja dengan ilmu daripada al-Qur'aan!). Oleh itu buku genre seperti ini sepatutnya ditulis dengan lebih hati-hati lagi sehingga hubungan sains moden dengan Islam itu diandai ada banyak yang tidak kenanya lalu ditulis dengan tujuan mendidik pembacanya menjadi kritis terhadap sains moden ini, menyanjung tinggi pengkritik ilmu semasa Barat dan menanam semangat berkarya untuk melahirkan sains baru yang lebih serasi dengan Islam dan mampu menyaingi sains moden ini. Bertentangan dengan pandangan dan imbauan tiga orang pengiring buku ini, buku ini sukar dianggap sebagai hasil penyelidikan atau pembacaan yang meluas dan teliti; oleh itu tidaklah wajar dibaca dengan tidak pula membaca karya kontranya oleh mereka yang bergiat di dalam “pengIslaman Ilmu”. Buku ini bahkan tidaklah berguna dibaca oleh mereka yang mahu melihat adanya “sains Islam” yang boleh menyaingi sains tanpa agama sekarang.



4 Oktober 2010

Saturday, September 4, 2010

ESQ Leadership Training yang Kontroversi

ULASAN BUKU ARY GINANJAR AUGUSTIAN: ESQ 2008


Shaharir b.M.Z.

Abstrak
Buku yang menjadi pegangan utama di dalam “ESQ Leadership Training” yang kontroversi itu disorot di sini mengikut sudut pengIslaman ilmu. Buku ini memang ada unsur pembinaan semula ilmu kepengurusan yang asli berasaskan prinsip Islam setelah sedikit kritikan (dan kurang memuaskan) dilakukan terhadap teori EQ dan ES Barat. Yang amat kurang memuaskan itu ialah kerana tiadanya bicara soal pokoknya, iaitu emosi dan rohani itu sendiri yang tentunya berbeza antara konsep emosi dan rohani Islam dengan yang bukan Islam yang sekaligus mampu mengkritik lagi teori EQ dan ES Barat itu. Tiadalah juga dibicarakan konsep kejayaan yang menjadi perkara besar di dalam buku ini, khususnya bicara perbezaan besarnya kejayaan Islam dengan yang bukan Islam. Ketiadan dua perkara besar inilah yang mengundang bercelarunya dan tidak mantapnya buku ini. Apa pun usaha ke arah pengIslaman ilmu di dalam buku ini bolehlah dipuji. Namun di dalam pembinaan dan pengolahan ilmu berkenaan itu, buku ini amatlah banyak memaparkan idea dan prinsip yang agak asing lagi daripada Islam dan cuba menegakkan pula kebenarannya menerusi kaca mata Islam; atau pada ketika lainnya memaparkan idea daripada prinsip Islam tetapi disesuaikan dengan teori bukan Islam atau diperkukuhkannya dengan contoh amalan atau tokoh bukan Islam yang ditafsirkan menghayati idea Islam itu. Pendekatan ini, yang terkenal di dalam pengIslaman ilmu sebagai penghayatan Buccailleisme atau “penumpangan sekaki”, amat tidak cocok dengan pengIslaman ilmu yang diingini bahkan ditunjukkan tiada manfaatnya dan boleh pula membawa umat kepada kelemahan jiwa dalam berkarya (sentiasa kalah sarjana kepada bukan Islam), dan terseret kepada mendokong liberalisme dan jamakisma/pluralisme. Contoh perkara besar yang dibicarakan di dalam buku ini dan berada di dalam kategori ini ialah penampilan teori pengosongan minda dan kepercayaan kepada kebenaran yang dibawa oleh suara hati yang kononnya menjadi amalan para Nabi; dan ramainya tokoh Barat yang diidolakannya kerana kononnya menghayati pelbagai nilai Islam, amalan Islam atau prinsip Islam yang ditonjolkan menerusi teori ESQ beliau itu; dan memaparkan dengan ramainya tokoh-tokoh Barat bukan Islam (setengahnya ateis atau tidak peduli agama) yang kononnya membawa kebenaran dan menjadi contoh peribadi berjaya. Beliau juga dengan jelasnya menyatakan satu daripada tujuan teorinya untuk mengukuhan teori suara hati pakar motivasi dan kepengurusan Barat-Kristian Stephen Covey menerusi satu daripada aspek teori ESQ beliau, iaitu amalan zikir dan solat. Di samping itu banyaklah juga hal-hal yang boleh dianggap tidak kena atau tersisih daripada sasaran keIslamannya sendiri. Contohnya kononnya adanya teori Galileo dan Copernicus di dalam al-Qur’aan; mengandaikan hukum di dalam sains termasuk di dalam sains sosial adalah bersifat pasti yang lama diabaikan Barat sekalipun; mengandaikan kebenaran teori planet dan atom yang sudah lama diabaikan Barat sekalipun; meninggalkan prinsip-prinsip utama di dalam rukun Islam dan rukun iman di dalam huraian teorinya yang kurang cermat; dan membuat tafsiran baru iqra’ dan suraht al-Faatihah yang berpotensi ke arah melakukan bid‘aht dholalaht. Beliau juga jelas taasub kepada bilangan lima dan enam (bilangan rukun Islam dan rukun Iman) di dalam pengkategorian perkara di dalam teorinya sehingga menjadi punca tersasarnya dan menyasarnya teori beliau itu. Beliau juga mengulangi kononnya bukti mukjizat al-Qur’aan ialah menerusi teori Abdul Razak Nawfal (bilangan kemunculan sesuatu kelas perkataan) dan teori Rashad Khalifa (kod 19). Di samping tiadanya penjelasan konsep Ihsan yang dipakai di dalam teorinya, beliau juga memperakukan “metode historis” bagi menyelesaikan keraguan yang tidak jelas dan masih meragukan walaupun jika ditafsirkan sebagai kaedah statistik sekalipun. Model hubungan manusia-manusi-Tuhan juga agak masih menghayati model lumrah tiga segi yang kami anggap kurang tepat. Ketinggalan membuat rujukan yang agak tuntas terhadap sesuatu isu yang diperkatakan atau tidak menyenaraikan rujukan yang dialasinya termasuk yang penting-penting juga amat menjejaskan ketanggung-jawaban pengarang buku ini. Buku ini juga amatlah mengabaikan kekuatan bahasa sendiri atas pegangan salahnya terhadap falasafah dan peranan bahasa. Akhirnya, kami dapati 6 daripada fatwa Mufti Wilayah memang agak boleh dipertahankan menerusi sorotan ini tetapi selebihnya (4 lagi) itu agak meleset. Apa pun kami tidak memperakukan buku ini tidak diizinkan di pasaran, malah memperakukan supaya dibaca terutamanya oleh mereka yang berminat di dalam pengIslaman ilmu kepengurusan dan kepemimpinan serta melakukan kritikan dan penambah-baikan terhadapnya.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



Pendahuluan
Buku Ary Ginanjar Augustian yang diulas ini ialah yang judulnya diringkaskan sebagai ESQ 2008 sahaja. Judul Penuhnya, “Rahasia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual ESQ Emotional Spiritual Quotient. The ESQ Way 165. 1 Ihsan, 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam”, cetakan ke-43 Augustus 2008 terbitan Arga Publishing, Jakarta Indonesia, ISBN 979-96271-0-9. Berdasarkan pada bilangan percetakan itu, jelaslah buku ini mungkin sekali buku terlaris di dunia (yang pastinya, buku Melayu terlaris di dunia) kerana cetakan pertamanya hanya 2001 sahaja (bermakna 4 atau 5 kali cetakan setahun!). Sungguh ini suatu fenomenal di dalam sejarah bahasa Melayu. Ary memang pengarang luar biasa, dan dunia Melayu khasnya perlulah tabik kepadanya. Dengan kontroversi yang tercetus di Malaysia dalam bulan Julai 2010 terhadap buku ini, maka dijangkakan kelarisannya akan melonjak lagi.



Buku ini menarik perhatian pengulas ini sebaik sahaja diketahui adanya buku ini pada tahun 2002 dahulu lagi kerana mengikut maklumatnya buku ini mengandungi teori kepemimpinan dan kepengurusan yang berasaskan pada prinsip Islam (khasnya rukun Iman dan rukun Islam); suatu usaha “pengIslaman ilmu” atau “Islamisasi ilmu” yang berlainan sekali. Namun hasrat itu tidak kesampaian sehinggalah kini setelah termotivasi dek kontroversi terhadap buku ini seperti yang disebut di atas. Puncanya beberapa orang ulama termasuk Mufti terkenal, Harussani, dan mantan Mufti Johor, Noh Gadot, berjaya diserkap oleh Ary untuk membuat penyataan berbentuk iklan yang muncul dengan kerapnya di dada akhbar menyatakan kehebatan program pelatihan berasaskan buku ESQ 2008 ini yang diadakan sejak setahun-dua yang lepas di sekitar Lembah Kelang. Akan tetapi baru-baru ini seorang Mufti, Mufti Wilayah Persekutuan kini, Wan Zahidi, berpendapat sekurang-kurangnya 11 perkara di dalam buku ESQ 2008 itu bercanggah dengan Islam seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian, Rabu 21 Julai 2010 sehingga Pelatihan ESQ tajaan Ary itu tidak diizinkan berjalan di Wilayah Persekutuan) dan Harakah 9-12 Ogos 2010 yang juga menghebahkan laman Mufti Wilayah itu yang mengandungi kritikan penuhnya terhadap ajaran di dalam “ESQ Leadership Training” yang buku ESQ 2008 itu menjadi buku teksnya. Kami hanya akan mengulas singkat pendirian Mufti Wilayah Persekutuan itu pada akhir makalah ini sahaja.


PengIslaman Ilmu di dalam ESQ 2008
“PengIslaman ilmu” yang popular sehingga kini pun ialah hanya sekadar mengukuhkan apa sahaja ilmu kontemporer dari Barat dengan ayaht-ayaht al-Qur’aan yang sengaja ditafsirkan supaya serasi dengan ilmu berkenaan itu. Lihat sahaja betapa larisnya buku Danial Zainal Abidin “Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains” terbitan tahun 2007 yang sekurangnya sudah 8 kali cetakan semula sehingga tahun 2009, dan bagaimana larisnya buku-buku Harun Yahya (yang berkarya dalam bahasa Turki dan terjemahan Melayunya diterbit oleh Saba Muslim Media itu) dan buku Arip Kosmo, “Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran” terbitan tahun 2007 yang beroleh anugerah buku UKM tahun itu dan kini sudah cetakan ke-3. Ini manifestasi kelemahan umat Islam amnya yang seolah-olah hanya mahu berlindung dirinya di rumah orang lain, orang kaya, yang dianggapnya pemiliknya penuh ehsan, sedangkan makanan yang sering dihidangnya penuh dengan kearsenikuman. Kaedah ini sebenarnya sudah berkurun berlakunya kerana selama itulah orang Islam melarat lebih-lebih lagi di dalam pemilikan ilmunya, tetapi tidaklah serancak sejak akhir dasawarsa tahun 1970-an dahulu apabila sarjana daripada suku-sakat tuan rumah kediaman Muslim itu sendiri melakukannya. Kepopularannya dicetuskan oleh Maurice Bucaille (Perancis dan bukan Islam) menerusi karya asalnya La Bible, le Coran et la Science (1976) dan terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris The Bible, the Qur’an and Science (1978), dan bahasa Melayu juga dalam tahun 1978, begitu “berjaya” melakukannya [dengan menunjukkan serupanya beberapa unsur sains kontemporer dengan ilmu yang ditafsirkannya ada di dalam al-Qur’aan], dan disambut dengan meriah dan gahnya oleh seluruh umat Islam sehingga Bucaille menjadi seorang sarjana selebriti segera. Ini membuka mata hati “sarjana”, “cendekiawan”, atau penulis Muslim yang sudah lama diasuh meletakkan sains Barat itu sebagai satu kebenaran yang setanding dengan agamanya, maka lahirlah kaedah “pengIslaman ilmu” sebegini dengan berleluasanya. Itulah diagnosis munculnya, contohnya, buku-buku yang laris jualan yang tersebut di atas itu.



Kaedah pengIslaman ilmu mengikut gaya Bucaille itu dinamai kaedah Bucaille dan falsafahnya Bucailleisme serta pengikutnya atau pendokongnya Bucailleis. Istilah ini dicipta oleh Ziauddin Sardar, seorang sarjana-wartawan penggiat pengIslaman ilmu yang terjulang namanya pada sekitar 1980-an hingga 1990-an menerusi pembentukan kumpulannya yang dinamainya Ijmalis yang diketuai olehnya dan dianggotai oleh Merryl Wyn Davis (ahli antropologi-sosiologi), Jerome Ravetz (ahli falsafah sains), Parvez Manzoor (penulis-pemikir Islam) dan Munawar Ahmed Anees (ahli biologi-falsafah) yang semuanya memang banyak menghasilkan karya-karya umum tentang pengIslaman ilmu bukan gaya Buccaille, yang jauh lebih menarik dan bermakna lagi, segi kecendekiawanan atau kesarjanaan, tetapi tidak menjadi laris jualan. Bucailleisme memang tidak diperaku oleh bukan sahaja Ijmalis tetapi lebih bermakna lagi oleh para pemuka awal pengIslaman ilmu seperi Ismail al-Faruqi, Seyyed Hossein Nasr, Sayed Muhammad Naquib al-Attas dan ideolog mereka ini di Malaysia, ASASI (lihat penjelasan hampir semua aliran PengIslaman ilmu di dalam Shaharir 1990 dan khusus untuk Bucailleisme sahaja, khasnya aspek kenegatifannya, ada dibicarakan di dalam Shaharir 2009a). Satu daripada natijah yang belum diutarakan selama ini tentang Bucailleisme ini ialah betapanya fahaman ini boleh menyemarakkan liberalisme dan jamakisme atau pluralisme. Liberalisme di sini bermaksud fahaman bebasnya mentafsir al-Qur’aan dan al-Hadith mengikut kehendak ilmu kontemporer daripada dunia bukan Islam demi penyerasian ilmu itu dengan Islam. Ekorannya, sumber utama Islam itu tidak lagi menjadi titik-tolak pembinaan ilmu kontemporer sehingga ilmu kontemporer itu tertapis menerusi turas Islam, dan seterusnya sumber Islam itulah memotivasikan penginovasian atau penciptaan baru ilmu yang lebih serasi dengan Islam. Jamakisme itu jelas berlaku di dalam Bucailleisme kerana sains Barat itu dibina atas emosi dan ruhani Barat yang pelbagai asal-usulnya walaupun yang dominannya ialah liberalisme, kapitalisme, sosialisme, tabiisme, ateisme (komunisme hanya daripadanya sahaja) atau yang kami namainya apedulisme (fahaman tidak peduli agama); namun semua sains ini disesuaikan menerusi tafsiran baru al-Qur’aan dan al-Hadith untuk diserasikan dengan Islam, hingga jadilah semua agama sebenarnya sama sahaja. Kesimpulan ini semakin benar berlakunya kerana sains yang sama juga sedang dan setengahnya sudah pun dirasionalkan tafsirannya supaya serasi dengan agama-agama lain selain daripada Islam seperti yang masyhurnya keserasian Buddhaisme, Zenisme dan Taoisme dengan fizik moden (teori Einstein dan mekanik quantum) yang dilakukan oleh Capra (1978/2004), Zukav (1979/1984), dan khusus keserasian Buddhaisme dengan sains yang sama oleh Balasubramaniam (1992), keserasian sains amnya dengan Hindu oleh Raganathananda (1991), dan keserasian Kristian dengan fizik moden oleh Polkinghorne (2007) dan Schindler (1986). Oleh itu semua agama bertemu dan bersetuju dengan “kebenaran sains kontemporer” itu. Dengan kegiatan ini dicampur dengan Bucailleisme itu, maka sudah muncullah satu aliran pemikiran bagi pertemuan semua agama untuk meraikan bersama akan kebenaran sains kontemporer yang bolehlah dinamai serasisme. Tentunya sudah ramai pihak yang berkata, “Bukankah ini manifestasi bukti samanya semua agama!?”.



