Wednesday, October 20, 2010

Laris, Terhiris dan Tergores

Laris, Terhiris dan Tergores: Ulasan buku Quran Saintifik karya Dr. Danial Zainal Abidin


Shaharir b.M.Z.
Karyawan bebas
riramzain@hotmail.com

Buku yang ingin diperkatakan ini ialah karya Danial Zainal Abidin berjudul penuhnya Quran Saintifik. Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains, terbitan PTS Millennia 2009, cetakan ke-8. ISBN 978-983-3604-15-9.

Kelarisan dan Genre Karya
Buku ini cukup laris kerana cetakan pertamanya tahun 2007 yang bermakna sudah 7 kali ulang cetak dalam masa 3 tahun ini, iaitu suatu yang agak fenomenal dalam industri perbukuan di Malaysia. Tidak syak lagi satu daripada kunci utama larisnya buku ini ialah judul yang berbunyi cukup Islam… ada perkataan “Quran”, dan cukup moden … ada perkataan yang berhubung dengan sains, iaitu “saintifik”. Sejak munculnya buku Marice Bucaille 1976, La Bible, le Coran et la science yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa termasuklah dalam bahasa Melayu Indonesia 1978, Bibel, Qur-an dan Sains Modern, terbitan Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, yang bertemakan pengukuhan sains moden menerusi al-Qur’aan, dan begitu laris sehingga menjadikan Bucaille itu pengarang keberayaan semalaman itu, maka selepas itulah barang buku sedemikian sifatnya memang cukuplah laris. Buku Danial ini memang tergolong dalam genre ini terbitan Malaysia bersama-sama dengan buku-buku Harun Yahya (berkarya di dalam bahasa Turki) terbitan Media Saba, kuala Lumpur seperti yang mauduknya sama dengan sebahagian besar buku Danial ini, Penciptaan Alam Semesta yang memang laris juga, Arip Kosmo 2007 (seorang akademiawan di UKM) dengan karya laris jualannya, Pengukuhan Akidah Menerusi Penghayatan Sains Dalam Al-Quran yang sehingga 2009 sudah 3 kali ulang cetaknya), dan Malim Ghozali 2006 (seorang mantan diplomat dan aktif dalam kegiatan sastera) dengan karya berjudul yang lebih berani lagi Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan terbitan Seladang Books dengan versi Inggerisnya sekali, The Profound Truth: Understanding Perfection yang difahamkan tidak kurang juga larisnya. Walaupun begitu begitu kelarisan buku-buku ini tidaklah setara dengan buku Danial itu.


Dalam dunia berbahasa Melayu, kelarisan buku-buku jenis ini memanglah sehingga kini rasanya belum dapat menandingi buku bermaudukkan kepemimpinan dan kepengurusan yang cukup Islam judulnya, yang panjang tetapi cukup menyengat, Rahsia Sukses membangun Kecerdasan Emosi dan Spritual ESQ Emotional Spiritual Quotient. The ESQ Way 165 1 Ihsan 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam oleh Ary Ginanjar Agustian terbitan Arga Publishing Jakarta 2002 dengan cetakan ke-43 pada Ogos 2008; dan dijangka semakin meletup lagi kerana fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang cukup negatif terhadap buku ini. Namun buku ini sebenarnya indah judul daripada makbul sebagaimana yang dapat disaksikan sorotannya di dalam blog komshaha (September 2010). Apa pun, tentunya buku Danial ini ada kelebihannya, ada “pacar” atau “jampi” pelarisnya yang tidak menjadi pada buku-buku lain terbitan Malaysia. Sekali imbasnya, sebahagian daripada “pacar” itu datangnya daripada dua orang Mufti besar, iaitu Dato’ Harussani Mufti Perak (sudah berTan Sri) dan Dr. Mohd Asri, Mufti Perlis (kini mantan) merangkap seorang cendekiawan awam yang kontroversi dan popular yang juga diakuinya sebagai sahabat penulis, yang memberi kata pengantar masing-masingnya sejak cetakan 2007 lagi, dan selepas itu ditambah pula dengan kata pengantar oleh Prof. Mohamed Hatta seorang pakar perubatan (psikiatri) yang tidak asing di Malaysia, Naib Presiden Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan juga penggiat yang dikenali umum (menerusi JIM dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia) yang juga (mengikut prakatanya) rakan seperjuangan Danial.

Banyaknya Bab!

Buku Danial ini setebal 312 pipi matannya, tidak termasuk 3 junjungan kata pengantar daripada tiga orang tokoh masyhur (sepipi setiap orang yang disebut di atas), prakata pengarang (3 pipi), Bibliografi (2 pipi) dan biodata penulis 2 pipi. Ada lima bahagian: bahagian umum tentang hubungan al-Qur’aan dengan sains, bahagian khusus (dua bahagian berturut-turut) perkara sains pilihan (unsur astronomi-kosmologi, dan kejadian manusia) yang dipaparkan kehebatan benarnya dan sahnya sains itu menerusi al-Qur’aan, diikuti dengan bahagian perkara-perkara ibadah dan isu sosial pilihan dengan perasionalan agama-sains (agama bagi isu sains dan sains bagi isu agama), dan akhirnya epilog yang memuat kesimpulan dan sekaligus membuat penegasan tujuan penulisan buku ini, iaitu sains mengukuhkan pegangan seseorang terhadap Islam dan ketinggian Islam menerusi kritikan terhadap Kristian. Oleh sebab setiap bab buku ini luar biasa pendeknya (di luar norma makna sesebuah bab), bahkan ada beberapa bab yang sepipi sahaja banyaknya dan yang terpanjangnya pun hanya 6 pipi dan majoritinya dua-tiga pipi sahaja, maka bilangan babnya luar biasalah banyaknya, iaitu 107 bab!

Tujuan Penulisan dan Kesampaiannya

Benarlah buku Danial ini, seperti yang diharapkan oleh ketiga-tiga pengiringnya, ditulis dengan hasrat yang murni, iaitu mengukuhkan ‘aqidah dan keimanan seseorang Islam serta menunjukkan kebenaran Islam menerusi kebenaran sains kepada yang bukan Islam agar mereka tertarik kepada kebenaran Islam dan seterusnya beroleh hidayah memeluk Islam. Prakata penulisnya sendiri pun sungguh menyatakan demikianlah matalamatnya, di samping sudahpun menyatakan atau membayangkan pendekatan yang sama dengan buku-buku yang disebut di atas, walaupun ada pula beberapa pernyataannya yang begitu jelas pertentangannya dengan pendekatan itu. Tidak syak lagi sasaran kepada umat Islam itu nampaknya mengena berdasarkan kelarisan buku ini; manakala sambutan buku ini daripada kalangan orang bukan Islam sukarlah ditentukan. Apa pun kajian sains terhadap tercapai-tidaknya dua sasarannya dan harapan pengiringnya itu belumlah dilakukan, walaupun Dr. Arip Kosmo yang karyanya disebut di atas itu ada menyatakan beliau beroleh data yang menunjukkan tercapainya sasaran pertama penulisan genre ini. Namun cara perolehan data beliau itu amat boleh dipertikaikan oleh ahli statistik di bidang persampelan. Oleh itu sehingga kini kami berpandangan kelarisan buku-buku genre ini, termasuk buku Danial ini, tidaklah bermakna adanya kesan positif kepada perkembangan sains di kalangan orang-orang Islam amnya, di Malaysia ini khasnya, bahkan kami berhujah sebaliknyalah yang berlaku.

