Keperluan, Kaedah, Status dan Agenda Pemeribumian Sains Di Malaysia: Ke Mana Kita!?
Shaharir bin Mohamad Zain
Profesor Matematik UMT (shaharirzain711@hotmail.com)
Mantan Profesor Matematik Fizik UKM
Mantan Presiden Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
Istilah “pemeribumian sains” diperkenalkan oleh penulis ini buat pertama kalinya, sekurang-kurangnya di Malaysia ini, pada 1995 (Shaharir 1995/1996a,b, 1995/1997). Namun satu daripada ciri pentingnya, pembudayaan sains berwahanakan bahasa dan sistem nilai sesuatu kaum peribumi yang menjadi teras bangsa penakrif sesebuah negara-bangsa (seperti Melayu bagi Malaysia dan Inggeris bagi Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand), atau perlunya “ilmu dibina mengikut acuan masyarakat sendiri” dan wacana kekuatan bahasa sendiri dalam pembangunan sains, telah diperkatakan beberapa tahun lebih awal lagi dalam siri makalahnya selambat-lambatnya sejak 1986 lagi (Shaharir 1986) dengan gelombang keduanya muncul dalam tahun 1990-an (Shaharir 1992a,b, 1992/1994, di samping makalahnya dengan Wan Ramli dan Baharudin (Wan Ramli et al. 1992) yang menekankan kepada “sains dan teknologi yang berteraskan Melayu-Islam dalam budaya dan bahasa Melayu”. Dalam rentetan pengisian gagasan yang serupa tetapi dengan penumpuan kepada sistem nilai Islam menerusi gagasan “pengIslaman sains” di Malaysia (kerana “isu bahasa sendiri” sebelum 1990-an belum dijelmakan kembali), penulis telah ikut merancakkan wacananya sejak awal 1980-an lagi (Shaharir 1982). Istilah pe-Melayuan dan pe-Malaysiaan yang merujuk khusus kepada pemeribumian sains dan teknologi di Malaysia juga diperkenalkan oleh Shaharir (1997) dan Wan Ramli & Shaharir (1999), manakala istilah etnosains dan khususnya etnomatematik bersama dengan falsafah baru yang melandasinya, etnotatakaedahisme yang amat rapat dengan pemeribumian sains juga diperkenalkan (Shaharir 1992). Sejak itu memang banyaklah makalah penulis ini yang memperkatakan isu-isu ini yang sebahagian besarnya dirujuk di sini pada tempat-tempat yang sesuainya kelak.
Sebenarnya kita sudah pernah melalui “pemeribumian” ini sekurang-kurangnya sejak abad ke-4M (zaman Kerajaan Campa di Vietnam), abad ke-7M (zaman SriVijaya yang berpusat di Sumatera), dan lebih menonjol lagi zaman Tamadun Melayu-Islam (abad ke-17M terutamanya di Aceh dan di Johor-Riau), dan lebih bersistem lagi sejak 1958 (apabila sekolah Menengah aliran Melayu diperkenalkan).
Penonjolan istilah “pemeribumian sains” dan yang berhubung dengannyanya itu terilham apabila penulis melihat Malaysia dalam tahun 1990-an mula kembali berahi kepada pengInggerisan kehidupan di Malaysia termasuk pendidikan. Pada masa itu penulis berasa begitu tertekan jiwanya akibat langkah kerajaan menggalakkan dan memberi kebenaran dengan mudahnya akan penubuhan kolej-kolej swasta aliran Inggeris yang bertentangan dengan akta pendidikan negara dan tindakan kerajaan sendiri pada 1980-an yang pernah membawa pihak yang ingin menubuh kolej sedemikian itu ke Mahkamah dan menang! Jiwa penulis ini semakin tertekan lagi pada penghujung 1993 kerajaan dengan rasminya menyisih keperluan pendidkan sains dalam bahasa Melayu dengan perisytiharan Perdana Menteri Malaysia (Dato’ Sri Dr. Mahathir masa itu) bahawa IPT awam boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam “kursus sains dan teknologi”, sedangkan pada masa itu semua kursus tersebut sudah lama berjalan dengan baiknya dalam bahasa peribumi Malaysia (bahasa Malaysia, bahasa Melayu, atau bahasa Melayu Malaysia). Kemudian segala-gala yang berlaku itu diabsahkan dan diperkukuhkan dengan pengenalan akta baru, Akta Pendidikan Swasta 1995.
Seterusnya pendidikan sains dalam bahasa Melayu menerima pukulan nazak pada 2003 dengan perisytiharan dasar bahasa Inggeris sebagai satu-satunya bahasa pengantar mata pelajaran Sains dan Matematik Sekolah mulai tahun tersebut, dan selanjutnya dipastikan akan menjadi bahasa pengantar semua kursus berasaskan sains dan matematik di universiti mulai 2005 ini (termasuk UKM yang memang ditubuhkan untuk memartabatkan bahasa Melayu sehingga menjadi bahasa ilmu). Entah mengapa hampir semua pemimpin Melayu luar dan dalam UKM membisu seribu bahasa sahaja! Dengan perkembangan ini, maka isu “pemeribumian sains” seharusnyalah menjadi agenda utama para cendekiawan dan ahli politik Malaysia dengan alasan-alasan yang sebenarnya sudah banyak diperkatakan dalam tulisan-tulisan pengarang ini yang dirujuk di sini, dan kini masih perlu dan wajar diperhaluskan lagi wacananya.
“Pemeribumian sains” di sesebuah negara atau dalam sesuatu bangsa ialah suatu proses memindah sains semasa daripada kebudayaan lain kepada negara atau bangsa yang lain, dan pada masa yang sama menggali semula khazanah lama sains yang ada pada bangsa tersebut atau pada bangsa-bangsa lain yang hampir dengannya (seperti Yunani bagi Eropah). Pemindahan sains itu pada mulanya mungkin menerusi bahasa asing bangsa itu tetapi akhirnya atau serta-merta dalam bahasa bangsa itu sendiri. Kemudiannya ilmu itu beransur-ansur mengalami perubahan sesuai dengan tuntutan kebudayaan baru itu (menerusi penapisan dan pemacuan sistem nilai yang membentuk acuan sendiri) dan akhirnya, jika berjaya sepenuhnya, akan terhasillah karya asli baru berasaskan keperluan, impian, cita rasa, sistem nilai, dan pandangan hidup atau kosmologi bangsa yang baru itu (lihat Shaharir 1997, 1997/1998, 2000 dan 2003a). Kejayaan pemeribumian sains diukur pada banyaknya karya asli dan peribumi seperti yang dihuraikan dalam Shaharir (1997/1998) serta perasaan dan psikologi bangsa yang menerima ilmu dan menghayati itu, iaitu sejauh mana sains itu dirasai sebagai ilmu milik bangsanya atau tidak. Penggalian khazanah lama sains bagi Malaysia ialah merujuk kepada sains pada zaman tamadun Melayu dahulu bermula pada zaman kerajaan Funan abad ke-2M hingga ke-5M yang berpusat di Kembuja membawa kepada zaman kerajaan Campa yang berpusat di Vietnam yang kemuncaknya pada abad ke-7M, kerajaan Srivijaya yang berpusat di Sumatera mulai abad ke-7M hingga ke-13M, kerajaan Melaka mulai abad ke-14 hingga ke-16 dan seterusnya hingga sekarang. Tentunya tamadun-tamadun ini tidak terpisah daripada tamadun Hindu, China, dan tamadun-tamadun rumpun Melayu seperti tamadun Jawa dan tamadun-tamadun lain di Alam Melayu ini. Sains daripada tamadun-tamadun inilah yang menjuzuki komponen penting dalam etnosains yang dihuraikan lagi skopnya di bawah ini. Contoh-contohnya, dan kaedahnya dibicarakan di dalam makalah ini kemudian.
Dengan pemeribumian sains, sekaligus bahasa bangsa yang baru itu menjadi bahasa-ilmu baru. Dalam pemeribumian ilmu, bahasa dan ilmu bersimbiosis dan bersinergi. Inilah makna “bahasa jiwa bangsa” dan “bahasa itu jati diri bangsa” yang sebenarnya. Ungkapan “maju bangsa majulah bahasa” yang dipopularkan oleh Tun Mahathir Muhamad itu jauh tersasar kerana sejarah pembangunan bangsa-bangsa yang maju di dunia selama ini tidak berlaku demikian, lebih-lebih lagi jika maju itu bermaksud “segi ekonomi sahaja”. Belum ada negara yang mencapai taraf maju yang mengabaikan bahasanya sendiri, malah semuannya menerusi pemeribumian ilmu bagi negara-bangsanya. Ungkapan “Maju bahasa maju bangsa” juga kurang tepat walaupun lebih betul kerana sejarah pembangunan bangsa-bangsa maju seluruh dunia menunjukkan ilmu dan bahasa itu berkembang secara simbiosis dan sinergi menerusi pemeribumian ilmu itu sehingga diktum yang jauh lebih boleh diterima ialah, contohnya, “Bersamanya bahasa dan ilmu majulah bangsa”.
Sekurang-kurangnya sejak 1992 jugalah (Shaharir 1992) penulis ini memperkenalkan istilah etnosains yang kemudiannya diperincikan lagi dalam Shaharir (1995/1996a,b, 2000, 2002b, 2003b,c). Etnosains secara klasik dan harafiahnya bermakna sains sesuatu kumpulan etnik tetapi penulis ini mentakrifkan semula istilah ini supaya saling melengkapi dengan konsep pemeribumian sains. Etnosains yang diperkenalkan itu bukan sahaja bermakna sains tradisi sesuatu kumpulan etnik tetapi juga sains kontemporer yang telah disesuaikan pendekatannya dengan kebudayaan kumpulan etnik tersebut, dan juga sains baru yang terbit daripada hasil pengubah-suaian atau perluasan sains kontemporer setelah mengambil kira kebudayaan sesuatu kaum itu, dan mungkin juga sains baru yang berasaskan paradigma baru yang terbit daripada pertimbangan sistem nilai kaum tersebut. Tidak hairanlah agenda penyelidikan dalam etnosains seperti yang sub-bidangnya etnomatematik itu (lihat Shaharir 2000, 2002b) sebahagian besarnya sama sahaja dengan agenda pemeribumian sains yang dibicarakan dalam bahagian akhir makalah ini. Yang berbezanya, segi bahasa sahaja kerana pemeribumian sains seolah-olah ditumpukan kepada proses atau perihal memeribumikan sains kontemporer untuk menghasilkan sains yang lebih serasi dengan kaum berkenaan dan layak dinamai “sains terperibumi”, atau “sains peribumi” bagi sesuatu kaum sebelum sains tersebut diterima menjadi “sains” sahaja dan diakuri seluruh dunia; manakala etnosains seolah-olah sains sesuatu kaum yang diwarisinya turun-temurun atau yang secara tabii muncul dalam sesebuah negara kaum itu sahaja yang boleh jadi serasi atau tidak serasi dengan sains kontemporer. Umpamanya, “ilmu” yang ada pada dukun dan bomoh Melayu adalah sejenis etnoperubatan Melayu, atau perubatan tradisi Melayu yang tentunya banyaklah yang bertentangan dengan sains perubatan moden tetapi ada juga yang mampu memperkayakan lagi khazanah sains perubatan moden ini selanjutnya.
Seperti yang dinyatakan sepintas lalu di atas, pemeribumian sains itu sebahagian besarnya bermaksud pemindahan sains semasa (yang sedia ada) daripada bahasa sains semasa (bahasa semasa yang lebih maju) kepada bahasa sesuatu umat yang baru ingin mencipta atau memperkukuhkan lagi tamadunnya sendiri. Kenapa tidak memindahkan ilmu itu menerusi bahasa sains semasa sahaja seperti, kini, menerusi bahasa Inggeris? Hujah lama bahawa pemindahan ilmu semasa menerusi bahasa sendiri perlu demi perpaduan bangsa, identiti bangsa atau jati diri bangsa tidak sesuai dengan Zaman Gelombang Ketiga Toffler (1984) atau Sejagatisme/Globalisme Ohmae (1990) ini kerana mengikut mereka ini konsep bangsa dan negara kini dihujahkan sudah tiada atau akan mati secara tabiinya (semua bahasa akan pupus kecuali bahasa yang maju sekarang ini, dan bahasa yang pasti tidak pupus malah semakin gagah ialah bahasa Inggeris). Secara tidak langsungnya isu ini sudah dibicarakan dalam Shaharir (2004) tetapi diperkukuh dan diolah-semula di sini.