Buku ESQ 2008, ternyata memang bukan karya yang bebas Bucailleisme sepenuhnya, kerana masih banyak unsur tersebut di sana-sini di dalam buku itu yang dinyatakan pada banyak konteksnya kemudian. Namun sedikit kritikannya terhadap teori Maslow (1943), Drucker (1954/1993), teori EQ Goleman (1999) dan teori ES Zohar-Marshall (2001) serta usahanya menginovasikan teori ES dan EQ Barat itu berasaskan prinsip Islam itulah yang meletakkannya sebelah kakinya di luar rumah Bucailleis dan seterusnya menarik perhatian para pengkaji pengIslaman ilmu terutamanya dan sebahagian masyarakat Islam amnya. Pengarang ESQ 2008 memang ada menyebut dua buah buku yang mempengaruhinya berkarya sehingga terbitnya buku beliau, ESQ 2008 ini, iaitu buku Goleman (1999) yang pernah menjadi buku laris jualan dunia untuk beberapa tahun dan buku Zohar (bersama Marshall, 2001; yang pernah menjadi laris jualan juga) yang masing-masing dianggap dunia sebagai pencipta EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient). Kritikan beliau terhadap dua buah karya ini ternyata hanya sedikit sahaja dilakukan di dalam bab terakhir ESQ 2008 itu. Beliau tidak pun menunjukkan berbezanya konsep emosi Goleman itu dengan emosi di dalam Islam, akhlaq al-Karimah, yang ditonjolkan kewujudannya di dalam al-Qur’aan oleh beliau sendiri, bahkan nampaknya dianggapnya sama sahaja dengan emosi Barat itu. Begitu juga ruhani (atau istilahnya “spiritual”) di dalam SQ Zohar-Marshal atau ruhani Kristian di dalam teori kepemimpinan dan kepengurusan Covey (1989/1996) yang cukup kerap dirujuknya dengan postifnya itu nampaknya dianggapnya tiada bezanya dengan ruhani Islam. Inilah punca beliau dengan senangnya memberi contoh tokoh-tokoh Barat bukan Islam yang menghayati SQ dan EQ itu sebagai mereka yang menghayati ESQ beliau! Beliau terlepas pandang agaknya bahawa Jika seseorang tidak menegaskan perbezaannya antara emosi dan ruhani Barat itu dengan emosi dan ruhani Islam terlebih dahulu, maka sia-sialah teori baru seseorang itu tentang emosi dan ruhani di dalam kepemimpinan dan kepengurusan berlabelkan Islam itu. Sebabnya, ujian teori baru itu ke atas seseorang pengurus, pemimpin atau tokoh bukan Islam tetap akan melahirkan hasil yang sama, seperti yang memang dinyatakan secara tidak langsungnya di dalam buku ESQ 2008 itu, iaitu mereka yang di persada kejayaan sekarang kekal di tempat itu juga. Khalifah al-Rasyidin, umpamanya, tidak berada di persada itu, sedang teori Islam semestinya menghasilkan natijah yang mereka yang bukan Islam itu, bagaimanapun hebatnya sekali pun, seperti yang silamnya, Einstein, dan yang masih hidup, Bill Gate, itu hanyalah berkedudukan sedemikian itu mengikut sukatan acuan bukan Islam sahaja; tetapi masih belum hebat mengikut acuan Islam kerana misalnya teori Einstein yang berasaskan emosi dan ruhaninya yang bukan Islam itu masih bertentangan dengan ajaran Islam (lihat Shaharir 2008a, 2009b) dan oleh itu perlulah sebuah teori baru lagi yang lebih baik daripada teorinya yang selalu diagung-agungkan Barat (bukan Islam) dan turut disanjung tinggi oleh Muslim seluruh dunia itu, dan Ary pun memang tidak ketinggalan dalam pengejaran ini.



Sungguhpun kritikan pengarang ESQ 2008 itu terhadap teori EQ dan ES semasa amatlah sedikit, oleh itu tidaklah memuaskan, tetapi yang bagusnya itulah yang mendorongnya untuk melakukan inovasinya supaya sebuah teori EQ dan ES yang baru yang dapat dibinanya sesuai dengan ajaran Islam; dan langkah inilah yang boleh dianggap pengIslaman ilmu yang bukan Bucailleisme itu. Beliau membina teorinya sendiri berasaskan Rukun Iman, Rukun Islam dan sebuah konsep Islam, Ihsan. Bahkan hal ini dinyatakan sebagai sebahagian daripada judul bukunya dengan ungkapan di kulit bukunya itu: The ESQ Way 165. 1 Ihsan 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam. Judul ini pun tidak syak lagi menjadi magnet di dalam pemasarannya. Sejauh mana tercapai-tidaknya pengIslaman ilmu beliau inilah yang ingin dibicarakan ini.



Sebelum itu, kami ingin menyatakan di sini bahawa langkah pengarang ESQ 2008 yang tidak cukup banyak mengkritik kandungan buku Goleman dan Zohar-Marshall itu khususnya terhadap penyimpangannya daripada, atau tidak serasinya dengan Islam sudah pun menjadi satu daripada kelemahan umum buku ESQ 2008 itu. Dengan ketiadaan kerja itu, pembaca tidak dapat mengetahui, mengikut pandangannya, sejauh mana berbezanya atau samanya konsep EQ Goleman dan SQ Zohar-Marshall dengan yang beliau sendiri itu. Satu lagi kelemahan umum buku ini ialah ketiadaan hasil perbandingan ujian ESQ seseorang mengikut buku ESQ 2008 (seperti berasaskan ujian di bahagian lampiran buku itu) berbanding dengan ujian EQ dan SQ masing-masing berasaskan karya Goleman dan Zohar-Marshal terhadap beberapa orang tokoh yang berjaya di dunia sekarang sehingga menunjukkan teori ESQ 2008 itu lebih baik daripada kedua-dua teori Barat itu.


Senjata Manusia Berjaya: ZM, Rukun Iman, Rukun Islam, Ihsan dan
Bilangan 5 dan 6
Seluruh buku ESQ 2008 ditulis dengan andaian bahawa manusia yang hebat pemikirannya atau kepemimpinan atau kepengurusannya atau manusia yang berjaya besar ialah ialah manusia yang berdaya karya yang tinggi yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapinya dengan penuh daya ciptanya. Sebahagian besarnya andaian ini benar tetapi pengarang ESQ 2008 terlepas pandang pada sebahagian lagi yang pentingnya pada seseorang manusia yang dianggap berjaya itu, iaitu manusia yang bijak mewujudkan benda (suasana, masalah, ilmu, teknologi dsbnya). Bahagian penciptaan ini tidak dibicarakan di dalam ESQ 2008 itu sehingga ketiadaan aspek ini menjadi satu daripada unsur kelemahan buku ini. Dalam hal manusia penyelesai masalah ini, pengarang ESQ 2008 percaya bahawa manusia yang berjaya itu ialah yang tidak dipengaruhi oleh apa-apa, manusia yang bebas, manusia yang diistilahkannya sebagai “Zero Mind” itu. Oleh itu bab pertama (istilahnya “Bagian Satu”) buku ESQ 2008 itu ditumpukan kepada isu pengosongan minda ini, “Zero Mind Process” atau istilah beliau yang lainnya “Penjernihan Emosi” (di Daftar Isi), “Perjernihan Hati” (pipi 83), “Penjernihan Jiwa” (pipi 338), dan “Pembentukan hati dan pikiran yang jernih dan suci” (pipi 83). Selepas itu beliau membicarakan kaedah “Pembinaan Mental” atau “Mental Building”; diikuti oleh “Personal Strength” atau “Ketangguhan Peribadi”, “Social Strength” atau “Ketangguhan Sosial”. Beliau sengaja memastikan setiap perkara ini dibicarakan dengan 5 dan 6 (sekali-dua 7) komponennya atau sub-perkaranya, iaitu sesuai dengan bilangan Rukun Islam, Rukun iman, dan tambahan satu benda yang dinamainya ihsan. Berbeza dengan Rukun Islam dan Rukun Iman yang memang diketahui umum, ihsan bukannya istilah yang tidak perlu dijelaskan lebih-lebih lagi ihsan (mungkin dengan variasi ejaan ehsan) juga bermakna tulus ikhlas, berperasaan Allah sentiasa melihat hambanya sepanjang masa, asyik kepada kecemerlangan (Alhabshi 1994), bahkan tingkat ilmu yang sama dengan ma‘rifaht (al-Attas 2010) maka tidaklah wajar ESQ 2008 tidak menjelaskannya langsung ihsan itu kecuali menyebutnya sebagai penyempurnaan (pipi 190, 230,286,299), dicatatkan pada pipi 29 sebagai “Hati (Value) yang Ihsan pada God Spot)”, pada 373, “membangun kejernihan hati yang 1”, dan di sisi kotak Zero Mind Process di pipi 396 yang memang tidak jelas maksudnya. Anggapan bahawa segala perkara yang berhubung dengan kejayaan seseorang adalah berdasarkan pada tahap EQ dan SQ yang diringkaskanya sebagai ESQ (masing-masingnya disalah-terjemahnya sebagai “kecerdasan emosi” dan “kecerdasan spiritual” oleh itu gabungannya “kecerdasan emosi” dan “spiritual”) yang terbit daripada amalan tiga Rukun (Rukun Iman, Islam dan ihsan) itu. Maka terbitlah bilangan 7 belenggu (iaitu prasangka, prinsip hidup, pengalaman, kepentingan, sudut pandang, pembanding dan fanatisme) yang merosakkan SQ seseorang dan oleh itu perlu disingkirkan menerusi “penjernihan emosi” dan sebagainya itu. Sudahlah bilangan ini Nampak dibuat-buat dan dipaksa-paksa (seseorang boleh mengurangkan atau menambah lagi bilangan belenggu ini dengan mudahnya), beliau sanggup pula “menyederhanakan” 99 Asmaul Husna (yang diiktirafnya sebagai nilai teras, istilahnya core values, yang perlu ditanam dan dipupuk penghayatannya oleh setiap manusia yuang ingin berjaya) kepada 7 spiritual core values, nilai dasar ESQ 2008 (dipilihnya Al-Mukmin, Al-Wakil, Al-Matiin, Al-Jami‘, Al-‘Adil, Al-Aakhir, dan Al-Sami‘ + Al-Bashir; masing-masingnya pula diterjemah-tafsirnya dengan tidak tepatnya pula sebagai Jujur, Tanggungjawab, Disiplin, Kerjasama, Adil, Visioner dan Peduli). Penuruan bilangan Asmaul Husna ini merosakkan status 99 Asmaul Husna yang selama ini dianggap sama penting dan merdeka antara satu dengan yang lain dan dengan menggabungkan pula dua sifat atau nama Allah yang tidak sepatutnya, Al-Sami’ dan Al-Bashir, itu benar-benar berpotensi boleh menjejas aqidah.



Dalam hal “Pembinaan Mental” seseorang itu supaya mencapai ZMP, ESQ 2008 menyarankan 6 prinsipnya yang perlu dibangunkan/dimiliki setiap satunya sepadan dengan 6 Rukun Iman, iaitu yang dinamainya “Prinsip Bintang” atau “Star Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman pertama, “Prinsip Malaikat” atau “Angelic Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang kedua, “Prinsip Kepemimpinan” atau “Leadership Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang ketiga, “Prinsip Pembelajaran” atau “Learning Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang keempat, “Prinsip Masa Depan” atau “Visionary Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang kelima (Percaya kepada Hari Kiamat), dan akhirnya “Prinsip Keteraturan” atau “Well Organised Principle” yang sepadan dengan Rukun Iman yang keenam (percaya kepada Qada’ dan Qadar). Ulasan kepada pencungkilan setiap prinsip ini akan dibicarakan kemudian. Di sini hanya hendak dibangkit soal yang nampak diada-adakan tentang bilangan 5 nilai bagi setiap prinsip ini yang diterbitkan daripada setiap Rukun Iman itu. Contohnya dikatakannya nilai rasa aman, kepercayaan diri, integritas, kebijaksanaan dan motivasi yang terbit daripada “Kepercayaan kepada Allah” dan begitulah bilangan nilainya daripada prinsip lain-lain atau Rukun Iman yang lain itu. Sepatutnya perolehan nilai daripada Rukun Iman pertama itu di peroleh daripada Suraht al-Ikhlas atau “Sifat 20” atau sekurang-kurangnya “Sifat 13” (Lihat Kitab Ahmad al-Fatdany) yang tidak terikat kepada bilangan 5 itu. Begitu jugalah yang lain-lain itu semestilah berasaskan kepada tafsiran yang asas, piawai dan oleh ulama muktabar. Jelaslah bilangan 5 nilai daripada setiap Prinsip atau Rukun Iman itu tidak mencukupi, dan lagi sekali berpotensi merosakkan kefahaman seseorang terhadap Rukun Iman itu.