Terhiris dan Tergores

Pertamanya, bagi mereka yang bekerja di dalam pemajuan sains sendiri (ahli sains, penyelidik dsbnya) terutamanya yang terlibat dengan pembinaan semula sains mengikut acuan sendiri, kefahaman atau perspektif Islam yang tumbuh sejak tahun 1980-an dahulu atas landasan terutamanya yang disediakan oleh Ismail al-Faruqi, Seyyed Hossain Nasr dan Muhammmad Naquib Al-Attas yang dikenali sebagai pengIslaman/Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) yang institusi ideolognya di Malaysia ini ialah ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia), karya seperti yang dihasilkan oleh Danial ini memang terhiris hatinya dan menggores karyanya. Terhiris dan menggores kerana karya mereka itu diapedulikan (ditidak-pedulikan langsung) malah secara tak langsungnya tertampar atau ditamparnya kerana pendiriannya yang amat kontra itu. Masakan tidak demikian! Buku seperti ini cukup bersungguh-sungguh benar menegakkan kebenaran sains moden menerusi Islam, sedangkan para pembina sains Islam menerusi pengIslaman sains itu memeras otak berkarya dan berbuih-buih mulutnya mengkritik sains moden menerusi kaca mata Islam, dan setengahnya sudah pun berjaya menawarkan teori alternatif (berasaskan Islam) kepada teori sains moden yang diakuri benarnya oleh kumpulan Bucailleis ini (Negatifnya Bucailleisme banyaklah diperkatakan orang dan yang terbarunya kami bicarakannya di dalam akhbar Siasah 24-30 Mei dan 1-7 Jun 2009, “Sains Islam bukan hasil Bucailleisme” dan di dalam sorotan buku Ary yang disebut di atas yang disiarkan di dalam blog komshaha ,September 2010). Buku Danial ini memang mewakili karya kumpulan Bucailleis ini dalam banyak perkara sains moden yang dipaparkan di dalam karyanya itu. Inilah yang dibicarakan selanjutnya di bawah ini.

Islamnya Cerapan Barat dan Sainsnya

Bab 2 buku Danial membicarakan “Sumber Ajaran Islam”, iaitu al-Qur’aan dan al-Hadith. Ini sudah menjadi klise lama dan lumrah mungkin sejak Mongol menawan ibu kota Tamadun Islam dahulu kerana orang Islam sudah lama nampaknya tidak lagi mahu mengotakan kata-kata muluknya itu. Ringkasnya, orang Islam rata-rata tidak lagi mahu menjadikan al-Qur’aan (apa lagi al-Hadith) sebagai sumber ilmunya. Kandungan buku Danial ini pun diperlihatkan nanti tidak menghala ke arah itu kerana sumber ilmu sains moden bukannya daripada ajaran Islam tetapi tiba-tiba dibuktikannya sains itu cukuplah serasi dengan ajaran Islam. Pada penilaian kami, beliau tidak terkotakan retoriknya di dalam prakatanya untuk “meletakkan sains di atas landasan yang betul bertunjangkan Quran dan Sunnah”. Benar, mengikut Bab 4 dan 5 buku Danial itu, Islam menegaskan ilmu diperoleh menerusi cerapan (iaitu sesuai dengan makna kedua ayaht yang dihuraikannya itu, iaitu bermaksud tanda di sekeliling kita, di dunia dan di alam semesta ini). Mantik selapisnya dan sepintas lalunya, sehubungan dengan ini, nampaknya jelas ahli sains Baratlah yang melakukan hal suruhan Islam ini, lalu mereka pun dapatlah ilmu yang diredhai Allah yang oleh itu kita patut mengeyakannya dan bersyukur! Itulah intipati daripada ajaran Ibn Kathiyr/Kathir (saeorang pentafsir klasik al-Qur’aan yang berpengaruh itu) yang dipetiknya dalam prakatanya lagi yang difahami olehnya dengan naifnya sehingga dipaparkannya di Bab 5 sedemikian itu. Sebenarnya, cerapan tidak semudah itu berlakunya dan memberi kebenarannya. Ramailah yang terlupa, terlepas pandang atau tidak sedar bahawa Cerapan itu sendiri sarat nilainya, iaitu dua orang yang mencerap benda yang sama sekalipun tidak semestinya memberi data atau kafahaman yang sama dan oleh itu teori yang sama atau sains yang sama. Apatah lagi keputusan untuk mencerap: orang yang berlatar belakang pendidikan atau berkebudayaan yang berbeza besarlah kemungkinan membuat keputusan untuk mencerap benda yang berbeza. Tegasnya cerapan orang bukan Islam tidak semestinya memberi sains yang sama seperti cerapan orang Islam melakukannya. Ini merujuk kepada cerapan benda yang belum diketahui tabiinya, bukannya cerapan yang dilakukan oleh seseorang pelajar atau pengikut sesebuah teori terhadap benda yang dicerap itu.

Swapenempelakan: Tenggelam-Mabuk-Terpesonanya Muslim kepada Sains

Bab 6, 7, dan 8 daripada buku yang disorot ini memanglah rasanya mengharukan pembaca yang peka dengan keadaan Muslim kini. Ini kerana yang diperkatakannya itu tidak secocok dengan orang Islam kini, iaitu orang Islam kini jelas tidak menghayati “Islam Pemangkin Sains”; orang Islam kini tidak “Mementingkan Bukti dan Dalil”; dan orang Islam kini tidak “Berminda Progresif”. Bab-bab ini begitu singkat dibicaranya walaupun isunya berat-berat itu, oleh itu tentunya boleh amat dimusykili oleh pembaca yang kritis. Rasanya ramailah pembaca bab-bab ini (daripada kalangan Muslim yang swa-insaf) segera tertimbul soalan swa-penempelakannya seperti “Kepada siapakah gerangannya bab ini ditujukan?”; dan “Ke manakah orang Islam hendak menyorok mukanya dengan penempelakan terhadap orang Islam yang mudah datang daripada orang bukan Islam akibat penulisan yang kurang swa-peka di dalam Bab 6 hingga 8 itu?” Sudahlah demikian, Bab 8 itu ada pula unsur “menumpang sekaki” terhadap teori Deguman Besar (Big Bang) dengan dakwaan semacam “hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong” kononnya umat Islam sudah mengetahui teori ini menerusi Suraht al-Anbiya’, ayaht 30. Lebih daripada itu lagi penjelasan di dalam bab 8 (dan bahagian dua buku itu (Bab 16 hingga 37) bereya-ya benar menegaskan bahawa teori Deguman Besar itu (selepas ini diringkaskan sebagai DB sahaja; istilah lainnya Dentuman Besar, DB juga) memang teori Islam, teori yang betul dan benar, teori yang tiada cacat-celanya, teori yang sudah ada di dalam al-Qur’aan! Sebenarnya jika seseorang itu tidak tenggelam-mabuk-terpesona dengan sains moden amnya, DB khasnya, dan cuba mentelaah dengan kritisnya akan terjemahan-tafsiran semasa oleh para pentafsir besar yang setengahnya memang dipetik oleh Danial terhadap ayaht 30 drp Suraht al-Anbiya’ dan ayaht-ayaht lain (yang dipaparkan di dalam bahagian 2) itu sekalipun, nescaya wujud ruang terbuka luas untuk tidak menerima langsung atau sekurang-kurangnya mengkritik teori DB itu. Memanglah ramai dan semakin ramai ahli sains Barat pun yang tidak mahu menerima teori DB ini (dan sepatutnya lebih-lebih lagilah Muslim kerana selama ini Muslimlah yang selalu mengkritik Barat) Tegasnya, seseorang Muslim itu sepatutnyalah turut memeriahkan kritikan terhadap teori DB itu kerana begitu banyak ketaktekalan dan tidak-upayanya DB menjelaskan banyak fenomenon alam ini. Satu satu daripadanya ialah perkara yang disebut oleh Danial sendiri di dalam Bab 35, iaitu keperluan wujudnya jirim gelap (dark matter) bagi mengakomodasi teori kosmologi yang mengizinkan berlakunya DB itu, yang malangnya tidak diserlahkannya begini. Keadaan sebegini menjadikan ayaht–ayaht al-Qur’aan yang sama itulah juga boleh menjadi inspirasi kepada seseorang Muslim untuk membuktikan tidak serasinya ajaran Islam dengan DB itu.