Sebenarnya pemindahan ilmu daripada suatu bahasa ilmu semasa kepada sesuatu bahasa peribumi sesebuah negara-bangsa berlaku sepanjang zaman, khususnya peng-Arab-an ilmu pada zaman tamadun Islam dahulu (abad ke-8M), peng-Latin-an ilmu pada zaman Pertengahan Eropah (abad ke-12M), pemindahan ilmu daripada kepada bahasa-bahasa di Eropah lain yang lebih khsusus (pem-Perancis-an sejak kurun ke-16M, … pen-Jerman-an abad ke-18, ….dan terakhirnya di Eropah itu ialah peng-Inggerisan abad ke-19M), serta pemindahan ilmu kepada bahasa Jepun (pen-Jepun-an pada zaman Meiji abad ke-19M), sekadar menyebut beberapa contohnya. Sejarah pemeribumian sains negara-bangsa ini agak menarik dan perlu menjadi iktibar. Eropah pada Zaman Pertengahannya memang berbentuk ujikaji dengan dasar pemindahan ilmu dari Tamadun Islam. Mulanya mereka mencuba menerusi bahasa Arab sahaja (bahasa ilmu pada masa itu) tetapi ternyata mereka gagal, dan tokoh-tokoh pemimpin, inteligensia dan ilmuwannya yang menjadi jaguh pemeribumian dengan kaedah ini dicap sebagai musuh gereja Kristian. Kemudian mereka mengalih kepada pemindahan ilmu ke dalam bahasa agamanya, Latin, dan mencapai kejayaan yang agak besar juga terutama di Italia yang memang tempat asal bahasa tersebut. Kejayaan Eropah memindah ilmu ke dalam bahasa Latin terpancar daripada terbitnya hampir semua buku ilmu dalam bahasa Arab menjadi ilmu dalam bahasa Latin termasuk al-Quran yang diterjemah ke Latin dalam tahun 1140 (Sejarah terjemahan al-Quran dicatatkan dengan baiknya dalam pendahuluan terjemahan al-Quran yang terkenal “Al Quraan dan Terjemahnya”), dan adanya karya agung asli dalam bahasa Latin yang ditulis oleh pelbagai bangsa di Eropah seperti Inggeris (Newton dengan Principa Matematica Philosophiae Naturalis), Poland (Kopernigk/Copernicus dengan De Revolutionibus Orbium Celestium), Italia (Galileo dengan Dialogo Primario del Serenissimo Douenei Congresfi di Quattro Giornate fi di Forre Fopra i due. Masimi Sistemi del Mondo Tolemaic, e Copernicano drp internet 6), Jerman (Kepler dengan Commentariis de Motibus Stella Martis), Perancis (de Laccaille dengan Coelum Australe Stelliferum), Belanda (Huygens dengan Oscilatorium Horologium) dan sebagainya (semua maklumat ini diperoleh dalam Berry (1961), kecuali karya asli Galileo yang memang sukar diperoleh kerana karya Galileo itu hampir di mana-mana dicatatkan versi terjemahan Inggeris sahaja, “A Dialogue Concerning the Two World Systems: Ptolemaic and Copernic Systems”. Kemudian Perancis mula memeribumikan ilmu dari Latin kepada bahasanya sendiri sehingga menjadi bahasa ilmu yang dominan di Eropah, dan seterusnya diikuti oleh negara-negara lain di Eropah sehingga akhirnya negara-negara di sana yang penduduknya lebih kecil daripada atau sama dengan Malaysia memang sudah banyak yang berjaya menjadi bahasa sains kini. Sebelum itu, pemeribumian ilmu pada zaman Tamadun Islam paling bitara kerana tamadun itu tidak pernah mencuba memindah ilmu semasa (dalam bahasa Yunani, Parsi, India dan sebagainya) kepada bangsanya menerusi bahasa selain daripada bahasa Arab. Sebabnya ialah Islam sendiri mengajar demikian menerusi beberapa Surah al-Quran (contohnya Surah Ibrahim Ayat 4 dan Surah Ali ‘Imran Ayat 164) yang menegaskan bahasa sendirilah yang paling cocok menjadi bahasa ilmu bangsa itu sesuai dengan penegasan Allah (seperti dalam Surah Yunus Ayat 47, Surah al-Baqarah Ayat 128, Surah al-Hijr Ayat 4 dan Surah al-Nahl Ayat 36) akan adanya Rasul bagi setiap kaum itu (walaupun soalan “siapakah Rasul bagi kaum Melayu?” memang belum terjawab, yang harus ditafsirkan sebagai seorang ilmuwan besar di Alam Melayu ini sebelum Nabi Muhammad SAW). Jepun mencuba memindah ilmu semasa kepada anak bangsanya menerusi pelbagai bahasa (Cina, Rusia, Inggeris dan Jerman) tetapi akhirnya terbukti hanya berjaya menerusi bahasanya sendiri sahaja. Kini seseorang seharusnya berani mengatakan pemindahan ilmu yang paling berjaya semestinya menerusi bahasanya sendiri. Ini boleh dianggap sunnatullah pemindahan ilmu.
Pemindahan ilmu oleh Inggeris cukup menarik juga (Barnard 1968) kerana dialah yang terakhir di Eropah yang menggunakan bahasa sendiri, iaitu sains sekolahnya diajar dalam bahasa sendiri mulai pertengahan abad ke-19 sahaja sehingga terjemahannya terpaksa dilakukan dengan banyaknya daripada sumber Perancis dan Jerman. Malah hampir semua fizik Inggeris dan matematik Inggeris hingga ke peringkat ijazah pertama adalah ilmu terjemahan. Ini bertentangan dengan pandangan para pemimpin Malaysia yang cuba menjustifikasikan perlunya kita belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kerana kononnya bahasa itulah bahasa asal ilmu tersebut! Terjemahan ilmu ke dalam bahasa Inggeris begitu berjaya sehingga tiada pembacanya terasa sedikit pun yang ilmu itu asalnya bukan dalam bahasa Inggeris kerana, satu daripadanya, tiada satu patah pun istilah/perkataan asing dalam buku terjemahannya, apatah lagi “karya asli” mereka dan amat jarang singkatan asing dikekalkan dalam buku-buku Inggeris itu. Bahkan karya-karya dalam bahasa lain sejak zaman Yunani yang diterjemah kepada Inggeris hanya diketahui judulnya dalam bahasa Inggeris sahaja sehingga pembaca menganggapnya karya itu asalnya memang dalam bahasa Inggeris sahaja dan sekaligus terpahat disanubarinya akan kehebatan Inggeris sahaja.
Bagi Malaysia, “pemeribumian sains” peringkat pertama yang agak bersistem (hasil desakan rakyat jelata Melayu sehingga menerusi demonstrasi seluruh negara) dalam abad ke-20 bermula pada 1958 dengan bermulanya sekolah Menengah aliran Melayu (Tingkatan 1) dan seterusnya berkembang dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia 1970 dan pengeluaran ijazah SmSn pertamanya 1973, ijazah S.Sn pertama, dengan tesisnya dalam bahasa Melayu, 1980, dan ijazah Dr.Fal pertama, dengan tesisnya dalam bahasa Melayu, 1985, sehingga kini ribuan jumlahnya (lihat Shaharir 1996b, 2004). Tetapi pemeribumian sains di Malaysia (dan alam Melayu amnya) sehingga kini pun belum pernah mencapai tahap seperti yang berlaku di dalam tamadun-tamadun yang tersebut di atas pada peringkat awal pembangunan tamadunnya masing-masing. Dalam sejarah tamadun Melayu tidak ada usaha penterjemahan yang bersistem, bersungguh-sungguh, berazam dan beriltizam, amati/intesif, menyeluruh/komprehensif dan memilih/selektif dengan penubuhan institusi khusus bagi menjalankannya. Malah terjemahan al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu hanya dilakukan pada 1682 oleh Abdul Rauf al-Fansuri dari Singkel Aceh (oleh itu terkenal juga sebagai Abdul Rauf Singkel) sedangkan terjemahan al-Quran kepada bahasa Inggeris dilakukan pada 1647. Pejabat Karang Mengarang di SITC (yang ditukar namanya kepada Melayu menjadi MPSI dan kini UPSI tetapi malangnya tidak lagi menghayati aspirasi dan falsafah SITC/MPSI itu) di bawah Pendeta Za’aba yang ditubuhkan pada 1950-an boleh dikatakan usaha pertama penubuhan institusi khas “pemeribumian ilmu” tetapi ternyata bergerak hanya beberapa tahun sahaja dan mampu menghasilkan hanya kurang daripada belasan buah buku sains sekolah . Penubuhan Institut Terjemahan Malaysia pada 1996 pula walaupun mulanya menjanjikan kegiatan yang sama dengan Bait al-Hikmat pada Zaman Tamadun Islam dan pusat terjemahan di Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah dahulu, telah menerima nasib yang lebih teruk kerana pada tahun yang sama dasar “pemeribumian ilmu” negara dipadamkan seperti yang diterangkan di atas, dan institusi ini sudah tidak berfungsi lagi seperti yang diidami dahulu.
Keperluan Bahasa Sendiri dalam Pemeribumian Sains
Mengikut Fishman (1968, 1973), sesuatu bahasa peribumi negara yang sedang membangun hanya sesuai memenuhi fungsi nasionalis tetapi bukan fungsi nasionis. Fungsi nasionalis bermakna bahasa itu hanya cukup untuk memenuhi keperluan mewar-warkan ideologi negara atau keperluan kebangsaan, dan boleh ditambah lagi demi “keperluan politik” sahaja, manakala fungsi nasionis menonjolkan sifat pragmatis bahasa itu, seperti berkemampuan menjadi wahana memajukan dan membangunkan negara. Fishman berhujah bahawa dalam sebuah negara yang baru membangun sentiasa diperlukan dua bahasa, yang masing-masingnya mempunyai fungsinya yang tersendiri, iaitu bahasa peribumi dan bahasa maju semasa. Bahasa peribumi biasanya dijadikan bahasa kebangsaan/nasional, dan hanya memainkan peranan lambangan/simbolik sahaja. Bahasa yang demikian dibina sekadar hanya untuk tujuan dalam matalamat nasional/kebangsaan, seperti menjadi lambang jati diri negara dan sebagai alat perpaduan sahaja. Sebaliknya, bahasa yang diperlukan untuk memenuhi tugas pragmatis, seperti dalam pengendalian bidang ekonomi, perindustrian, dan bidang sains (atau lebih luas lagi, yang penulis ini ringkaskan sebagai SAKTI, iaitu sains, kesihatan, kejuruteraan dan teknologi) ialah bahasa yang telah dianggap sebagai bahasa moden, bahasa maju semasa atau bahasa bertaraf antarabangsa semasa, bahasa sains semasa, seperti bahasa Inggeris kini. Pandangan Fishman ini adalah perpanjangan dan pengartikulasian pandangan ahli bahasa dan pihak-pihak yang ‘asobiah Anglo-Saxon dengan sengaja melupakan bahawa bahasa-bahasa yang maju sekarang ini sebenarnya juga bahasa primitif sekurang-kurangnya sebelum kurun ke-14 dahulu. Selain daripada itu sekurang-kurangnya sejak 1960-an lagi kajian menunjukkan korelasi positif antara perkembangan sains sesebuah negara-bangsa dengan penggunaan bahasa sendiri negara berkenaan seperti yang dihuraikan dalam seksyen yang berasingan nanti.