Dalam membicarakan Kekuatan Peribadi, atau istilahnya “Ketangguhan Peribadi” atau yang dipopularkannya "Personal Strength”, bab ke-3 ESQ 2008 menegaskan bagi mencapainya seseorang yang telah memiliki 6 prinsip “Pembinaan Mental”atau “Menthal Building” yang dibicara di dalam bab kedua dahulu itu selanjutnya diutarakannya perlulah memiliki pula 3 pedoman pelaksanaan prinsip itu yang diperolehnya daripada 3 pertama daripada Rukun Islam, iaitu “Penetapan Misi”atau yang dipopularkannya "Mission Statement” daripada Dua Kalimah Syahadat, “Pembinaan Karakter” atau yang dipopularkannya "Character Building" daripada sholaht lima waktu, dan “Pengendalian Diri”atau yang dipopularkannya "Self Control" daripada puasa. Setiap satu pedoman ini pula terdapat 6 perkara implikasinya, kecuali pedoman terakhir, “Pengendalian Diri”, dipilihnya menjadi ada 5 tujuan implikasinya; dan di sini juga jelas bilangan ini diada-adakan bagi mencapai sebanyak bilangan Rukun Iman atau Rukun Islam itu sahaja. Contohnya mengikut al-Qur’aan, sholaht itu penghindar kejahatan (Suraht al-Kabut 29:45) dan mengubat keluh-kesah (Suraht al-Ma ‘arij 70:19) manakala puasa itu pemupukan taqwa (Suraht al-Baqaraht 2: 183) tiada di dalam natijah “Pembinaan Karakter” dan “Pengendalian Diri” itu. Rasanya, apa pun sebabnya tiga natijah daripada al-Qur’aan ini diabaikan amatlah sukar ditelan oleh para pembacanya.



Di dalam bab ketiga dibicarakan kekuatan sosial atau istilahnya “Ketangguhan Sosial” atau yang dipopularkannya “Social Strength” diutarakan 2 prinsip daripada 2 terakhir daripada Rukum Islam itu dengan masing-masingnya bernatijah sebanyak 5 dan 6 perkara, iaitu bilangan Rukun Islam dan Rukun Iman itu juga. Lagi sekali bilangan natijah ini pun diada-adakan sahaja.



Sekarang tibalah masanya untuk mengulas setiap satu bab buku itu. Isu pertama ialah “Zero Mind Process”, yang diringkaskannya ZMP (pipi 84), yang memang tidak mahu diterjemahnya (Sama seperti istilah-istilah lain lagi di dalam buku ini kerana “untuk memudahkan sosialisasi ide dalam era globalisasi” , katanya di pipi xvii ) walau pun di pipi 24 beliau menterjemah “zero mind” sebagai “pikiran bersih” dan pipi 83 beliau menterjemah-tafsir “Zero Mind Process” sebagai “pembentukan hati dan pikiran yang jernih dan suci” yang bunyinya elok tetapi bukan itu yang dimaksudkannya sendiri pun. Isu istilah dan bahasa amnya di dalam buku ESQ 2008 yang dikira tidak memuaskan itu akan dibicarakan berasingan nanti. Di sini persoalan perkaranya sahaja, dan bagi mengikut rentaknya, istilah ZMP dan ZM (untuk Zero Mind) digunakan. Begitu juga dengan istilah-istilah lain akan dirujuk sama seperti yang dipakai di dalam ESQ 2008 itu dengan biasanya diungkapkan di dalam tanda kutip.


Sukarnya diterima ZMP dan “Suara Hati”
Persoalan pertamanya, wujudkah ZM itu?; atau adakah mungkin manusia ini mencapai ZM melalui penyingkiran 7 perkara penghambatnya yang disenaraikan di dalam ESQ 2008 itu (dan telah juga disenarai di atas)? ESQ 2008 berhujah panjang lebarnya betapanya minda manusia ketika unggulnya (berdaya karya tinggi dan mendapat kebenaran) adalah dalam keadaan ZM (terjemahan kami, minda kosong) daripada segala benda kecuali suara hati. [Ada beberapa istilah lain lagi yang digunakan: hati nurani (pipi 7 ), suara hati nurani (pipi 24), suara hati manusia (pipi 87), suara hati ilahiah, suara hati spiritual (pipi 86 dan 103), semuanya terjemahan self conscience); dan satu lagi yang terpencil, kesadaran diri (terjemahan self awareness, di pipi 9). Suara hati inilah kononnya kepintaran yang dianggapnya sentiasa membawa kebenaran! Isu yang agak seanalognya telah lama dipolemikkan di dalam falsafah Barat dan Tamadun Islam, iaitu yang diistilahkannya di dalam bahasa Latin, tabula rasa (yang bermakna slet atau papan batu kosong), yang di segi falsafah/epistemologinya ada mazhab yang berpendapat manusia ini dilahirkan tabula rasa yang bermaksud manusia dilahirkan tanpa apa-apa binaan mentalnya, dan apa-apa pengetahuannya atau kepintarannya datang daripada pengalaman dan persepsinya sahaja. Inilah yang melahirkan perbahasan yang tidak berkesudahan hingga kini, tabii lawan asuhan (nature versus nurture) atau yang berimanya sediakala lawan sediabela: mereka yang percaya kepada manusia tabula rasa berpihak kepada asuhan atau sediabela (e didalam “emas”), iaitu pengasuhan, pembelaanlah atau pemeliharaanlah yang menentukan sahsiah, kelakuan emosi dan sosial serta kepintaran (intelligence; di dalam ESQ 2008, intelligence ialah “intelektual”, walaupun ada sekali rasanya diistilahkannya sebagai “otak” di pipi xvi. Tentang Istilah ini dibicarakan berasingan lagi di dalam isu bahasa nanti). Mengikut Wikipedia di internet (lihat Rujukan), perbahasan tentang tabula rasa ini bermula sejak Aristoteles (diInggeriskan sebagai Aristotle) lagi yang bertentangan dengan pandangan Plato (yang diArabkan sebagai Aflatun). Plato/Aflatun percaya aqal (Latin: intellectus) atau minda (Latin: mens, mentio; Yunani: memona, mantis) seseorang ada sejak sediakala, tabii, semula jadi atau azali lagi, bukannya terbina atau menerusi pengalaman hidup manusia itu. Ramailah sarjana Tamadun Islam yang berpegang kepada falsafah Plato/Aflatun. Namun Ibn Sina (abad ke-11 M) adalah sarjana yang kuat memegang kepada Aristoteles, manusia tabula rasa (iaitu aqal atau intellectus manusia ketika dilahirkan itu tiadalah apa-apa, kosong). Begitu jugas dengan Ibn Tufayl/Tufail (DiLatinkan sebagai Ebn Tophail atau Abubacer drp nama pertamanya) dalam abad ke-12 M yang karyanya berkenaan manusia tabula rasa yang diterjemah ke dalam Latin dalam kurun ke-17 M dan mempengaruhi pandangan ahli falsafah Barat yang masyhur, John Locke (ahli falsafah Inggeris yang meninggal 1707), tentang benarnya manusia tabula rasa yang melahir empirikisme/tajrabisme Lock itu. Gerejawan abad ke-13 M turut berbahas hebat tentang pandangan Aristoteles dan Plato dengan menyaksikan kemuncaknya pada Thomas Aquinas (berpegang kepada Plato) melawan St Bonaventure (berpegang pada Aristoteles) yang nampaknya memihak kepada Aquinas yang percaya kepada tabula rasa. Thomas Hobbes (ahli falsafah Inggeris yang meninggal pada 1679) dianggap sarjana Barat penentang teori tabula rasa John Lock kerana beliau berpendapat setiap manusia memang dilahirkan mementingkan diri. Namun teori manusia tabula rasa mengatasi lawannya dan menjadi popular dan dianuti umum Barat dalam akhir abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20. Setiap orang yang percaya kepada gen atau baka yang menentukan kepintaran seseorang adalah tidak berpihak kepada manusia tabula rasa. Mahathir, dalam bukunya Dilemma Melayu atau versi asalnya The Malay Dilemma (tahun 1970-an) juga tidak percaya kepada manusia tabula rasa apabila beliau percaya kepada gen Melayu yang lemah (Kini dipercayai beliau sudah berubah daripada pendirian beliau yang dahulu itu). Walau bagaimanapun sejak pertengahan abad ke-20, Barat semakin condong kepada manusia bukan tabula rasa ekoran daripada persoalan penentuan tupuan/rimuan (tuan-puan/rijal-muannath/gender) dan kajian kelakuan manusia kembar.



Sementara ahli sains Barat masih belum menyelesaikan masalah ini, ajaran Islam lebih bersifat pertengahan tabula rasa dengan bukan tabula rasa kerana adanya hadith masyhur riwayat Ahmad, yang bermaksud kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci, putih bersih dan sebagai) dan ibu-bapanyalah yang menentukan Majusi-Nasraninya kanak-kanak itu. Ungkapan “putih bersih” dalam hadith ini tentunya bukannya bermakna minda kosong atau “zero mind”, atau tabula rasa; bahkan minda kanak-kanak itu sudah dilahirkan dengan benih “nilai islam”. Benih inilah yang boleh berkembang subur atau mati kemudiannya menerusi pendidikan (formal, informal dan nonformal) dan sebagainya itu. Di dalam Islam juga ada ajaran yang menegaskan dalam setiap badan manusia itu ada seketul qalb (diterjemah sebagai hati selain daripada ditransliterasikan kepada kalbu); baik-buruknya manusia itu bergantung pada kesihatan qalb-nya itu. (Hadith Riwayat Bukhari). Ini pun tidak bermakna manusia itu tabula rasa sepenuhnya. Penetapan makna Qada’ dan Qadar mengikut aliran ahl Sunnah wa al-Jamaah pun memutuskan kedudakan pertengahannya antara tabula rasa dengan bukan tabula rasa atau sediakala dengan sediabela. Kesimpulannya, suara hati wujud sediakala sebagai benih kebenaran sahaja dan menerusi jenis pendidikan kelak benih berkembang subur atau tidaknya sehingga tidaklah mungkin suara hati itu sentiasa membawa kebenaran.



Ajaran Kristian yang meresap masuk ke dalam teori kepemimpinan dan kepengurusan memang meletakkan suara hati di tempat yang suci, yang sentiasa bercakap benar, ialah yang diutarakan oleh Stephen Covey di dalam karya laris jualannya sejak cetakan pertamanya 1989, dan diterjemah kepada pelbagai bahasa termasuklah bahasa Melayu Malaysia dan Indonesia (masing-masingnya terbitan 1994 dan 1996). Anehnya, tiadalah pula (yang kami dengar) sebarang reaksi negatif daripada para ulama terhadap karya ini walaupun sudah begitu lama di pasaran. Pengarang ESQ 2008 pun cukup banyak merujuk buku Covey yang menonjolkan nilai Kristian ini di merata tempat karyanya itu, walaupun tiadalah pengakuannya yang buku itu juga mempengaruhinya sedangkan intipatinya sama sahaja. Mungkinkan buku ini juga sebenarnya sekurang-kurangnya menjadi sumber inspirasi pengarang ESQ 2008? Beliau bahkan menegaskan ketika membicarakan peranan bahan bacaan dalam pemikiran manusia menegaskan Muslim seluruh dunia memang banyak yang terpengaruh dengan ajaran Covey (pipi 180). Di dalam falsafah moden ajaran bertuhankan diri seperti ini terdapat di dalam falsafah John Satre (mati 1980), wujudisme atau eksistensialisme. Namun tiadalah falsafah ini disebut pun di dalam ESQ 2008 itu. Falsafah ini terlampau ekstrim, iaitu mengenyahkan semua ajaran agama!



Mazhab-mazhab pemikiran atau falsafah sains Barat yang dominan sejak 1960-an ialah pemikiran Kuhn dengan teori paradigma sainsnya (lihat terjemahan karya suntingan keduanya 1970 terbitan 1997 oleh DBP; suntingan pertamanya 1962), Lakatos dengan teori atur cara penyelidikan sainsnya (lihat terjemahan karya suntingan keempatnya 1984 terbitan 2002 oleh UKM), Feyerabend dengan teori kaedah tentangannya (lihat karyanya suntingan ke-4, 2010; suntingan pertamanya 1975), dan Popper dengan teori pemalsuannya (lihat karyanya suntingan ke-2, 1968, cetakan ke-15, 2008 dengan terjemahan kepada Melayu Indonesia 2008; suntingan pertamanya 1958). Setiap satunya berbicara tentang tabii perkembangan sains tetapi setiap satunya tidaklah berganjak dengan andaian bahawa pembinaan idea, prinsip, hipotesis, premis dan sebagainya di dalam sains adalah berasaskan pada intuisi (suara hati), rasional, atau pendirian anarki (mengikut Feyerabend) dan pemalsuannya (mengikut Popper) yang dipersetujui oleh sesebuah komuniti yang berkongsi dan menghayati sistem nilai yang serupa. Tiadalah kebenaran mutlak yang terbit daripada sains Barat selama ini, malah mereka ini mematikan fahaman itu. Tiadalah juga berlakunya pengosongan minda atau ZMP seperti yang diperkatakan di dalam ESQ 2008 itu di kalangan ahli sains Barat (termasuk yang ditonjolkan namanya di dalam ESQ 2008 seperti Copernicus dan Einstein) yang terpancar daripada kajian mereka ini terhadap korpus sains Barat selama ini. Yang sepunyanya pemikiran mereka ini ialah bagaimana mereka ini membina falsafah sains yang menolak agama sebagai komponen sains yang mengikut penilaian sarjana teis (Muslim dan bukan Muslim) mereka masih belum berjaya. Mereka juga tidak berjaya mencapai kata sepakat terhadap hasil perkembangan sains selama ini iaitu adakah melonggok atau berlonggok-longgok hasil peninggalan yang diabaikan.



Sarjana yang bergiat di dalam “pengIslaman ilmu” bukan aliran Bucailleisme semuanya berpegang kepada falsafah bahawa sains apa pun dan oleh siapa pun adalah sarat nilai, dan oleh itu sains moden pastinya sarat nilai (emosi dan ruhani) modenisme atau pasca-modenisme dengan segala macam –isme itu yang setiap satunya sarat pertentangan dengan Islam dan oleh itu mereka menggesa supaya sains daripadanya perlulah ditapis menerusi saringan nilai (emosi dan ruhani) Islam sehingga sains itu berkemungkinan terpaksa ditolak semuanya atau dilakukan inovasi mengikut acuan nilai Islam. Hasilnya nanti ialah sains Islam yang tidak semestinya dogmatik atau statik kerana Islam juga membenarkan perbezaan pendapat dan inovasi (bid‘aht hasanaht). Tiadalah seorang sarjana besar pengIslaman sains yang mengesyorkan semacam ZMP itu bagi mendapat idea benar di dalam kegiatan pengisian pengIslaman sains itu.