Pengekalan Retorik Muslim

Perbincangan di dalam Bab 9, mungkin kerana singkatnya itu juga, amat banyak menimbulkan kekeliruan, bahkan kesesatan umat terhadap sains moden/kini. Ayat pertamanya, “Islam tidak pernah mengenepikan sains” dikira cukup ironi kesannya. Begitu banyak penulisan sarjana Kristian (di dalam gerakan menegakkan sains yang tidak bertentangan dengan ajaran Kristian seperti teori penciptaan dan teori reka bentuk pintar ciptaan mereka melawan Teori Evolusi Darwin/Darwinan) dan sarjana Islam (di dalam gerakan pengIslaman Ilmu) yang memberi hujah-hujah betapanya landasan yang membuahkan sains moden ini bertentangan dengan ajaran Kritian dan Islam dan oleh itu perlulah diketepikan dan digantikannya. Bagaimana pula bolehnya diungkapkan “Islam tidak pernah mengenepikan sains”! Memang terhiris dan kesal sekali rasanya. Tambahan pula Danial menggunakan takrif sains dari sebuah ensiklopedia yang jelas berpihak kepada takrif sains Barat bagi menegakkan pernyataannya yang kurang teliti itu. Hal yang serupa berlaku dengan penjelasannya tentang teknologi. Lagi pun teknologi tidaklah sentiasa dilahirkan oleh sains. Anehnya, di perenggan berikutnya, setelah nasi sudah dijadikannya bubur, beliau cuba pula menghidang pembaca dengan makna sains Islam dan ahli sains Islam yang sebenarnya mengenepikan sains moden (minus DB yang cuba dipertahankannya itu). Sungguh bercelaru!


Bab 11, ayat pertamanya “sains dan Quran tidak dapat dipisahkan” cukup menggusarkan para penggerak sains Islam kini kerana sains pada orang awam (pembaca buku ini) ialah sains sekarang ini, sains moden atau sains Barat itu, dan sains ini tidak sekali-kali ada hubungan atau dihubungkan dengan “Quran” terutamanya yang dihasilkan oleh ahlinya sejak abad ke-18 M hingga kini. Sehubungan dengan ini, perenggan terakhir bab ini lagi menggusarkan kerana sains ini begitu banyak yang tidak serasi dengan al-Qur’aan, kecuali seseorang itu sengaja mengalah sahaja kepada sains itu dan membuat tafsiran baru terhadap sesepotong Ayaht al-Qur’aan itu supaya sama dengan sains itu seperti dengan contoh teori DB yang diperkatakan sebelum ini.


Bab 12 pun bermasalah. Pada mula bicaranya cukuplah melegakan kerana penulisnya menegur mereka yang mentafsir ayaht al-Qur’aan menggunakan sains semasa. Namun kemudiannya penulis nampaknya turut mengaku kalah sahaja kepada beberapa “penemuan sains” (sebenarnya perekaan sains) yang dianggapnya sahih lalu diberi contoh kepada sains kejadian alam semesta (teori DB) yang sebenarnya cukup kontroversi, sama kontroversinya dengan sains kejadian makhluk kehidupan yang mengisi alam semesta ini (iaitu Teori Evolusi) di kalangan ahli sains Barat yang apeduli agama sekali pun. Puncanya beliau sudah terikut-ikut dengan ulama yang sudah mengaku kalah dengan teori DB yang antara lainnya berasaskan kepada kononnya “cerapan mendapati alam ini mengembang”. Lantaran mereka pun berusaha mentafsir ayaht al-Qur’aan yang menampakkannya serasi dengan “teori alam mengembang” itu, iaitu ayaht 47, Suraht al-Zuriyaht yang turut dipetik oleh beliau. Ini tidak lain daripada perbuatan yang beliau sendiri tegur pada awalnya, iaitu melakukan “Pentafsiran Quran Menggunakan Sains”! Pendeknya tafsiran Said Hawa dan Hamka terhadap kebenaran “teori alam mengembang” yang dipaparkan di dalam bab ini hanyalah manifestasi kekalahannya kepada sains moden sahaja. Sepatutnya ayaht al-Qur’aan yang sama itulah digunakan untuk mengkritik teori “alam mengembang” itu seperti yang telah pun kami cuba melakukannya beberapa tahun yang lepas dan dikumpulkan pula di dalam sebuah buku terbitan ASASI 2010 (Kritikan terhadap Teori Einstein dan Teori Quantum). Dengan tindakan sebeginilah, maka sekali gus barulah kita mengotakan retorik kita selama ini bahawa al-Qur’aan itu sumber ilmu; bukannya menjadi alat menegakkan ilmu yang entah benar atau tidak kerana penemunya, perekanya atau pembinanya tidak pernah pun merujuk kepada apa-apa yang diajar oleh Islam. Cereta sahihnya “alam mengembang” yang dipaparkan di dalam Bab 12 sebenarnya bertaraf seperti sahihnya “Teori Evolusi” sahaja. Cerita “penemuan” Hubble 1929 yang juga disebut di dalam Bab ini, memang menjadi asas pertikaian “teori alam mengembang” kerana itu hanya satu daripada tafsiran data yang diperolehnya; tafsiran lain terhadap data yang sama tidak mengimplikasikan alam ini mengembang. Tafsiran lain itulah yang melahir beberapa teori alternatif kepada “teori alam mengembang” yang kononnya sudah sahih itu.


Sehubungan dengan ulasan terhadap Bab 12 itu, Bab 13 dan 14 juga sedikit-sebanyaknya terpalit kerana ketiadaan penekanan sebaliknya, iaitu (sepatutnya) “Kefahaman Quran menghasilkan Sains” dan “Iman menghasilkan Sains”. Sudah banyak contoh sains yang terhasil begini, cuma penulis berkenaan perlulah mendampingi mereka yang menghasilkan sains Islam menerusi pengIslaman ilmu itu. Dalam keadaan sekarang ini, penekanan yang hebat diberi kepada kononnya sains kini serasi dengan Islam, sedangkan ahli sains yang mencipta sains itu sebenarnya bukan Islam bahkan jumhurnya mereka itu ateis, sekular atau apeduli agama, sebenarnya menimbulkan gejala generasi Muslim yang semakin apeduli juga kepada agamanya, atau semakin sekular sahaja!


Ulasan selanjutnya ditujukan kepada bahagian 2 buku ini sahaja kerana bahagaian selanjutnya adalah berkenaan dengan ilmu yang pengulas ini boleh dianggap jahil dan oleh itu tidaklah layak membicarakannya.

Kaedah Menghaq-al-yaqiyn-kan Teori Deguman Besar?

Penulisan bahagian 2 buku ini, sesungguhnya menumpukan kepada ilmu yang telah disentuh sedikit-sebanyaknya sebelum ini, iaitu tentang kejadian alam. Izinkanlah kami bicaranya hal ini bab demi bab lagi. Bab 16 hingga Bab 18 penulis menumpukan kepada teori DB lagi yang mahu ditegaskannya bahawasanya teori ini benar dan sahih yang dapat disokong dengan kuat dan yakinnya bukan ke tahap ‘ain al-yaqyn (cerapan yang tidak boleh dipertikaikan lagi) bahkan ke tahap haq al-yaqiyn kerana menggunakan ayaht-ayaht al-Qur’aan yang tafsirannya tidak boleh dipertikaikan lagi. Tidak cukup lagi dengan alasan cerapan dan al-Qur’aan itu lalu dipaparkan pula sokongan daripada ahli-ahli sains yang dianggap masyhur di dalam bidang masing-masingnya yang mengagumi keserupaan teori DB dengan yang ada di dalam al-Qur’aan (Bab 16 & 17). Tidak pula dinyatakan yang para Profesor ini memeluk Islam atau tidak kerana pengakuan dan kekagumanya terhadap keserasian al-Qur’aan dengan DB itu, kecuali seorang Profesor anatomi di Universiti Chiang Mai yang dicatatkan di Bab 37. Tindakan penulis Muslim menumpang kekuatan peribadi sarjana dari Negara Maju bagi menegakkan sesuatu perkara seperti begini memanglah tidak asing lagi… dan biasanya memang boleh menang kerana Muslim rata-rata mudah mengalah kepada apa-apa pun dari Negara Maju sehingga itulah juga yang menjadi pelemah dan pelemasnya selama ini. Dalam hal ini, jika penulis ini berjaya meyakinkan pembaca akan kedudukan ilmu ini begini, iaitu tiada apa yang boleh dikatakan lagi terhadap teori asal-usul alam semesta ini, semuanya sudah betul, maka tiada apalah yang Muslim dapat buat lagi, apatah lagi mengimpikan untuk suatu hari nanti sarjana Muslim mengalahkan sarjana Barat dalam bidang ini. Tunggu sahajalah.. dan tak lama lagi teori baru akan diutarakan oleh sarjana bukan Islam lagi bagi memperbaiki teori DB itu… masa itu pastinya akan muncul lagi buku seperti ini yang mengeyakan teori itu menerusi ayaht yang sama agaknya tetapi dengan tafsiran yang baru pula…aman lagilah jiwa Muslim agaknya.