Pendirian bahawa bahasa hanya sebagai alat komunikasi, pengungkapan dan maklumat sahaja memang lumrah juga sehingga dijadikan hujah bahawa pemindahan ilmu semasa dalam bahasa apa pun tidak menjadi hal. Mereka ini percaya manusia adalah pembentuk dan tuan bahasa. Perkara ini menarik perhatian Heidegger, seorang ahli falsafah Jerman yang terkenal, yang karyanya cukup banyak dan sebahagian besar daripadanya telah diterjemah kepada Inggeris dalam usaha Inggeris beberapa dasawarsa yang lepas memeribumikan ilmu Jerman ini. Mengikut Gregory (2004) Heidegger berhujah sebaliknya, iaitu bahasa itulah pembentuk dan tuan manusia. Hujah-hujah ini memberi satu lagi sebabnya keperluan bahasa sendiri dalam pemeribumian ilmu sepanjang masa.
Seseorang yang memindah ilmu menerusi bahasa lain daripada bahasa baru (bahasa peribumi) tidak dapat tidak terpaksa memahami ilmu yang ingin dipindah itu dengan lebih dalam lagi untuk untuk membolehkan dia mengungkapkan semua ilmu itu. Seringkali perbuatan ini melahirkan tafsiran baru atau kesedaran adanya dimensi baru dalam ilmu asing itu. Inilah yang membantu dalam pemajuan ilmu itu dan kali ini dalam wahana baru pula dan sekaligus bahasa peribumi meningkat tarafnya (lebih maju) dan bersimbiosis dengan ilmu berkenaan.
Hakikat bahawa sesuatu bangsa yang menghayati bahasa dan kebudayaannya sendiri mempunyai sistem mantiknya yang tersendiri bukan sahaja dibuktikan oleh ahli matematik di bidang falsafah atau mantik sehingga telah diakui dengan penerbitan yang cukup banyak tentang adanya mantik Yunani, mantik Islam, mantik Hindu, dan mantik Budha, serta kajian dalam mantik kabur, tetapi oleh pengakuan para diplomat dan penegosiasi antara bangsa yang memerlukan mereka memahami mantik pihak yang berinteraksi dengannya. Oleh sebab sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada sains itu bersandarkan mantik, maka mudahlah difahami sekarang betapa benarnya dakwaan ahli-ahli falsafah sains terutamanya sejak Spengeler 1930-an (sarjana Jerman dengan karya agungnya yang diterjemah kepada bahasa Inggeris tahun 1950-an dengan judul “The Decline of The West”, lihat Spengeler 1932/1971) dan pengukuhan hujahnya oleh sarjana-sarjana Barat dan Islam tahun 1960-an seperti Kuhn (sarjana Amerika Syarikat dengan karya agungnya 1962 yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu dengan judul “Struktur Revolusi Sains” terbitan DBP 1993) dan Seyyed Hossein Nasr (sarjana Iran-A.Syarikat dengan karya agungnya 1964 yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu dengan judul “Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam” terbitan DBP 1996) bahawa sesuatu bangsa itu menerbitkan sainsnya yang tersendiri jika dia menghayati kebudayaan dan sistem nilainya sendiri.
Satu kejayaan besar pendidikan sains aliran Melayu di peringkat antarabangsa ialah kejayaan Malaysia selama ini dapat melahirkan para ahli sains yang berfikir secara nasional walaupun bekerja untuk tujuan antarabangsa sehingga mereka ini begitu terpanggil untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu menerusi penciptaan istilah baru dalam bidangnya masing-masing. Ini satu lagi contoh simbiosis bahasa dan sains, dan benarnya diktum “bahasa dan sains maju bersama”. Dalam bidang zoologi umpamanya, kini sudah lebih daripada 300 istilah haiwan dalam bentuk L Y dengan L bahasa Latin dan Y bahasa Melayu daripada warna seperti hijau, jalur, tompok, dan sebagainya, kata sifat seperti ajaib, cantik, lawa, indah dan sebagainya, daripada nama tempat di Malaysia seperti pahangi (drp Pahang), nama orang Melayu seperti ismaili (drp Ismail), dan daripada perkataan biasa seperti ajaib, bukit, dwiwarna, kurnia, lapan dan sebagainya. Contohnya, Arthrotus hijau, Atrachya hitam, Dercetina bopeng, Itylus biru, Ophrida kuning, Monolepta merah, Sphenoraia tompok, Sarawakiola ajaib, Medythia bukit, Monolepta cantik, Nadrana dwiwarna, Podontia jalur, Pseudosastra indah, Monolepta kenit, Trichomimastra kurnia, Xenoda lapan, Paleosepharia lawa, Metrioidea molek, Liroetiella warisan, Aplosonyx pahangi, Arcartes ismaili dan sebagainya. Perincian lanjutnya dapat dilihat dalam Mohammad Salleh (2002). Ini semua berlaku hanya dalam masa kurang daripada 15 tahun universiti kita semua dalam aliran Melayu. Sebaliknya untuk selama 30 tahun universiti kita dalam aliran Inggeris sebelumnya prestasi sebegini boleh disifatkan nol tarafnya.
Tidak syak lagi satu daripada syarat perlu bagi sesuatu bangsa mencapai tahap pencapaian yang tinggi dalam sains ialah menjadikan sains sebahagian daripada budayanya, iaitu bangsa itu telah mengalami pembudayaan ilmu yang hebat di kalangan masyarakat bangsa itu. Mengikut para bestari dan santeri adanya ilmu pada seseorang ialah “sampainya makna pada diri” dan “sampainya diri pada makna” (Al-Attas 1989/1995). Yang lebih relevan dengan pelajar ialah seseorang pelajar itu memahami ilmu yang dipelajarinya sehingga “sampainya diri pada makna” itu kerana itulah tahap pembudayaan ilmu; dan tahap ini boleh diistilahkan juga sebagai tahap ‘jelera-nya dan berpalut-nya’ ilmu pada seseorang. (Jelira dan palut ini dua perkataan kelantan yang membawa makna lebih dalam daripada mesra, tekal, teradun, terkamir dan sebagainya itu).Yang lainnya hanya tahap “tidak faham”, “tidak tahu” , “tidak kenal” atau “tahap lulus periksa sahaja, walaupun mungkin dengan cemerlang sekalipun”. Adalah tidak masuk akal sama sekali seseorang pelajar yang belajar dalam bahasa asingnya boleh mencapai tahap jelira dan berpalut itu atau “sampainya diri pada makna” itu. Hanya menerusi bahasanya sendiri sahaja berkemungkinan besar tahap ini boleh tercapai. Tahap berilmu ini perlu sebelum seseorang itu mampu berkarya atau memberi sumbangan sendiri pula kepada ilmu kinian yang dimilikinya itu. Tidak hairanlah sekurang-kurangnya sejak 1960-an lagi kajian menunjukkan korelasi positif antara perkembangan sains sesebuah negara-bangsa dengan penggunaan bahasa sendiri negara berkenaan seperti kajian Ferguson (1962), Ravetz (1971), Holton (1973), Halliday (1979) dan Davies (1991).
Satu lagi peranan bahasa sendiri di sini ialah pemupukan kesedaran dan keinsafan baru tentang kebudayaan sendiri, sedangkan kebudayaan sendiri itulah pula yang berpotensi menjana ilmu baru seperti yang dijelaskan prosesnya seperti di bawah ini.
Beberapa contoh terbaru dan terdekat betapa kebudayaan sendiri mampu menjana idea dan seterusnya sains bertaraf dunia ialah betapanya tesis Sarjana dan Dr. Fal. dalam bidang sains komputer di UKM dan UPM telah dapat dihasilkan berhubung dengan leksikografi dan pengecaman pola yang dipengaruhi oleh tabii bahasa Melayu (lihat Khairuddin et al. 2001 dan Belal Mustafa et al. 1995), manakala dalam bidang matematik pengurusan pula terbitnya konsep optimum yang baru yang berbeza daripada optimum dalam matematik dunia (Barat) selama ini, dan mendapat model matematik pengurusan kewangan yang baru (lihat Shaharir dan Rohani 1997, dan Maheran dan Shaharir 2003).
Mereka ini mengukuhkan lagi teori Kuhn (1962/1993), Nasr (1964/1996) dan lain-lain itu khususnya perluasan teori itu ke dalam bidang sains matematik oleh Shaharir (1992c, 1996a,b) dan Earnest (1993) tentang tentang adanya paradigma dan pandangan alam sarjana berkenaan yang memagari ciptaan sainsnya, dan oleh itu tidak neutralnya pemilihan atau pengecaman persoalan, matalamat penyelesaian sesuatu persoalan, pembinaan model kepada persolan itu, penilaian kepada model itu, dan akhirnya cara pelaksanaan atau amalan ilmu yang diperoleh itu.
Para pemimpin Malaysia memang sering “sedap mulut” bercakap tentang perlunya Malaysia maju dalam acuan sendiri (terutamanya selepas “Wawasan 2020”) tetapi dengan langkah 2003 meng-Inggeris pendidikan Sains dan Mematik sekolah dan seterusnya nanti mulai 2005 ini dalam bidang-bidang yang sama dan berkaitannya di Institut Pengajian Tinggi Awam, maka ‘acuan’ itu tentunya mereka bermaksud segi etika dan budaya kerja sahaja, dan kononnya ini boleh berlaku. Tetapi etika dan budaya kerja sendiri tidak akan mampu diterapkan atau diserap sebaik mungkin dalam amalan ilmu yang asalnya dibina dalam acuan asing dan diamalkan dalam acuan (termasuk bahasa) asing pula. Sesuatu karya baru sukar dilahir atau tidak akan terlahir menerusi kaedah ini kerana terikat dengan cara asing itu dan oleh itu lamalah kita mengekorinya, jika tidak selama-lamanya pun.
Satu daripada syarat perlu bagi kemajuan sesuatu bangsa ialah tersebar luasnya dan meratanya ilmu semasa kepada seluruh bangsa tersebut. Ini telah diakui menjadi indeks kamajuan negara maju (iaitu peratusan sarjana per selaksa penduduk dan peratusan pelajar sekolah yang berjaya belajar sains di institusi pengajian tinggi). Sepanjang zaman, perkara ini terbukti tercapai menerusi pendidikan dalam bahasa sendiri sahaja. Kajian Sen (1999) tentang penyibaran ilmu di China (dalam bahasanya sendiri) dan India (contoh negara yang dasar pendidikannya bukan dalam bahasa sendiri) juga secara tidak langsung menunjukkan kejayaan pemerataan penyibaran ilmu di China lebih baik tercapainya berbanding dengan India sehingga projek pembangunan yang serupa lebih berjaya dilaksanakan di China daripada diu India. Sejarah kemajuan di Malaysia tidak terkecuali daripada hukum pembangunan ini seperti yang dihuraikan di bawah in.
Terlebih awal daripada sarjana-sarjana Barat yang selalu disebut sebagai orang yang pertama memartabatkan ilmu dengan diktum yang hebat-hebat seperti “ilmu itu kuasa” oleh Bacon (pada Zaman Pertengahan Eropah), dan “ilmu itu kekayaan” oleh Drucker, Toffler atau Ohmae (sarjana abad ini), Nabi Muhamad SAW (riwayat al-Dailami) telah menyatakan bahawa ilmu lebih berharga daripada harta dan kuasa. Maka pengagihan ilmu kepada rakyat dengan cara adil adalah lebih penting daripada pengagihan ekonomi dan sebagainya itu. Dalam hal ini Malaysia juga turut membuktikan hukum yang telah terbukti sepanjang zaman, iaitu pendidikan dalam bahasa sendiri sahaja yang mampu melakukannya. Kejayaan pendidikan aliran Melayu telah mengimbangi komposisi kaum dalam pelbagai sektor selain daripada sektor akademik. Dalam tahun 1999, arkitek Melayu 29% (tahun 1970 hanya 4%), doktor gigi Melayu 35% (tahun 1970 hanya 3%), doktor haiwan 43% (tahun 1970 hanya 4%), doktor perubatan lain 37% (tahun 1970 hanya 4%), juru ukur 45% (tahun 1970 tiada datanya tetapi dipercayai tidak banyak jauhnya daripada 4% itu) dan jurutera 27% (tahun 1970 hanya 7%). Pemimpin-pemimpin persatuan berasaskan SAKTI kini kira-kira 50% orang Melayu (tahun 1970 dahulu datanya tiada, tetapi tentunya tidak lebih daripada angka 4%-7% itu). Dalam dunia akademik dan penyelidikan SAKTI, peratusan Melayu dikira sudah tidak seimbang lagi, iaitu melebihi 80% kecuali kesihatan sekitar 50%, geologi sekitar 60% dan farmasi 70% (tahun 1970 dahulu terbalik kuang, iaitu kurang daripada 10% Bumiputera).