Contoh yang dibicarakan di dalam ESQ 2008 tentang pertapaan, uzlah, atau khalwat sebagai kaedah mendapat kebenaran, makna kehidupan atau menyelesaikan masalah yang diamalkan oleh para nabi (diberi contohnya Nabi Ibrahim ‘AS, Nabi Musa ‘AS, dan Nabi Muhammad S.A.W) bukan bermakna mereka itu mahu mengosongkan minda terlebih dahulu tetapi memfokuskan atau memumpunkan jiwanya kepada emosi dan ruhani keIslaman di dalam mindanya yang sedia ada yang melalui kehidupan bermasyarakatnya menjadi bercampur-gaul dengan unsur-unsur bukan keIslaman. Kaedah ini memang diamalkan hingga sekarang oleh para pemimpin (organisasi atau negara), para penyair dan seseorang seniman atau pencipta (termasuk ilmuwan) amnya tetapi kata sifat Islam itu mungkin diganti sengan kata sifat yang lain seperti emosi dan ruhani kapitalisme, sosialisme, sekularisme atau sebagainya. Namun berbezanya natijah daripada cara ini, para nabi beroleh wahyu (yang sentiasa betul atau benar) atas pilihan Allah padanya, tetapi manusia biasa selamanya tetap hanya beroleh ilham atau intuisi/wijdan/suara hati atau inspirasi yang tidak semestinya betul atau benar. Hanya di dalam ajaran Hinduisme (selain Kristianisme yang telah dibicara sebelum ini) memang ada unsur-unsur beribadat mengosongkan minda mengikut pengertian ZMP di dalam ESQ 2008 itu seperti yang terkandung di dalam Bhagavadgita yang membawa seseorang kepada taraf suara hati Krishna atau kesedaran Krishna (Lihat Bhaktivedanta Swami 1983/2008).



Dengan pandangan di atas, ZMP di dalam ESQ 2008 itu, jelas secara sedar atau tidaknya oleh pengarangnyanya, adalah bertentangan sepenuhnya dengan konsep tabula rasa warisan Yunani yang bertentangan dengan pemikiran Islam yang dominan; selari dengan konsep suara hati warisan Kristian yang diangkat martabatnya sebagai asas teori kepengurusan dan kepemimpinan Covey; serasi dengan ajaran Hindu tentang martabat suara hati Krishna atau kesedaran Krishna; dan agak selari juga dengan falsafah wujudisme Sarte yang setiap satunya juga tidak serasi dengan ajaran Islam. Buat sementara ini pembaikan yang pantasnya yang patut dilakukan ialah menggantikan ZMP dan yang berhubung dengannya itu dengan konsep penghakisan sistem nilai (PSN) seseorang yang bertentangan dengan sistem nilai Islam. Sistem nilai ini dalam bahasa EQ dan SQ yang dibicarakan di dalam buku ESQ 2008 ialah aqal, emosi dan ruhani yang semuanya perlu dibezakan antara yang Barat dengan yang Islam.



Dalam perbincangan ZMP itu sendiri banyak contoh mereka yang dianggap berjaya yang dipaparkan di dalam ESQ 2008, yang terdiri daripada sarjana/tokoh Barat (bukan Islam), kononnya mengiktiraf pentingnya ZMP di merata tempat bukunya itu. Namun tiada pula dengan jelasnya tokoh-tokoh itu ditunjukkan memang pernah mengamalkan ZMP itu. Tokoh-tokoh yang disebut itu ialah MacScheler (yang dipetiknya sebagai wakil sarjana Barat yang mengiktiraf perasaan cinta kebaikan itu azali), Paul Sarbanes dan Michael Oxley (dianggapnya sarjana berjasa Barat kerana menjadi pemprakarsa/inisiator penintaan nilai ruhani (tentunya ruhani Barat) di dalam semua perusahaan yang berdaftar di The Security Exchange Commission/SEC , AS), Dale Carnegie (telah lama terkenal dengan karyanya di dalam komunikasi yang komponen dominannya memanglah emosi), Victor Frankle (ahli psikologi Barat yang dipetiknya sebagai seorang yang membuktikan kepentingan modal ruhani/spiritual capital lebih daripada daripada modal kebendaan/material capital), Kouzes dan Postner (dengan karya besarnya, Leadership Challenge 2002 yang mengiktiraf emosi sebagai perkara dominan). Seterusnya diheretnya lagi tokoh-tokoh yang dibicarakan oleh Downs di dalam bukunya Books that Change the World (atau versi terjemahannya di Indonesia, Buku-buku Pengubah Sejarah) dan tokoh-tokoh yang dikaji oleh David Schwartz di dalam bukunya Keajaiban Berpikir Besar (atau versi asalnya, The Magic of Thinking Big) yang kedua-duanya dipetik dengan positifnya, walaupun belumlah terbukti atau dibuktikannya sendiri oleh pengarang ESQ 2008 itu yang mereka itu melalui ZMP. Bahkan tiga orang sarjana agung di dalam bidang kepintaran atau kecerdasan abad ini yang diakui pengarang ESQ 2008 sendiri juga menjadi inspirasinya, Goleman (bapa EQ) dan Zohar & Marshall (bapa SQ), tidaklah diketahui yang mereka ini mampu berkarya sebegitu menggegarkan dunia di abad ini kerana melalui proses ZMP atau tidak. Yang terkenalnya, seperti yang sudah disebut sebelum ini, para pemikir agung dan sarjana besar itu biasanya mengakui menggunakan intuisi atau istilah warisan tamadun Islamnya wijdan yang tidak pernah pula dikaitkan oleh sesiapapun lagi yang penajaman intuisi ini semestinyalah menerusi ZMP itu, walaupun menerusi thariqaht di dalam sesebuah ajaran tasawuf atau sufi yang dikatakan sampai di maqam kasyaf, menikmati tahap kenikmatan dzawq dan sebagainya itu. Apapun hal ini tidak pula dibicarakan di dalam ESQ 2008; bahkan di dalam ESQ 2008 itu ada hanya sedikit sahaja bicara tentang intuisi (pipi 118-120), iaitu sebagai unsur sampingan di dalam gagasan “suara hati” itu. Petikan di dalam ESQ 2008 tentang pandangan Muhamad Abduh bahawasanya iman (kepada Islam) itu wujud pada minda manusia sejak azali lagi juga tidak membuktikan benarnya teori ZMP itu. Ini hanya menyatakan benih keimanan seseorang sahaja yang tidak mungkin kekal begitu sebaik sahaja kanak-kanak itu membesar kerana “persekitaranlah pula yang mendidiknya” sebagaimana yang ditegaskan oleh dua hadith masyhur yang telah disebut sebelum ini.



Perbincangan di dalam ESQ 2008 banyaklah berkisar pada bagaimana 7 perkara penghambat kesucian suara hati yang mempengaruhi pemikiran seseorang itu perlu disingkirkan dengan cara yang diperakukan itu. Andaian besarnya ialah manusia ini sudah dilengkap dengan fitrah baik yang dikendali oleh “suara hati”, iaitu manusia ini bukannya tabula rasa. Jika seseorang dapat mengosongkan semua benda lain maka yang tinggalnya hanya kebaikan sahaja, “suara hati”, yang kononnya berada di suatu tempat di dalam minda atau otak manusia itu dan dinamainya God Spot atau Titik Tuhan. Katanya keputusan manusia berasaskan suara hati ini tentunya betul! Apa-apa masalah, tanyalah “suara hati…. Sama dengan satu ungkapan di dalam sebuah lagu klasik Melayu nyayian P.Ramlee dan Normadiah, “tanya sama hati, apa asal sayang”. Tentunya “suara hati” yang dimaksudkannya itu bukannya intuisi itu kerana sudah banyak terbukti ilmu atau keputusan yang dikatakan oleh pencipta atau pembuat keputusan itu “berdasarkan intuisinya” kemudiannya didapati tidak betul! Kebetulan ada buku laris jualan yang membicarakan intuisi ini yang diistilahkan sebagai “kelipan mata” atau blink dan itulah judul buku itu The Blink karya pengarang terkenal kini, Gladwell (2005/2007) yang cuba meletakkan intuisi pada tempat yang lebih sepatutnya lagi, iaitu keperluan menggunakannya seperti pada masa yang sangat terdesak dan banyak pembolehubahnya dan kehebatannya membicarakannya menjadikan bukunya laris jualan! Benarlah tradisi Islam, terutamanya aliran sufi, meletakkan wijdan sebagai satu daripada kaedah sains yang tinggi martabatnya tetapi tidaklah meletakkannya seolah-olah sama dengan wahyu (iaitu sentiasa betul). Pengarang ESQ 2008 mungkin terlampau mengikut kata hatinya apabila meletakkan “suara hati” sebagai sumber kebenaran, kalau pun jika tidak dipengaruhi oleh ajaran agama atau sarjana lain. Bahkan kata pepatah Melayu, “ikut rasa binasa, ikut hati mati”, dan ini tetap ada nilai kebenarannya juga, bahkan pepatah ini mengajar kita supaya berwaspada juga terhadap “hati” kerana kita bukan nabi atau rasul yang hatinya dihembusi wahyu lalu mendapat sifat maksum itu. Orang lain tidak pernah mendapat sifat itu!


Kritikan Teori Maslow yang Masih Tidak Menghayati Tradisi Islam
Walau bagaimanapun ada beberapa ketikanya pengarang ESQ 2008 boleh dipuji dengan beberapa kritikan membina terhadap teori-teori Barat di dalam buku beliau ini dan seterusnya melakukan pengIslamannya. Di dalam bab pertama ini, perihal ZMP itu, beliau mengkritik teori Maslow (1943) tentang hierarki keperluan asasi manusia yang dikatakannya teori itu terbalik hierarkinya (pipi 56). Katanya perkara ini disadari sendiri oleh Maslow pada akhir hayatnya! Namun tiadalah rujukan yang diberinya tentang teori Maslow asal dan perubahan pendiriannya ini. Katanya lagi, keperluan “spiritual” adalah keperluan pertama manusia bukannya keperluan akhir. (Istilah terjemahan Inggeris bagi hal ini di dalam teori Maslow ialah self-actualization, yang mungkin sekali sudah lama juga diterjemah kepada bahasa Melayu sebagai swa-aktualisasi atau aktualisasi diri/kendiri/sendiri, bahkan ESQ 2008 sudah mengambil “aktualisasi diri” di pipi 388). Malangnya, beliau langsung tidak merujuk pandangan Islam yang muktabar seperti al-Attas (1996) yang selalu menyebut tiga tingkat perkembangan keperluan manusia: nafs al-amaraht, nafs lawwaamaht dan nafs al-mutdma’innaht bagi menggantikan teori Maslow itu; dan baru-baru ini kami (KuPELEMA 2008) jumpa di dalam manuskrip Malayu lama (bebebrapa abad yang lepas; warisan Tamadun Islam juga) penahapan yang lebih terperinci lagi sehingga kepada 7 peringkat nafs; yang terakhir dan tertingginya nafs kamal dengan perinciannya selepas nafs lawwamaht itu ialah nafs mul-hdamah, nafs mutdmainnaht, nafs raa-dhiyah, nafs mar-dhiyah dan nafs kamal. Ini benar-benar mencabar lagi pengIslaman ESQ 2008 terhadap hierarki keperluan manusia itu.


Pengaruh de Bono?
Pengarang ESQ 2008 juga nampaknya meminjam ungkapan sarjana pemikiran berdaya karya Barat yang terkenal, Edward de Bono, tanpa sebut hormat kepadanya, kerana antara puluhan buku karya de Bono itu tentang pemikiran sisi/lateral yang masyhur itu ada sebuah daripadanya berjudul The Six Thinking Hat yang persis sama sosoknya dengan nama pemikiran yang berasaskan Asmaul Husna itu sebagai 99 Thinking Hat (pipi 69-72; yang diterjemahnya di pipi 109 sebagai Topi Berpikir 99 Suara Hati). Aneh juga, tiadalah sebarang rujukan kepada karya de Bono di dalam ESQ 2008 itu, sedangkan kaedah pemikiran de Bono berpengaruh besar di dalam dunia pemikiran berdaya pengaryaan yang menjadi isu yang diminati dan cuba dimodelkan menerusi ESQ 2008 itu. Berfikir menggunakan Asmaul Husna, selain daripada kesilapan “penyederhanaan” beliau yang disebut sebelum ini, memang suatu daya pengaryaan yang bitara, walaupun contoh yang diberikan di pipi berkenaan (pipi 69-72) itu tidaklah meyakinkan sangat akan kerelevanannya sehingga menjana keputusan yang diambil itu.



Apa pun perbincangan belenggu yang keenam kepada ZMP, “Pembanding”, adalah yang terburuk berbanding dengan perbincangan belenggu-belenggu yang lain itu. Contoh yang lebih canggih dan tinggi pemikirannya perlulah diperoleh.



Gaya Penumpangan Sekaki dalam penulisan di “Bagian Satu” dan Berikutnya
Suatu yang lumrah berlaku di dalam penulisan tentang keunggulan pandangan, prinsip atau teori Islam ialah pemberian contoh orang bukan Islam yang didakwanya bersesuaian dengan pandangan Islam dan sebagainya itu. Ini yang kami namainya gaya penulisan penumpangan sekaki yang menjadi ciri penghayatan Bucailleisme itu. Gaya ini amatlah mengecewakan pembaca yang kritis, dan tidak membantu mengukuhkan keunggulan Islam yang dicita-citakan itu. Karya ESQ 2008 ini memang banyak berlakunya perkara ini kerana gaya yang sama seperti yang telah disebut di atas dan sebenarnya di dalam bab-bab selanjutnya juga. Di dalam bab ke-1 (“Bagian 1”) ada dua contoh yang menyumbang kepada keadaan ini. Pertamanya ketika diberinya contoh sarjana Barat (bukan Islam), David Schwartz yang dikatakannya menulis tentang kebaikan Asma al-Husna dengan berlapik “tanpa disadarinya”. Bahkan dikatakannya karya David Schwartz ada idea yang sepadan dengan suara hati ilahi khususnya sifat Allah, Al Kabiir (pipi 80). Dengan penonjolan sebegini, persoalannya ialah apa perlunya seseorang mengetahui Islam dan khususnya Asma al-Husna dalam menerbitkan sesuatu konsep atau ilmu ini sedangkan ilmu yang sama sentiasa dapat diterbitkan oleh “orang luar” (orang bukan Islam)dan lebih awal daripada orang Islam! Sampai bila orang Islam mahu menurut orang bukan Islam, jika kita hanya asyik mengeyakan teori mereka menerusi agama kita? Seseorang boleh juga menyimpulkan bahawa, sekurang-kurangnya dalam hal ini, apa-apa nilai di dalam agama Schwartz itu samalah dengan yang di dalam Islam. Bukankah ini unsur jamakisme? Contoh keduanya, ialah pemilihan perkara yang bukan sahaja tidak bersumberkan Islam tetapi bersumberkan propaganda musuh Islam, seperti propaganda Yahudi. Ini berlaku apabila ESQ 2008 menonjolkan filem Life Is Beautiful (di pipi 38-41) untuk menegak sebuah pandangan yang jika dianggap murni sekalipun, dicemari oleh propaganda Yahudi. Filem ini terkenal dengan unsur propaganda Yahudi dan menjadi faktor kemenangan anugerahnya juga! Ini mungkin sekali kesilapan pengarang ESQ 2008 yang tidak sengaja sahaja, tetapi kalau mengikut teori “suara hati” beliau itulah agaknya ketika dia kurang “berhati-hati”. Contoh-contoh lain lagi disebut satu persatunya kemudian.