Kesilapan Sejarah Deguman Besar


Sementara itu ada satu “fakta sains” yang tidak berapa tepat yang dicatatkan di dalam Bab 16, iaitu kononnya asal teori DB ini ialah daripada Einstein (“dicadangkan berasaskan formula General Theory of Relativity”). Pandangan sebegini memang lumrah disuarakan oleh orang lain juga secara lisan atau tulisan, akibat penghiper-sanjungan kepada Einstein. Mungkin kerana benarnya Teori Einstein itulah yang kemudiannya hinggalah kini dijadikan sebahagian daripada landasan teori DB menerusi model alam semesta Friedmann itu. Perlu diingat bahawa karya Friedmann dari Russia pada tahun 1922 ini lambat diketahui di Barat, iaitu tahun 1930-an kerana tabii komunikasi masa dahulu ditambah pula dengan Perang Dingin Rusia (blok komunis) dengan Barat (bukan Komunis). Sebahagian lagi ialah Teori Quantum (yang ditolak oleh Einstein) yang memang lebih banyak lagi dipakai (secara kualitatifnya) apabila seseorang menerang kejadian DB itu sejak teori ini mula diutarakan lagi. Penaja terawal teori DB ialah Gamov/Gamow (ahli fizik quantum Rusia yang berhijrah ke AS pada tahun 1934) dan dua nama lagi, Alpher dan Bethe pada tahun 1948 menerusi sebuah makalah agung mereka yang susunan nama pengarangnya sengaja di tulis sebagai “Alpher, Bethe dan Gamov” kerana mereka mahu makalahnya mudah diingat penulisnya sebagai alfa-beta-gama berasaskan huruf awal nama mereka itu. Teori DB memang dikenali pada awalnya dengan nama Teori Alpher-Bethe-Gamov. Sebenarnya, Einstein tidak pernah mengesyorkan teori seperti teori DB itu malah model alam semestanya sendiri mengandaikan alam semesta ini tidak berubah sepanjang masa, iaitu tiadalah pengembangan alam semesta yang berlaku. Beliau mengabaikan modelnya itu kerana ada sarjana yang membuktikan model alam semesta beliau itu tidak stabil (suatu yang tidak diingin oleh ahli kosmologi Barat) kerana itu mengimplikasikan alam semesta ini akan musnah bila-bila masa sahaja; suatu hal yang amat dielak oleh mereka ini! Di samping itu teori Einstein itu juga tidak mampu menjelaskan beberapa fenomenon alam tabii yang diketahui wujud pada zamannya itu tetapi tidaklah termasuk pun fenomenon yang dicerapi oleh Hubble itu (kononnya “alam mengembang”) kerana cerapan Hubble dibuat (tahun 1929) belasan tahun selepas teorinya itu diabaikannya. Hubble memang tidak menggunakan teori Einstein atau model alam semesta Friedmann bagi menjelaskan tabii datanya sehingga beliau menerbitkan hipotesis “alam mengembang” itu. Hubble juga tidak menggunakan teori DB atau Teori Alpher-Bethe-Gamov kerana teori ini belum pun wujud pada masa itu! Dalam tahun 1950-an barulah sarjana mengaitkan teori DB dengan “teori alam mengembang” kerana itu jelas sekarang sebagai isi dengan kuku. Namun “teori alam mengembang” juga menemui masalah yang sama, sehingga ada sekumpulan sarjana yang mahu menghidupkan kembali teori Einstein itu kerana mereka mendapati bukti ketakstabilan alam Einstein itu tidaklah betul sepenuhnya. Ini menjadi satu daripada teori lawan alam mengembang itu dan sekali gus melawan teori DB itu. Perlu ditegaskan lagi, kedua-dua teori DB dan lawannya (seperti model Einstein itu) memang beralaskan Teori Kenisbian Am Einstein, ringkasnya Teori Einstein, kerana intipati Teori Einstein ialah tabii masa dan ruang yang tidak boleh dipisahkan dan model alam semesta semestinya melibatkan ungkapan masa dan ruang yang menjadi keseniaan penciptaan sains sehingga kini (belum selesai-selesai kerana setiap model yang diutarakan termasuk model Friedmaan itu ada kelemahannya).


Penciptaan Alam Semesta dalam Enam Peringkat Deguman Besar?


Bab berikutnya, Bab 19 , ialah mengenai penciptaan alam dalam enam ayyam yang diperoleh daripada ayaht 7, Suraht Hud yang memang terkenal itu. Benarlah Danial juga bersetuju dengan hampir semua pentafsir bahawa ayyam di sini bukalah hari yang kita ketahui sekarang ini, sama ada hari di Bumi ini atau hari di planet atau sistem suria yang lain. Namun, nampaknya, beliau masih juga mahu mengaitkannya dengan masa yang diperlukan untuk kejadian alam semesta ini mengikut teori DB itu seperti mengatakan ayaht ini menjelaskan kejadian langit dan bumi melalui pelbagai peringkat. Ini semata-mata kerana terikat kepada teori DB yang dianggapnya benar dan sahih itu sahaja, sedangkan kaitan itu tidaklah perlu sedemikian, kalau kita mahu lari daripada teori DB itu, dan itu pun yang sepatutnya dilakukan oleh sarjana Muslim sekarang. Bagaimana pun pemaparan beliau ini terhadap pendapat Said Hawa bahawa “langit dan bumi dicipta dalam enam peringkat dapat dianggap sebagai satu pandangan … yang qat‘ii” boleh menjadi titik-tolak sarjana Muslim mengkritik teori DB dan seterus memberi alternatifnya kerana teori DB sekarang, seperti yang diperkatakan oleh beliau juga di dalam Bab 22, tidak membahagikan evolusi kejadian langit dan bumi itu kepada enam peringkat. Namun beliau begitu beriltizam untuk membuktikan kebenaran teori DB itu lalu diusahakannya mendapatkan juga 6 peringkat daripada pengumpulannya terhadap kronologi pembentukan alam semesta menerusi teori DB itu.