Hubungan Pemeribumian Sains dengan Prestasi Pelajar Sains dan Matematik Sekolah Seluruh Dunia
Hampir semua kajian berhubung dengan tidak berjayanya pendidikan sains dan matematik sekolah dalam bahasa asing (atau bahasa kedua) seseorang pelajar pada zaman moden ini (kerana tidak mahu menerima sejarah tamadun bangsa-bangsa yang telah berjaya yang seimbas lalu dibicarakan sebelum ini) dilakukan di Amerika Syarikat, Kanada, Afrika, di Eropah, Hongkong dan malah di Singapura. (lihat umpamanya internett 1 dan 2 , Cocking dan Mastre (1988), Marsh et al. (2000) dalam Harvard Educational Rev.). Pertandingan pelajar sains seluruh dunia di peringkat antarabangsa setiap tahun membuktikan juga perkara ini.
Soalan dalam ujian-ujian antarabangsa dalam subjek sains sekolah yang dinamai Olimpiad Antarabangsa itu memang dibuat dalam berbagai-bagai bahasa mengikut permintaan negara berkenaan, iaitu negara-negara maju pastinya dengan bahasa mereka sendiri, dan begitu juga dengan hampir semua negara yang sistem pendidikannya dalam bahasa kebangsaannya sendiri termasuk Indonesia (dalam bahasa Melayu Indonesia). Malaysia baru sahaja memasuki pertandingan ini. Malangnya, sehingga kini Malaysia masih menggunakan soalan dalam bahasa Inggeris. Ini satu lagi tahap kelemahan pemeribumian ilmu Malaysia. Sepatutnya, Malaysia dan Indonesia bersama-sama menggunakan soalan yang sama sesuai dengan kerjasama kebahasaan yang terjalin sejak 1970-an lagi itu.
Keputusan Olimpiad Antarabangsa dalam matematik, fizik, kimia, biologi dan teknologi maklumat menunjukkan daripada 10 negara teratas itu sekurang-kurangnya 8 daripadanya negara yang pendidikan sains dan matematiknya adalah dalam bahasanya sendiri. negara-negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad matematik ialah China = Vietnam (10/10), diikuti oleh Bulgaria (9/10), dan Iran=KoreaSelatan=Romania (8/10) dan ASyarikat=Hungary=Jepun (7/10); semuanya bersistem pendidikan sains dan matematik dalam bahasanya sendiri. Negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad Biologi ialah Belarus=China=KoreaSelatan= Taiwan=Vietnam=Rusia, dan dikuti oleh Australia=Jerman=Thailand=Ukraine=U.Kingdom, dan semua pemenang ini berpendidikan ilmu ini dalam bahasanya sendiri. Negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad fizik ialah ASyarikat=Iran=Rusia (7/10), diikuti oleh China (6/10) dan KoreaSelatan=Taiwan (5/10). Semua Negara ini berpendidikan sains dan matematiknya dalam bahasa sendiri. Negara yang paling kerap mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad Kimia nampaknya (data tidak begitu mencukupi) ialah China=KoreaSelatan=Iran=Rusia, diikuti oleh ASyarikat= Austria= Hungary=India=Jerman=Poland=Taiwan dan Thailand. Semuanya kecuali India berpendidikan sains dan matematik dalam bahasa sendiri sahaja. negara yang paling kerap memenangi kedudukan 1-10 dalam bidang TM dalam masa 10 tahun kebelakangan ini (mulai 2003) ialah China (setiap kali olimpiad), diikuti oleh Rusia (9/10), Poland=Romania=Slovakia (8/10), Czekoslovakia= KoreaSelatan=Sweden (7/10). Semuanya negara yang pendidikan sains dan matematiknya dalam bahasa sendiri sahaja (dan bukan dalam bahasa Inggeris). Walaupun ada beberapa buah negara yang berpendidikan sains dan matematik sekolah dalam bahasa asing (Inggeris atau Sepanyol) dan mendapat tempat 1-10 dalam olimpiad yang sama, namun kekerapannya dan kedudukannya sentiasa dapat diatasi oleh negara-negara lain yang pesertanya berpendidikan dalam bahasanya sendiri. (Lihat perinciannya dalam Shaharir 2004)
Hubungan Pemeribumian Sains dengan Pemenang Hadiah Nobel Sains (bukan matematik), Pingat Field bagi Matematik, dan Ahli Sains yang Besar Pengaruhnya.
Hadiah Nobel memang menjadi semakin kepolitikan terutamanya dalam bidang sastera dan keamanan. Walaupun demikian dalam bidang sains terutamannya, hadiah ini masih boleh menjadi indeks kehebatan seseorang ahli sains itu. Sejak Hadiah Nobel diadakan 1900 hingga 2003 seramai 138 ahli fizik dunia menerima hadiah ini dan hanya 60 orang daripadanya secara rasminya dikatakan dari Amerika Syarikat (A.S) dan United Kingdom (UK). Memanglah yang teramainya dari AS, iaitu 40 orang tetapi ramailah daripada mereka ini berupa pehijrah yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibundanya (bukan Inggeris) hatta ada yang belajar ilmu itu dalam bahasanya sendiri hingga ke peringkat D.Fal. Pemenang yang kedua teramainya ialah dari Jerman, iaitu 24 orang diikuti oleh UK 20 orang (termasuk seorang dari Pakistan dan seorang dari Hungari), Russia 9 orang, Perancis 8 orang, Belanda 7 orang, Italia 5 orang, Sweden, Switzerland dan Jepun masing-masingnya 4 orang, China dan Denmark masing-masingnya 3 orang, Austria, India (Prof. Raman satu-satunya pemenang Hadiah Nobel 1922 belajar sains dan matematik dalam bahasa Tamil hingga peringkat yang setara dengan STP), dan Ireland, masing-masingnya 1 orang. Pemilihan pemenang Hadiah Nobel memang terkenal memihak kepada AS dan Yahudi, tetapi kerana kehebatan sarjana bukan Yahudi dan bukan dari AS itu agak luar biasa maka mereka tidak dapatlah diabaikan begitu sahaja sehingga munculnya statistik pemenang Hadiah itu seperti di atas itu
Sejak Pingat Field (dianggap setara dengan hadiah Nobel untuk matematik) diwujudkan pada 1931, setiap empat tahun sekali setiap empat tahun kepada tidak lebih daripada 4 orang sarjana. Sehingga 2002 seramai 42 orang ahli matematik seluruh dunia telah dianugerahi Pingat ini dan tidak kurang daripada 24 orang daripadanya bukan berbahasa ibunda Inggeris dan beroleh pendidikan matematik dalam bahasa ibundanya sahaja (bukan bahasa Inggeris), termasuklah 11 orang sarjana Perancis, 5 orang Rusia dan 3 orang Jepun. Walau apa pun, kesemua 42 orang pemenang Pingat Field ini belajar matematik dalam bahasa ibundanya, sekurang-kurangnya sehingga peringkat ijazah pertama. Dalam tahun 2002 hanya 2 orang ahli matematik yang menerima Pingat ini dan mereka itu terdiri daripada sarjana Perancis dan sarjana Rusia; tahun 1998 pemenangnya 2 orang sarjana Perancis, seorang Rusia dan seorang Amerika. (Lihat Warkah Berita PERSAMA 2000). Ini membuktikan bahasa sendirilah juga yang memajukan matematik dunia.
Hart (seorang ahli matematik Amer. Sya.), dalam buku terbarunya keluaran 1999 itu, “A View From the Year 3000. A Ranking of the 100 Most Influences Persons of All Time” (Sebuah Pandangan daripada Tahun 3000: Pemartabatan 100 Orang yang Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman), ada menyenaraikan 44 orang ahli sains dan teknologi yang dianggapnya paling berpengaruh. Walaupun senarainya itu jelas pincang ke arah bangsanya, Anglo-Saxon, dan tentunya ramailah yang tidak bersetuju, namun yang menariknya di sini, kesemuanya terdiri daripada mereka yang terdidik dalam bahasanya sendiri kecuali 4 orang, iaitu dua orang sarjana Inggeris, iaitu Roger Bacon (terdidik dalam bahasa Arab dan Latin dalam abad ke-13), dan Newton (terdidik dalam bahasa Latin dalam abad ke-17), dan dua orang sarjana Eropah abad ke-16, Kopernigk/Copernicus dan Kepler (bangsa Poland dan Jerman yang terdidik dalam bahasa Latin). Mereka itu terdiri daripada seorang China (T’sai Lun sebagai pencipta kertas), seorang Rusia (Mendel dengan teori genetik), seorang Poland (Kopernigk dengan model alam berpusatkan syamsi), seorang Belanda (Leeuwenhoek), 3 orang sarjana Yunani (Aristoteles, Euklid dan Plato), 5 orang Perancis (Darguerre, Descartes, Euler, Lavoisier dan Pasteur), 6 orang Italia (Aquinas, Galileo, Fermi, Michelangelo, Marconi, dan Pincus), 7 orang Jerman (Gutenberg, Einstein, Kepler, Otto, Planck Roentgen dan Heisenberg), dan 17 orang Anglo-Saxon U.K-Am.Sya. (Roger Bacon, Babbage, Bell, Dalton, Darwin, Edison, Faraday, Flemming, Ford, Harvey, Jenner, Lister, Maxwell, Morton, Newton, Oviller & Wright, Rutherford, dan Watt).
Tiner (2000) menyenaraikan 100 orang ahli sains yang diakatakannya “Membentuk Sejarah Dunia” dan senarainya banyak yang bertindan dengan senarai Hart tetapi yang menariknya ada pula seorang sarjana Zaman Tamadun Islam, iaitu Ibnu Sina. Yang lainnya 1 orang ahli sains Belanda (Huygens), 1 orang ahli sains Denmark (Bohr), 1 orang ahli sains Poland (Kopernigk), 2 orang ahli sains Austria (Einstein dan Freud), 2 orang ahli sains Sweden (Berzelius dan Linnaeus), 3 orang ahli sains Rusia (Mendeleyev, Pavlov dan Yalow), 5 orang ahli sains Italia (Fermi, galen, Galileo, Vesalius dan Volta), 6 orang ahli sains Yunani (Archimedes, Aristoteles, Erastotenes, Euklid, Hippokrates dan pithagoras), 11 orang ahli sains Jerman (Burbak, Focult, Gauss, Goppert-Mayer, Heisenberg, Humboldt, kekule, Kepler, Pauling, Roentgen dan Sanger), 13 orang ahli sains Perancis (Agassiz, Bacquerel, Burnoulli, Costeau, Currie berdua, Cuvier, Descartes, Euler, Guy-Lussac, lavoisiere, Pascal dan Pasteur), dan selebihnya (53 orang) ahli sains Anglo-Saxon (Alvarez, Babbage, Bardeen, Boyle, Byron, Carver, Cavadish, Compton, Dalton, Darwin, Davy, Eddison, Faraday, Feynman, Fleming berdua, Franklin, Harvey, Hawking, Henry, Herschell, Hodgin, Hooks, Hopper, Hubble, Jenner, Joule, Khorana, Leavitte, Lee, Lister, Mauvy, Maxwell, McClintock, Mead, Mendel, Michelson, Newton, Perkins, Priestley, Ramsay, Shockley, Stevens, Thomson, Townes, Waksman, Watson dan Watt).