Penjelasan Peranan Rukun Iman Pertama yang tidak Kesampaian
Dalam bab ke-2 (Istilahnya “Bagian 2”), pembicaraan ditumpukan kepada cara-cara meningkatkan EQ seseorang yang diistilahnya sebagai “Pembinaan Mental” atau “Mental Building” itu. Di sinilah (dan bab-bab berikutnya) daya pengaryaan ESQ 2008 semakin tertonjol, iaitu khususnya bagaimana pengarangnya dapat menggunakan Rukun Iman sebagai landasan pemikirannya. Kelemahannya selain daripada taasub kepada bilangan setiap perkara sebanyak 5 di dalam setiap 6 prinsip daripada Rukun Iman itu, yang telah disebut sebelum ini, ada lagi beberapa yang wajar ditimbulkan di sini.


Dalam membicarakan 5 nilai daripada Rukun Iman pertama “kepercayaan kepada Allah” dengan 99 nama itu (“Asmaul Husna”) tidak dibicarakan dengan baiknya, bahkan nilai “kebijaksanaan” sukar ditentukan tempat bicaranya. Penulisan di bawah judul intuisi (pipi 118) hanya membayangkan adanya hubungan intuisi dengan “suara hati” atau “rasa” sambil memaparkan dua petikan ayaht al-Qur’aan: satu pada awal judul dan satu pada akhir judul “Intuisi” itu, tanpa tafsiran apa-apa! Di dalam awal-awal prinsip yang dibicarakan di bawah judul “Spiritual Wisdom” (pipi 106-109) pun tiada bicara hal kebijaksanaan itu. Yang dikaitkan dengan “kebijaksanaan” ialah “99 Thinking Hat (Topi Berpikir 99 Suara Hati)” yang dijadikannya sebagai “sumber suara hati” lalu menyenarai (tanpa banyak bicara) 5 contoh dorongan daripada 5 nama Tuhan pilihannya. Yang merosakkan hujah-hujanya ialah apabila beliau memberi contoh peribadi bijaksana yang hebat itu daripada tokoh bukan Islam, iaitu Levi Strauss! Dikatakannya Levi Strauss menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh syarikatnya dengan adil dan bijaksana yang boleh dijadikan contoh sebagai orang yang mengamalkan “kesatuan tauhid atau prinsip esa” dengan menggunakan Asmaul Husna (pipi 108). Ini satu contoh unsur Bucailleisme yang jelas memupuk liberalisme dan jamakisme/pluralisme itu. Kemudian “Integritas” dibicarakan tanpa apa-apa yang bersangkut dengan Rukun Iman pertama kecuali sekadar petikan Suraht Ali ‘Imran 3: 121 pada mula judul bicara tetapi tanpa tafsiran apa-apa (gaya begitu dilakukanya di merata tempat buku ESQ 2008 ini). Nilai “rasa aman” ditegaskan sahaja muncul menerusi kepercayaan diri kerana “keyakinan akan Allah Yang Agung”; “Yang Abadi” (pipi 112) timbul kerana “berprinsip pada suatu yang Kekal” (dengan petikan Stephen Covey yang kurang relevan, di pipi 113), bercontohkan peninju besar, Prince Naseem Hameed yang berpegang kepada fahaman “Yang Terbesar (The Greatest) itu hanya Allah” atau Laa ilaaha Illallaah (pipi 114), “kembali kepada prinsip” dan “berpegang kepada Tuhan” tanpa penjelasan apa-apa (pipi 115), atau menerusi pengakuan wujud “Yang Esa” (pipi 116) di samping, lagi sekali, memberi contoh orang bukan Islam pula, Fareira (pipi 117), menghayati ciri yang dibicara! Akhirnya motivasi daripada ucapan sepanjang masa “ Maha Besar Allah” atau “Allah Akbar” (sepatutnya “Allahu al-Akbar”) di pipi 120-121. Begitu ringkasnya bicara itu mengurangkan keyakinan terhadap pandangannya itu.


Dalam bicaranya tentang kejayaan rakannya (kerana, antara lainnya, berprinsip “integritas” daripada Rukun Iman pertama yang berinteraksi dengannya), sebagai catatan sisiannya, beliau mendedahkan penerimaan Hadiah berbentuk GMS daripada rakannya itu dengan nombor “yang cantik” dengan akhiran “triple one” (tiga lipat satu) yang naifnya dipadankan dengan ungkapan Laa ilaaha illallah itu (ada tiga kata) agak bombastik dan kurang sesuai dan ada semacam unsur mengada-ada, mengolok-olokkan dan berkelakar dengan ungkapan yang suci itu, bahkan boleh menimbulkan fitnah seperti yang dilaporkan di dalam akhbar Sinarharian yang telah dirujuk pada awal makalah ini. Penamaan prinsip pertama beliau daripada Rukun Iman pertama sebagai “Star Principle” atau “Prinsip Bintang” juga “tidak kena” kerana membawa kepada konotasi penyekutuan dengan astrologi, atau istilah Melayu-Sanskrit, hora, atau Melayu pasca-Hindu-Buddhanya, ilmu nujum yang khususnya ilmu Bintang Dua Belas, atau istilah Melayu-Inggeris sekarang horoskop yang penuh khurafat (bertentangan dengan ajaran Islam) tetapi begitu berpengaruh dan berkuasa pada zaman jahiliah yang malangnya masih berleluasa kepercayaannya hingga kini.


Bicara Peranan Rukun Iman yang Tidak Kena Sasaran
Bicara prinsip kedua yang dinamainya “Angel Principle” atau “Prinsip Malaikat”, walaupun tepat namanya daripada Rukun Iman ke-2, juga mengandungi kelemahan yang serupa, melainkan nilai “integritas” dan “loyalitas” yang jelas terbit daripada sifat Malaikat itu; walaupun ini juga tidak dibicarakan dengan cukup baiknya. Nilai daripada “suka memberi dan mengawal” daripada prinsip ini dikaitkan dengan hanya kepada seseorang yang sering membaca Basmallah yang agak jauh daripada Rukun Iman kedua itu. “Komitmen” dibicarakan dengan mengaitkannya dengan ucapan salam yang juga jauh daripada Rukun Iman yang sama. Dua lagi nilai yang disenaraikan sebagai terbit daripada “Prinsip Malaikat”, iaitu “kebiasaan menolong” dan “saling percaya” langsung tidak dibicarakan. Sebenarnya, nilai “kebiasaan menolong” tidak perlu disenaraikan kerana sudah termasuk di dalam “kebiasaan memberi” itu. Inilah akibat keinginan amat pengarang buku ini, dengan apa cara pun agaknya, menyenaraikan 5 nilai (bilangan rukun Islam) daripada Prinsip Malaikat! Jikalaulah beliau menumpukan kepada tokoh-tokoh malaikat yang besar yang wajib diketahui itu pun (seramai 10 orang itu) nescaya beliau akan mendapat nilai-nilai yang lebih bernas dan asasi lagi walaupun terbebaslah daripada bilangan lima yang dicitainya itu.


Prinsip Kepemimpinan yang Tersasar
Prinsip ketiga daripada Rukun Iman yang ketiga diambilnya Nabi Muhammad sahaja sebagai sumber untuk mendapatkan “Prinsip Kepemimpinan”. Ini tidaklah salah. Namun amatlah banyak sudah tulisan tentang kepemimpinan Nabi Muhammad SAW yang malangnya tiada sebuah pun yang dirujuk di dalam ESQ 2008. Penumpuan hanya kepada Nabi Muhammad sahaja tentunya tidak berapa kena dengan Rukun Iman itu sepenuhnya kerana 25 orang nabi dan rasul yang wajib diketahui itu tentunya mempunyai sifat kepemimpinan yang bitara yang perlu dicungkilkannya walaupun mungkin beroleh lebih daripada 5 atau 6 yang ditaasubinya itu. Apa pun sepatutnya sifat-sifat am seseorang nabi yang wajib ada iaitu shidiq, amanaht, tabligh dan fatdanaht sahaja pun sudah cukup untuk dicungkil prinsip kepemimpinan daripadanya berbanding dengan tindakannya semacam merayau mencari yang lain yang tidak jelas asasnya. Anehnya ini pun tidak dilakukannya. Benarlah katanya “pemimpin itu adalah pengaruh” tetapi apakah yang menyebabkan seseorang itu berpengaruh itulah yang perlu dibicarakan di dalam mendapatkan prinsip kepemimpinan yang cuba diperolehnya daripada kepemimpinan Nabi Muhammad SAW itu. Tumpuannya kepada 5 tingkat pemimpin agak tersasar daripada matalamat itu bahkan hal tingkat yang kedua, “pemimpin yang dipercayai” yang diturunkannya kepada “integritas” tidaklah penting dalam konteks keseluruhan isunya, iaitu “pembinaan mental” kerana nilai ini sudah pun dibicarakan di bawah prinsip pertama (daripada Rukun Iman pertama itu). Begitu juga tingkat 3, “pembimbing”, yang diturunkannya kepada “pemotivasi”, atau isu motivasi, yang sudah ada di dalam prinsip pertama. Tingkat ke-4, iaitu ‘berkepribadian’ memang bagus perbincangannya dan relevan dengan kepemimpinan sebagai “pengaruh”. Namun tingkat ke-5, perihal pengekalan pengaruh atau yang diistilahkannya sebagai ‘pemimpin abadi’ itu masih banyak yang perlu difikirkannya. Umpamanya beliau hanya menegaskan untuk mencapai tahap itu seseorang perlulah mengikut “suara hati” atau intuisi sahaja kerana kononnya itulah asalnya segala kebenaran. Beliau bergantung pada pandangan sarjana bukan Islam bernama Sorokin. Gaya menumpang sekaki orang bukan Islam ini diteruskan lagi dengan lebih hebat lagi apabila beliau juga dengan mudah menjual nama Plato, Aristoteles, Plotinus, Augustinus, Thomas Hobbes, Bergson, Spinoza, Jung, Whitehead dan John Mill sebagai tokoh-tokoh pembawa kebenaran ini (pipi 164). Ini suatu kesilapan yang besar! Hampir setiap tokoh itu sebenarnya bercakap atau berfalsafah yang ada banyak unsur yang bertentangan dengan Islam! Pandangan di dalam ESQ 2008 yang ekstrim ini sudah pun diperkatakan sebelum ini. Lagi sekali pendekatan Bucailleisme ini mengundang kepada liberalisme dan jamakisme itu. Sesungguhnya isu kepemimpinan amatlah besar dan berat yang tidak mungkin adil dan wajar dibicarakan seperti di dalam ESQ 2008 itu walaupun memang agak panjang juga, iaitu 24 halaman (pipi 142-146), tetapi sedikit pun tiada rujukan dilakukan kepada khazanah ilmu ini di dalam tradisi Islam (bahkan khazanah di dalam rumpun Melayu serta Barat mutakhir sebagai perbandingan) bagi mendapatkan prinsip kepemimpinan yang bernas daripada Rukun Iman ke-3 itu. Lihat perincian isu ini di dalam Shaharir (2008)


Tafsir Baru Iqra’ dan al-Faatihah yang Mengundang Bid‘ah Dhalaalaht
Bicaranya tentang “Learning Principle” atau “Prinsip Pembelajaran” daripada Rukun Iman ke-4, berimankan kitab-kitab Allah, pengarang ESQ 2008 mengambil al-Qur’aan kepada ayaht pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu Iqra’ …itu. Tiadalah masalahnya dengan mentafsirkan perkataan itu, yang terjemahan harfiahnya memang “baca” itu, bermakna bukan sahaja membaca biasa itu (baca dan faham bahkan menilai dengan kritisnya), apatah lagi membaca tanpa kefahaman, bahkan sesuailah dengan ungkapan Melayu seperti “dia tak dapat baca peristiwa itu”. Akan tetapi beliau meneruskan tafsiran membaca itu dengan “membaca keluar (Outer Journey)” dan “membaca ke dalam (Inner Journey)” (kedua-dua padanan istilah itu rasanya kurang tepat), serta menjadikan al-Qur’aan sebagai pedoman ada menimbulkan masalahnya. Pertamanya, rasanya dua konsep pembacaan ini pastinya bukan karyanya tetapi beliau tidak pula memberi sumber asalnya. Katanya “membaca ke dalam” bermaksud “mengenal dan berfikir tentang eksistensi diri serta Tuhan sebagai Pencipta” manakala “membaca keluar” bermaksud menjawab soalan makna sesuatu benda, tujuan benda dan sebagainya sehingga jawabannya itulah menjadi sains; dan jika digabungkan kedua-duanya itu, katanya lagi, akan memperlihat Asmaul Husna. Ini rasanya sumbangan ESQ 2008. Kalau begitu tafsirannya, maka Iqra’ itu bukan sekadar membabitkan berfikir secara kritis, “evaluasi dan sempurnakan” , dan menjadikan al-Qur’aan sebagai pedoman tetapi Iqra’ itu lebih tepat dikatakan sebagai pembelajaran dan penyelidikan (mentelaah, mengkritik, menilai dan mentafsir,…menginovasi, membina semula ilmu dan membina teknologi). Ini bermakna prinsip ke-4 sebagai “Prinsip Pembelajaran” atau “Learning Principle” itu tidaklah tepat. Ahli sains, teknologi atau lain-lain tidaklah hanya belajar sahaja! Namun tepatlah apabila ESQ 2008 mengatakan “ isi al-Qur'aan adalah tuntunan pembangunan alam pikiran atau Iman. Petunjuk pelaksanaannya disebut, dan langkah penyempuranaannya adalah Ihsan” (pipi 190).