Langit dalam Astronomi-Kosmologi Moden yang Tak Tergapai

Dalam Bab 21, dibicarakan perihal jujukan/urutan penciptaan langit dan bumi. Dalam astronomi dan kosmologi moden tiadalah kosep langit. Isu utamanya, setelah dipacu oleh Teori Kenisbian Einstein (teori tabii jasad besar dan jarak jauh, seperti planet-planet dan bintang-bintang itu) dan Teori Quantum (teori jasad kecil dan jarak dekat seperti elektron, proton dan quark itu) yang masih bertentangan antara satu dengan lain itu (belum dapat dijinakkan bersama, apatah lagi disatukan seperti yang dingini sejak hampir sekurun yang lalu lagi) ialah bagaimana ruang dan masa tercipta dan bagaimana model alam semesta dibina sehingga semua fenomenon fizik di dalamnya dapat difahami. Tidak hairanlah usaha memadan langit atau samawat di dalam al-Qur’aan dengan teori yang sedia ada di dalam atau dicongkel daripada kosmologi moden sentiasa menghadapi masalah dan jalan buntu. Istilah langit di dalam bahasa Inggeris pun tidak dapat dipadankan dengan kosmologi moden kerana dalam bahasa Inggeris ada empat istilah yang nampaknya dapat dikaitkan dengan “langit Inggeris”, iaitu sky, heaven, paradise and celestial. Pada zaman sebelum teori Copernicus (nama sebenarnya Kopernigk) muncul, heaven dan paradise itu merujuk kepada planet dan bintang itu. Oleh sebab setiap planet itu dianggapnya bergerak mengelilingi Bumi mengikut orbitnya masing-masing sehingga dibayangkan mengikut lapisan masing-masing, maka ditafsirnya lapisan planet itulah langit. Mereka pun selanjutnya mentafsirkan lintasan 5 butir planet yang diketahui lama wujudnya itu dan lintasan Bulan dan Matahari itulah menjadi 7 lapis langit, lalu terbitnya istilah seven heavens, dan heavenly objects/bodies. Lima butir planet yang diketahui lama itu, mungkin sejak Nabi Adam lagi, ialah (mengikut jaraknya daripada Bumi) selepas Bulan (langit pertama) ialah Utarid/Mercury (langit ke-2), Zuhrah/Zohrah/Venus (langit ke-3) [ejaan yang tidak diperakukan ialah Zuhrat, Zuhara dan Zuharah; bintang ini juga dikenali sebagai Bintang Babi Penganjur, Bintang Barat, Bintang Johar, Bintang Kejora, Bintang Pagi, Bintang Timur dan Bintang Zorah], Matahari/Sun (langit ke-4), Marikh/Mars (langit ke-5), Musytari/Jupiter (langit ke-6), dan Zuhal/Saturnus/Saturn (langit ke-7). Langit ini dipadankan dengan sama’ (jamaknya samawat) dalam bahasa Arab yang sejak 1970-an dahulu diMelayukan kepada samawi lalu seven heavens setara dengan tujuh samawi dan heavenly bodies setara dengan jasad samawi; dan bukannya dengan al-jannaht atau syurga walaupun terjemahan biasanya heaven itu ialah malangnya syurga juga. Inilah juga teori yang ada di dalam kitab-kitab atau manuskrip lama Melayu seperti yang terkenalnya Bustan al-Salatin (Bab 1) karya Nur al-Dyn al-Ranyry (Nuruddin al-Raniri) 1638 itu. Dengan munculnya teori Copernicus dalam pertengahan abad ke-16 M (pusat alam bukan lagi Bumi tetapi Matahari) yang nampaknya turut diakuri oleh penulis Muslim hingga kini pun (yang besar kemungkinannya tidak mengetahui adanya Teori Einstein dan Teori Quantum; contohnya lihat manuskrip 1960-an karya …, , tetapi nampaknya tidaklah termasuk Danial (Bab 30), tingkat-tingkat langit ini tentunyalah sewajarnya berubah tetapi kami belum pernah melihat rakaman sedemikian itu di mana-mana lagi. Bagus juga kerana kalau ada pun pemadanan langit dengan planet ini sudah usang dan tidak terpakai lagi kerana bilangan planet sejak abad ke-18 sudah melebihi 5, bahkan kini sudah diketahui 10 butir planet (setelah begitu lama dengan 9 planet). Penolakan Danial terhadap teori Copernicus dan teori sebelumnya benar-benar mengikut gaya yang dipreskripsikan oleh penggiat pengIslaman ilmu, iaitu menggunakan al-Qur’aan sebagai sumber untuk mengkritik sains moden. Danial boleh ditabik di sini.


Istilah paradise (daripada Latin paradisus daripada Yunani paradeisos; atau setengah mengatakan daripada Arab firdaus) ini nampaknya dikhaskan untuk heaven yang tinggi-tinggi (jauh daripada Bumi) melepasi jasad-jasad yang sekarang dipanggil planet itu. Ini bermakna paradise itu dahulunya dianggapnya lapisan bintang-bintang selepas Zuhal (Inggeris, Saturn drp Latin Saturanus) hinggalah 1781 apabila ditemui planet yang diberi nama Uranus dijumpai dan seterusnya paradise berubah lagi apabila planet yang lebih jauh lagi dijumpai pada tahun 1846 dan diberi nama Neptun (drp Inggeris, Neptune drp Latin, Neputunus) tetapi pada 1930 ditemui planet yang diberi nama Pluto (planet ke-9) lalu paradise pun berubah tempatnya selepas planet ini hinggalah 2003 planet ke-10 pula dijumpai dan dipersetujui namanya Eris pada 2006 sempena Tuhan (betina) peperangan & perjuangan Yunani. (Ini contoh terbaru sikap ahli sains Barat menunjukkan perangainya yang apeduli agama samawi lalu berseronok lagi dengan memuliakan Dewa panganisme Yunani ini; semua nama planet Barat itu sempena nama Dewa Yunani atau Roma). Tegasnya, mengikut paradigma ini, sejak 2003 bolehlah dikatakan paradise itu dikhaskan untuk bintang-bintang yang berada selepas planet ke-10, Eris itu. Bintang-bintang ini dijadikan bahan ilmu yang dikenali di dalam bahasa Melayu purba (sebelum abad ke-8 M) sebagai horasastera (daripada Sanskrit yang bermakna tulisan/sastera tentang bintang), kemudian dengan kedatangan Islam menjadi ilmu nujum (ilmu bintang), dan dengan kedatangan Barat menjadi astrologi (daripada Ing., astrology drp Latin dan Yunani, astrologia, yang juga bermakna ilmu bintang; dan di dalam bahasa penjajah Pascabima (Alam Melayu) lain ialah astrologia bagi Pertugis/Sepanyol, astrologie bagi Belanda/Perancis). Bintang dalam horasastera/ilmu nujum/astrologi ini berjumlah 12 butir (selaras dengan pewujudan 12 bulan setahun itu) dan dikenali dalam tamadun Melayu-Islam sebagai Bintang Rasi atau Bintang Dua Belas (yang kini lebih dikenali dengan Zodiak, drp Inggeris Zodiac drp Latin Zodiacus, Yunani Zodiakos yang bermakna haiwan yang menjadi nama bintang-bintang berkenaan; dalam bahasa-hahasa penjajah Pascabima lain: Zodiaco bagi Pertugis/Sepanyol, Zodiak bagi Belanda, Zodiaque bagi Perancis,), yang popular dengan natijah ramalan daripadanya oleh Barat-Inggeris, horoskop (Ing./Perancis, horoscope daripada sumber yang sama dengan Melayu Purba, hora; dan konteks lain, hora diambil Inggeris menjadi unit masanya, hour) dan skop (drp Inggeris scope drp Yunani, skopein, yang bermakna meneropong; bahasa penjajah Pascabima yang lain: horoscopo dlm Pertugis/Sepanyol, horoscoop dlm Belanda).


Istilah paradise hampir pasti diterjemah ke dalam bahasa Melayu sekarang sebagai syurga oleh mereka yang terikat kepada semantik bahasa Inggeris dan sekular pula, lebih-lebih lagi itulah model Kristian-Eropah tentang syurga. Ini juga syurga dalam ajaran Buddha mengikut kitab sucinya Bhagavadgita yang dihuraikan oleh Bhaktividenta Swami 2008 (Bhagavad-Gita As It Is terbitan Los Angeles: The Bhaktividenta Book Trust). Semua ini tentunya bertentangan dengan konsep syurga dalam Islam. Mungkin lebih baik paradise dalam konteks bintang-bintang ini diterjemah kepada “kayangan” sahaja; walaupun dalam konteks alam akhirat itu memanglah sesuai paradise itu (yang memang dipakai juga di dalam bahasa Inggeris-Kristian) diterjemah kepada syurga.


Istilah celestial (daripada Latin caelestis yang bermakna hal-ehwal yang berhubung dengan heaven) nampaknya dikhaskan untuk konteks heaven yang diangkat martabatnya pada tingkat kudus/sakral seperti untuk agama yang diwahyukan, celestial religion, ilmu berkenaaan dengan heavenly bodies diistilahkan sebagai celestial science, khususnya celestial mechanics dan celestial dynamics dan seterusnya heavenly bodies pun menjadi celestial bodies. Istilah yang diperakui sejak tahun 1970-an terhadap celestial ialah “cakerawala” (drp Sanskrit, dalam model alam Hindu-Buddha bermaksud alam yang paling jauh daripada kaki Gunung Semeru/Meru).