Simmon (2000) juga menyenaraikan 100 orang ahli sains termasuk ahli sains sosial yang dikatakannya “ahli sains yang paling berpengaruh dahulu dan kini”. Dalam senarainya tiada seorang pun sarjana Tamadun Islam, seperti yang dijangkakan, tetapi yang lainnya, kebanyakan ahli sains bukan sosial pilihannya sama dengan senarai Tiner (2000) juga. Perinciannya 1 orang Belgium, 1 orang Denmark, 1 orang Poland, 2 orang Italia, 2 orang Rusia, 3 orang Belanda, 5 orang Austria, 12 orang Perancis, 23 orang Jerman, dan selebihnya (36 orang) berbangsa Anglo-Saxon. Kedua-dua senarai Tiner dan Simmon ini juga menunjukkan ahli sains yang hebat-hebat ini juga hampir semuanya terdidik dan berkarya dalam bahasanya sendiri.
Sekumpulan sarjana Barat (Anglo-Saxon) yang diketuai oleh Adler dalam tahun 1950-an telah menyenaraikan karya-karya (buku) agung dunia (Barat) dan suntingan terbarunya 1997 (Lihat Internet dengan menaip “Adler’s Great Books”). Karya mereka ini memanglah kontroversi dan pincang kepada karya bangsa Anglo-Saxon, tetapi amat relevan dengan perkara yang dibincang di sini. Mereka menyenaraikan Bible dan al-Quran sebagai buku/kitab agung, di samping karya-karya yang ditulis oleh lebih daripada 120 orang pengarang (cendekiawan/sarjana) agung yang antaranya termasuklah 33 orang ahli sains. Daripada 33 orang ahli sains yang dikatakan menghasilkan karya agung dunia itu hanya 5 orang sahaja ahli sains yang karya-karyanya ditulis bukan dalam bahasa ibundanya, iaitu Huygens (bangsa Belanda abad ke-17 menulis dalam Latin), Kepler (bangsa Jerman abad ke-16 menulis dalam Latin), Kopernigk/Copernicus (bangsa Poland abad ke-16 menulis dalam Latin), Leibnitz (bangsa Jerman abad ke-17 menulis dalam Perancis), dan Newton (bangsa Inggeris abad ke-17 menulis dalam Latin). Senarai penuh ahli sains yang dianggap oleh kumpulan yang diketuai oleh Adler sebagai karyawan agung itu ialah 9 orang ahli sains Anglo-Saxon (Darwin, Eddington, Faraday, FitzGerald, Hamilton, Hardy, Newton, Russell dan Whitehead), 8 orang ahli sains Perancis (Bergson, Descartes, Fourier, Kant, Leibnitz, Pascal, Poincare dan Proust), 6 orang ahli sains Yunani (Ptolemeus/Batlamiyus/Ptolemy, Appollonius, Arkhimedes/ Archimedes, Aristoteles/Aristotle, Euklid/Euclid/Eukledes dan Plato/Aflatun), 5 orang ahli sains Jerman (Kepler, Planck, Schroedinger, Veblen, dan Wittgenstein), seorang ahli sains Syiria-Jordan abad ke-2 M yang nama Latinnya Nicomachus, seorang ahli sains Denmark (Bohr), seorang ahli sains Austria-Jerman (Einstein), dan seorang ahli sains Belanda (Huygens). Perhatikanlah bagaimana, selain daripada Inggeris, bahasa Yunani, Syiria, Latin, Perancis, Jerman, Denmark, dan Belanda mampu melahirkan sains yang hebat menerusi karya agung masing-masing. Inilah kekuatan bahasa sendiri masing-masing. Semua karya agung ini memang telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dalam usaha penerusan pemeribumian ilmu oleh bangsa Anglo-Saxon itu.
Sementara itu pandangan kini yang mengatakan jurnal-jurnal sains antarabangsa pula sering dikatakan “semuanya dalam bahasa Inggeris” memang benar jika kita melihat sumber-sumber penerbitan atau kajian bibliometri dari negara Anglo-Saxon. Pandangan inilah yang mempengaruhi sistem penilaian sarjana di Negara-Negara Ketiga/Membangun termasuk Malaysia. Jika kita akur dengan pandangan ini, maka nampaknya bukan sahaja bahasa-bahasa Eropah lain seperti Jerman dan Perancis tiada tempat dalam penyelidikan, apatah lagi bahasa-bahasa yang belum menjadi bahasa sains seperti bahasa Melayu (walaupun bahasa Melayu ialah bahasa ke-4 teramai penuturnya di dunia dan oleh itu belum ada pemasa-depan meramal pupusnya bahasa Melayu). Akan tetapi gambaran sebaliknya berlaku jika seseorang melihat sumber lain lagi. Umpamanya, kajian pemartabatan jurnal oleh Universiti Vienna (lihat Internet 5) menunjukkan sekurang-kurangnya 36% daripada kira-kira 1200 buah jurnal sains (termasuk sains sosial) “seluruh dunia” pilihannya (dalam bahasa-bahasa Eropah) adalah jurnal berbahasa peribumi sahaja atau berdwibahasa (bahasa peribumi dan bahasa Inggeris) yang martabatnya tidak kurang tingginya dengan martabat jurnal dalam bahasa Inggeris sahaja. Yang perlu dinsafi juga bahawa di antara 1200 buah jurnal pilihan itu nampaknya terdapat hanya 13 buah jurnal dari Negara Ketiga, dan itupun tiada satu pun dalam bidang sains wajar. Jurnal dari Negara Ketiga itu ialah masing-masingnya sebuah dari Brazil (statistik & kebarangkalian, dlm. Sepanyol), China (ekonomi, Inggeris), Colombia (niaga, dlm. Inggeris), Hungari (sains matematik, dlm. Hungari dan Jerman), Indonesia (ekonomi, dlm. Melayu dan Inggeris), Mesir (statistik, dlm Inggeris), Poland (sains sosial, dlm. Poland dan Jerman), Singapura (sains aktuari, dlm. Inggeris), 2 buah jurnal masing-masing dari Afrika Selatan (ekonomi dan statistik, dlm. Inggeris), dan India (statistik, dlm Inggeris), sedangkan jumlah jurnal dalam satu daripada bahasa-bahasa Eropah dari Negara-Negara Ketiga tentunya ribuan juga kerana Malaysia sahaja lebih daripada 40 judul jurnal. Kajian Bruner (1991) pula menunjukan penerbitan sarjana dari negara-negara ketiga dalam bahasa-bahasa Eropah (bahasa yang dianggap oleh Negara-Negara ketiga sebagai bahasa komunikasi sains yang wajar sehingga didapatinya 92% sarjana sains dari Negara Ketiga menulis dalam bahasa Inggeris) amatlah sedikit iaitu tidak sampai 1 makalah seorang setahun, dan dampaknya pula (iaitu disukat mengikut kekerapan orang merujuknya dalam sesuatu tempoh piawai, biasanya 5 tahun) juga amatlah rendah iaitu sekitar 2 (yang bermakna tiada orang membacanya!), sedangkan penerbitan yang ada dampak dianggap bernilai lebih daripada 4. Ini menunjukkan penerbitan jurnal dalam bahasa-bahasa Eropah oleh ahli sains berkenaan atau seseorang sarjana yang tidak pernah menulis karyanya dalam bahasanya sendiri sebenarnya, pada amnya, “syok sendiri” sahaja!
Tahap perindustrian buku dalam bahasa sendiri memang patut dijadikan indeks negara maju.Ada laporan akhbar tidak lama dahulu, menyatakan penerbitan buku ilmu (dalam bahasa Arab) di seluruh negara Arab setahun sama dengan sehari penerbitan di sepanyol dalam bahasa Sepanyol! Arena perbukuan dalam bahasa Melayu Malaysia, pencapaiannya memanglah tidak memuaskan, iaitu sehingga 1995 hanya ada 1073 buah buku SAKTI peringkat universiti, iaitu kira-kira 80 buah setahun sahaja (lihat Shaharir 2002) sedangkan sarjana sains Melayu pada masa itu ialah sekitar 1800 orang (separuh daripasanya berijazah Dr.Fal./Ph.D). Tidak hairanlah kajian penulis tentang kewujudan buku teks dalam bahasa Melayu di peringkat universiti (Shaharir 1991) mendapati daripada 80 mata kursus dalam sains matematik dan komputer ditawarkan di UKM hanya 30 daripadanya sahaja yang ada sekurang-kurangnya sebuah buku teks dalam bahasa Melayu (ringkasnya, 30/80 ~ 40% ), bidang sains fizis dan gunaan 50/164 ~ 27%, dan sains hayat 28/125 ~ 20%. Peratusan sebegini memalukan sesetengah pihak dan digunakan oleh pihak lainnya untuk membuktikan tidak bergunanya atau berkesannya pendidikan dalam bahasa Melayu. Memang, angka-angka ini agak banyak yang berubah dalam sedasawarsa kemudian kerana kegiatan pemeribumian sains yang memuncak dalam tahun 1990-an seperti yang dibuktikan oleh penerbitan buku yang tertinggi dalam tahun-tahun tersebut (Shaharir 2001/2002a). Malah, walaupun bidang yang selalu dirujuk masyarakat umum, bidang sains dan teknologi maklumat (mengikut buku panduan fakulti berkenaan 2002 di UKM), ada tidak lebih daripada 10% daripada mata kursusnya yang ada buku teks/rujukan dalam bahasa Melayu tetapi bidang sains yang lain (mengikut buku panduan Fakulti Sains dan Teknologi UKM 2002-2003) meningkat kewujudan buku teks dalam bahasa Melayunya: bidang sains matematik (tidak termasuk sains maklumat dan teknologi maklumat) ialah 25/43 ~ 58%, sains fizik gunaan ialah 46/95 ~ 50%, biosains dan bioteknologi ialah 18/49 ~ 37%, sains kimia dan sains makanan ialah 25/67 ~ 37%, dan sains sekitaran dan sumber alam ialah 51/143 ~ 37% . Tetapi jelaslah statistik ini (terutamanya dalam bidang sains dan teknologi maklumat itu, sekalipun dicampurkan dengan sains matematik yang lain itu puratanya kurang daripada 30% sahaja) pun amat tidak memuaskan mengenangkan pemeribumian sains sudah berjalan selama 3 dasawarsa dengan bilangan ahli sains yang mampu berkarya dalam tahun 1990-an hingga kini ialah di sekitar 3 ribu orang! Namun pemimpin negara yang insaf akan hukum pembangunan sains sesuatu bangsa tidak seharusnya lari daripada program pemeribumian sains seperti yang malangnya berlaku di Malaysia sekarang. Kekurangan buku dalam bahasa Melayu ini ada sebab-sebabnya yang sepatutnya boleh diatasi seperti yang dihuraikan dalam Shaharir (2001/2002a) itu dan tidak perlu diulangi di sini. Yang hendak ditegaskan di sini ialah kerancakan industri perbukuan dalam bahasa sendiri sebenarnya melambangkan tahap ilmu bangsa berkenaan. Yang jelasnya juga, pendidikan “sains dan matematik” dalam bahasa Inggeris sepenuhnya nanti (tahun 2005) tidak akan memperbaiki industri perbukuan Malaysia dan sekaligus tidak akan merubah tahap kemajuan yang positif negara ini, malah akan memerosotkan lagi kerana Malaysia akan menjadi lebih rakus dan selesa menyanjung karya dari luar negara sahaja (khususnya karya dalam bahasa Inggeris), menjadi pengguna setia tanpa soal sahaja. Inilah yang terbuktinya (Shaharir 1996a) pada zaman Universiti Malaya dikatakan berada pada “zaman gemilang”-nya dalam bahasa Inggeris dahulu! Khazanah ilmu (dalam bentuk buku) ciptaan para sarjana sains Malaysia dalam tempoh 30 tahun universiti tersebut bergaya dalam bahasa Inggerisnya boleh dikatakan tidak sedikit pun menghasilkan rakaman ilmunya dalam bahasa Inggeris sekalipun kerana mereka tentunya sudah berpuas hati dan mengangumi ilmu dalam bahasa Inggeris dengan penuh inferior sahaja.