Malangnya beliau agak keterlaluan apabila menegaskan amalan Iqra’ itu sudah diamalkan oleh semua sarjana besar barat sejak Zaman Yunani (dengan contohnya Archimedes), Galileo, Copernicus, Einstein, dan Picasso, oleh itu katanya membawa kebenaran; sedangkan pandangan mereka ini ada yang salah dan ada yang sedang dikritik hebat dan malah sudah ada pandangan alternatifnya. Beliau juga membuat kesilapan menyamakan kaedah Nabi mendapat wahyu (yang sentiasa benar) dengan kaedah sains daripada pelaksanaan Iqra’ oleh para ilmuwan atau pemimpin (diri, kelompok, organisasi atau negara), seniman, ikhtisas dan sebagainya yang tertakluk kepada kesilapan. Sekaligus teori “penjernihan jiwa” atau ZMP, suara hati, dan God Spot beliau itu penuh persoalannya seperti yang telah diperkatakan sebelum ini. Lagi pun tidaklah benar dikatakan di dalam bab ini bahawa Nabi Muhammad SAW mendapat kebenaran (wahyu) menerusi ZMP, mengasingkan diri seperti ke Gua Hira’ sahaja, atau ketika lainnya menerusi mimpi sahaja. Kebenaran mutlak (al-Qur’aan) itu turun beransur-ansur selama hampir 23 tahun dan kebanyakannya ketika baginda menghadapi masalah di Madinaht semasa baginda menjadi jeneral dan pemimpin negara. Oleh itu banyaklah wahyunya diperoleh secara tiba-tiba sahaja, atau tegasnya, bukan dengan cara menyisih dirinya daripada masyarakat! Contohnya, Suraht al-Nas diterimanya semasa baginda sakit; al-Ikhlas ketika menjawab pertanyaan sekumpulan Yahudi yang mengadap baginda; al-Kaafirun ialah jawaban baginda ketika beginda menerima tawaran dan ajakan sekumpulan Musyrikin yang mengadap baginda. (Lihat Asbabun Nuzul seperti oleh Qamaruddin drk. 1987). Pengarang ESQ 2008 juga membuat penegasan yang kurang tepat dan mengelirukan apabila beliau mengatakan teori Galileo dan Copernicus itu ada di dalam al-Qur’aan (Suraht Yunus 10:5) kononnya ahli sains Barat-Kristian ini mengamalkan teorinya dan seterusnya mengamalkan Iqra’. Mana betulnya! Teori mereka ini sudah dibuktikan palsu oleh Einstein pada awal abad ke-20 dahulu. Dengan contoh ini pun, Bucailleisme itu sudah menimbulkan masalah atau persoalan tempat seseorang mahu berlindung sekarang? Di bawah al-Qur’aan atau Einstein? Sungguhpun tafsiran al-Fatihah di dalam ESQ 2008 memang tinggi daya karyanya, tetapi memadankan nilai yang ada di dalam al-Fatihah dengan nilai Bushido adalah suatu yang tidak perlu, bahkan merosak martabat al-Qur’aan. Memasukkan Amiin sebagai sebahagian daripada Suraht al-Fatihah juga mengelirukan dan boleh menyesatkan, bahkan bismilah sebagai sebahagian Suraht itu pun sudah cukup kontroversinya.


Bukti Mukjizat al-Qur’aan yang tersasar
Pada pipi 184-187, pengarang ESQ 2008 juga tersalah pilih dengan terikut-ikut merasionalkan kehebatan (mukjizat) al-Qur’aan menggunakan statistik bilangan kali kemunculan sesuatu perkataan, paradigma perkataan sepadan dan berlawanan, sinonim dan sebagainya, yang dipetik daripada karya Abdul Razaq Nawfal dan teori kod 19 oleh Rasyad Khalifa yang diisytihar sesat dan menyesatkan oleh ramai ulama. Mukjizat al-Qur’aan yang lebih bermakna dan patut dirasionalkannya ialah yang dicabar oleh Allah sendiri supaya sesiapa yang mempersoalkan al-Qur’aan itu cuba berkarya sebaik al-Qur’aan itu walaupun sekalimah ayat (Suraht 2:23, 10:38, 11:13, 17:88 dan 52:34) atau yang lain yang tiada kontroversinya.


Beberapa kelemahan Bicara Prinsip Visi daripada Rukun Iman yang Kelima
Perbincangan Prinsip ke-5, “Vision Principle” atau “Prinsip Masa Depan” (padanannya yang kurang tepat rasanya), yang diperoleh daripada Rukun Iman ke-5, percaya kepada kiamat, juga banyak kelemahannya. Pertamanya Prinsip ini sepatutnya menjadi satu daripada Prinsip Kepemimpinan (diakui olehnya sendiri di pipi 362) yang dibicarakan sebelum ini oleh itu tiadalah Prinsip ke-5 ini di sini. ESQ 2008 menyatakan 5 perkara yang muncul daripada “Prinsip Masa Depan” itu pada akhir perbincangannya, malangnya cara penulisannya tidak mengikut jujukan (urutan) perkara ini, malah beliau tertinggal membicarakan dengan jelasnya tentang “optimalisasi upaya”. Lagi pun konsep optimalisasi manakah yang dipakainya kerana setiap konsep optimum yang ada sekarang berakarkan emosi dan ruhani Barat kecuali yang baru diusahakan oleh Shaharir (2006). Beliau banyak menumpukan kepada bicara kepentingan “vision” atau “visi” dan satu daripada perkara di dalamnya, iaitu ‘berorientasi tujuan’ dengan orientasi jangka pendek, jangka menengah dan jangka panjang yang disatukan dengan dua lagi perkara di dalam prinsip ke-5 beliau ini, iaitu Kendali Sosial dan Ketenangan Batiniah. Lagi sekali walaupun bicaranya penuh dengan unsur keIslaman tetapi contoh-contoh untuk pengukuhan bicaranya semuanya tokoh-tokoh Barat sehingga Nero Gila itu pun diambilnya. Dalam membicarakan kaedah bagi menyelesaikan keraguan, beliau hanya membicarakan ‘metode historis’, yang tidaklah begitu jelas maksudnya, iaitu adakah sejarah yang ada di dalam al-Qur'aan dan al-Hadith sahaja, atau sejarah di dalam ilmu sejarah kontemporer yang menghayati sejaraisme atau grafisejarah, atau kaedah statistik? Jika kaedah statistik yang dimaksudkannya, dan inilah kaedah sejarah yang paling dihormati sekarang, beliau mungkin terlepas pandang bahawa kaedah statistik tidak menjamin tercapainya kebenaran seperti yang banyak diperkatakan oleh sarjana Barat sendiri pun seperti karya Flaws (2004), dan lebih menarik lagi dan laris jualannya ialah oleh Taleb (2004/2007), sedangkan yang lebih berat dengan isu falsafahnya ialah Lindsay (1999). Contoh yang diberi tentang pengajaran daripada Fir’aun memang sudah terkenal tepatnya; namun beliau sepatutnya membari contoh yang memerlukan pungutan data dan analisa yang diperkatakannya itu. Contoh tentang alam semesta daripada Suraht Yunus, ayaht 5 dan perbandingannya dengan ilmu sekarang sudah diberi ulasan sebelum ini akan tidak wajarnya. Beliau perlu mencari contoh yang lebih mudah dan lebih relevan lagi dengan isu sosial dan kemasyarakatan kini yang tentunya memerlukan penyelidikan baru (tidaklah dapat dipetik hasil kajian yang sudah tersedia ada!)


Anggapan Tabii Hukum Alam dan Sosial yang Salah
Bicaranya tentang prinsip keenam, “Well Organized Principle” atau “Prinsip Keteraturan” daripada Rukun Iman keenam, Qada’ dan Qadar itu, tidak kurang kelemahannya. Kelemahan pertamanya, yang agak besar, ialah percayanya pengarang ESQ 2008 bahawa hukum alam dan sosial ini bersifat kepastian. Malah beliau membuat kesilapan besar (pernyataan yang ketinggalan zaman) dengan menganggap pastinya hukum alam itu sudah tidak dipertikaikan lagi, oleh itu beliau hanya menegaskan “saya kurang sependapat apabila ilmu sosial tidak disebut sebagai ilmu pasti”. Setiap sarjana yang tidak ketinggalan zaman, Muslim dan bukan Muslim tidak akan bersetuju dengan pandangan ESQ 2008. Contoh yang diberi, tentang pastinya sifat manusia balas-membalas (pipi 225) itu pun tidak benar kerana ajaran Islam sendiri tidak menggalakkan “jahat di balas jahat’ tetapi jahat pun perlu (tindakan terbaiknya) dibalas baik (Suraht 23 (al-Mu’minuun): 96 dan 41 (Fushilat): 34) dan memang ramai orang mencapai taraf ini. Beliau juga membuat kesilapan dengan mengatakan “Sunnatullah (ketetapan Allah) adalah suara-suara hati” (pipi 225) seperti yang telah diperkatakan sebelum ini. Ekoran daripada kesilapan ini, maka banyaklah perbincangan beliau selanjutnya yang tidak dapat diterima. Pendeknya, lima perkara yang diutarakan pada akhir bicara prinsip ke-6 ESQ 2008 ini (sebagai kesimpulannya) seluruhnya paling lemah di dalam perihal 6 prinsip pembinaan mental di dalam buku ini.


Bicara Kekuatan Peribadi daripada 3 Rukun Islam yang Banyak Persoalannya
Dalam bab ketiga (“Bagian Tiga”) buku ESQ 2008 dibicarakan “Personal Strength” atau terjemahannya “Ketangguhan Peribadi” yang ditetapkannya 6 prinsip (sebilangan Rukun Iman) daripada “Pembinaan Mental” itu; dan 3 pedoman (daripada 3 pertama daripada Rukun Islam) yang dibincangkan di di dalam bab ini. Pedoman pertamanya, “Mission Statement” atau “Penetapan Misi” daripada syahadaht itu. Misi ini dikatakannya mewujudkan kekuatan diri dalam 6 perkara (bilangan Rukun Iman lagi) yang dibicarakan dengan penuh penumpuan kepada pengertian syahadaht itu tetapi malangnya semua contohnya yang memperkuat hujahnya terdiri daripada tokoh-tokoh bukan Islam termasuklah Thomas Edison, John Rockefeller, Julius Caesar, Napoleon (sungguhpun ada penulis yang mengatakan Napoleon memeluk Islam, tetapi itupun setelah beliau kalah dan merengkok di penjara), Beethoven, Plato (walaupun ada penulis yang mengatakan beliau pengikut Nabi Islam sebelum ‘Isa bahkan selalu disanjung tinggi oleh sarjana Tamadun Islam yang malah memberi gelaran al-Hakim kepadanya dan dituruti oleh Sarjana Melayu abad ke-17 M dahulu seperti al-Ranyry di dalam karya agungnya Bustan al-Salatin), dan seorang ahli fizik teori yang terkenal dengan pendirian sebagai seorang ateis atau antiagama, Stephen Hawking. ESQ 2008 bahkan menggunakan kandungan kurikulum pendidikan bakal eksekutif Jepun yang mewajibkan pengucapan “saya juara!” berulang-ulang (100 kali setiap hari) untuk mengukuhkan teori Repetitive Magic Power Covey (pipi 272; yang mahu diterjemahnya) bagi mencipta kejayaan dengan melaksanakan sholaht 5 kali sehari semalam itu. Dengan pendekatan sebegini, pembaca boleh bertanya apa istimewanya teori Islam beliau jika orang-orang bukan Islam itu boleh “berjaya” ; atau apa istimewanya menerusi kaedah sholaht kalau Jepun boleh “berjaya” tanpa sholaht? Isunya tentulah makna “berjaya”, dan mendedahkan kelemahan tokoh-tokoh Barat atau bukan Islam yang dianggap “berjaya” atau “berkekuatan peribadi” itu berbanding dengan tokoh-tokoh yang berjaya atau berkekuatan peribadi mengikut ukuran baru yang berlandaskan Islam. Pokoknya banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh pengarang ESQ 2008 atau penyokong-penyokongnya! Seperti yang disebut sebelum ini kelemahannya berpunca daripada tiadanya perbincangan konsep “berjaya” mengikut Islam yang tentunya berbeza daripada “berjaya” yang lumrah dipakai sekarang dan malangnya masih diikuti oleh ESQ 2008.


Perkara kedua yang memberi kekutan peribadi mengikut ESQ 2008 ialah “Character Building” atau “Pembangunan Karakter” yang diasaskan daripada sholaht; dan dicirikan kepada 6 perkara lagi (bilangan Rukun Iman lagi). Seperti yang lepas-lepas, dalam hal ini, kelemahan ESQ 2008 ialah selalunya menggunakan tokoh-tokoh Barat bukan Islam “yang berjaya” bagi mengukuhkan teorinya; atau mengambil amalan bukan Islam tanpa penilaian kritis terhadap “kejayaan” (bukan bukan mengikut perspektif Islam itu) berbanding dengan kejayaan mengikut perspektif Islam. Misalnya, Contohnya Mc Craken (pipi 282) mengamalkan intuisi dan santaian dengan relaksasi menjadikannya seorang pengurus yang “berjaya” tentunya mencabar sebarang kaedah Islam, termasuk yang cuba digariskan di dalam ESQ 2008 itu. Begitu juga dengan Cooper & Sawaf dengan kaedah peningkatan “kecerdasan emosi” (pipi 286), Killey yang “berjaya” mengamalkan amalan kaedah pengembangan eksekutif Anderson Consulting (pipi 287), Einstein dengan cara nya tersendiri “menghimpun energi emosi” (pipi 290). ESQ 2008 mengkritik kaedah ulangan yang disyorkan oleh Stephen Covey (pipi 285) semata-mata kerana tiada contohnya dan lalu seterusnya menegaskan sholaht-lah contohnya. Namun bagaimana dengan teori Jepun yang disebutnya sebelum ini dengan positifnya? Bukankah contoh Jepun itu mencabar contoh ESQ 2008 ini? Nampaknya di sini pun ESQ 2008 masih tidak terlepas daripada Bucailleisme yang tidak berfaedah segi pembangunan ilmu Islam atau boleh membahayakan aqidaht itu. Di dalam bab ini juga ESQ 2008 mengulangi hujah-hujah menegakkan 6 Prinsip “Pembinaan Mental” tetapi kali ini menerusi pelaksanaan Rukun Islam pertama, Sholaht. Ini sudah agak bercelaru, bukan sekadar kerana kadang-kadang dikembangkan kepada bukan sholaht wajib lagi seperti sholaht berjemaah dan sholaht dua hari raya, tetapi kerana 6 prinsip itu mulanya dikatakan diperoleh atau diasaskan pada Rukun Iman sahaja. Lagi pun tiada sebab hujah 6 Prinsip itu dibincang lagi kerana sudah satu bab ditumpukan padanya terlebih dahulu. Lebih bercelaru lagi di dalam bab Kekuatan Peribadi atau “Ketangguhan Peribadi” ini ada pula dibicarakan “Social Strength” (pipi 302) sedangkan satu bab yang khas, bab selanjutnya telah pun disediakan untuk membicarakan perkara ini. Tambahan tidak kenanya ialah memperluaskan hujahnya kepada Rukun Islam ke-5, Naik Haji!