Sejak Islam diserang dengan sains bukan ciptaannya, orang Islam amnya sentiasalah mahu berseronok mahu memadankan langit atau samawat di dalam al-Qur’aan itu dengan apa-apa lapisan yang ada di dalam astronomi-kosmologi Barat yang mutakhir. Khususnya Islam-Melayu menggelintar makna langit, sejak terutamanya dihimpit oleh “sains jasad di langit”, dan “sains asal-usul kejadian” daripada luar pemikiran mereka, sedangkan mereka ada istilah syurga, naraka, kayangan, akasa/angkasa dan yang lebih baru, samawi dan cakerawala itu. Tafsiran langit seperti di dalam Bustan al-Salatin yang diperihalkan di atas itu memanglah wajar tidak diterima lagi oleh orang Melayu kini. Seperti yang telah disebut sebelum ini, padanan langit/samawi dengan planet memang menunjukkan kebebalan sahaja. Gantinya yang agak popular nampaknya sejak beberapa dasawarsa dahulu lagi ialah lapisan-lapisan angkasa di atas permukaan bumi berasaskan kandungan jirim di setiap lapisan tersebut seperti mesosfera, staratosfera, troposfera, termosfera, dan eksosfera (baru 5 lapis) tetapi dengan mudah boleh didapatkan dua lagi lapisan atmosfera bumi ini seperti “Dua Pending van Allen” umpamanya, cukup 7 lapis x-sfera maka berhentilah. Namun, jelas padanan langit dengan x-sfera ini jauh daripada memuaskan. Itulah juga menjadikan Muslim mutakahir ini mengimbau lapisan alam semesta yang terbit daripada DB sebagai calon samawat itu.


Danial membicarakan isu yang berhubung dengan langit dalam Bab 21, 30 dan 35 dengan agak “haru-biru” kerana beliau tidak membicarakan konsep langit atau samawat itu terlebih dahulu, sedangkan dalam sains moden, seperti yang telah disebut sebelum ini konsep langit itu tiada. Dalam Bab 21, beliau menegaskan pada akhir bab itu seolah-olah atmosfera itulah langit semata-mata kerana mengikut sebuah sumber rujukannya tentang geografi fizik, atmosfera yang melitupi bumi ini ada 7 lapis. Tidak pula dijelaskan nama-nama lapisan itu sebagaimana yang kami papar sebelum ini untuk perbandingannya. Dalam Bab 30, lebih tidaklah jelas lagi makna langit di situ tetapi nampaknya langit itu sentiasa dikaitkan dengan planet, bintang bahkan galaksi sehingga tidaklah dapat dipadankan dengan 7 lapis samawat itu. Akhirnya Bab 35 dipaparkan hubungan langit dengan kejadian alam semesta menerusi DB yang benar-benar dipercayainya berlaku itu. Di sini pun konsep langit yang dapat dirumuskan oleh pembaca ialah bahawa langit itu lapisan bintang, planet dan galaksi itu kerana ditegaskannya ruang di alam semesta ini (suatu yang amat diminati oleh ahli kosmologi Barat) ialah ruang antarabintang/antarnajmi atau yang beliau kekalkan nama Inggerisnya interstellar dan ruang antaraplanet atau dikekalkannya istilah interplanetary space. Akan tetapi beliau tidak pula cuba memadankannya dengan 7 samawat itu. Pun begitu beliau tetap membuat kesimpulan di akhir Bab 30 ini akan keserasian sains hari ini dengan al-Qur’aan! Dalam Bab 22 Danial melakukan pembahagian fasa-fasa kejadiaan alam semesta (ayyam itu agaknya) kejadian alam semesta menerusi DB yang dipercayainya benar-benar berlaku itu. Beliau cuba mendapatkan 6 fasa kejadian alam semesta kerana dipacu oleh tafsiran ayaht al-Qur’aan oleh Said Hawa itu dan nampaknya beliau berjayalah mendapat 6 fasa itu. Beliau meletakkan kejadian langit (atas nama atmosfera) berlaku pada fasa ke-6 itu. Tidaklah jelas apa fungsinya pengelasan fasa ini selain daripada mentakhtakan kebijaksanaan Said Hawa dan ahli kosmologi Barat itu. Isu langit terabai lagi. Namun keseronokan dengan padanan pakai ambilnya (adhoknya) agama dengan ilmu asing ini ,… , seronok “menumpang sekaki” sahaja memanglah tidak akan menyelesaikan masalah umat. Lebih berkemungkinan besar lagi sebenarnya pemadanan 7 samawat dengan apa-apa lapisan yang diterbitkan daripada teori sains, yang tidak bertujuan menyelesaikan masalah langit atau samawat itu pun, memang tidak sesuai kerana teori sains moden ini bukan bertujuan untuk menyelesaikan masalah samawat atau langit itu.

Apa yang Tinggal pada Sarjana Muslim?

Rasanya yang terdidik kepada pembaca menerusi buku Danial ini rasanya begini sahaja: Semuanya orang Islam tak perlu gusar,… kita berada di naungan yang selamat, biarlah orang lain (bukan Islam, walaupun mereka yang anti-Islam atau tak peduli agama,…) membuktikan kita berada di tempat yang selamat ini. Setiap benda sains yang Barat jumpa itu sudah ada di dalam “Quran”! Orang Islam sudah tahu lama “alam ini mengembang”, Lohong Gelap (Black Hole), Blazar, Nebula Mawar (Rose Nebulae), adanya hayat bintang, Matahari menyinar Bulan memantulkan sinar Matahari, adanya orbit bagi setiap objek di langit (bahkan Bulan dan Matahari bergerak melalui bulatan) dan berputarnya setiap objek ini atas paksinya masing-masing pula, bulatnya Bumi, adanya jirim gelap (dark matter), …., yang setiap satunya dibicarakan di dalam buku itu… Rasanya Buccailleis mahu saja mecabar (tetapi tidak terkeluar agaknya) sesiapa sahaja supaya memberi apa sahaja perkara dan fenomenon yang ada di dalam astronomi dan kosmologi sekarang ini untuk dibalas dengan kata gembiranya bahawa perkara itu sudah ada di dalam al-Qur’aan (dan kebanyakan diketahui oleh ulama Islam sejak zaman munculnya pentrafsir-tafsir agung Islam dahulu lagi berabad-abad lebih awal daripada ahli astronomi dan kosmologi Barat yang tidak pernah peduli kepada al-Qur’aan itu!). Inilah yang terpapar di dalam buku laris jualan ini. Sungguh malu dan memilukan … laris tetapi terhiris sembilu rasanya … tergoreslah karya-karya “sains Islam” kini.


Perasaan ini lebih-lebih lagi terasanya apabila mengenangkan betapa seringnya “cendekiawan” Muslim mempertahankan perkara sains yang sebenarnya sudah roboh, atau sedang dirobohkan oleh sarjana Barat. Dalam kes di sini, yang bagusnya Danial, perkara ini tidaklah begitu jelas berlakunya demikian dalam hal yang ditebalkan di atas, iaitu orbit bagi setiap objek di langit ialah bulatan dan bulatnya Bumi. Sebahagiannya kerana penggunaan istilah “orbit” dan ungkapan “berputar di atas paksinya sendiri” dan “putaran dalam bentuk lain” (dalam Bab 30) yang agak mengelirukan. Contoh yang diberinya tentang “matahari bergerak di atas paksinya” dan “bergerak juga mengelilingi galaksi Bimasakti” cukuplah jelas perbezaannya. Namun contoh “bulan berputar atas paksinya” itu nampaknya bermakna “bulan berputar dalam bentuk lain” itu. Istilah “orbit” nampaknya digunakan untuk kedua-dua jenis putaran ini sedangkan sepatutnya untuk “putaran dalam bentuk lain” itu sahaja. Yang kurang jelas lagi ialah tentang penolakannya teori Batlamiyus atau Ptolameus (berpusatkan Bumi) dan teori Copernicus (berpusatkan Matahari) berasaskan al-Qur’aan, suatu yang bagus, tetapi tidak pula dinyatakan dengan jelasnya akan pendiriannya terhadap Teori Newton, Teori Einstein dan Teori Quantum yang dua teori yang terakhir itu menjadi landasan asas kosmologi moden, khususnya teori DB itu. Oleh sebab beliau begitu percaya kepada kebenaran teori DB maka bolehlah diandaikan yang beliau memang percaya kepada Teori Einstein dan Teori Quantum itu. Masalahnya, bagi Danial terutamanya, mengikut Teori Einstein, benarlah semua jasad di langit bergerak tetapi orbit (iaitu laluan atau lintasan putaran yang bukan pada paksinya sendiri) jasad itu tidak sekali-kali berupa bulatan. Orbit bulat bagi jasad di langit hanyalah pernah menjadi spekulasi dan idaman ahli astronomi masa dahulu sahaja tetapi apabila Newton berteori pada abad ke-17 Masihi dan diikuti orang (komuniti ahli sains) sehingga awal abad ke-20, didapati hampir tiadalah orbit bulatan itu tetapi yang ada ialah orbit elips atau hiperbola. Apabila cerapan dilakukan, Teori Newton ini hampir-hampir benar sah berlakunya tetapi ada beberapa objek di langit yang begitu ketara tidak langsung bergerak demikian seperti contoh terkenalnya ialah planet Utarid itu tidak mengikut orbit elips sekalipun (apatah lagi mengikuti bulatan) tetapi terhuyung-hayang seperti gasing meliuk, sehingga tempat yang pernah dilalui planet itu tidak akan pernah kembali lagi ke tempat itu bila-bila masa pun, iaitu gerakannya tidaklah berkala, atau lintasannya tidak tertutup! Teori Einstein dapatlah menyelamat keadaan ini daripada terduduk langsung, yang sekaligus menjadi satu daripada puncanya Teori Einstein itu dirayakan, walaupun Teori Einstein itu masih belum memuaskan dan semakin merebak dan mendalam ranah ketidak-puasannya hingga kini, tetapi yang penting lagi di sini teori Newton (apatah lagi teori Copernicus) itu sudah dihumban ke dasar lautan kerana didapati teori Einstein itu lebih berjaya (segi daya penjelasan fenomenon dan daya peramalan serta keanggunan dan kecanggihan matematiknya). Sekarang ini sesiapa yang mempertahankan sains yang berasaskan teori Copernicus-Newton, lebih-lebih lagi menggunakan al-Qur’aan, memang amat-amatlah memilukan dan membebalkan.