Berhubung dengan industri perbukuan menerusi pemeribumian sains, ada pandangan rambang yang menyatakan pembangunan sains sesebuah negara tidak mungkin melalui penterjemahan kerana bidang sains kini dikatakan berkembang dengan pantasnya (setiap hari ada penemuan baru, dan ratusan penerbitan makalah dan buku baru yang semuanya dalam bahasa Inggeris). Maklumat apa pun menerusi teknologi maklumat (TM) yang begitu banyak dan pantas hampir semuanya dalam bahasa asing (Inggeris terutamanya).
Pandangan ini tidak berasaskan sejarah pembangunan sains negara-negara maju semasa. Negara maju sekarang bukan sahaja melalui zaman penterjemahannya masing-masing tetapi juga masih pun membuat terjemahan kerana ilmu dalam bahasa-bahasa lain daripada bahasanya sendiri sentiasa muncul dengan hebatnya. Ilmu dalam bahasa Inggeris itu bukan asalnya dalam bahasa itu kerana sekurang-kurangnya sehingga awal abad ke-20 ilmu sainsnya adalah hasil terjemahan sarjananya daripada terutamanya bahasa Arab, Latin, Perancis dan Jerman, walaupun banyak juga daripada bahasa Belanda, Italia, Rusia dan Jepun. Tidak syak lagi satu daripada sebabnya sains di Alam Melayu ini lembab ialah kerana Tamadun Melayu sejak Tamadun Funan, Campa, Srivijaya dan Melaka hingga kini belum melalui zaman penterjemahan ilmu sebagaimana tamadun-tamadun besar lain seperti zaman terjemahan yang hebat di Eropah yang berpusat terjemahan Toledo pada Zaman Pertengahan Eropah dan Bait al-Hikmat pada Zaman Tamadun Islam. Malaysia baru sahaja menubuhkan Institut Terjemahan Negara pada tahun 1996, tetapi belum pun sempat menjalankan misinya, Malaysia menukar dasar bahasa pembangunan sainsnya kepada bahasa Inggeris! Indonesia, sebagai warisan Tamadun Melayu , juga tiada institut terjemahannya. Terjemahan memang dilakukan secara pilihan sahaja, dan ini yang perlu dilakukan. Pelajar kita dalam aliran Melayu selama ini pun memang boleh membaca karya dalam bahasa Inggeris, jadi tidak timbul mereka ketinggalan maklumat dan sebagainya.
Pandangan yang sering kedengaran bahawa ilmu kini berubah begitu pantas sehingga tidak mungkin dikejar menerusi terjemahan adalah pandangan yang pincang. Sains yang diajar di sekolah dan universiti peringkat ijazah pertama tidak mengalami perubahan pantas sebagaimana yang digambarkan oleh orang dalam bidang TM (teknologi Maklumat) di pasaran itu. Sains berubah mengikut skala puluhan tahun! Sains yang diajar disekolah sekarang masih lagi sains ciptaan kurun ke-17 dan ke-18.
Dari Setempat ke Sejagat, dari Desa ke Antarabangsa
Tidak syak lagi satu lagi indeks negara maju ialah betapa rakyatnya (apatah lagi sarjananya) tidak selalu menganggap barang setempat tiada mutunya. Rakyat Negara maju tidaklah pantas merendah-rendah mutu barang buatan dalam negaranya dengan berkata, “itu lokel saja”. Tidak hairanlah para sarjana kita pun rata-rata berpendirian untuk dia “bertaraf dunia” yang dia perlu mengikut rentak negara maju sahaja, iaitu menjadikan menjadikan buku teks karya sarjana negara maju sebagai buku yang terbaik, bidang penyelidikan sarjana-sarjana di negara maju itulah bidang perlu dijadikan bidang penyelidikannya, agenda penyelidikan di negara maju itulah yang perlu dijadikan agenda penyelidikan negaranya, …dan akhirnya terpancarlah dasar sains negara yang menjadi pengguna sains sahaja yang dikatakan pemacu pertumbuhan ekonomi (lihat Kesturi (2001) tentang ulasan Dasar Sains Negara selama ini). Tidaklah munasabah kita boleh bersaing dengan Negara maju dalam bidang yang sama dengan mereka. Paling-paling bagus prestasi kita kelak hanyalah menjadi pekerja mereka yang setia dan tentunya mendapat ganjaran peribadi daripadanya.
Kesilapan kita selama ini ialah menganggap yang bertaraf antarabangsa sekarang tidak berasal daripada idea daripada desa sendiri, atau yang dikatakan ilmu sejagat sekarang tidak berasal daripada setempat. Kita tidak mahu bahasa dan kebudayaan kita kerana bahasa dan kebudayaan kita setempat dan untuk desa sahaja, kita mahu apa jua yang berkonotasi agama kerana agama sudah menjadi peribadi dan setempat, kita tidak mahu pendidikan sains kita dan penyelidikan sains kita bepacukan nilai (apatah lagi nilai kita sendiri) kerana itu bukan sejagat atau bertaraf antarabangsa. Sebenarnya idea prinsip dan agenda asal sains yang mencapai taraf sejagat atau antarabangsa sekarang semuanya bertaraf setempat atau desa di negara-negara di Eropah, atau sebelum itu di Yunani, di negara-negara Timur Tengah, Asia Tengah dan sebagainya. Pemeribumian sains ialah gerakan menyedarkan hakikat ini.
Gambaran yang disogok kepada rakyat Negara Ketiga (oleh pemimpinnya) ialah bahawa seluruh dunia berubah meninggalkan kebudayaan masing-masing kerana yang relevannya kini ialah nilai-nilai dan cara hidup negara maju sekarang. Zaman ini kononnya zaman tiadanya ideologi (mungkin belum berani menyebut agama) selain daripada ideologi yang terbukti gagah perkasa ciptaan Amerika Syarikat dan sekutunya, tiada lagi sejarah-sejarah bangsa, tiada lagi fahaman kebangsaan/nasionalisme yang membawa konsep negara-bangsa itu kerana dunia sekarang tanpa sempadan lagi. Khusus bahasa sendiri masing-masing (maksudnya bukan bahasa Inggeris) hanya sesuai di kampung, di desa atau di Negara masing-masing yang sekarang sduadah menjadi desa sahaja (“desa sejagat”). Pendeknya keadaan kini sudah tidak sesuai lagi dengan konsep seperti “pemeribumian” itu.
Sebenarnya, tidak! Runtuhan Tembok Besar Berlin dan komunisme hanya memberi peluang negara-negara yang dahulunya di bawah kongkongan Rusia, kini merdeka dan menonjolkan kebudayaannya tersendiri. Kekalahan teruk Arab dalam ketenteraan Amerka dan sekutunya yang mewakili bangsa-bahasa Inggeris itu (yang menakutkan umat Islam itu) tidak pula menjadikan Arab atau muslim semakin keInggerisan, malah salah satu daripada sebab orang Malaysia makin kurang berminat belajar perubatan di Mesir ialah kerana penekanan kepada bahasa Arab dan Islam dalam kursus itu semakin meningkat. Bahasa rasmi Kesatuan Eropah yang kini berjumlah 20 orang ahlinya itu ialah bahasa masing-masing negara anggota itu, walaupun dijangka kemungkinan besarnya nanti dapat dikurangkan kepada separuh daripadanya sahaja. Di United Kingdom sendiri, bahasa Wales dan Skotland (berasaskan bahasa peribumi daerah itu, iaitu Seltik) semakin dihidupkan dan digembur dalam kehidupan hariannya dan sistem pendidikannya, sekurang-kurangnya di peringkat tadika dan sekolah. Bahasa sains dunia tidak berubah ke arah bahasa Inggeris sahaja sehingga terjemahan buku dan makalah daripada bahasa-bahasa sains lain kepada bahasa Inggeris sentiasa dilakukan dengan rancaknya dengan pertolongan TM. Bahasa rasmi Bangsa-Bangsa Bersatu kekal seperti pada asal penubuhannya dahulu malah dijangka akan bertambah dari masa ke masa atas desakan negara berkenaan. Negara-negara maju yang dahulunya begitu taasub dengan bahasanya sahaja, terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom semakin menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa besar lain seperti Arab, China, malah Melayu dan India, bagi tujuan ekonomi dan politiknya. Dasar pendidikan di negara-negara ini pun semakin membenarkan pendidikan menerusi kebudayaan masing-masing sekurang-kurangnya di peringkat Tadika dan Sekolah Rendah. Singapura, bukan sahaja semakin mengakomodasikan pendidikan sekolah dalam bahasa Cina (atas alasan yang dihuraikan dalam makalah ini sebelum ini) tetapi telah juga menawarkan kursus Sarjana Sains Pengurusan dalam bahasa Cina atas alasan sejagatisme! Syarikat Microsoft giat menterjemah segala keluaran/produk hebatnya dalam pelbagai bahasa di dunia atas alasan sejagatisme! Pendeknya reaksi kita kepada sejagatisme dan kemajuan TM begitu berlainan daripada reaksi banyak negara lain yang semakin menuju ke arah multi-budaya dan menonjol budaya sendiri! Kita nampaknya semakin merendah atau mematikan budaya sendiri dan menuju ke arah eka-budaya, budaya Inggeris!
Kaedah Pemeribumian Sains
Evolusi pemeribumian sains telah dihuraikan dalam Shaharir (2003a) dan sekaligus di situ membayangkan kaedah seseorang memeribumikan sains. Di sini diperjelaskan lagi kaedah tersebut.
Dalam mengisi pemeribumian sains seseorang perlu menggali sains Melayu purba. Sains ini boleh didapati dalam manuskrip-manuskrip Melayu dan buku-buku Melayu sebelum abad ke-20, yang sebahagian besarnya telah disenaraikan oleh Shaharir (2003a). Contoh beberapa kajian ini dalam bidang sains matematik dapat dilihat dalam sorotan etnomatematik oleh Shaharir (2000). Kajian sains Melayu sebelum kedatangan Islam di Alam Melayu dapat dikaji menerusi prasasti (batu bersurat) di Alam Melayu yang bertarikh hingga abad ke-4M, iaitu batu-batu bersurat zaman Kerajaan Funan, Campa, Sri Vijaya dan sebagainya. Contoh kajian ini dalam matematik dan botani ialah karya Shaharir (2001, 2003c) dan rujukan dalam Shaharir (2002b).
Satu lagi aspek pengisian pemeribumian sains ialah penulisan semula buku teks sains peringkat sekolah dalam bahasa sendiri berasaskan kepada konsep pemeribumian sains itu. Dalam bidang sains matematik kaedahnya telah dihuraikan dalam Shaharir (2002c, 2003d) dan contoh penulisannya dalam beberapa judul matematik peringkat PMR dapat dilihat dalam Shaharir et al (2003e). Bidang-bidang sains sekolah yang lain dapat dilakukan pemeribumiannya dengan kaedah yang serupa. Malah contoh penulisan sebuah judul fizik peringkat SPM dapat dilihat dalam Shaharir (2002d).
Dalam penulisan buku teks peringkat universiti dalam bahasa sendiri, kaedah pemeribumiannya daripada ilmu yang sudah terInggeris atau terEropah kepada sains Malaysia, ialah dengan meniru bagaimana Inggeris memeribumikan sains Eropah menjadi sainsnya. Oleh itu pertamanya seseorang penulis perlu memastikan karyanya itu tidak berbau keInggerisan (sepadan dengan karya Inggeris yang tidak berbau keJermanan atau kePerancisan seperti yang disebut sebelum ini). Ini bermakna penulis itu mestilah menggunakan bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya, berani menterjemah, mentafsir atau menghurai sesuatu idea, konsep dan sebagainya dengan bahasa Melayu sepenuhnya tanpa segan-silu, takut-takut, kesangsian dengan pilihan kata atau istilahnya dan berapologi lagi sehingga tiadalah “bahasa rojak” dalam karyanya itu, dan tiadalah singkatan atau akronim dalam bahasa asing bermaharajalelanya. Sumber-sumber (contoh, data, masalah dsbnyanya) dari Negara sendiri (Malaysia) atau serantau yang relevan dengan perkara yang diperkatakan hendaklah digunakan sebanyak mungkin.