Bicara Peranan Sholaht dalam Kendalian Diri yang Tak Kesampaian
Di dalam membicarakan implikasi khusus daripada “Pengendalian Diri” atau “Self Control”, iaitu “meningkatkan kecakapan emosi secara fisiologis” (pipi 314-316) ESQ 2008 memetik kajian Goleman tentang kanak-kanak memakan marshmallow yang disediakan yang ditafsirkannya sebagi bukti tajrabi/eksperimen/ujikaji pentingnya berpuasa. Jika pun benar tafsiran ini, ESQ 2008 masih belum membuktikan puasa itu menjadikan seseorang bertaqwa sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Qur’aan, Suraht al-Baqarah 2:182, yang dipaparkan di dalam ESQ 2008 sendiri pada akhir judul perkara yang dibicarakannya itu (pipi 316). Hujah ber-taqwa itu ialah tahap tertinggi mengawal emosi sahaja pun masih belum dibuat; tambahan pula ber-taqwa bermakna lebih daripada itu.



Sungguhpun perkara ketiga di dalam Personal Strength ialah Self Control yang diutarakan menerusi amalan berpuasa itu tidak perlu dibicarakan di sini kerana perkara ini sudah dibicarakan pada ketika bab Mental Building dahulu lagi, namun pada akhir bicara judul ini ada diberi kritikan lagi terhadap Management by Objective oleh Peter Drucker yang walaupun pendek cukup bernas (pipi 324), sama dengan bernasnya kritikan pertamanya di pipi 55 dan 180. Namun begitu teori pengurusan di dalam ESQ 2008 beliau sendiri pun masih berbau teori Peter Drucker yang dikritiknya itu kerana masih memetingkan visi, misi, wawasan, matalamat/objektif dan kawalan, bahkan pentaksiran selanjar (continuous improvement di dalam ESQ 2008, pipi 194, 255 dan 257) yang diidolakannya menerusi budaya kaizen Jepun (pipi 178,190,194, 195,199) dan prinsip PuMuS (Pengurusan Mutu Seluruh)/TQM (Total Quality Management), walaupun yang terakhir ini tidak pernah dirujuknya. Keadaan sebegini menjadikan ESQ 2008 kurang keperibadiannya; bahkan menjadi teori Drucker dan Covey (yang cukup banyak/kerap menjadi rujukannya dengan positifnya, cth pipi 19,180,209,284,285,338,372,424 ), selain daripada berupa bungkusan teori Goleman dan Zohar-Marshall yang disulami dengan prinsip atau nilai Islam atau katanya (pipi 190, 289) akhlaqul karimah!


Bicara Kekuatan Sosial menerusi Amalan Haji yang Tidak Memuaskan
Bab ke-4 membicarakan “Social Strength” atau “Ketangguhan Sosial” berasaskan pada dua lagi Rukun Islam itu. Bab ini dijelaskannya sendiri bertujuan mengukuhkan teori Covey (tentang keseimbangan Production dengan Production Capability), dan Cooper (tentang suara hati atau intuisi) menerusi pelaksanaan Rukun Islam keempat dan kelima, Zakat dan Haji. Ini kerja Bucailleis lagi dan kali ini dilakukan dengan jalan yang berliku menerusi “Strategic Collaboration Sinergi” dan “Total Action” atau “Aplikasi Total” sebagai komponen “Social Strength” setiap individu unggul yang setiap satunya ada 6 dan 5 perkaranya (masing-masingnya sengaja diwujudkan mengikut bilangan Rukun Iman dan bilangan Rukun Islam itu). Dalam membicarakan “Strategic Collaboration Sinergi” yang terbit daripada penunaian Zakat itu, 5 perkara yang yang terbit daripadanya lagi tidak dibicara dengan memuaskan tetapi lebih kepada hanya penegasan tanpa hujah yang cukup. Yang panjang lebarnya ialah hujah peranan Zakat dalam menegakkan 6 Prinsip Pembinaan Mental yang dahulunya dibicarakan berasaskan Rukun Iman sahaja. Di samping perbincangannya sering diperkukuhkan dengan contoh pandangan tokoh bukan Islam yang kesannya cukup negatif itu, perbincangan ini agak tidak relevan lagi. Dalam membicarakan “Total Action” atau padanannya “Aplikasi Total” (yang kurang tepat rasanya) yang terbit daripada menunaikan fardhu Haji itu, ESQ 2008 menonjolkan 6 perkara yang memberi “Social Strength" kepada seseorang yang melakukan fardhu Haji itu. Setiap 6 perkara itu terbit dari 4 Rukun Haji (Niat dan Ihram, Wuquf, Tdawaf dan Sa'i) , 1 Wajib Haji (Melontar Jumraht) dan satu yang perlu terjadi, Jama’ah Haji. Peninggalan beberapa Rukun Haji yang lain lagi (bercukur dan tertib) dan Wajib Haji yang lain (Niat di Miqat, bermalam di Mudzdalifaht, bermalam di Mina, meninggalkan segala larangan di dalam ihram) di dalam teorinya adalah yang pelik dan boleh menjadi isu dalam maksudnya Rukun Islam kelimanya itu. Perbincangan “Niat dan Ihram menyediakan ZMP” tidaklah perlu dan sesuai kerana, selain daripada adanya unsur khurafat di dalamnya yang dibicarakan sebelum ini, proses ini sudahpun dibicarakan berlandaskan Rukun Iman dahulu. Perbincangan 5 perkara yang lain itu banyak kali terkeluar daripada mauduknya, iaitu tiada kaitannya dengan Haji seperti membicarakan mauduk itu berlandaskan Asmaul Husna.



Isu Bahasa
ESQ 2008 penuh dengan istilah atau ungkapan di dalam bahasa Inggeris yang sengaja dilakukan oleh pengarangnya demi status bahasa Inggeris kini dan mengalahnya pengarang ESQ 2008 kepada sejagatisme atau globalisme (kata-katanya yang tepat sudah dipetik sebelum ini). Sikap beliau ini amatlah tidak kena kerana langkah beliau itu bukan sahaja menjejaskan keperibadian teori beliau itu, tetapi tidak kurang pentingnya tidak membantu sedikitpun untuk mengangkat martabat bahasanya sendiri, bahasa Melayu (Malaysia atau Indonesia atau di Pascabima/Nusantara/(Alam Melayu/Indonesia)) ke arah menjadikannya satu daripada bahasa ilmu; bahkan merosakkan lagi bahasa tersebut. Dengan sikapnya itu setengah istilah menjadi bahasa kreol atau bahasa rojak seperti “Strategic Collaboration Sinergi” (sinergi dengan i bukan y muncul secara tekal/konsistennya), “value kasih sayang”, “memberi meaning”, “sistem punishment”, “interval waktu”, memiliki skill dan network, dan “Maha Training”. Setengahnya menjadi tidak munasabah/rasional lagi sehingga mempopularkan perkataan atau ungkapan biasa di dalam bahasa Inggeris seperti a way of life, camper, climber, corporate culture, life cycle, inner beauty, general manager, lifelong learning, meaning, network, on the right track, out of the box, personal strength, photography, quitter, safety box, self control, skill, social strength, spiritual wisdom, value, triple one, use all resources,… memang banyak sekali! Judul buku itu sendiri menyedihkan, bukan setakat ESQ bahkan “The ESQ Way 165” itu benar-benar merendahkan martabat bahasa sendiri. Kerja pemasaran buku ini juga mengecewakan dengan menulis seuntai ungkapan Inggeris yang begitu cerlang merah di kulit buku berkenaan dengan ungkapan “Only For Training” dan “Best Seller”. Apa rendah tarafnya dengan ungkapan yang setaranya di dalam bahasa sendiri seperti “Hanya untuk Pelatihan ESQ” (masih sayang ESQ!) dan “Laris Jualan”. Banyaklah lagi contoh di dalam teks ESQ 2008 yang bertaraf seperti ini. Ada beberapa ketika pengarang ESQ 2008 langsung tidak mahu menterjemah sekali sahaja pun (biasanya yang lain ada juga sekali diterjemahkannya semasa pertama kali perkataan atau ungkapan itu muncul) sesepatah perkataan atau seseuntai ungkapan Inggeris seperti morning briefing, MOU, take over, petikan Frankl di pipi 10, kata-kata Mitroff dan Denton di pipi 11, Spiritual Engineering, petikan kata-kata hikmat di pipi 15 (semua ini di bagian Prolog sahaja; banyak lagi di Bagian-Bagian selanjutnya. Anehnya gaya ini tidak diamalkan untuk petikan di dalam bahasa Arab umpamanya. Memang banyak istilah terjemahan yang dirasakan kurang tepat tetapi yang paling mencolok ialah terjemahan istilah terpenting di dalam buku ini, iaitu IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) yang masing-masingnya diterjemahkan (tetapi tidaklah pula mahu dipopularkannya) sebagai Kecerdasan Intelektual (ada sekali disebut kecerdasan otak), Kecerdasan Emosi dan Kecerdasan Spiritual. Pertamanya, Quotient di sini ialah istilah matematik yang bermakna nisbah atau pembahagian/pembagian antara dua angka, bukannya kecerdasan! Mengikut perakuan istilah MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia), istilah Quotient ialah Hasil Bahagi, Hasil Bagi atau Nisbah. Istilah “intelligence” memang berasal daripada intellect yang bermakna aqal, pintar, cerdas, intelek; tetapi istilah intelligence tidaklah sesuai dengan “intelektual” atau “otak” bahkan MABBIM memperakukan kepintaran atau kecerdasan. Kamus etimologi bahasa Inggeris pun menyatakan intelligence berasal daripada Latin: intelligentia, intelligentum dan intellegens yang juga menjadi kata asal perkataan Inggeris, intelligentsia (yang bermaksud sekumpulan intelektual/cendekiawan). Jadi istilah IQ yang lebih betulnya ialah Nisbah Kepintaran atau Nisbah Kecerdasan (ringkasnya NKp atau NKc), EQ patut digantikan dengan NE (Nisbah emosi) dan SQ dengan NR (Nisbah Ruhani) atau NS (Nisbah Spiritual). Di dalam ESQ 2008 istilah “kecerdasan” seolah-olah dipadankan dengan Quotient dan ini cukup mengelirukan. Setiap cendekiawan atau intelektual harapan bangsa, memang diharapkan merujuk istilah kesepakatan bersama, MABBIM, untuk dipakai kerana istilah ini kini dengan mudahnya dapat diperoleh di internet (laman Departmen Bahasa di Indonesia dan DBP di Malaysia dan Brunei). Namun mengenangkan pengarang ESQ 2008 sendiri beberapa kali menegaskan EQ atau EQ + Ihsan ialah Akhlaqul Karim maka sepatutnya beliau berani mengusulkan sebuah istilah baru sama sekali bagi ESQ beliau itu seperti NAKR (Nisbah Akhlakul Karimah dan Ruhani) yang sepatutnyalah jelas berbeza dengan ESQ sebagai gabungan ES dan EQ itu kerana Akhlakul Karimah memang berbeza rincinya dengan emosi dan begitu juga ruhani berbeza dengan spiritual. Jelas pengarang ESQ 2008 tidak menyedari bahasa juga berperanan mewarnai makna ilmu yang sedia ada apabila diterjemah kepada sesuatu bahasa lain, dan bahasa juga mampu memberi konsep baru kepada sesuatu perkara yang dahulunya di dalam bahasa lain seperti yang dibicarakan oleh Shaharir (2009b).


Beberapa Persolaan Terpencil
Model hubungan manusia-manusia dan manusia-Tuhan berbentuk segi tiga itu (pipi 10), sungguhpun sudah lumrah sedemikian gayanya, tetapi ini terlampau mempermudah-mudahkan keadaan. Jika hubungan yang wujud ialah manusia-manusia secara mendatar dan manusia-tuhan mencancang atau vertikal maka hubungan manusia-manusia-tuhan lebih tepat lagi berupa segi-empat tepat atau bujur sangkar, atau bulatan sahaja (setiap satunya tanpa batasnya, atau tidak termasuk sempadannya). Hubungan berbentuk segi tiga itu tidak menunjukkan “Tuhan berada di mana-mana” dan hubungan manusia-Allah cukup berbeza tahapnya mengikut darjah ke-taqwa-an seseorang (tidak terhad kepada rantau segi tiga sahaja)
Model ESQ (yang banyak kali dilukis di dalam buku itu; dan diterangkan, contohnya, di pipi 256, dan 383) yang merujuk kepada “gerakan atom (Bohr)” agak ketinggalan zaman kerana model atom mengikut Bohr itu sudah tidak terpakai lagi. Model atom sejak 1926 ialah bersifat ketakpastian yang tiadalah orbit seperti itu tertakrif. Lebih baik model itu digantikan dengan penjelasan mengikut model planet sahaja (rajahnya tidak berubah), walaupun model planet klasik (model Newton) itu pun sudah diabaikan sejak teori Einstein menunjukkan orbit planet tidak lagi berbentuk elips tertutup itu. Memang yang lebih baik lagi ialah model Einstein itu. Model atom mutakhir mungkin terlampau sukar untuk dieksploitasikan bagi tujuan membina model ESQ itu, walaupun itu pun boleh menjadi cabaran kepada sesiapa pun.
Beberapa unsur Bucailleisme lagi di dalam ESQ 2008, selain daripada yang telah disebut di atas, ialah perkara berikut:
1. Kandungan sebuah karya Dale Carnagie dipadankan dengan ar Rahman dan Ar Rahim kepada sesama manusia (pipi 80)
2. Jeneral Charles de Gaulle, yang kemudian menjadi Presiden Perancis, dijadikan contoh “loyalitas” dan “integritas” yang unggul (dan memenuhi “Prinsip Malaikat”) di dalam ESQ 2008 (pipi 128-129).
3. Thomas Hobbes, seorang sarjana Eropah (Inggeris) yang bukan Islam dalam abad ke-17 M, dipetik pandangannya tentang kepemimpinan “tanpa hati nurani” sebagai gaya kepemimpinan yang melanggar garis demarkasi Allah (pipi 143)
4. Thomas Edison, terkenal dengan penemuan elektrik, dijadikan contoh penemu dan pemikir yang boleh diteladani sesuai dengan “Principle of Learning” di dalam ESQ 2008 yang dianggap penuh keIslaman oleh pengarangnya. (pipi 177) itu. Begitu juga halnya, dengan pemimpin syarikat-syarikat Jepun yang dijadikan contoh yang serasi dengan keperluan di dalam “Principle of Learning” itu (pipi 178-179).
5. Charles Schwabb dan Bill Gates dijadikan contoh manusia yang memenuhi “Vision Principle” di dalam ESQ 2008 yang dianggap penuh keIslaman itu (pipi 203)
6. Setiap karyawan (yang bagus-bagus itu) adalah berprinsipkan iman dalam suatu perusahaan (yang sesuai dengan “Well Organised Principle” di dalam ESQ 2008 yang berprinsip Islam itu) termasuklah para karyawan di Taiwan dan Hongkong yang menerap ajaran Konfusius itu (pipi 231)


Gaya Rujukan yang Mengelirukan
Pengarang ESQ 2008 juga bukan sahaja menggunakan gaya pernyataan sumber ilmu yang dirujuknya dengan menggunakan gaya lama, iaitu ibid., op. cit. dan sebagainya yang mengelirukan, tetapi juga banyak sumber bacaannya yang tertinggal disenaraikan di dalam senarai “Daftar Catatan Kaki” termasuklah yang penting-penting sekali pun. Contohnya di dalam Prolog ada di sebut Persinger, Ramachandran dan Singer tetapi tiada rujukannya di dalam “Daftar Catatan Kaki” bab ini di dalam “Daftar Pustaka” pada akhir buku ini; begitu juga Peter Drucker yang dirujuk beberapa kali di dalam teks. Sepatutnya setiap rujukan kepada pandangan seseorang tokoh di dalam teks semestinyalah disediakan sumber rujukan. Ini tidak berlaku seperti sebagai contohnya kami ambil Bagian Tiga ESQ 2008 ini, nama-nama berikut tiada rujukannya: Maxwell (pipi 349, 362, 365), Emerson dan Laird (pipi 352), Wall Street journal (pipi 356), Rockefeller (pipi 357), Walt Disney (363), Covey (pipi 384), Edison (386), dan Maslow (pipi 388); begitu banyak sekali!