Bagusnya, Danial memang menolak teori Batlamiyus dan Copernicus, tetapi tidaklah jelas pendiriannya terhadap Teori Newton. Akan tetapi perlu juga diingatkan bahawa Newton (dan sarjana lain pun yang menyokong teori Copernicus itu) tidaklah dapat membuktikan keesahan hipotesis Copernicus itu (semuanya mengelilingi matahari mengikut bulatan dan matahari tak bergerak), namun hakikat ini tidaklah begitu disembulkan. Newton sebenarnya memperoleh teori baru yang boleh dipadankan (bagi Bucalleis) dengan ayaht al-Qur’aan yang diutarakan oleh Danial tentang bergeraknya semua objek di langit. Cerita teori Newton ini agak bermatematik dan mungkin “memalingkan punggung” ramai pembaca nanti. Namun mahu juga rasanya diceritakan di sini sedikit perihalnya kerana susahnya didapatkan hal ini di dalam susatera astronomi-kosmologi sekarang. Teori Newton hanya dapat digunakan untuk membuktikan teori Copernicus apabila seseorang berada di tempat yang menjadi pusat jisim dua jasad yang satu daripadanya jauh lebih besar (berat) daripada yang satu lagi (contohnya Bumi dan Matahari, Bulan dan Bumi,…asalkan hanya dua objek sahaja) dan tiada jisim lain lagi (yang mempengaruhinya). Pada pusat jisim 2-jasad, hukum graviti yang direkanya dan matematik ciptaannya, kedua-dua jasad itu bergerak sama ada dalam bentuk elips atau hiperbola bernisbi (relatif) dengan pusat jisim itu. Jika satu daripada jisim itu jauh lebih besar (berat) daripada yang satu lagi, maka pusat jisim berada hampir dengan objek yang lebih besar itu (dalam hal Matahari-Planet, Matahari-lah yang hampir-hampir menjadi pusat jisimnya dan dalam kes Bulan-Bumi, Bumilah menjadi pusat jisimya). Dalam keadaan inilah, maka kelihatan di pusat jisim itu (iaitu hampir dengan Matahari bagi sistem pasangan planet-Matahari; Bumi bagi sistem Bulan-Bumi) objek yang lebih kecil itu (iaitu planet pilihan atau Bulan) bergerak mengelilingi objek yang besar (pusat jisim) jika dicerap pada pusat jisim itu. Ini bermakna, oleh sebab kita berada di Bumi dan mencerap Matahari, maka tidaklah benar Matahari tak bergerak dan hanya Bumi yang bergerak mengelilingi Matahari; kedua-dua-nya bergerak mengelilingi antara satu dengan lain! Lagi pun, jika kita mencerap di pusat jisim Matahari-Bumi sekali pun kita tidak akan dapat membuktikan hanya Bumi yang bergerak dan Matahari tidak kerana kita ada banyak jasad lagi di langit sana (yang pastinya planet lain lagi itu) yang juga berinteraksi dengan Bumi dan Matahari itu. Sains (Matematik) sekarang masih belum mampu menjelaskan orbit 3-jasad apatah lagi beribu bahkan berjuta-juta jasad di alam semesta ini! Jika kita tolak teori Newton seperti yang sepatutnya, maka situasinya jauh lebih rumit lagi walaupun kesimpulannya secara kasarnya dapatlah dinyatakan bahawa semua benda di langit bergerak dan gerakannya bukan mengikut bulatan. Sekarang Danial nampaknya menerima dua teori yang bertentangan, teori Einstein dan teori daripada al-Qur‘aan (tafsirannya) Jelaslah Danial akan menolak teori Einstein sekarang tetapi kenapa dia menerima penuh teori DB sebuah teori yang berasaskan teori yang dia bersetuju menolaknya? Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan sains kini (dalam bidang astronomi-kosmologi) untuk mentafsirkan al-Qur’aan dengan begitu yakin seperti yang cuba dipaparkan oleh Danial di dalam buku ini.


Tentang bulatnya Bumi memang sudah lebih lama lagi terbukti tidak benarnya oleh sains moden. Andaian bulatnya bumi ini, mengikut sejarah sains Barat, diutara oleh sarjana Yunani sebelum Masihi dahulu lagi, tetapi disahkan benarnya hanya oleh Magellan pada awal abad ke-16 setelah beliau disimbolkan sebagai pengeliling dunia yang pertama (kerana beliau mati dibunuh oleh seorang raja-wira Islam di Pulau Mactan (di utara Mindanao) bernama Datu Lapu-Lapu; dan jika kita mahu petriotik pelayar Melayu yang membantu pelayarannya sejak di Eropah, yang bernama Ahmad yang diberi nama timangan Sepanyolnya, Enrique, itulah pengeliling dunia pertamanya: Ahmad dicolek oleh orang-orang upahan Magellan dari Melaka untuk dijadikan penunjuk jalannya dan beliau dapat melarikan diri apabila kapal Magelan itu sampai di Melaka). Namun bulatnya bumi ini daripada peristiwa ini hanya secara kasar sahaja. Jika berdasarkan pada pelayaran itu sahaja bumi ini boleh jadi juga berbentuk silinder atau lain-lain lagi! Sarjana Yunani mendapat inspirasi daripada bayang-bayang Bumi ketika gerhana Bulan itu untuk membuat hipotesisnya bahawa Bumi ini “bulat”, iaitu sferoid. Dalam abad ke-17 M Newton menggunakan teorinya mengenai gerakan untuk mendapat kesimpulannya bahawa bumi ini tidaklah bulat tetapi buntal (sferoid pipih) dengan jejari di Khatul-istiwa lebih panjang sebanyak 43 km daripada yang menerusi Kutub Utara atau Selatan. Teori ini kononnya disahkan betul menerusi pelayaran dari England ke Peru dan ke Lapland (Finland) pada 1730-an. Namun kajian bentuk Bumi menerusi satelit (pertengahan kedua abad ke-20) menunjukkan Bumi ini berbentuk seperti buah jambu atau mengikut model alam Hindu-Buddha jambudvipa, yang bagi orang Barat berbentuk buah per (e di sini sama dengan e di dalam elok). (Lihat K. Lamback, “The shape of the earth: from erosthenes to the space age”, http://www.interacademies. net/?id=7673). Yang penting, tidak tepatnya dunia ini bulat sudah diterima umum di kalangan ahli sains sejak abad ke-18 M lagi! Ini mungkin dilemma besar bagi Danial yang sudah begitu ber-haq al-yaqiyn dengan tafsiran al-Qur’aan terhadap ayaht berkenaan Bumi itu di dalam Bab 34 (isu tafsiran falak, dan yukawwiru, kawwara dan daha di dalam al-Qur’aan).