Kesinambungan perkara yang diperkatakan dengan tradisi ilmu sendiri (ilmu Tamadun Melayu) atau yang terhampir dengan tamadun Melayu, iaitu tamadun Islam, Hindu dan China perlulah diketengahkan bagi menggantikan kesinambungan sejarah ilmu itu dari Barat sahaja. Ini ialah penyah-pusatan barat dalam sains yang dianggap komponen penting dalam pemeribumian sains di semua peringkat, dan sekaligus mengambil berat dalam menonjolkan karya-karya sarjana sendiri dan serantau (terutamanya rumpun Melayu) yang dahulu dan/atau kini. Ini sepadan dengan penyah-pusatan tamadun Islam (dan tamadun-tamadun lain selain daripada Yunani) dan menonjolkan sarjana sendiri atau rumpunnya dalam pemeribumian sains di Eropah. Selanjutanya, penulis perlulah kritis terhadap perkara yang diperkatakan itu, iaitu membuat penilaian kelemahan, kekurangan atau kebersalahan langsung dengan sistem nilai sendiri (sistem nilai Islam terutamanya). Ini memerlukan pendekatan asal-usul sesebuah idea, prinsip, falsafah dan teori yang diperkatakan segi sejarah pembangunan atau perkembangan sebenarnya perkara itu. Jika teori itu sudah ada alternatifnya, maka teori alternatif itu juga dipaparkan sekurang-kurangnya secara sepintas lalunya, sambil membayangkan penilaian peribadinya terhadap ilmu yang dibicarakannya itu, dan mungkin wawasannya terhadap perkara yang belum beres dibina ilmunya itu dengan memuaskan dirinya atau sebahagian komuniti ilmuwan berkenaan. Pendeknya sains perlu dipaparkan secara perbandingan dan dengan penonjolan nilai: nilai yang menerbitkan ilmu itu, nilai yang diperkukuhkan oleh ilmu itu, dan nilai yang dianggap unggul oleh penulis. Mungkin nilai-nilai ini bertelagah… biar pembaca yang menilainya. Isu ini dalam bidang sains matematik telah dibicarakan dengan agak berderetan dan tunaknya sejak beberapa tahun ini (lihat Shaharir 2004) dan hal yang serupa patut dilakukan untuk bidang sains yang lain. Sekali-sekala sarjana yang melakukan pemeribumian sains dalam aspek ini tentunya akan menghasilkan dimensi baru atau pendekatan baru sains yang layak diketengahkan ke khalayak sarjana di Alam Melayu (dalam bahasa Melayu) dan di luar Alam Melayu (yang buat masa ini perlu ditulis dalam bahasa ilmu semasa seperti yang dekat dengan kita, bahasa Inggeris, tetapi memasukkan juga rujukan karya yang relevannya dalam bahasa Melayu dalam usaha mengantarabangsakan bahasa kita). Penulisan ilmu dalam bahasa Melayu di forum ilmiah (jurnal, persidangan dsbnya) di Alam Melayu dan dalam bahasa ilmu antarabangsa semasa (Inggeris) di luar Alam Melayu dengan adanya juga rujukan karya terdahulu dalam bahasa Melayu merupakan strategi pengantarabangsaan ilmu dan bahasa Melayu yang ampuh yang penulis anggap sebagai satu daripada kaedah pemeribumian sains juga, walaupun langkah ini juga boleh dianggap sebagai agenda dan strategi pengantarabangsaan ilmu dan bahasa Melayu.
Dalam penerokaan ilmu, iaitu penyelidikan di perbatasan ilmu, seseorang tentunya perlu membuat penilaian yang kritis terhadap sesuatu perkara yang diminati itu (suatu pilihan perkara yang berasaskan sistem nilai sendiri, bukan kerana ikutan orang/Negara/bangsa lain) dengan cara seperti dalam penulisan buku teks di atas tadi, tetapi dalam bahasa sendiri atau bahasa asing (Inggeris umpamanya) berselang-seli dengan seimbangnya. Sekaligus dia perlu melakukan tafakkur/refleksi dan penumpuan terhadap nilai-nilai sendiri (Islam terutamanya) dengan berterusan tunaknya yang dikaitkan dengan perkara yang sedang dikaji itu. Jika diizinkan Allah cara ini seringlah membuahkan idea yang baru atau bernas. Penyelidikan bolehlah bermula dari idea baru yang dijanakan oleh sistem nilai peribadi, atau kelompok bangsanya itu. Walau bagaimanapun sarjana yang terdidik dalam kebudayaan sendiri sahaja yang besar kemungkinan mahu dengan rela hati atau tabiinya melakukan penyelidikan sebegini. Inilah penyelidikan yang dipacu oleh nilai sendiri yang menjadi satu lagi ciri penting dalam pemeribumian sains ini. Mungkin sekali satu paradigma baru (iaitu acuan sendiri) akan muncul yang kemudiannya menjadi ikutan ramai penyelidik lain. Ini kemuncak pemeribumian sains, iaitu peringkat berijtihad dan mewujudkan mazhab.
1. Kajian status sains di Alam Melayu sejak Kerajaan Funan abad ke-2M. Ini ialah etnosains bagi Malaysia atau Alam Melayu amnya. Sejauh manakah kajian ini telah dilakukan sehingga kini dan apakah potensi hasilnya dapat dilihat dalam Shaharir (2003b). Aspek-aspek khusus dalam sains matematik dihuraikan dalam Shaharir (2000). Banyak perkara yang disenaraikan dalam makalah kedua itu perlulah dilakukan mengikut perspektif sains lain lagi. Kajian sains terhadap sumber sendiri klasik dan semasa (termasuk artifak dan warisan pertukangan, kraftangan, dan pelbagai kesenian) mengikut perspektif semua bidang sains, bukan sahaja perkara yang sudah lama diamalkan dalam bidang biologi dan geologi (walaupun kedua-dua bidang ini pun masih perlu dipertingkatkan) perlu dilakukan.
3. Pendekatan semua mata kursus sains di peringkat universiti dan penulisan buku teks berkenaan berfokuskan kepada konsep pemeribumian yang dihuraikan di dalam makalah ini.
4. Pendekatan penyelidikan yang berpacukan sistem nilai sendiri sehingga menerbitkan keperluan bidang tujahan baru, isu baru atau konsep baru sains hasil daripada pemikiran keperluan bangsa/negara sendiri, sistem nilai Islam, atau kumpulan etnik di Malaysia.
5. Para sarjana sains kini perlulah berganding bahu dengan para budayawan bahasawan dan cendekiawan amnya untuk berdakwah, mengartikulasi, membentuk pendapat awam tentang kekuatan bahasa dan kebudayaan dan nilai sendiri dalam pembangunan sains negara, dan sekaligus mendampingi dan mempengaruhi pihak yang berkuasa untuk mengembalikan bahasa Melayu ke persada bahasa pengantar ilmu di semua peringkat pendidikan di Malaysia, dan sekaligus menggalakan pendidikan sekolah dalam bahasa ibunda masing-masing.
6. Penghasilan karya sains dalam bahasa Melayu di samping dalam bahasa Inggeris sehingga terwujudlah jurnal sains dwibahasa (Melayu dan Inggeris) kita yang bertaraf antarabangsa seperti jurnal-jurnal dalam bahasa-bahasa di Eropah itu. Sehubungan dengan ini juga perkataan sendiri (Melayu atau bahasa-bahasa serumpunnya) perlulah dipilih menjadi istilah antarabangsa kepada konsep-konsep yang baru sebagaimana yang telah dilakukan oleh Sayed Hussain al-Attas dengan istilah “Bebalism” dalam sosiologi (atau “Bebalisme”, daripada “bebal”), ratusan istilah dalam sains hayat seperti oleh Mohamad Salleh (2002) yang telah disebut di atas, istilah “resapion” (daripada “resap” dan ion) dan “pemeribumian” yang diperkenalkan oleh penulis sendiri (Shaharir 1995, 1995/1997). Hal yang serupa patut dilakukan terhadap istilah baru (seperti untuk produk baru) yang berbentuk akronim seperti mungkin makanan baru kerkor (daripada sejenis keropok lekor sebagai ganti yang konon lebih bergaya dan bernilai komersil, saussercle umpamanya), petrowit (daripada petrol dan sawit umpamaya sebagai ganti yang mungkin lebih disukai oleh sarjana kita sekarang, palmapet), seraca (daripada serat dan kaca untuk bahan komposit baru), gugas (daripada bahan gubahan berasaskan getah asli), dan sebagainya .
7. Mewujudkan budaya komunikasi ilmiah (menerusi penerbitan, persidangan dsbnya) dalam bahasa Melayu untuk khalayak di Alam Melayu dan dalam bahasa Inggeris (dengan memastikan adanya juga rujukan karya terdahulu dalam bahasa Melayu) untuk khalayak luar rumpun Melayu.
8. Kursus peringkat Sarjana dan Dr. Fal. Dalam bahasa Melayu untuk pelajar rumpun Melayu dan dwibahasa Inggeris-Melayu untuk pelajar selainnya perlulah diteruskan/diwujudkan, sekalipun jika kursus peringkat prasiswazah mulai 2005 ini terpaksa dilakukan dalam bahasa Inggeris.
8. Kajian peranan nilai dalam setiap judul sains seperti yang telah banyak dilakukan dalam matematik (lihat umpamanya Shaharir 1992, 2004) seperti yang telah dirintis oleh Shaharir (2000a,b) dan Shaharir drk. (2002) dalam bidang matematik dan Shaharir (2002a,b) dalam bidang fizik.
9. Usaha individu atau persatuan berkenaan menerbitkan indeks atau abstrak bagi penerbitan tempatan (jurnal, pasca-sidang dan buku) dalam semua bidang sains.
10. Usaha memasukkan makalah-makalah tempatan ke dalam abstrak/indeks/ sorotan antarabangsa dengan menawarkan perkhidmatan ini kepada ketua-ketua penyunting jurnal-jurnal abstrak/indeks/sorotan yang berkenaan.
Rujukan
Al-Attas, S.M.N. 1989/1995. Islam & Filsafat Sains. Bandung: Al-Mizan (Terj. karya asalnya “Islam and Philosophy of Science”, K. Lumpur: ISTAC 1989)
Barnard, H.C.1968. A History of English Education.From 1760. 5th impression . Univ. of London Press Ltd.
Belal Mustafa Abu Ata, tengku Mohd bin Tengku Sebok & Mohammed bin Yusoff. 1995. SISDOM: A multilingual document retrieval system. Asian Libraries 4(3): 37-46
Berry, A. 1961. A Short History. From Earliest Times Through the Twentieth Century. N.York: Dover Pub.
Brunner, J.J.1991. Investing in Knowledge. Strengthening the Foundation for Research in Latin America. Ottawa: Internat. Development Research Centre
Cocking, R.R. & Mestre, J.P. 1988. Lingusitics and Cultural Influences on Learning Mathematics. Hillsdale: Erlbaum
Dampier, W.C. 1989/1992. Sejarah Sains dan Hubungannya dengan Falsafah dan Agama. Snt. Versi Inggeris 1989 (Snt pertamanya 1929). Terjemahan bahasa Melayu ini keluaran DBP 1992.
Davies, A. 1991. The Native Speaker in Applied Linguistics. Edinburgh: ER.U. Press
Earnest,P. 1993. Are there Revolution in Mathematics? Humanistics Mathematics Network journal. 8: 63-65.