Ulasan Khusus Kepada Warta Kerajaan terhadap Ajaran ESQ
Warta kerajaan bertarikh 17 hb Jun 2010 yang mengikut akhbar mengistilahkannya sebagai “Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan” menyatakan 10 perkara di dalam “ajaran, pegangan dan fahaman yang di bawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian” yang “menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam”. Jumlah ini tidak sama dengan yang dilaporkan di dalam akhbar Sinarharian 21 Julai itu (kurang satu) dan ini pun masalah akhbar kita sepanjang masa! Enam perkara daripadanya memang ada dan dibicarakan di dalam sorotan buku ESQ 2008 di atas, iaitu tentang uculisme atau liberalisme mentafsir al-Qur’aan dan al-Sunnah, kesamaan pencapaian kebenaran oleh para Nabi dengan orang biasa, pencampur-adukan ajaran ruhani Islam dengan bukan Islam, suara hati dan ZMP, dan kod 19 sebagai mukjizat al-Qur’aan. Kesimpulan kami terhadap perkara-perkara ini agak sama, walaupun kami banyak berhujah secara rasional lagi, dengan yang diungkapkan di dalam Warta Kerajaan itu. Namun ada 4 perkara yang disebut di dalam Warta itu yang tidak setepat seperti yang tertulis di dalam buku ESQ 2008 (oleh itu perakuan Warta Kerajaan itu tidaklah begitu tepat; tetapi mungkin juga tepat berdasarkan edaran syarahan atau catatan kuliah ditempat pelatihan ESQ itu). Perkara tentang logik itu sebagai sumber rujukan utama, pengingkaran mukjizat, penyamaan bacaan al-Fatihah dengan amalan Bushido dan kaitan kalimah syahadah dengan nombor “triple one”. Kami tidak menemui sebarang ungkapan di dalam ESQ 2008 yang boleh ditafsirkan bahawa pengarangnya menegaskan “logik” sebagai sumber rujukan utama (bagi ilmu, pengetahuan atau kebenaran), malah banyak perakuan di dalam ESQ 2008 itu yang tidak “logik”, tetapi itulah sifatnya ilmu berkenaan emosi dan rohani. Kami juga tidak menemui kata-kata yang boleh ditafsirkan pengarang ESQ 2008 itu mengingkari mukjizat cuma dia memperakukan cara Nabi mendapat kebenaran untuk dituruti oleh sesiapa jua pun. Kami juga tidak menemui ungkapan yang memberi makna “menyamakan bacaan al-Fatihah … dengan amalan Bushido”, tetapi yang ada ialah memadan nilai yang ada di dalam al-Fatihah dengan Bushido; tetapi kesimpulannya tetap sama, iaitu pengaitan Bushido dengan apa-apa tentang Islam adalah suatu yang tidak boleh diterima. Tentang pengaitan Syuhadah dengan nombor “triple one” itu memang ada tetapi itu cuma satu kelakar penulisannya yang tidak sepatutnyanya sahaja. Dia tidak serius! Ini boleh dikatakan “dosa yang tidak disengajakan” kerana cita rasa buruknya terhadap bahan jenaka.


Kesimpulan
ESQ 2008 boleh dipuji dalam konteks melihat ilmu IQ, EQ dan SQ daripada perpektif Islam bahkan melakukan percubaan menginovasikannya supaya lebih sesuai dengan jiwa-jiwa muslim. Percubaannya mewujudkan gabungan teori kepintaran berasaskan emosi dan ruhani Islam berasaskan Rukun Iman dan Rukun Islam serta Ihsan memang suatu kerja yang berdaya karya/cipta yang tinggi. Namun beberapa konsep yang cuba diketengahkan bukanlah asli Islam malah kadang kala atau “silap-silap” boleh bertentangan dengan Islam, khsusnya konsep pengosongan minda, atau Zero Mind Process (ZMP) dan pengagungan intuisi atau suara hati setaraf dengan wahyu. Selain daripada itu banyaklah pula idea daripada sarjana Barat (bukan Islam) atau amalan tokoh-tokoh Barat (bukan Islam) yang dijadikan contoh teladan atau bukti kebenaran prinsip-prinsip Islam yang diterapkan di dalam teori ESQ 2008 itu yang boleh menimbulkan cabaran baru kepada keperluan prinsip-prinsip Islam itu dan oleh itu ESQ 2008 itu. Banyaknya gaya Bucailleis yang terdapat di dalam buku ini adalah berpunca daripada layanannya kepada konsep emosi dan “spiritual” barat dan “kejayaan di sisi Barat” dianggap sama dengan emosi dan ruhani serta “kejayaan” di sisi Islam. Ini nampaknya benar-benar tidak disedari oleh pengarang ESQ 2008 kerana perkara ini sedikit pun tidak dibincangkan di dalam karyanya ini. Kesengajaannya tidak mahu mempopularkan istilah Melayu (Malaysia atau Indonesia) juga menghilangkan peluang memperkayakan khazanah ilmu peribumi dan sekaligus peluang mencipta identiti ilmu kerana bahasa juga berperanan mewarnai wajah baru ilmu. Enam daripada sepuluh “Fatwa Mufti Wilayah” terhadap ESQ 2008 memang ada rasionalnya; makalah empat lagi agak kurang dapat dirasionalkan. Namun buku ini lebih baik daripada buku-buku ilmu lain uang tiada unsur pengIslamannya sehingga ilmu itu sarat penuh dengan nilai (emosi dan ruhani) yang bertentangan dengan Islam yang terdapat di dalam negara selama ini, termasuklah buku kepemimpinan dan kepengurusan Stephen Covey yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan memang menjadi rujukan asas pengarang ESQ 2008 juga. Oleh itu buku ini masih patut dibaca oleh mereka yang berminat kepada perkembangan ilmu ini terutamanya oleh mereka yang mahu meperbaiki lagi pendekatan Islam terhadap ilmu sukatan kepintaran dan kejayaan. Buku ini tidak juga seharusnya “diharamkan” kerana selain daripada sebab di atas (berbanding dengan buku-buku lain itu) langkah tersebut pada zaman teknologi maklumat TM ini adalah langkah yang sia-sia atau lebih menyemarakkan lagi penyebarannya atau pemasarannya.

Rujukan
Ahmad al-Fatdany/al-Fathani, (abad ke-19)/2006. Mutiara Ilmu Aqidah. Terj. Kpd buku asalnya Faridaht al-Fara’yd fi ‘Ilm al-‘Aqa‘yd. Kota Bharu: Jabal Maraqy Enterprise


Al-Attas S.M.N. 1996. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, 2nd ed. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
-----------------------. 2010. Dewesternisasi Ilmu. Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 1(2): 3-20


Alhabshi S.O. 1994. Islamic values: its universal nature and applicability” dalam Aidit Haji Ghazali & Syed Othman Alhabshi (Pyt), Islamic Values and Management, K.Lumpur: IKIM


Arip M. K. 2007. Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran (PASAK). Seremban: Awan Biru, Pusat Perniagaan Senawang

Balasubramaniam. 1992. Explaining strange parallels: The case of quantum mechanics and Madhyamika Budhism. Internat. Philos. Quarterly XXXII 2(126): 203-210


Bhaktivedanta Swami A.C.P. 1983/2008. Bhagavad-Gita As It Is. Los Angeles: The Bhaktividenta Book Trust. Terbitan pertama 1983. Percetakan 2008


Bucaille M. 1978. Bibel, Qur-an dan Sains Modern. Jakarta: Penerbit Bulan


Campbell S.K. 2004. Flaws and Fallacies in Statistical Thinking. Dover Publication


Capra F. 1978/2004. The Tao of Physics: an Exploration of the Parallels Between Modern Physics and Eastern Mysticism. 4th ed. Shambhala. Snt. 1 ialah 1978.


Covey S.R. 1989/1996. 7 Tabiat Orang yang Amat Berkesan. Petaling Jaya: Prentice Hall; atau 7 Kebiasaan Manuswia yang Sangat Efektif. Jakarta: Binarupa Aksara 1997. Kedua-duanya Terj. karya asalnya, The Seven habits of Highly Effective People. N.York: Fireside Simon & Schuster Inc. 1989.


Danial Zainal Abidin. 2007/2009. Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains. Cetakan pertama 2007, cetakan kelapan 2009. Batu Caves: PTS Millennia Sdn Bhd


De Bono E. 1985. Six Thinking Hats: An Essential Approach to Business Management. Little Brown & Co.


Drucker P. 1954/1993. The Practice of Management. Collins 1993. Cetakan pertama 1954.
Fatwa Mufti Wilayah. Lihat Warta Kerajaan 2010.

Feyerabend. P.K. 1975/2010. Against Method: Outline an Anarchistic Theory, 4th ed. London: Verso. Terbitan pertamanya 1975


Gladwell M. 2005/2007. Blink. The Power of Thinking without Thinking. Sunt. pertama 2005, sunt. kedua 2007. N.York: Back bay Books


Goleman D. 1999. Working with Emotional Intelligence. N.York: Bantam Book

Internet. Tabula rasa. Wikipedia. http://en.wikipedia.org/wiki/Tabula_rasa

Kuhn T. 1970/1997. Struktur dalam Revolusi Sains. K.Lumpur: DBP. Terj. Buku asalnya “The Structure of Scientific Revolution” snt. ke-2-nya 1970. Ada snt ke-3 terbitan Chicago Univ. Press 1996 tetapi yang berbezanya hanya adanya indeks sahaja. Sunt. Pertamanya 1962.


KuPELEMA. 2008. Unsur-Unsur Sains Matematik dalam Prasasti dan Manuskrip Rumpun Melayu Dalam bahasa Melayu sejak Abad Kedua hingga Kesembilan Belas Masehi I. Seminar Etrnomatematik Asia Tenggara 1, Anjuran INSPEM, UPM

Lakatos I. 1984/2002. Pemalsuan dan Tata Kaedah Atur Cara Penyelidikan Sains. Bangi: UKM. Terj. karya asalnya 1984, Falsification and the Methodology of Scientific Research Programmes, dlm. A. Musgrave & I. Lakatos (Pnyut.), Criticism and the Growth of Knowledge. 4th ed. Cambridge: Cambridge U. Press. 91-196.


Lindsay J.K. 1999. Some statistical heresies. The Statistician 48 part 1: 1-40


Maslow A. 1943. A theory of human motivation. Psychological Review 50(4): 370-396


Polkinghorne J. 2007. Quantum Physice and Theology. An Expected Kingship. New Haven and London: Yale University Press


Popper C. 1968/2008. The Logic of Scientific Discovery. Sunt ke-2, 1968, cet ke-15, 2008. N.York: Routledge. Terjemahan ke bahasa Melayu Indonesia terbitan Pustaka Pelajar, Yogyakarta 2008


Qamaruddin S.KH, Dahlan Haa & Dahlan MD. 1987. Asbabun Nuzul. Latar Belakang Historis Turunnya Ayat-Ayat Al-Quran. Klang: Klang Book Centre

Raganathananda S. 1991. Human Being in Depth: A Scientific Approach to Religion. Albany: State Univ. of New York


Schindler D.L. (Pnyut). 1986. Beyond Mechanism: the Universe of Recent Physics and Catholic Thought. London: Univ. Press of America


Shaharir b.M.Z. 1990. Modes of operations in the quest of Islamic science. MAAS Journal of Islamic Science. 16 (2): 53-70.

Shaharir b.M.Z. 2006. Pendekatan baru terhadap konsep optimum Barat dan beberapa konsep optimum baru dalam acuan sendiri. Kesturi 16 (1&2): 55-96

Shaharir b.M.Z. 2008a. Some weaknesses of the Relativity Theory on the basis of cosmological doctrines. Dlm. Senin H.B., Carini G., Abdullah J. & Bradley D.A. (Pnyut.). Current Issues of Physics in Malaysia. AIP Conference Proceedings. American Institute of Physics: pp. 75-83

Shaharir b.M.Z. 2008b. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Terengganu: UMT

Shaharir b.M.Z. 2009a. Sains Islam bukan hasil Bucaillisme. Siasah 24-30 Mei 2009, dan Siasah 1-7 Jun 2009

Shaharir b.M.Z. 2009b. Pembawaan dan Penyerlahan Jiwa Kemanusiaan yang Berbeza mengikut Penghayatan Bahasa dalam Sains Matematik di Seminar Ulang Tahun INSPEM, UPM, 12 Mei 2009. MathsDigest 2009, 3(1): 1-16


Taleb N.N. 2004/2007. Fooled by Randomness. The Hidden Role of Chance in Life and the Markets. Sunt. Pertama, 2004. Sunt kedua 2007. London: Penguin Books


Zohar D. & Marshall I. 2001. Spiritual intelligence. The Ultimate Intelligence. London: Bloomsbury.


Zukav G. 1979/1984. The Dancing Wu Li Masters : An Overview of the New Physics.
Reissue edition 1984. Bantam. Terbitan pertamanya 1979.


Warta Kerajaan 2010. Warta Kerajaan Seri Paduka Baginda Jil 54 No. 12, 17 hb Jun 2010 Tambahan No. 46 Perundangan (B). Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training dan Fahaman Yang Seumpama dengannya. Dapat diperoleh di lama Mufti Wilayah Persekutuan.


%%%%%%%%%%%%20 Ramadhan 1431=30 Ogos 2010%%%%%%%%%%%