Sains Moden Peduli Tuhan?

Bab 105 “Sains Menonjolkan Tuhan” cukup mengelirukan kerana yang sains (maksudnya sains moden ini, sains sekarang, sains yang diperkatakan oleh Danial) sebenarnya jelas tidak menyokong pernyataan itu. Jika benarlah bagai dikata oleh Danial itu (dan sebenarnya ramailah yang suka berkata seperti beliau itu), maka seperti yang disuarakan oleh Seyyed Hossain Nasr, sarjana pelandas “pengIslaman Ilmu” yang amat disegani oleh sarjana Barat sekalipun itu, kenapakah sebahagian besar (tinjauan yang dibuat beberapa kali oleh ahli sosiologi AS, lebih drp 90%) ahli sains Barat itu sama ada ateis (menolak kewujudan Tuhan mengikut konsep ajaran agama samawi/wahyu) atau apedulis (tak peduli agama); dan selebihnya itu pula (sekitar 10% itu tentunya jumhurnya beragama tetapi sekular sahaja) ? Siapa yang “mengajar agama” kepada mereka ini? Bukankah sains yang “dimuliakan” itu? Bukankah ini kerana tabii sains yang mereka fahami dan bina itulah yang mengajar dan mendorong mereka hidup demikian? Sains moden ini sebenarnya mengajar mereka tiadanya Tuhan atau Tuhan tidak berfungsi lagi di dunia ini!

Benarkah Sains Moden Membenarkan Quran?

Bab akhir buku ini, Bab 107, “Sains Membenarkan Quran” juga berupa tafsiran orang awam Muslim yang tua-tua terhadap sains sekarang sahaja. Baguslah juga untuk mereka itu! Akan tetapi bagi Muslim generasi muda, yang terdedah dengan kupasan sains dari para ahli sains itu sendiri, jikalau dalam bidang astronomi dan kosmologi ini, Stephen Hawking (bakal pemenang Hadiah Nobel) dan Stephen Weinberg (pemenang Hadiah Nobel), kedua-duanya terkenal dengan pendirian ateis atau apeduli agama, apatah lagi pelajar atau penyelidik sains itu sendiri, tentunya mempunyai perasaan yang kontra daripada pernyataan itu. Akibatnya mereka pun semakin menjadi sekular (memisahkan Islam dengan sains) atau seorang-duanya bergiat di dalam “PengIslaman ilmu” yang seringlah dihiris oleh tulisan Bucailleis seperti karya Danial ini.


Sedar Dirikah Kita?

Tulisan di Bab kedua terakhir Bab 106, “Quran Pemangkin Ilmu Sains” jikalau sebelum membacanya sungguh teringin besar membacanya dengan bayangan adanya tulisan bukti sekarang (bukan zaman Tamadun Islam dahulu sahaja) yang menunjukkan al-Qur’aan benar-benar menjadi pempercepat atau pemecut penemuan baru sains yang lebih serasi dengan kehendak Islam berbanding dengan yang berlaku di dalam sains yang tidak dipacukan atau bersumberkan al-Qur’aan selama ini. Namun setelah membacanya, tiadalah perkara impian atau harapan itu. Contoh al-Qur’aan sebagai mangkin (“pemangkin” membazir sahaja setaraf dengan ahli saintis dan sebagainya) pada zaman dahulu pun hanya digambarkan secara am sahaja iaitu mengulang pendapat sejarawan Barat juga bahawa Renaissance Barat itu berlaku berkat Islam! Yang lainnya ialah cerita ulangan pemangkungan (penamparan dsbnya yang memalukan Kristian Eropah) tentang kezaliman Inkuisisi terhadap ahli sains mereka dan tentang tiada budaya cita ilmu di kalangan Kristian dahulu. Memanglah semuanya benar! Namun itu dahalu. Keadaan sekarang sebenarnya sudah berubah. Paus Katholik pun sudah membuat (tahun 1990-an) pohon maaf secara terbuka kepada komuniti ahli sains seluruh dunia kerana kezalimannya dahulu; dan penganut Kristian-Barat sekarang adalah antara mereka yang paling cita ilmu lebih daripada penganut Islam sekarang sekalipun; bahkan ada penganut Kristian yang tidak sekular yang bertaraf ahli sains yang menubuhkan institut penyelidikan (bertaraf swasta atau badan bukan kerajaan) khusus bagi menentang sains Barat yang dianggapnya dominan ateis atau berajaran anti-Kristian terutamanya di dalam falsafahnya (naturalism yang diistilahkan di dalam bahasa Melayu sebagai tabiisme dan sekutunya atau manifestasi atau penjelmaanya), sains kejadian hayat (Teori Evolusi dan sekutunya) dan kejadian alam semesta (Teori DB dan sekutunya). Ini lebih baik daripada Muslim kerana walaupun sarjana Muslim juga ada yang insaf seperti ini dan bergiat di dalam “pengIslaman Ilmu” tetapi bilangan ahli sains (khususnya dalam bidang kejadian yang penting itu, kejadian hayat dan kejadian alam semesta), hanya boleh dibilang sebelah tangan sahaja.

Kesimpulan

Buku Danial, sungguhpun sebuah karya yang berjaya (yang terbukti daripada kelarisan jualannya), oleh itu boleh dipuji dalam sumbangannya meraya dan memeriahkan industri perbukuan di dalam bahasa Melayu, namun mauduk bicaranya sekali-kali tidak memangkinkan, bahkan mengawamangkinkan, kegiatan pembersihan ilmu barat yang sekular atau ateis, yang secara jumhurnya kini sudah diterima menjadi masalah besar umat Islam. Keyakinannya yang luar biasa terhadap beberapa buah teori sains moden yang sudah diabaikan atau sedang dirobekkan Barat sendiri boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada umat Islam dari bersikap mengalah/inferior kepada Barat, menjadi pasif, tidak berdaya kreatif, hinggalah kepada semakin sekular, memuliakan liberalisme (tafsiran al-Qur’aan berubah mengikut kehendak sains semasa) dan menghargai jamakisme/ pluralism (kerana ilmu daripada ahli sains Barat bukan Islam sama sahaja dengan ilmu daripada al-Qur'aan!). Oleh itu buku genre seperti ini sepatutnya ditulis dengan lebih hati-hati lagi sehingga hubungan sains moden dengan Islam itu diandai ada banyak yang tidak kenanya lalu ditulis dengan tujuan mendidik pembacanya menjadi kritis terhadap sains moden ini, menyanjung tinggi pengkritik ilmu semasa Barat dan menanam semangat berkarya untuk melahirkan sains baru yang lebih serasi dengan Islam dan mampu menyaingi sains moden ini. Bertentangan dengan pandangan dan imbauan tiga orang pengiring buku ini, buku ini sukar dianggap sebagai hasil penyelidikan atau pembacaan yang meluas dan teliti; oleh itu tidaklah wajar dibaca dengan tidak pula membaca karya kontranya oleh mereka yang bergiat di dalam “pengIslaman Ilmu”. Buku ini bahkan tidaklah berguna dibaca oleh mereka yang mahu melihat adanya “sains Islam” yang boleh menyaingi sains tanpa agama sekarang.



4 Oktober 2010

2 comments:

Unknown said...

Satu ulasan yang cukup lengkap. Saya amat teruja membaca ulasan ini kerana sering saya melihat kekurangan para penulis yang bukan ahli dengan sewenang-wenang mengaitkan sains dengan AlQuran. Saya sendiri sedang menulis sebuah buku berkaitan dengan sains alam sekitar dan Islam. Ulasan Prof membuka spektrum baru dalam pemikiran saya. T.kasih

Penunggu Hujung Dunia (PhD) said...

Alhamdulillah..Prof dengan berani secara ilmiah berjaya membuat 'Dentuman Besar' terhadap karya golongan Bucaillisme yang kononnya percaya sains mutaakhir adalah Kebenaran Mutlak untuk mengesahkan Kebenaran Ilahi di dalam Quran.Sudah lama meneliti karya Dr Danial dan berasa amat rimas ,cuma tiada kelayakan dan kekuatan seperti Prof.
Syukran !!