Ferguson, C.A. (1962). The language factor in national development. Anthropological Linguistics 4(1): 23-27
Fishman, J.A. 1973. Language and Nationalism: Two Integrative Essays. Paperback. Newbury House Pub
Fishman, J.A. , Ferguson, C.A. & Gupta, J.D. (Pyt.). 1968. Language Problems of Developing Nations. N. York: J.Wiley
Gregory, W.T. 2004. Heidegger on traditional language and technological language. http: //www. Bu.edu/wcp/Papers/Cont/ContGreg.htm 2/19/2004. 20 Feb 2004
Halliday, M.A.K. 1979. Language as Social Semiotic. London: Edward Arnold
Hart, M.H. 1999. A View From The Year 3000: A Ranking of The 100 Most Influences Persons of All Time. N.York: Poseidon Press
Holton,G. 1973/1988. Thematic Origins of Scientific Thought: Kepler to Einstein. Revised ed. 1988. Cambridge: Harvard Univ. Press . Sunt. Pertamanya 1973.
internet 1: http://www. Soton.ac.uk/rime/biblios/language.html. 12 Ogos 2002
Internet 2. Review of language, society and education in Singapore. http: //ccat.sas.upenn.edu/~haroldfs/messeas/handouts/ singapore/ gopi2. html. 12 Ogos 2002
Internet 3.Taipkan International X Olympiad, X = Mathematics, Physics, Chemistry dan Biology. 10 Januari 2003
Internet 4. Taip “Adler’s Great Books”. 12 Mei. 2004
Internet 5. Taip “Wu Wein ranking journal”. 12 Mei, 2004
Internet 6. http: // www.hao.war.edu/public/education/sp/images/galileo.5.html. 27 Mei 2004
Kesturi 2001, 11(1&2).
Khairuddin Omar, Abdul Rahman Ramli, Ramlan Mahmood & Md Nasir Sulaiman. 2001. Enhancement of Jawi images using gradient direction. Jurnal Teknologi.
Kuhn, T. 1962/1993. Struktur Revolusi Sains. DBP.Terj. drp karya aslinya dalam bahasa Inggeris 1970 (snt. ke-2), “The Structure of Scientific Revolution”, Univ. of Chicago Press drp snt pertamanya 1962
Maheran Mohd Jaafar & Shaharir Mohamad Zain. 2003. Persamaan Beza Mudharabah Perniagaan. Pros. Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-XI. UMS-PERSAMA: 202-209
Marsh, H.W., Hau, K-T. & Kong, C-K. 2000. Late immersion and language of instruction in Hong Kong High Schools: achievement growth in language and nonlanguage subjects. Harvard Educational Rev. Fall Issue: 302-346
Mohamad Salleh bin Mohamed Said. 2002. Qua Vadis Taksonomi Serangga. Syarahan Perdana UKM. Penerbit UKM
Nasr, S.H. 1964/1996. Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. DBP
Ohmae, K. 1990. The Bordeless World: Power and Strategy Interlink Economy. London: Collins
Ravetz, J.R. 1971. Scientific Knowledge and Its Social Problems Oxford: Clarendon Press
Sen, A. 1999. Development as Freedom. N. York: Anchor Books
Shaharir bin Mohamad Zain. 2004a. Peranan Bahasa sendiri dalam pembangunan sains sepanjang zaman. Makalah di “Seminar Bahasa dan Sastera” sempena MABBIM 10 mac 2004 di DBP , K.Lumpur.
-----------------------------------. 2004b. Penyerlahan nilai hampir di mana-mana dalam sains matematik. Seminar Sehari INSPEM, UPM.
----------------------------------. 2003a Kaedah Pemeribumian Sains, Teknologi dan Perubatan. UKM
-----------------------------------. 2003b. Sains dan teknologi Melayu sebelum penjajahan Eropah. Melayu. Jurnal Antarabangsa Pengajian Melayu 1(2): 157-204
------------------------------------. 2002a. Penulisan fizik sekolah cara ASASI : Dinamik SPM. Kesturi 12: 21-53.
------------------------------------. 2002b. Perjuangan menegakkan nilai dalam fizik. Mimeograph.
------------------------------------.2001/2002a. Penulisan buku pengajian tinggi di bidang sains dan teknologi. Masalah dan strategi penyelesaiannya. Dlm. Halimah Haji Ahmad et al. Prosiding Seminar Cabaran Penulisan Sains dan Teknologi dalam Alaf Baru, anjuran DBP-UKM 2001. K. Lumpur: DBP, 107-119
---------------------------------. 2000/2002b. Etnomatematik Melayu. Makalah di “Simposium UNRI-UKM” 2000. Terbit dalam Sari 2002, 20: 97-112
.-------------------------------. 2001a. Garis Panduan Prinsip dan Pelaksanaan Matemadesa. Bangi: Persatuan Sains Matematik Malysia.
---------------------------------. 2001b. A need for an indigenized methodology of teaching in Malaysian School Mathematics. Proc. to the International Conf. On School Sc. & Mathematics anjuran Akademi Sains Negara 22 Okt. 2001 :1-13
----------------------------------. 2001c. Perjuangan menegakkan sistem nilai dalam fizik. Mimeograf. 19pp
---------------------------------. 2000. Pembangunan sains matematik dalam acuan sendiri. Makalah di “Simpos. Keb. Sains Matematik Ke-8” dan “Konprensi Nasional X Matematika Indonesia” 2000. Terbit dalam MIHMI Prosiding Konprensi Nasional Matematika ITB (Indonesia): 625-628
-----------------------------------. 1999/2003. Etnosains Melayu tertua setakat ini: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti Talang Tuwo abad ke-7 Masihi dan peribahasa. Terbit dalam Malaysian Jour. Sc and Technol. Studies 2003, 1: 78-114. Versi asalnya berjudul “Etnosains: Kajian kasus etnobotani Melayu daripada prasasti dan peribahasa” dibentangkan di Kolokuium Khas Fakulti Sains Hayat, UKM 1999.
---------------------------------. 1997/1998. Penerokaan judul asli dan peribumi dalam sains di Malaysia. Makalah di “Seminar Kebangsaan Penerbitan Ilmiah, Persatuan Penerbitan Malaysia dan Penerbit UKM”, 2-3 April 1997. Terbit dalam Asasains (Akademi Sains Islam Malaysia) 3/1998: 8-12.
----------------------------------. 1997. Mencerna sains mengikut acuan alam Melayu-Islam. Berita Harian: 18 Jun, 1997. Petikan ringkas daripada makalah, “Pembinaan sains Melayu-Islam” yang dibentangkan di “Seminar Peradaban Melayu”, di UKM. 13 Mac, 1997.
-------------------------------. 1996a. Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia menerusi bahasa Melayu. Syarahan Raja Ali Haji. Persatuan Linguistik Malaysia.
--------------------------------.1996b. Peranan nilai dan budaya dalam pembangunan sains. Pemikir. Okt.-Dis. 1996.
------------------------------. 1995/1997. Towards a quantum leap in the development of Islamic Science with particular references to Malaysia. Dalam/in Anuar AbRazak dan Abu Bakar Majeed (Pyt./ed.),1997, Islam Science and Technology. Pasca-sidang 1995. IKIM, Kuala Lumpur: 47-76
------------------------------. 1995/1996a. Pendidikan sains abad ke-21: cabaran sejagatisme dan pasca-x-isme. Dalam Siti Fatimah Mohd Yassin & Anuar Ahmad (pyt. cet. pertama)/Warnoh Katiman (pyt. cet. ke-2). Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Abad ke-21, 1995: 177-189. Fakulti Pendidikan Univ. Kebangsaan Malaysia.
---------------------------------. 1995/1996b. Beberapa isu dalam pemasyarakatan sains matematik di Malaysia. Makalah di “Seminar Matematik dan Masyarakat” anjuran Biro Tata Negara dan PERSAMA-FSMUKM 1995. Terbit dalam Menemui Matematik 1996, 18(1):15-20. Sebahagiannya terbit juga dalam Berita Harian 6 Feb., 1996
-----------------------------. 1992/1994. Islam dan pembangunan sains dan teknologi. Kongres "Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020", IKIM 1992. Pasca-sidang diterbit oleh IKIM, Kuala Lumpur 1994: 103-120.
-----------------------------. 1992a. Reformasi Apakah yang diperlukan di dalam program-program sains matematik. Makalah di “Simpos. Keb. Sn. Matema Ke-5”, UPM 1992. Terbit dalam Jurnal Matematika 1992. 8 (2): 101-109.
-----------------------------. 1992b. Penggelintaran jiwa dalam pendidikan sains matematik bagi menghadapi cabaran dunia perindustrian dan pasca-perindustrian. Dalam Mohamad Rashidi Md. Razali et al. (Pyt.). Matematik Asas Kemajuan Industri Pascasidang Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-V. Skudai: Jabatan Matematik, UTM dan Persatuan Matematik Malaysia. 271-290.
-------------------------------.1992c. Pengaruh budaya ke atas sains matematik. Kesturi. 2 (2):30-43
-----------------------------. 1991. Peranan UKM dalam merealisasikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa. Senada 96, 31 Okt. 1991.
-----------------------------. 1990. Simbiosis antara Sistem Nilai dengan Matematik. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
--------------------------------. 1986a. Ke arah pengembalian matematik ke pangkuan masyarakat: Pembudayaan dan pengembangannya di Malaysia. Dlm. Abu Osman B. M.T. et al. (Pyt.). Ke Arah Peningkatan Penyelidikan dan Penga¬jaran Sains Matematik. Bangi: Pusat Pengajian Kuantitatif. 11-32.
-----------------------------. 1986b. UKM dan visi neonasionalis. Senada. Ogos & Sept.
Shaharir bin Mohamad Zain & Rohani binti Abdul Rahman. 1996. Pengaruh sistem nilai dalam pengoptimuman utiliti berketentuan: Ke arah teori yang lebih serasi dengan Islam. Dlm. Prosiding Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-VII. Shah Alam: Intitut Teknologi Mara. 290-296
Shaharir B.M.Z., Mat Rofa I., Muhammad Alinor A.K., Alawiyah I., Ummu Khair dan Zurina Ali. 2002. Pembangunan Matematik Sekolah Menengah menerusi falsafah MATEMADESA. Laporan Penyelidikan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, ST/16/2001 (IDR000802).
Simmons, J.G. 2000. The scientific 100: A ranking of the most Influential Scientists. Past & Present. Citadel trade.
Singer, C. 1959. A Short History of Scientific Ideas to 1900. Oxford: Clarendon Press
Spengeler, O. 1932/1971. The Decline of the West (Terj). 7th impression. Allen & Unwin 1971. Asalnya dlm bahasa Jerman 1932.
Tiner, J.H. 2000. 1000 Scientists Who Shaped World History. Bluewood Books.
Toffler, A. 1984. The Third Wave. Bantam
Wan Ramli bin Wan Daud & Shaharir bin Mohamad Zain. 2000. Indigenisation of technology and the challenge of globalisation. Proc. to the First UKM-UC Seminar on Technology in Development. Bangi: Pusat Pengurusan Penyelidikan Univ. Keb. Malaysia. 197-217. Lihat juga MAAS Jour. Islamic Science. 1999, 15(1-2): 109-134
Wan Ramli bin Wan Daud dan Shaharir bin Mohamad Zain. 1999. PeMelayuan, PengIslaman dan PeMalaysiaan ilmu sains dan teknologi dalam konteks Dasar Sains Negara. Kesturi. 9(2): 1-14
Wan Ramli bin Wan Daud, Shaharir bin Mohamad Zain & Baharuddin bin Yatim 1992. Pembudayaan sains dan teknologi dalam masyarakat Melayu menjelang 2020. Kongres Cendekiawan Melayu III : 64-84.
Warkah Berita PERSAMA 1999: 37
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Makalah ini disediakan untuk memenuhi undangan pembentang di Seminar Sejarah dan falsafah Sains kebangsaan Okt. 2004 anjuran UKM-DBP-ASASI.
No comments:
Post a Comment